Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bercuti di tempat orang memang amat seronok. Tiga hari dua malam di Bukit Merah Lake Town Resort (8-10 june 2008) memberi saya banyak kenangan manis dan pengajaran. Benarlah kat orang tua-tua jauh perjalanan luas pandangan. Bukan sahaja pandangan secara zahir iaitu keindahan ciptaan Illahi sahaja, tetapi pandangan mengenai pelbagai aspek saya rasa semakin bertambah.
Dalam pakej percutian saya di Bukit Merah,tidak saya lepaskan untuk menyertai rombongan menerokai kehidupan orang utan, di Pulau Orang Utan. Perjalanan lebih kurang 15 minit dari jeti menggunakan bot besar. Hati saya menjerit-jerit tidak sabar untuk sampai. Haiwan bernama orang utan yang diceritakan memiliki dna 99% persamaan dengan manusia akan saya lihat secara dekat.
Setibanya di pulau itu, Mike, seekor orang utan berumur 26 tahun diperkenalkan. Sungguh besar. Beratnya hampir mencecah 120 kg. Memiliki kekuatan lebih sepuluh orang lelaki dewasa. Pipinya menggelebeh. Itulah tanda kejaguhannya. Pemandu pelancong yang memimpin kami dalam penjelajahan itu memberitahu kepada kami bahawa itulah ketua orang utan di situ. Sungguh hebat. Mempunyai empat ekor isteri yang rasmi. Salah seekor isterinya yang masih saya ingat bernama Nafsiah. Macam nama bekas menteri wanita detik hati saya.
Kehidupan orang utan di situ mempunyai banyak persamaan dengan manusia. Tekadang hati kecil saya menyatakan mereka dilayan lebih baik dari sebahagian rakyat Malaysia. Mendapat susu yang bagus bagi anak-anak mereka. Dipakaikan lampin pakai buang. Makanan yang enak-enak dan macam-macam lagi. Anak-anak yang lahir di Malaysia hari ini, masih ada sebahagian yang tidak pernah merasai minum susu yang bagus melainkan susu ibunya sahaja. Lampin pakai buang janganlah harap. Mahal. Paling murah sekeping 35 sen. Lepas berak kencing sudah tidak boleh digunakan. Beruntung jadi orang utan di Bukit Merah detik hati saya.
Orang utan yang dijaga dengan baik mampu hidup sekitar 50 sehingga 65 tahun. Macam manusia juga. Bagi yang betina akan didatangi haid. Itulah tanda mereka sudah baligh. Seawal umur 13 tahun mereka sudah mampu untuk memiliki anak. Macam moyang kita. Muda-muda sudah ada anak. Mereka buntingpun dalam lapan sehingga Sembilan bulan. Sama.
Yang paling memranjatkan saya mengenai maklumat yang disampaikan oleh pemandu pelancong kami adalah orang utan padai hisap rokok. Siap boleh keluarkan asap dari hidung lagi. Cuma nak keluarkan asap dari telinga mereka tidak mampu. Teman saya membuat lelucon. Siapa yang mengajar mereka isap rokok? Tidak lain dan tidak bukan manusia yang pernah mendampingi mereka. Ada pelawat yang akan memberi rokok. Keji sungguh perbuatan ini. Tidak cukup manusia ramai yang sakit kerana rokok, orang utan pula ingin dijadikan mangsa pula. Ingatlah! ‘taukeh’ Marlboro yang mula-mula asaskan kilang rokok mati kerana kenser. Janganlah kita menjadi lebih cetek pemikirang daripada orang utan.
Selain daripada Mike dan Nafsiah ada beberapa ekor lagi orang utan yang saya temui. Antaranya nama-nama yang saya masih ingat ialah Carlos, Awang, Paulina dan Amir. Macam-macam nama ada. semua nama manusia kan. Paulina dan Carlos boleh kita jumpa di rancangan telenovela. Amir dan Awang lagilah banyak tempat kita boleh jumpa. Awang Adek. Awang Selamat. Mengapa orang-orang utan itu diberi nama macam manusia. Apa perasaan mereka yang memberi nama itu sekiranya nama ibu dan bapa mereka diberikan pada orang utan? Suka? Bangga? Entahlah.
Lebih kurang 45 minit berada di Pulau Orang utan memberi saya banyak pengajaran. Pelajaran tidak formal yang tidak diajar di dalam kuliyyah sewaktu saya di UIA mahupun Maahad Johor. Terima kasih kepada MK Land kerana memberi cuti saya bermakna dengan meletakkan pekej menjelajahi orang utan sebagai salah satu program. Benarlah haiwan pun mampu memberi kita banyak pelajaran. Jika anak nabi Adam diajar oleh ahiwan bagaimana ingin menanam saudaranya yang telah mati, kini dalam percutian saya yang lepas orang utan telah memberi pelajaran tentang kehidupan kepada saya.
Ceramah Di Masjid Daerah Manjung Perak.
12 years ago
No comments:
Post a Comment