Wednesday, June 4, 2008

MENCARI JALAN PULANG: KASSIM AHMAD MASIH TAK PULANG-PULANG

Buku terkini tulisan Kassim Ahmad baru sahaja saya selesai membaca pagi ini. Penulis yang penuh kontroversi dengan penghasilan buku-buku (contoh; Hadith-Satu Penilaian Semula) dan puisi-puisi (contoh; Sidang Roh) jelek ini tampil dengan buku barunya “Mencari Jalan Pulang-Daripada Sosialisme kepada Islam”.

Buku yang menceritakan mengenai kehidunnya dari kecil sehingga kini memang boleh dipuji. Ia mampu untuk menambah buku-buku di rak rumah saya, perpustakan-perpustakaan dan di mana-mana sahaja bagi dijadikan rujukan bahawa Kassim Ahmad sememannya masih lagi tidak menemui jalan pulang.

Keberanian saya untuk mengatakan bahawa Kassim Ahmad masih lagi tidak menemui jalan pulang bukan kerana saya mendapat pengajaran daripada buku tulisannya yang menceritakan sifatnya yang berani menyelongkar kebenaran ataupun sifat Hang Jebat di dalam Hikayat Hang Tuah tetapi itulah yang disemaikan oleh ibu bapa, guru-guru dan persekitaran saya. ‘Katakanlah yang benar walaupun ianya pahit’.

Sememangnya amat pahit untuk saya menyatakan kepada seorang yang mempunyai nama seperti Kassim Ahmad bahawa dia di dalam keadaan tersasar. Menafikan kata-katanya bahawa dia telah menemui Islam setelah belajar selama 36 tahun (lihat Mencari Jalan Pulang-Daripada Sosialisme kepada Islam, m.s 186 ) amat perit sekali. Tetapi itulah hakikatnya.

Kata-kata ini bukan kesan dari terpengaruh dari lontaran lantang pak ustaz-pak ustaz di Negara kita mahupun para pengkritik Kassim Ahmad yang lain tetapi ia cetusan dari apa yang saya baca sendiri mengenai pemikirannya sama ada melalui buku-bukunya ataupun di laman blognya (sila lihat http://kassimahmad.blogspot.com).

Secara jujur dan ikhlas saya cukup bersetuju dengan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa para ulama dahulu dan sekarang boleh dikritik atau disalahkan. Tidak salah mengkritik sesiapa atau menidakkan kata-kata mereka. Apa salahnya ingin mengkritik atau menyalahkan Imam Bukhari, Imam Nawawi, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Tidak ada satu larangan pun di dalam al-Quran mahupun hadith nabi s.a.w. Begitu juga hasil kerja mereka. Siapa kata berdosa jika kita menaqad Sahihul Bukhari, Sahihul Muslim mahupun Kitab al-Um. Silalah! Jika ada ulama yang mengatakan haram, maka saya tidak teragak-agak mengatakan haram mendengar kata-katanya.

Tetapi, bolehkah kita mengkritik mereka ataupun hasil kerja mereka tanpa kita memberi penjelasan dan bukti. Jika ia dilakukan, itu merupakan satu penganiyaan. Salah dari segi ‘human right’. Jika kita mengatakan bahwa hadith-hadith di dalam Sahihul Bukhari ataupun Muslim tidak sahih maka buktikanlah. Begitu juga jika kita mengatakan Fathul Bari tulisan Ibn Hajar al-Asqalani dan lain-lain.

Janganlah kita membuat tuduhan melulu dan secara rambang. Kita menuduh bahawa hadith di dalam Sohehul Bukhari dan Muslim yang menyatakan Nabi Muhammad kekasih Allah,Penghulu Para Nabi, seorang yang ma’sum dan boleh memberi syafaat di akhirat adalah palsu dan yang lain-lain berdasarkan kepada pengaruh musuh Islam. Musuh Islam seperti Rashad Khalifa sudah lama dikenali. Mengapa harus mengikut tafsiran al-Qurannya. Menyatakan bahawa al-Quran yang ‘sebenar’(sama ada mengikut tafsiran sesat Rashad Khalifa atau penyelewengan penulisan semula al-Qurannya) ditemui setelah membaca The Computer Speaks: God Massege to the World karangan Rashad Khalifa dan membenarkan semua isinya. (lihat Mencari Jalan Pulang-Daripada Sosialisme kepada Islam m.s 187)

Jika benaralah Kassim Ahmad telah menemui jalan pulang yang dimaksudkan sebagai pulang kepada agama Islam, mengapa tidak ada penafian atau sanggahan buku-buku atau tulisan-tulisannya sebelum ini, yang mengikut penafsiran Rashad Khalifa dalam menyelewengkan tafsiran ayat-ayat al-Quran.

Sebagai contoh, bagi membenarkan hujahnya mengenai tiada selawat kepada nabi maka penafsiran Rashad Khalifa dituruti. Lihatlah ayat 56 dalam surah al-ahzab ditafsirkan oleh Kassim Ahmad seperti berikut

(Tuhan dan malaikat-malaikat-Nya membantu dan menyokong nabi. Hai kamu yang beriman, hendaklah kamu bantu dan sokong dia, dan hormati dia dengan kehormatan yang sewajarnya)
( lihat http://kassimahmad.blogspot.com/2007_03_01_archive.html#_ftn6)

Sama seperti tafsiran yang di ambil dari laman http://www.submission.org/indonesia/quran/sura-33.html yang dicedok dari tafsiran Rashad Khalifa yang berbunyi;

(Allah dan para malaikatNya menolong dan menyokong nabi. Wahai orang orang yangpercaya, kamu mestilah tolong dan sokong dia, dan ambil beratlah terhadapnya sebagaimana sepatutnya dia mestilah diberikan perhatian)

Kedua-dua tafsiran itu cukup berbeza dengan tafsiran di dalam kitab-kitab tafsir ulama mu’tabar seperti Tafsir Ibn Kathir mahupun Tafsir al-Qurtubi. Ini bukan kerana kita taksub dengan ibn Kathir mahupun al-Qurtubi tetapi penyelidikan mereka dan kajian mereka mengenai tafsiran ayat itu tidak dapat disanggah.

Jadi, satu harapan saya sebagai seorang insan kerdil agar Kassim Ahmad benar-benar mencari jalan pulang dan menemui jalan yang sebenar-benarnya. Jalan yang diredhai Allah dan rasul.

“Tunjukilah kami jalan yang lurus.Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat”

1 comment:

Anonymous said...

"Jadi, satu harapan saya sebagai seorang insan kerdil agar Kassim Ahmad benar-benar mencari jalan pulang dan menemui jalan yang sebenar-benarnya. Jalan yang diredhai Allah dan rasul."

“Tunjukilah kami jalan yang lurus.Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat”

Jadi, kalau yg dimaksudkan di atas itu bukannya Alquran; apakah ianya? Kassim Ahmad sudah kembali kepada Alquran sepenuhnya.

Anda bagaimana?

Salaam.