Friday, June 20, 2008

Pada hari ini para wartawan termasuklah penulis dan media (sama ada elektronik mahupun bercetak) merupakan elemen penting dalam penyampaian maklumat kepada semua golongan. Tanpa para wartawan, penulis dan media pasti maklumat sukar untuk diketahui. Tambahan lagi dengan teknologi canggih yang dunia miliki hari ini maklumat dapat disebarkan dengan cepat. Jasa para wartawan, penulis dan media sememangnya amat dihargai.

Dalam kegilaan menyampaikan berita panas dan terkini, etika para wartawan, penulis dan media sudah mula tercabut dari sanubari. Kesahihan maklumat sudah tidak dipentingkan lagi. Hanya keuntungan yang dicari. Mungkin mereka merasakan keuntungan di dunia ini dapat membantu mereka diakhirat nanti.

Sememangnya semua pihak akur bahawa ‘power’ yang dimiliki oleh wartawan, penulis dan media amat besar. Ia mampu mempengaruhi banyak pihak. Jika dilihat pada sejarah Negara kita sendiri, para wartawan dan penulis lah antara yang memainkan peranan penting dalam kemerdekaan. Media bercetak pada ketika itu yang menjadi medium penyampai berita wartawan dan penulis amat ampuh sekali. Ia telah membangkitkan semangat nasionalisme dan membuahkan hasil dengan nikmat kemerdekaan Malaysia.

Kehebatan pena para wartawan dan penulis sememangnya amat ditakuti. Ia mampu menaikkan nama seseorang dan menjatuhkan seseorang sehingga ke liang lahad. Kerana itulah orang bijak pandai ada mengatakan bahawa perjuangan menggunakan pena lebih ampuh daripada perjuangan menggunakan senjata seperti senapang, meriam dan lain-lain. Jika luka terkena peluru senapang pasti dapat diubati dengan segara tetapi luka terkena serangan pena pasti sukar untuk dirawat.

Lihatlah bagaimana Anwar Ibrahim jatuh hanya kerana buku yang ditulis oleh Khalid Jafri, 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM (Mei 1998). Walaupun tuduhan tidak dibuktikan lagi tetapi Anwar mampu dijatuhkan dari maklumat yang ada di dalam buku itu.

Banyak pihak telah menegur sikap sebahgian para wartawan, penulis dan media yang menyampaikan maklumat tidak tepat, berunsur fitnah dan macam-macam kecurangan lagi. Antaranya, Samahatul Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Asri Zainul Abidin. Beliau telah menghantar surat kepada TV 3 agar tidak menyiarkan maklumat yang tidak tepat dan berunsur fitnah. Tetapi teguran ulama dan pihak-pihak lain seolah-olah tidak diendahkan.

Baru-baru ini, MB Kedah menfikan fitnah yang dilemparkan oleh TV 3 mengenai perlantikan Pengarah Eksekutif Kumpulan Kulim Hi-Tech oleh kerajaan Negeri. Beliau menfikan apa yang dinyatakan di dalam berita Buletin Utama jam lapan malam. (sila lihat http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=015253&Itemid=95). Mengapakah ini berlaku?

Malam tadi pula, rakyat Malaysia dihidangkan lagi dengan maklumat berat sebelah TV3 yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Kedah akan membalak di kawasan tadahan hujan negeri dan ia amat tidak mengikut ajaran Islam. Kerajaan Kedah yang bertunjangkan politik Islam sudah menyeleweng dari dasar. Tetapi dalam masa yang sama hutan-hutan di Cameron Highland ditarah untuk memperluaskan kebun-kebun sayur yang telah mendapat permit. Persoalannya, mengapa kerajaan Pahang yang berpayungkan konsep Islam Hadhari merelakan perbuatan keji itu? Itu tidak kira lagi berita-berita kerosakan dan kezaliman keatas alam sekitar di negeri-negeri di bawah lembayung islam hadhari yang selalu dilaporkan oleh Karam Singh Walia. Mengapa harus pilih kasih dan berat sebelah?

Jika Karam Singh yang bukan beragama Islam mampu berlaku adil, mengapa wartawan dan penulis Islam tidak mahu mengikut jejak langkah beliau? Apakah kerana takutkan kuasa politik ataupun individu tertentu. Ingatlah, sebagai hamba Allah dan khalifah nabi Muhammad s.a.w kita hanya perlu takut kepada Yang Maha Pencipta, Allah.

Habuan di dunia hanya sementara. Dunia ini hanya sekadar ladang untuk bercucuk tanam bagi menjadi bekal di akhirat. Selagi muda inilah tegakkan keadilan dan kebanaran. Jangan nanti sudah nazak baru mahu bertaubat. Takut nanti tidak sempat.

No comments: