Monday, June 16, 2008

ayah.. engkau di hatiku

Sebagai menghargai jasa-jasa para bapa sedunia satu hari di dalam bulan Jun telah dipilih untuk dijadikan sebagai hari bapa sedunia. Ia diraikan seantero alam bagi menghargai jasa-jasa insane yang bergelar bapa.

Sewaktu saya masih kecil ketika arwah bapa saya masih hidup, 15 Jun merupakan hari yang paling nantikan. Pada hari itu saya ingin mengucapkan selamat hari bapa. Jasa-jasa beliau dalam membesarkan saya hanya mampu saya balas dengan kata-kata ucapan.

Walaupun hanya 16 tahun hidup bersama bapa, saya merasakan cukup bertuah dibandingkan insan lain yang mungkin tidak kenal siapa bapa mereka. Hanya pernah melihat foto dan namanya sahaja. Bapa saya merupakan lelaki yang saya anggap paling hebat dan beliaulah hero saya. Lebih hebat dari Batman, Superman mahupun Hulk.

Bagi sentiasa mengingati jasa bapa, saya sentiasa akan menyebut nama beliau bersama nama saya. Jika saya menyebut nama penuh saya, saya akan nyatakan nama saya ialah Mohd Salleh bin Ariff. Jika hanya menyebut nama singkat namanya turut tidak saya tinggalkan. Salleh Ariff. Selain itu saya akan menggunakan nama timangan Alleh Ariff ataupun Aliff (gabungan Alleh Ariff).

Pada saya nama Mohd Salleh tidak akan wujud jika Encik Ariff tidak ada. Nama Ariff muncul sebelum nama Mohd Salleh. Jadi kehebatan nama saya tidak akan gah jika tidak digabungkan dengan nama Ariff. Bukan saya letakkan nama Ariff di belakang nama saya kerana ingin menisbahkan saya sebagai seorang yang arif tetapi hanya ingin menyatakan sayalah salah seorang anak Encik Ariff daripada tujuh orang anaknya.

Orang Cina akan meletakkan nama keturunan mereka di hadapan nama mereka. Sekiranya nama mereka adalah Chua Soi Lek, maka Chua merupakan nama keluarga mereka. Mereka amat bangga untuk menyatakan nama keluarga mereka.

Sebagai orang Malaysia yang berbangsa Melayu, saya tidak boleh mengikut cara orang Cina meletakkan nama keturunan saya pada pangkal nama saya. Ia cuba melawan adat. Jadi saya perlu mengekalkan nama bapa saya melalui menyebutnya dengan menyatakan bin atau tanpa bin. Saya yakin cara ini masih lagi di dalam cara Melayu dan tidak mengetepikan adapt Melayu.

Walaupun tekadang ada orang yang menganggap Ariff sebagai nama saya, itu tidak mengapa. Mereka memanggil saya, dengan nama Ariff kerana terkeliru, turut saya tidak berkecil hati. Bagi saya ia bukan sifat kurang ajar mempermainkan nama bapa saya seperti yang dianggap ramai. Ia merupakan satu kebanggaan. Walaupun Encik Ariff sudah meninggalkan dunia ini hampir sepuluh tahun tetapi namanya akan terus hidup.

Mengapa saya tidak kisah dengan semua itu? Ini kerana sebahagian diri Encik Ariff ada dalam diri saya. Sedikit sebanyak saya mewarisi sifatnya. Ilmu-ilmu yang diturunkan apatah lagi. Walaupun tiada harta yang banyak diwariskan tetapi jasa-jasa beliau dalam memberi nyawa kepada saya tidak mungkin akan menghapuskan dirinya dalam diri saya.

Hari ini bapa saya sudah tidak berada dalam alam yang sama dengan saya. Saya tidak boleh mengucapkan terima kasih atau memberi hadiah kepada beliau sempena hari bapa pada 15 jun ini. Tetapi, saya tahu masih ada cara lagi bagi saya menghargai jasa beliau. Islam agama yang penuh rahmat ada mengajar. Saya boleh membantunya di alam barzakh dengan mendoakan beliau. Berbuat baik dan menjadi anak yang soleh. Semua itu akan memberi sumbangan kepada beliau.

Semoga semua insan yang bergelar bapa tidak kira yang masih muda atau yang telah tua akan sentiasa berada di dalam bahagia. Kebahagiaan yang tidak ternilai bagi mereka adalah melihat anak-anak berjaya dan hidup aman sentosa.

No comments: