Friday, June 27, 2008

BENARKAH APOLLO HARAM?

Sewaktu kecil-kecil dahulu saya amat gemar memakan ‘jajan’ (makanan ringan). Antaranya gula-gula tarik, sagoon dan ais krim Malaysia. Walaupun ibu bapa mengawasi tidak membenarkan makan di rumah, tetapai sewaktu sebelum dan selepas sesi persekolahan saya pasti akan membelinya menggunakan wang saku yang ibu bekalkan.

Seingat saya jajan-jajan yang saya gemar makan itu tidak ada tertulis ramuan yang digunakan, tarikh luputnya dan nama pengilang. Saya pun pada waktu itu tidak pernah hirau atau prihatin untuk meneliti semua itu. Janji sedap, manis dan mampu dibeli.

Setelah umur meningkat dan kesedaran untuk memilih makanan halal dan bermutu barulah saya prihatin terhadap ramuan yang digunakan, siapa pengilangnya, tarikh luputnya dan mesti memiliki logo halal. Tambahan pula pernah bertugas di bahagian pensijilan Halal Malaysia.

Kesedaran yang meningkat ini membuat saya agak terkejut apabila menerima kiriman emel dari teman yang saya kenali yang menyatakan bahawa produk keluaran Apollo tidak halal. Benarkah ini?

Takut untuk bersetuju atau menolak saya cuba membuat sedikit pencarian maklumat menggunakan bantuan yang disediakan oleh Bahagian Halal Malaysia dan rujukan-rujukan saya mengenai makanan dan bahan-bahan ramuan disertakan ilmu agama yang saya miliki serba sedikit.

Dalam sibuk mencari maklumat dan kajian mengenai kesahihan emel tersebut, saya teringat sepotong ayat al-Quran di dalam surah yang pernah saya hafal dahulu.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”

(surah al-Hujuraat:6)

Gemantar saya apabila merenung ayat tersebut. Benarlah, jika saya tidak selidik maklumat tersebut pasti akan membawa keburukan kepada syarikat Apollo. Ya Allah! Lindungi hambaMu ini dari menyebarkan fitnah dan menabur fitnah.

Kandungan emel tersebut adalah seperti berikut;

Saya ingin menasihati anda semua supaya berhenti membeli semua keluaran Apollo Food Industries terutamanya ibubapa yang selalu membeli makanan seumpama layer cake, choco stick dan sebagainya yang selalu keluar iklan di TV . Kejadian ini berlaku kepada saya sendiri. Saya selalu juga membeli apollo layer cake dlm kuantiti yg banyak untuk anak2 saya sebagai makanan ringan. Ana k2 juga selalu mendapat product Apollo setiap kali ada majlis harijadi disekolah (goodie bag yg disediakan oleh parents kepada birthday girl/boy tersebut).
Selama ini saya ingatkan product Apollo ni HALAL sebab keluar kat TV..kalau tak halal, takkan TV boleh lepas ye tak? Nak jadikan cerita, suatu hari, saya membeli APOLLO CHOCOLATE LAYER CAKE yg plastik pembungkusnya berwarna kuning . Ana k2 sempat makan sorang satu. Entahlah, sudah menjadi tabiat saya, suka membaca ingredient yg tertera pada pembungkus makanan, hatta ubat gigi, syampoo dan sebagainya, saya juga suka membaca. Mungkin saya mengambil langkah berjaga2 agaknya.
Tetiba saya terpana bila apa yg saya takuti akhirnya terjadi kepada saya & keluarga sendiri... APOLLO layer cake yg saya beli mengandungi Emulsifier 471, yg kita sudah maklum, mengandungi unsur babi..
Astaghfirullah.. Astaghfirullah.. Astaghfirullah.. banyak kali sayaberistighfar, kerana anak2 saya sudah memakan cake tersebut. terus memberitahu mereka supaya jgn lagi memakan APOLLO... APOLLO HARAM DIMAKAN !
Saya sertakan SCAN FILE pembungkus APOLLO yg saya maksudkan... Maaflah kerana Black & White kerana saya x ada scanner kaler.
Saya harap kawan2 sume tolong sebarkan kepada jiran2, kawan2 seagama supaya memesan kepada anak2 kita, jgn lagi memakan product apollo ini.. Bukan saja Apollo Chocolate layer cake, tapi kita patut BANNED semua product keluaran APOLLO kerana semua productnya dikilangkan dikilang yg sama, mesin yg sama, bercampur yg halal dan haram...
Yang buat saya paling sedih, Ada logo HALAL pada plastik pembungkus APOLLO tersebut...
Marilah kita sama2 membenteras penipuan ini dan semoga Allah ampunkan dosa2 kita yg telah termakan benda haram ni...
Emulsifiers yg HARAM:
120,141,160( A), 1,252,300, 301,422,430, 431,434,435, 436,441,470, 471,472(AE) ,473~477, 481~483, 491,494,542, 570,631,635, 920 beur & RENNET....
Regards,
Mama
Rawang


Benarkah? Apa yang mampu saya katakan setelah membuat beberapa pemeriksaan dan pencarian mengenai kesahihan emel ini adalah ia fitnah semata-mata dan penyebar fitnah ini seorang yang amat jahil mengenai bahan tambahan di dalam makanan. Adakah ia bertujuan ingin merosakkan nama baik syarikat pengeluar itu? Atau adakah ia ingin mengotorkan kredibiliti Bahagian Hub Halal Malaysia yang memberi pengesahan halal? Hanya Allah yang tahu.


Untuk pengetahuan bersama produk Appolo Chocolate Layer Cake merupakan produk buatan syarikat APOLLO FOOD INDUSTRIES (M) SDN. BHD. Telah mendapat pengesahan halal daripada Bahagian Hub Halal JAKIM. Sijil pengesahan halal bagi produk ini akan tamat pada 30 Oktober 2010.

Sememangnya salah satu bahan ramuan bagi produk tersebut adalah Emulsifier 471 (E471). Syarikat mendapat bekalan bahan ini daripada syarikat yang sememangnya telah mendapat pengesahan halal. E 471 yang dibekalkan adalah dari sumber bahan kimia.

Kekeliruan timbul pada sebahagian masyarakat mengenai E471. Ramai yang menyangkakan ia adalah satu bahan ramuan hasilan dari babi ataupun haiwan yang tidak halal. Ini merupakan satu dakwaan tidak tepat.

E471 merupakan salah satu dari bahan pengimulsi. Ia digunakan dalam pembuatan bagi membolehkan dua bahan yang tidak boleh bercampur seperti air dan minyak bersatu. Ia digunakan di dalam pembuatan roti, kek, margerin, ais krim, frozen dissert dan lain-lain.

Ia dihasilkan daripada lemak sintetik yang terhasil daripada glycerol dan asid lemak semulajadi. Kebanyakannya daripada sumber tumbuhan. Ia juga boleh dihasilkan daripada sumber haiwan

Dalam pemeriksaan sumber bahan ramuan bagi mendapat pengesahan halal, E471 disenaraikan sebagai bahan kritikal. Ia bagi memastikan bahawa E471 yang digunakan sememangnya dari sumber bahan halal. Ini kerana ia boleh dihasilkan melalui bahan kimia dan lemak haiwan. Lemak haiwan juga boleh didapati dari sumber yang halal dan tidak halal.

Kesimpulannya, produk Appolo Chocolate Layer Cake telah disahkan halal oleh Bahagian Hub Halal, JAKIM dan sememangnya halal dan tidak ada percampuran dengan sumber tidak halal.

Selain daripada itu pengirim emel telah mendakwa rennet dan E120,141,160 dan banyak lagi adalah haram. Ini satu dakwaan yang salah dan tidak berilmu. Bahan-bahan yang disebutkan merupakan bahan-bahan tambahan yang mungkin dari sumber tidak halal dan halal.

Jadi, janganlah mudah berhukum dan menyebarkan maklumat yang tidak tahu kesahihannya. Ingatlah pesanan Allah agar jangan menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Wednesday, June 25, 2008

ATLET MALAYSIA BAKAL JUTAWAN.. MISKIN SEDERHANA BAKAL KEMPUNAN

Bakal athlete Malaysia yang akan beraksi ke sukan olimpik di Beijing bulan Ogos ini akan menjadi jutawan. Ini dikatakan dapat menaikkan semangat athlete Negara untuk beraksi dengan bersungguh-sungguh dan memberi harapan yang tinggi kepada bakal-bakal athlete Negara di masa hadapan. Itulah yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri apabila menyatakan bahawa pemenang pingat emas di sukan olimpik Beijing akan diberi ganjaran satu juta ringgit.

Di dalam keadaan masyarakat Malaysia terutama mereka yang digolongkan sebagai golongan miskin dan sederhana dihambat kerisauan kenaikan harga minyak dan barang-barang, kerajaan Malaysia mula memikirkan belanja untuk memberi habuan berlipat kali ganda kepada athlete yang membawa pulang pingat emas di sukan olimpik. Hanya kerana membandingkan singapura yang memberi athlete mereka ganjaran seumpama itu keputusan itu dibuat. Adakah ini difikirkan patut?

Sebelum ini golongan artis mendapat habuan yang begitu tinggi melalui anugerah-anugerah yang diadakan. Kini golongan athlete pula mendapat keistimewaan. Mengapakah perkara seumpama ini terjadi?

Persoalan pertama yang ingin saya bangkitkan dari peruntukan wang manakah ganjaran itu akan diberi? Adakah dari poket jutawan Malaysia seperti Robert Kwok, Mokhtar Bukhari ataupun Vincent Tan? Ataukah dari kocek Perdana Menteri, Paklah, timbalannya, Najib, atau Shahrir Samad? Pasti umum dapat menjawab ‘duit rakyat’.

Mengapa diberikan ganjaran yang amat lumayan sedangkan rakyat sederhana dan miskin mengharapkan simpati bantuan dan subsidi bagi menghadapi waktu genting ini? Mungkinkah bagi menjayakan misi ‘Malaysia boleh’? Jika itu jawapannya, sejauh manakah sumbangan para athlete Negara dalam membawa pembangunan, kecemerlangan dan kejayaan Malaysia. Hanya menempa nama dipersada dunia tanpa ada memberi kuntungan sedikitpun kepada rakyat.

Jika juara pertandinga tilawah al-Quran peringkat antarabangsa mewakili Negara Islam hadhari diberi ganjaran yang terlalu sedikit mengapa athlete diberi ganjaran yang maha besar? Pasti ada yang menjawab bagi merangsang semangat dan mengelakkan perkara negative di kalangan dunia athlete. Adakah konsep Islam Hadhari tidak Berjaya dalam membentuk keperibadian mereka?

Sewaktu kenaikan harga minyak, kerajaan menyeru agar masyarakat berjimat cermat, buat kerja tepi bagi menambah pendapatan dan macam-macam lagi. Tetapi mengapa kerajaan membuat tindakan seolah-olah tidak ada masalah kewangan meruncing di dalam Negara? Biarlah rakyat miskin dan sederhana semakin merempat agar gah nama Negara di persada dunia.

Jika ganjaran pingat emas ingin dibandingkan dengan Singapura mengapa harga minyak tidak ingin dibandingkan dengan Negara yang setaraf dengan Negara pengeluar harga minyak? Pasti para pemimpin Negara ada jawapannya. Mereka kan ketua.

Sebagai individu yang tidak mampu berbuat apa, melainkan menyuarakan pendapat melalui cara ini, saya hanya ingin berpesan agar takut kepada Allah. Kuasa bukan bermakna kita berkuasa. Ini kerana Yang Maha Kuasa sentiasa memerhatikan kita. Pangkat bukan untuk bermaharajalela melainkan menjadi hamba kepada rakyat jelata.
Fikir-fikirkanlah tindakan yang dibuat agar tidak menjadi bahan bakar di neraka yang amat digeruni.

TAMAN ILMU & BUDI

Tidak ada apa yang mampu aku hadiahkan sempena sambutan ulang tahun Taman Ilmu & Budi yang ke-25. Hanya sumbangan puisi yang akan aku abadikan untuk teman-teman dan kawan-kawan. Terima kasih dariku kepada Taman Ilmu & Budi, tenaga pengajar, tenaga kerja dan semua yang berusaha. Semoga Allah sentiasa memberi rahmat kepada kita semua

TAMAN ILMU & BUDI
SALLEH ARIFF
25 JUNE 2008
CYBERJAYA

Taman itu pernah menjadi saksi
Aku dan teman-teman
Duduk tekun dan terus mendengar
Ilmu yang ingin disampaikan
Oleh cendikiawan seantero alam

Taman itu pernah menjadi saksi
Aku dan teman-teman
Belajar mengenal adat dan budaya
Dari saudara berlainan bangsa
Yang menuntut bersama-sama

Taman itu pernah menjadi saksi
Aku dan teman-teman
Dikenalkan dengan pelbagai kemahiran
Agar kami mampu berjalan
Pabila taman itu kami tinggalkan

Taman itu pernah menjadi saksi
Aku dan teman-teman
Belajar bukan bahasa ibunda
Agar kami petah berbicara
Kelak nanti di hari muka

Taman itu pernah menjadi saksi
Aku dan teman-teman
Diajar erti perjuangan dan keadilan
Agar kami menjadi insan
Yang berguna di masa depan

Kini kami menjadi saksi
Taman itu masih gah berdiri
Suku abad telah berbakti
Kemasyhurannya makin dirasai
Itulah dia taman ilmu dan budi

ADAKAH ENGKAU HEBAT?

ADAKAH ENGKAU HEBAT?
SALLEH ARIFF
25/06/2008
CYBERJAYA


Adakah engkau hebat?
Menjadi wakil suara rakyat
Berhujah tidak mengira tempat
Demi kemajuan Negara dan umat
Tanpa gentar dicaci dan diumpat

Adakah engkau hebat?
Digelar Yang Berhormat
Kononnya disegani masyarakat
Gah seperti Laksamana Hang Jebat
Pahlawan Melayu yang sentiasa diingat

Adakah engkau hebat?
Quran dan Sunnah mendapat tempat
Dalam kemajuan yang engkau buat
Tanpa kandungannya engkau lihat
Yang boleh dijadikan panduan ke akhirat

Adakah engkau hebat?
Memiliki mahligai besar dan bertingkat
Bagai istana kayangan dalam hikayat
Tapi rakyat hidup berjimat cermat
Agar kedhaifan tidak menghambat

Adakah engkau hebat?
‘Bijak’ menguruskan wang rakyat
Projek sia-sia engkau pergiat
Mendapat pujian umat sejagat
Tetapi rakyat engkau meluat

Adakah engkau hebat?
Pasti ada Yang Maha Hebat
Diamnya bukan memberi rahmat
Beri peluang engkau bertaubat
Sebelum masanya terlambat
Engkau diusung ke liang lahad

Tuesday, June 24, 2008

BENARKAH ENGKAU BERIMAN

BENARKAH ENGKAU BERIMAN?


Benarkah engkau beriman?
Jika Allah engkau ketepikan
Perintah Rasul engkau abaikan
Segala arahan engkau pertikaikan
Ajaran Allah dan RasulNya engkau selewengkan

Benarkah engkau beriman?
Kitab Allah engkau agungkan
Kalam dan bicara rasul engkau dustakan
Khalifah Rasul engkau anjingkan
Taghut pula engkau dewakan

Benarkah engkau beriman?
Alam ghaib engkau benarkan
Seperti di dalam rukun iman
Tidak cukup apa yang difirman
Pelbagai kepalsuan engkau rekakan

Benarkah engkau beriman?
Allah dan Rasul tiada keraguan
Para sahabat engkau hinakan
Kononnya mereka perancang kemungkaran
Hingga hilang kebenaran tuhan

Benarkah engkau beriman?
Segala perintah Allah engkau laksanakan
Begitu juga perintah Utusan
Tetapi demi menambah keyakinan
Amalan karut engkau amalkan

Iman itu sumber kekuatan
Ia juga sumber kedamaian
Sumber ketenangan dan kebahagian
Bagi setiap yang bernama insan
Tetapi ia tak kan boleh diwariskan

SALLEH ARIFF
CYBERJAYA
24/06/08

Friday, June 20, 2008

NASIHAT
OLEH; ALLEH ARIFF
20 June 2008
CYBERJAYA

Gila harta
Gila nama
Gila kuasa
Gila segala-galanya

Lupa dunia
Lupa agama
Lupa siksa
Yang bakal menjelma

Siapa tuhan
Siapa tuan
Siapa kawan
Semua akan dilawan

Yang penting berkuasa
Yang penting berharta
Yang penting berada
Tanpa memikirkan azab neraka

Di dunia engkau lepas
Kerana engkau pandai mengipas
Hingga yang lain hidup tertindas
Susah pula hendak bernafas

Azab neraka amat menggila
Ia tidak kira siapa
Cucu ulama atau ketua negara
Semua akan menderita tersiksa

Neraka Allah sudah tersedia
Telah dinyatakan dalam kitabNya
Jika masih hendak merasa
Teruskan sahaja amalan tercela

Golongan pertama para ketua
Begitu juga orang berhata
Tidak kira di zaman mana
Jika iblis dijadikan saudara
Neraka jahanam tempat duduknya


Pada hari ini para wartawan termasuklah penulis dan media (sama ada elektronik mahupun bercetak) merupakan elemen penting dalam penyampaian maklumat kepada semua golongan. Tanpa para wartawan, penulis dan media pasti maklumat sukar untuk diketahui. Tambahan lagi dengan teknologi canggih yang dunia miliki hari ini maklumat dapat disebarkan dengan cepat. Jasa para wartawan, penulis dan media sememangnya amat dihargai.

Dalam kegilaan menyampaikan berita panas dan terkini, etika para wartawan, penulis dan media sudah mula tercabut dari sanubari. Kesahihan maklumat sudah tidak dipentingkan lagi. Hanya keuntungan yang dicari. Mungkin mereka merasakan keuntungan di dunia ini dapat membantu mereka diakhirat nanti.

Sememangnya semua pihak akur bahawa ‘power’ yang dimiliki oleh wartawan, penulis dan media amat besar. Ia mampu mempengaruhi banyak pihak. Jika dilihat pada sejarah Negara kita sendiri, para wartawan dan penulis lah antara yang memainkan peranan penting dalam kemerdekaan. Media bercetak pada ketika itu yang menjadi medium penyampai berita wartawan dan penulis amat ampuh sekali. Ia telah membangkitkan semangat nasionalisme dan membuahkan hasil dengan nikmat kemerdekaan Malaysia.

Kehebatan pena para wartawan dan penulis sememangnya amat ditakuti. Ia mampu menaikkan nama seseorang dan menjatuhkan seseorang sehingga ke liang lahad. Kerana itulah orang bijak pandai ada mengatakan bahawa perjuangan menggunakan pena lebih ampuh daripada perjuangan menggunakan senjata seperti senapang, meriam dan lain-lain. Jika luka terkena peluru senapang pasti dapat diubati dengan segara tetapi luka terkena serangan pena pasti sukar untuk dirawat.

Lihatlah bagaimana Anwar Ibrahim jatuh hanya kerana buku yang ditulis oleh Khalid Jafri, 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM (Mei 1998). Walaupun tuduhan tidak dibuktikan lagi tetapi Anwar mampu dijatuhkan dari maklumat yang ada di dalam buku itu.

Banyak pihak telah menegur sikap sebahgian para wartawan, penulis dan media yang menyampaikan maklumat tidak tepat, berunsur fitnah dan macam-macam kecurangan lagi. Antaranya, Samahatul Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Asri Zainul Abidin. Beliau telah menghantar surat kepada TV 3 agar tidak menyiarkan maklumat yang tidak tepat dan berunsur fitnah. Tetapi teguran ulama dan pihak-pihak lain seolah-olah tidak diendahkan.

Baru-baru ini, MB Kedah menfikan fitnah yang dilemparkan oleh TV 3 mengenai perlantikan Pengarah Eksekutif Kumpulan Kulim Hi-Tech oleh kerajaan Negeri. Beliau menfikan apa yang dinyatakan di dalam berita Buletin Utama jam lapan malam. (sila lihat http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=015253&Itemid=95). Mengapakah ini berlaku?

Malam tadi pula, rakyat Malaysia dihidangkan lagi dengan maklumat berat sebelah TV3 yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Kedah akan membalak di kawasan tadahan hujan negeri dan ia amat tidak mengikut ajaran Islam. Kerajaan Kedah yang bertunjangkan politik Islam sudah menyeleweng dari dasar. Tetapi dalam masa yang sama hutan-hutan di Cameron Highland ditarah untuk memperluaskan kebun-kebun sayur yang telah mendapat permit. Persoalannya, mengapa kerajaan Pahang yang berpayungkan konsep Islam Hadhari merelakan perbuatan keji itu? Itu tidak kira lagi berita-berita kerosakan dan kezaliman keatas alam sekitar di negeri-negeri di bawah lembayung islam hadhari yang selalu dilaporkan oleh Karam Singh Walia. Mengapa harus pilih kasih dan berat sebelah?

Jika Karam Singh yang bukan beragama Islam mampu berlaku adil, mengapa wartawan dan penulis Islam tidak mahu mengikut jejak langkah beliau? Apakah kerana takutkan kuasa politik ataupun individu tertentu. Ingatlah, sebagai hamba Allah dan khalifah nabi Muhammad s.a.w kita hanya perlu takut kepada Yang Maha Pencipta, Allah.

Habuan di dunia hanya sementara. Dunia ini hanya sekadar ladang untuk bercucuk tanam bagi menjadi bekal di akhirat. Selagi muda inilah tegakkan keadilan dan kebanaran. Jangan nanti sudah nazak baru mahu bertaubat. Takut nanti tidak sempat.

Wednesday, June 18, 2008

HARI INI DALAM SEJARAH; 18 jUN

HARI INI DALAM SEJARAH; 18 jUN
Pada hari ini dalam tahun 1815 perang Waterloo telah tercetus. Ia merupakan perang terakhir di antara Nepoleon Bonaparte menentang Negara-negara Eropah yang lain. Ia tercetus di sebuah desa bernama Waterloo di Belgium. Ketika perang itu hujan turun dengan lebat dan menyebabkan askar bantuan tentera Prancis tidak dapat sampai. Akibatnya Nepoleon dan pasukannya telah kalah. Setelah perang Nepoleon telah di asingkan di Pulau St. Helen dan meninggal di sana.

Pada 18 jun juga dalam tahun 1937, Gail Godwin, seorang novelis Amerika terkenal telah dilahirkan di Alabama.beliau menuntut di University of North Carolina dalam jurusan journalis. Pada tahun 1966, beliau meneruskan pengajian di Universiti Iowa bagi mendapatkan gelaran doktor falsafah di dalam bidang sastera Inggeris. Thesis yang diajukan oleh Gail Godwin adalah sebuah novel berjudul The Perfectionist yang diterbitkan pada tahun 1970. Setelah itu, Godwin menjadi profesor di Universitas Illionis dan terus menulis novel hingga akhir hayatnya. Novelnya yang paling terkenal berjudul A Mother and Two Daughters yang diterbitkan pada tahun 1981.


Pada hari ini juga dalam tahun 1997, Necmettin Erbakan, perdana menteri turki yang beraliran Islam telah dipaksa mengundur diri oleh kekuatan tentera negara tersebut. Part Kemakmuran di bawah pimpinan Erbakan dalam pilihanraya yang dipercepatkan dalam bulan Disember 1994, berjaya menangani suara mejoriti dan membentuk kabinat aliansi. Kecenderungan Ebrakan kepada gerakan Islam melalui usahanya memperluaskan hubungan dengan negara Islam, serta penolakan hubungan dengan Israel menimbulkan tentangan dari tenteranya. Majlis Keamanan Nasional Turki yang dikuasai oleh tentera pada bulan Februari1997 mengeluarkan surat perintah kepada Ebrakan untuk menumpaskan gerakan islamisasi di negara itu. Surat itu membuatkan Ebrakan terpaksa berundur diri dan kemudiannya beliau dijatuhkan hukuman larangan aktif di dalam kegiatan politik selama lima tahun dan parti pimpinannya dibubarkan.

Tuesday, June 17, 2008

Membesar di dalam Negara yang mempunyai pelbagai organisasi yang teratur, saya tidak pernah terfikir akan terlibat dalam menangani masalah berkhalwat di antara lelaki dan perempuan di dalam rumah. Apabila memperbicarakan mengenai tangkap khalwat pasti yang terbayang di dalam kepala saya, jika ingin terlibat di dalam menangani masalah khalwat kena ‘join’ Jabatan Agama. Malam-malam pergi mengendap macam yang pernah ditegur oleh Samahatul Mufti Kerajaan Perlis ataupun tunggu laporan dari orang macam dalam cerita Perempuan, Isteri dan… Kalau tidak pun kena duduk di kawasan kampung. Pasal orang kampung pantang dengar kes-kes khalwat ni. Anak-anak muda, Tok Ketua dan lain-lain akan pergi menyergah. Silap-silap kena balun teruk separuh mati sesiapa yang terlibat. Tetapi malam kelmarin telah mengubah semua persepsi saya.
Jumaat malam sabtu yang lepas, saya seperti anak-anak muda lain. Dalam pukul sepuluh malam lepak makan-makan di Kampung Baru. Pekena nasi lemak dan Nescafe o ais di kedai Nasi Lemak Antarabangsa. Kami lepak-lepak berempat. Saudara Radzi, Amaludin (Todd) dan Azhar (Joker) turut serta. Kami duduk bersembang hingga pukul satu. Selepas itu kami berpindah lepak di ‘Down Town Cheras’. Saja jalan-jalan sambil melihat keadaan tumpuan orang ramai selepas tragedy minyak naik harga. ‘Down Town Cheras’ tidak ramai orang. Bukan kerana minyak harga tetapi demam Euro 2008. orang lebih tertumpu depan televisyen daripada mengunjung penjaja-penjaja malam.
Lebih kurang 3.30 pagi saya pulang ke rumah. Terasa amat letih sekali. Mungkin aktiviti malam tadi membawa kesan. Saya merehatkan diri di hadapan televisyen sementara menanti mata terlena. Setengah jam selepas itu, telefon bimbit saya berbunyi. Telefon diangkat. Teman saya yang menghubungi saya hanya menangis. Apa masalahnya. Saya jadi kelam kelibut. Risau. Macam-macam terfikir. Apa musibah yang telah menimpa teman saya.
Setelah teman saya dapat menenangkan diri. Dia menyatakan bahawa, ada musibah yang telah menimpanya. Kakaknya membawa teman lelaki pulang ke rumah. Kakanya masih belum berkahwin setahu saya. Darah muda saya mula menggelegak. Saya menyuruh teman saya menunggu di rumah kakaknya dan saya bersama saudara Amaludin bergegas ke sana.
Kereta MyVi saudara Amaluddin saya pandu. Pedal minyak saya tekan lebih. Biar cepat membelah kegelapan hening pagi buta. Dalam dua puluh minit kami tiba. Teman saya masih terpaku. Tidak banyak berbicara. Dia masih terkejut. Dia tidak pernah menyangka perkara seumpama ini berlaku dalam keluarganya. Hanya disangka perkara seperti itu mainan dalam drama swasta atau akasia. Simpati dan kasihan.
Setelah berbicara dan menenangkan teman saya, saya dan saudara Amaluddin mengajak dia ke rumah akaknya. Kami masuk dan duduk di sofa. Masih bersembang menanyakan situasi apa yang dilihat. Dalam sepuluh minit saya mengarahkan dia untuk mengetuk kamar kakaknya. Ingin memastikan sama ada lelaki yang dikatakan di bawa kakaknya pulang masih ada. Pada mulanya, dia agak keberatan. Setelah diarahkan beberapa kali, akhirnya dia setuju.
Pintu kamar kakaknya diketuk. Saya dan saudara Amaluddin hanya menunggu di ruang tamu. Beberapa butir perbualan kami dengar dari luar. Tidak lama selepas itu, lelaki yang dikatakan teman kakaknya keluar. Kami memperkenalkan diri. Memberi salam dan bersalaman. Masih menjaga adab-adab Islam.
Sebenarnya selepas melihat lelaki itu darah saya naik mendadak. Macam nak pukul orang. Tapi saya terfikir, kalau digunakan cara kasar takut jiran-jiran kecoh. Permintaan kawan saya jangan buat kecoh. Jadi cara lembut mesti diguna. Gelegak darah mesti dikawal. Jangan sampai membuat kecoh.
Bebrapa soalan saya ajukan. Lelaki itu sememangnya mengaku bersalah. Saya mengarahkan dia untuk keluar dari rumah itu. Padanya dia seolah-olah enggan untuk berundur. Setelah saya meninggikan sedikit suara dia bersetuju.
Setelah selesai menyelesaikan masalah itu, saya dan saudara Amaluddin pulang ke rumah kami di Sri Kembangan. Waktu itu sudah kedengaran suara Azan. Kami berhenti di RnR, sebelum Tol Puchong untuk solat Subuh. Selepas solat kami meneruskan perjalanan pulang ke rumah untuk berehat setelah hampir satu hari satu malam tidak tidur.
Kepenatan yang terasa satu badan masih memberi ruang kepada saya untuk berfikir ketika ingin melenakan mata. Mengapa perkara seperti itu berlaku. Seorang perempuan Melayu (Melayu mesti Islam) yang tinggal berjauhan dengan keluarga sanggup berbuat perkara tidak senonoh? Lelaki Melayu sanggup menuruti nafsu dengan membelakangi tata tertib agama?
Mungkin ramai mengatakan ini perkara biasa. Sudah tidak pelik dan hairan. Ia sudah menjadi ‘trend’. Budak sekolah rendah pun ada yang sudah pandai. Tetapi fikirkanlah, betapa rosaknya masyarakat kita. Siapa yang harus menegur mereka? Ibu bapa? Mereka jauh di kampung. Jabatan Agama? Malam-malam mereka tak kerja. Lagi-lagi hari cuti. Kalau buat kerja pun sekali-sekala.
Saya yang tidak pernah terfikir akan terlibat terpaksa melibatkan diri. bukan terpaksa sememangnya kewajipan. Jadi, nampaknya semua orang harus bergerak. Bangun untuk membenteras. Pemimpin keluarkan arahan dan mengatur perjalanan masyarakat agar tidak rosak. Ibu bapa terus menjaga anak-anak. Yang duduk serumah ditegur. Yang jauh dinasihat. Guru-guru terus mendidik. Dan kia, jagalah diri daripada hasutan syaitan dan Iblis.

HARI INI DALAM SEJARAH; 17 JUN

HARI INI DALAM SEJARAH;17 JUN

Pada hari ini dalam tahun 1576, Belanda telah mendapat kemerdekaan dari Spanyol. Rupa-rupanya Belanda yang pernah menjajah tanah air kita turut pernah merasai dijajah. Tetapi mengapakah mereka tidak sedar betapa peritnya apabila Negara dijajah.

--------------------------------------------------------------------------------------

Pada hari ini juga, dalam tahun 1925, satu perjanjian yang melarang penggunaan senjata kuman dan kimia telah ditandatangani di Geneva. Berdasarkan perjanjian itu, senjata-senjata kimia, gas dan kuman secara rasminya dilarang. Pada permulaannya, hanya 25 negara menandatangani kesepakatan ini. Namun jumlahnya semakin meningkat beberapa tahun kemudian. Perjanjian ini dibuat bagi mencegah berulangnya tragedy kemanusiaan akibat penggunaan senjata-senjata pembunuh seumpama ini oleh tentera Jermen dalam perang dunia pertama.

Walaupun perjanjian ini telah dibuat, namun masih terdapat beberapa Negara masih tidak mengendahkannya. Contohnya AS yang menggunakan senjata kimia di dalam perang Vietnam dan Rejim Baath, Iraq dalam pencerobohan terhadap Iran.

Monday, June 16, 2008

HARI INI DALAM SEJARAH; 16 JUN

HARI INI DALAM SEJARAH

16 JUN


16 Jun 1733, seorang ahli kimia dan ahli fizik Inggeris terkenal bernama Joseph Peristli telah dilahirkan di kota Fild Hold. Eranya disebut sebagai era keemasan ilmu kimia. Peristli telah menemui oksigen dan nitrogen serta proses pernafasan bagi tumbuh-tumbuhan. Beliau telah mati pada tahun 1804

Pada 16 Jun, 48 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1963, angkasawan Russia, Velentina Tereskhofa telah menjadi wanita pertama yang melakukan perjalanan ke ruang angkasa dengan menggunakan pesawat ulang alik Vestok VI. Velentina Tereskhofa berada di ruang angkasa selama 70 jam 50 minit dan telah mengelilingi bumi sebanyak 48 kali.
AYAHANDA…

Sukar rasanya hendak terlena,
Mendengar ribut kuat menggoncang,
Hati ayahanda gundah gulana,
Kenagkan laut berombak kencang.

Guruh di langit sahut menyahut,
Terasa jantung bagai disentap,
Jika ayahanda tidak ke laut,
Pasti dapur tidak kan berasap

Tanpa kusedar tidur ku mati,
Mimpi berada di tengah syurga,
Ayahanda tetap cekalkan hati,
Laut bergelora dibelah jua

Lenaku jaga hatiku sebak,
Lidah tidak mampu berbicara,
Kapal ayahanda dipukul ombak,
Akhirnya tewas tengah samudera

Hujan renyai tidak dihiraukan,
Kepala ayahanda terus ku pangku,
Tangisan ibu amat memilukan,
Melihat ayahanda terbujur kaku

Di pusara ayahanda berdiri kami,
Tika hujan semakin redup,
Jasad ayahanda selamat dikebumi,
Tinggal kami teruskan hidup

Air mata bonda masih berlinang,
Bila teringat dirinya balu,
Jasa ayahanda tetap kami kenang
Walau sedekad telah berlalu
-alleh ariff-

ayah.. engkau di hatiku

Sebagai menghargai jasa-jasa para bapa sedunia satu hari di dalam bulan Jun telah dipilih untuk dijadikan sebagai hari bapa sedunia. Ia diraikan seantero alam bagi menghargai jasa-jasa insane yang bergelar bapa.

Sewaktu saya masih kecil ketika arwah bapa saya masih hidup, 15 Jun merupakan hari yang paling nantikan. Pada hari itu saya ingin mengucapkan selamat hari bapa. Jasa-jasa beliau dalam membesarkan saya hanya mampu saya balas dengan kata-kata ucapan.

Walaupun hanya 16 tahun hidup bersama bapa, saya merasakan cukup bertuah dibandingkan insan lain yang mungkin tidak kenal siapa bapa mereka. Hanya pernah melihat foto dan namanya sahaja. Bapa saya merupakan lelaki yang saya anggap paling hebat dan beliaulah hero saya. Lebih hebat dari Batman, Superman mahupun Hulk.

Bagi sentiasa mengingati jasa bapa, saya sentiasa akan menyebut nama beliau bersama nama saya. Jika saya menyebut nama penuh saya, saya akan nyatakan nama saya ialah Mohd Salleh bin Ariff. Jika hanya menyebut nama singkat namanya turut tidak saya tinggalkan. Salleh Ariff. Selain itu saya akan menggunakan nama timangan Alleh Ariff ataupun Aliff (gabungan Alleh Ariff).

Pada saya nama Mohd Salleh tidak akan wujud jika Encik Ariff tidak ada. Nama Ariff muncul sebelum nama Mohd Salleh. Jadi kehebatan nama saya tidak akan gah jika tidak digabungkan dengan nama Ariff. Bukan saya letakkan nama Ariff di belakang nama saya kerana ingin menisbahkan saya sebagai seorang yang arif tetapi hanya ingin menyatakan sayalah salah seorang anak Encik Ariff daripada tujuh orang anaknya.

Orang Cina akan meletakkan nama keturunan mereka di hadapan nama mereka. Sekiranya nama mereka adalah Chua Soi Lek, maka Chua merupakan nama keluarga mereka. Mereka amat bangga untuk menyatakan nama keluarga mereka.

Sebagai orang Malaysia yang berbangsa Melayu, saya tidak boleh mengikut cara orang Cina meletakkan nama keturunan saya pada pangkal nama saya. Ia cuba melawan adat. Jadi saya perlu mengekalkan nama bapa saya melalui menyebutnya dengan menyatakan bin atau tanpa bin. Saya yakin cara ini masih lagi di dalam cara Melayu dan tidak mengetepikan adapt Melayu.

Walaupun tekadang ada orang yang menganggap Ariff sebagai nama saya, itu tidak mengapa. Mereka memanggil saya, dengan nama Ariff kerana terkeliru, turut saya tidak berkecil hati. Bagi saya ia bukan sifat kurang ajar mempermainkan nama bapa saya seperti yang dianggap ramai. Ia merupakan satu kebanggaan. Walaupun Encik Ariff sudah meninggalkan dunia ini hampir sepuluh tahun tetapi namanya akan terus hidup.

Mengapa saya tidak kisah dengan semua itu? Ini kerana sebahagian diri Encik Ariff ada dalam diri saya. Sedikit sebanyak saya mewarisi sifatnya. Ilmu-ilmu yang diturunkan apatah lagi. Walaupun tiada harta yang banyak diwariskan tetapi jasa-jasa beliau dalam memberi nyawa kepada saya tidak mungkin akan menghapuskan dirinya dalam diri saya.

Hari ini bapa saya sudah tidak berada dalam alam yang sama dengan saya. Saya tidak boleh mengucapkan terima kasih atau memberi hadiah kepada beliau sempena hari bapa pada 15 jun ini. Tetapi, saya tahu masih ada cara lagi bagi saya menghargai jasa beliau. Islam agama yang penuh rahmat ada mengajar. Saya boleh membantunya di alam barzakh dengan mendoakan beliau. Berbuat baik dan menjadi anak yang soleh. Semua itu akan memberi sumbangan kepada beliau.

Semoga semua insan yang bergelar bapa tidak kira yang masih muda atau yang telah tua akan sentiasa berada di dalam bahagia. Kebahagiaan yang tidak ternilai bagi mereka adalah melihat anak-anak berjaya dan hidup aman sentosa.

UMNO... UMNO

Saya mengenali UMNO sejak saya masih kecil lagi. Dilahirkan dan dibesarkan di negeri Johor menjadikan UMNO tidak asing bagi diri saya. Sejak masih di sekolah menengah lagi saya sudah amat berminat untuk mengenali UMNO dengan lebih dekat.

Cerita-cerita mengenai para pejuang UMNO sejak sebelum merdeka sehingga hari ini amat saya minati untuk diketahui. Cerita Dato’ Onn Jaafar, Tun Razak dan lain-lain tokoh lain sentiasa tersemat di dalam minda. Kejaguhan mereka di pentas politik dan membela rakyat amat saya kagumi. Mereka semua memang hebat.

Selain daripada cerita mengenai tokoh-tokoh UMNO perjalanan politik UMNO turut saya ikuti. Mungkin ini kesan dari kehidupan keluarga saya sewaktu saya kecil. Bapa saya amat berminat mengikuti cerita politik. Berita wajib ditonton tanbahan lagi jika memaparkan berita-berita politik. Rancangan khas perhimpunan UMNO ataupun bual bicara bersama tokoh-tokoh UMNO tidak boleh dilepaskan untuk ditonton.

Itulah yang memberi kesan apabila berada di mana-mana. Tidak boleh Nampak tokoh-tokoh UMNO yang saya kagum. Pasti saya ingin bersalaman dengan mereka. Cerita dapat bersalaman dan bertanya khabar dengan mereka akan saya ceritakan kepada teman-teman tidak habis-habis.

Tokoh UMNO yang paling saya bangga dapat bersalaman dengannya pertama kali ialah mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir. Waktu itu saya berada di tingkatan dua. Bersekolah di Tampok, Pontian. Tun Mahathir datang pada hari Jumaat. Kami solat Jumaat bersama. Bangga. Amat bangga.

Itulah semua yang menjadikan saya begitu saying sangat dengan UMNO. Tolong jangan hina atau kutuk UMNO dihadapan saya. Pasti saya akan membela dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana pada saya UMNO merupakan parti Melayu yang amat suci. Membela orang Melayu. Membela Islam. Membela untung nasib bangsa dan Negara. Inilah parti yang berjasa besar memberikan Malaysia terlepas dari jerutan Malayan Union dan dapat bebas dari British.

Sehingga saya telah berkerja hari ini, saya masih tetap mengatakan UMNO adalah parti suci. Apabila saya mendapat berita Tun Mahathir saya amat kecewa sekali. Mengapa tokoh hebat itu meninggalkan parti suci, UMNO. Dahulu, Anwar Ibrahim yang saya mengharapkan dapat menjulang UMNO terpaksa dikeluarkan dari UMNO. Kali ini Tun Mahathir pula meninggalkan parti suci.

Semua orang disekeliling saya menyatakan UMNo sudah tidak suci lagi. Bila saya melayari internet banayak ruang yang mencaci UMNO. Membaca Harakah tertera UMNO sudah tidak releven untuk membela orang Melayu. Sedih. Saya amat sedih. Tetapi siapalah saya untuk mengadu kesedihan saya ini. Lainlah jika Tun Mahathir yang meluahkan. Beliau bekas ‘first man’.

Mengapa UMNO terus dihina dan dicaci? Adakah semua orang telah lupa peranan UMNO? Tidak ingatkah apa matlamat UMNO diasaskan? Adakah perjuangan UMNO telah tamat dan boleh dikuburkan? Cerita mengeninya nanti hanya akan dapat diketahui di dalam buku sejarah.

UMNO tetap sebuah parti suci. Ia ibarat kain putih. Mempunyai matlamat yang hebat. Selagi lambing keris Melayu masih gah UMNO akan terus gah. Tetapi semakin ramai mengatakan UMNO sudah tidak releven. Budak kecil seusia tujuh tahunpun sudah mencaci UMNO. Sedih. Pilu.

Mengapa jadi begini? Ramai orang kata puncanya adalah Presiden UMNO. Kalau presiden UMNO pastilah Perdana Menteri Malaysia. Mengapa dia buat begini pada UMNO. Dia kan cucu ulama. Datuknya pak ustaz. Pasti ilmu agamanya tinggi. Tambahan pula dengar cerita dia mengaji dalam kuliyyah pengajian Islam dahulu di UM. Macam saya juga. Cuma saya di UIAM.

Kawan-kawan saya kata Pak Ustaz pun hari ini sudah tidak boleh diharap. Bila dapat kuasa semua ilmu di dada tercabut sama. Benar ke? Mengapa Umar bin Khattab tidak begitu?

Jika UMNO menjadi busuk hari ini kerana ramai tokoh-tokoh jelek duduk mengetuai UMNO, saya berdoa kepada Allah agar mereka digerakkan hati oleh Maha Kuasa untuk berundur. Semoga parti suci ini akan terus kekal. Biarlah mereka yang bijak dan ikhlas memperjuangkan parti ini. Saya mengharapkan tokoh-tokoh UMNO seperti Dato’ Onn Jaafar, Tun Razak dan Tun Mahathir akan bertambah ramai di dalam UMNO.

Walaupun kita tahu, Dato’ Onn keluar daripada UMNO selepas berlaku perselisihan faham pasti beliau akan menjerit dan menangis meratapi apa yang terjadi pada UMNO hari ini. Pasti beliau tidak sanggup melihat keadaan UMNO hari ini. Begitu juga dengan Tun Razak dan Datuk Harun.

Saya merasakan UMNO masih tidak terlambat untuk diselamatkan. UMNO kini di dalam ICU. Belum menghembuskan nafas terakhir. Kita perlu untuk berusaha menyelamatkannya. Lakukanlah pengorbanan yang paling besar demi menyelamatkannya. Bagi bantuan pernafasan. Suntiklah ubat-ubat yang paling mahal dan terbaik. Lakukanlah pembedahan menggunakan teknologi terhebat yang dilakukan oleh pakar-pakar agung. Jangan pedulikan nilai yang perlu dibayar. Yang penting dapat diselamatkan. Siapa yang sanggup berkorban untuk menyelamatkan UMNO pasti akan dikenang sampai bila-bila.

Semoga Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang akan menggerakkan hati-hati kita untuk sama-sama menyelamatkan UMNO. Jika kita dipihak yang perlu memberi sokongan kita sokonglah. Jika kita di kumpulan yang perlu tinggalkan kerusi emas UMNO untuk menyelamatkan UMNO tinggalkanlah. Jika kita tukang kritik UMNO untuk terus UMNO berdiri gah, kritiklah. Lakukanlah fiungsi masing-masing.

Wednesday, June 11, 2008

LELAKI PENANG BATALKAN PERNIKAHAN BEBERAPA JAM SEBELUM MAJLIS

Enam hari bulan June, 2008 bersamaan hari Jumaat saya menghubungi teman baik saya untuk bertanyakan mengenai perjalanan cuti kami di Bukit Merah lake Town Resort. Panggilan saya di jawab. Tetapi kedengaran suara teman saya dalam keadaan sibuk. Memang benar dia dalam keadaan sibuk pada tika itu. Maklumlah kerja di Public Bank. Tambahan pula di cawangan Bandar Johor Bahru. Dia meminta maaf kepada saya kerana panggilan yang saya buat tidak dapat dilayan dengan lama dan hanya kata-kata terakhir sebelum dia meletakkan gagang telefon bahawa dia ada perkara penting ingin dikhabarkan selepas tamat waktu bekerja. Panggilan itu tamat dengan menimbulkan persoalan kepada saya. Apakah perkara penting yang ingin diceritakan itu?

Malam itu teman saya tidak menghubungi saya atau menghantar pesanan ringkas. Mungkin ada urusan yang menyibukkan dia. Saya hanya mendiamkan diri. pagi itu dia menghubungi saya dan memberitahu dia dalam perjalanan ke rumah saya di Sri Kembangan. Saya hanya mengucapkan agar dia memandu berhati-hati. Semoga selamat sampai.

Lebih kurang dalam jam tiga, teman saya tiba di rumah. Saya membuka pintu menyambut ketibaannya. Pada waktu itu perut saya terasa kenyang kerana baru pulang dari menghadiri makan tengah hari di rumah rakan sekerja, Hawari yang baru berpindah rumah baru di taman perumahan saya. Taman Lestari Putra.

Teman baik saya mengajak untuk duduk di tembok halam rumah saya. Tidak mahu masuk ke dalam rumah dahulu. Ingin mengambil angina. Dia member alasan. Saya hanya menuruti. Kami berbual bertanya khabar. tanya khabar negeri kelahiran saya. ‘My home town’ orang putih kata.

Teman saya membuka cerita mengenai bekas teman wanitanya yang sebelum ini dikhabarkan kepada saya akan bernikah dengan lelaki dari Penang malam Jumaat enam haribulan June 2008. Malam tadi la kiranya. Bencana besar telah berlaku kepada wanita itu. Kasihan. Walaupun sebelum ini pelbagai kesedihan pernah teman baik saya menceritakan kepada saya mengenai perbuatan wanita itu kepadanya, kami tetap mengatakan kasihan dia.

Apa tidaknya, pernikahan mereka dibatalkan. Siapa tidak terkejut pernikahan yang akan berlangsung beberapa jam lagi dibatalkan. Bukan kerana harga minyak naik. Bukan juga kerana harga barang untuk kenduri naik mendadak. Tetapi bakal pengantin lelaki yang sungguh tidak bertanggungjawab telah melesapkan diri. Hilang tanpa berita. Bukan kerana mati atau cedera parah atau disembunyikan oleh orang bunian tetapi tidak mahu bertanggungjawab untuk bernikah. Macam cerita Asmawi pemain bola sepak. Tetapi Asmawi ada juga hantar pesanan ringkas. Ini lagi dahsyat. Tidak ada perngkhabaran langsung. Itukah cara manusia? Saya memberi komen.

Mengapa ada lelaki yang sanggup berbuat begini? Sanggup melarikan diri untuk bernikah dalam masa beberapa jam. Tidakkah ini perbuatan tidak bermoral? Jika peristiwa ini berlaku kepada saudara perempuan kita, apakah rasanya perasaan kita sebagai abang? Kasihan! Amat kasihan!
Apa yang lebih malang lagi, bapa bekas teman wanita teman saya menghidap sakit jantung. Kasihan sungguh orang tua itu. Syukur kepada Allah kerana dia masih mampu lagi bersabar dan Allah memberi kesihatan. Tidak terkejut sehingga membawa maut.

Mengenai lelaki Penang itu, jika dilihat di laman Frienster nyatidak malu langsung menayangkan kad jemputan kahwinnya kepada umum. Mungkin bangga. Bangga? Jika dia mengikut tata tertib Melayu tidak melarikan diri sebelum beberapa jam untuk bernikah mungkin boleh bangga. Tetapi, perkataan yang keluar dari mulut saya adalah celaka. Mungkin agak kasar. Tetapi itulah luahan kemarahan saya.

Cerita mengenai perbuatan lelaki Penang itu menjadi perbualan saya dan teman baik saya sepanjang perjalanan kami ke Bukit Merah lake Town Resort. Bercerita dan bercerita. Simpati, kasihan dan macam-macam lagi perkataan yang seumpama kami luahkan. Teman baik saya ingin menghantar mesej pesanan ringkas kepada bekas teman wanitanya ingin bertanya khabar. Saya menegah. Biarlah bekas teman wanitanya menghantar mesej pesanan ringkas dahulu apabila nanti dia sudah bertenang dari kedukaan dan kesedihan.

Malam itu teman baik saya menerima mesej pesanan ringkas dari bekas teman wanitanya. Menyatakan kesedihan dan kehampaan. Dia hanya redha dengan ketentuan Allah. Tetapi mesej pesanan ringkas yang mengejutkan saya adalah lelaki Penang itu ingin meminta semula wang belanja kahwin yang telah diberikan. Bodoh! Bahlul! Itulah kata-kata yang terpacul dari mulut kami.

Memang lelaki Penang itu tidak tahu agama. Kalau dia tahu agama tak kan dia buat begitu. Sudahlah mengecewakan ramai pihak dengan menghilangkan diri ketika beberapa jam ingin bernikah. Kemudian tidak ada maruah meminta balik wang belanja yang telah diberikan. Hinanya. Lebih hina dari perbuatan seorang pelacur.

Islam sendiri mengajar wang belanja akan hangus sekiranya pihak lelaki membatalkan ikatan pertunanagan atau perkahwinan. Lainlah jika pihak perempuan yang buat hal. Bolehlah tebalkan muka nak minta balik duit belanja itu. Mengapalah ada lagi lelaki seperti ini di Malaysia. Di muka bumi ini. Jahil. Sungguh jahil.

Mungkin ada pihak akan berkata, tidak boleh meletakkan kesalahan dan makian serta cemuhan pada pihak lelaki Penang itu sahaja. Saya memburuk-burukkan pihak lelaki Penang kerana saya di pihak perempuan. Tetapi, satu sahaja persoalan yang ingin saya lontarkan. Apakah punca dia membatalkan pernikahan di saat-saat akhir? Apakah perbuatan keji pihak perempuan telah lakukan? Jika ada jawapan yang boleh diterima akal mungkin boleh kita pertimbangkan.

Malu emak bapak. Mana mahu letak air muka. Sudah tiada air muka lagi. Terasa muka seperti ditutup dengan kulit babi. Kulit babi yang banyak di Malaysia ini. Pasti jiran-jiran akan berkata. Kawan-kawan. Teman-teman dan sesiapa sahaja.

Siapa yang harus dipersalahkan pula atas perbuatan lelaki Penang ini? Ibu bapanya? Guru-gurunya? Jiran-jirannya? Atau ketua kampungnya? Kesian mereka semua perlu dipersalahkan. Bila ada masalah mereka akan di tuding jari. Tetapi, siapa pula puncanya. Semua orang disekelilingnya perlu dipersalahkan. Terutam sakali dirinya sendiri yang bodoh tidak menggunakan akal. Jika asuhan yang baik diberi pasti tidak jadi begini.

Hanya kata-kata yang dapat saya ungkapkan, semoga Allah melindungi saudara-saudara saya, teman-teman, rakyat Malaysia semua dari perbuatan keji seperti ini. Janganlah ada orang yang kecewa dari perangai yang lebih teruk dari haiwan. Apa yang saya ceritakan bukan rekaan untuk menyedapkan penceritaan. Tetapi ini adalah kenyataan yang terjadi di Kempas, Johor. Lelaki dari Penang membatalkan pernikahan dengan gadis dari Kempas bebrapa jam sebelum majlis akad nikah tanpa apa-apa berita.

UIAM; MENGAPA PERLU TUKAR TAN SRI SANUSI JUNID

Berita Tan Sri Sanusi Junid digantikan oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai presiden Universiti islam Antarabangsa Malaysia agak mengejutkan saya. Mungkin ramai yang akan berkata, buat apa nak terkejut lagi, sedah jelas Tan Sri Sanusi Junid secara rasmi telah keluar UMNO maka beliau harus terimalah habuan di atas keputusan dirinya sendiri mengikut jejak langkah mantan boss nya. Tidak lagi menjadi Presiden UIAM lagi.

Sebagai bekas mahasiswa UIAM yang tercinta, saya amat terkilan dengan apa yang terjadi. Sememangnya Tan Sri Sanusi Junid boleh ditukar. Bak kata arwah bapa saya, seseorang ketua tidak akan selama-lamanya di atas. Jika tidak turun kerana keranda sudah tiba pasti akan turun jua kerana sudah tidak sesuai lagi. Jadi Tan Sri, turun kerana dia sudah tidak sesuai lagi.

Adakah Tan Sri Sanusi Junid diberhentikan secara sah sebagai Presiden UMNO kerana beliau bukan lagi ahli UMNO? Jikalau ‘ya’ jawapannya, mengapa Tan Sri Mohd Sidek menjadi penggantinya? Mengapa tidak Musa Hitam atau Muhammad Rahmat menjadi penggantinya? Mungkin Muhammad rahmat sudah tua dan tidak layak. Biarlah dia menghabiskan hari-hari berbakinya dengan ketenangan bersama keluarga. Bagaimana pula dengan Musa Hitam? Dia masih lantang berkata-kata. Masih mampu untuk menghentam bekas bossnya, Tun Dr Mahathir.mampu lagi memberi komentar mengenai masalah Negara. Yalah, ini semua kerana pengalamannya sebagai mantan Timbalan perdana Menteri.

Tan Sri Sidek Hassan kan boss besar dalam perkhidmatan awam. Beliau harus memberi focus kepada masalah perkhidmatan awam. Cuepecs banyak lagi nak buat tuntutan yang perlu dilayan. Belum lagi ekrenah pentadbiran dalam kerajaan yang ada terlibat dengan masalah disiplin, rasuah dan macam-macam lagi. Jika, beliau memberi sebahagian masanya sebagai Presiden UIAM, pasti tumpuan beliau akan terganggu di dalam menjalankan tugas sebagai bos besar perkhidmatan awam. Tak kan beliau hanya menjadi orang yang duduk di kerusi presiden UIAM tetapi kerja-kerjanya orang lain yang akan melaksanakannya.

Saya dan rakan-rakan seangkatan sewaktu di UIAM boleh dikatakan anak didik UIAM di bawah naungan Tan Sri Sanusi Junid seratus peratus. Tidak merasa duduk di bawah naungan Anwar Ibrahim atau sesiapa. Jadi, apabila bekas presiden universiti yang pernah saya tinggal, belajar, makan dan macam-macam lagi diturunkan walaupun secara sah pasti akan saya persoalkan. Mengapa beliau perlu diganti? Jika sememangnya perlu diganti mengapa tidak kami dinyatakan sebab. Tidak masuk akal hanya kerana beliau keluar daripada UMNO. Ini kerana UIAM bukan UMNO punya. PAS pun bukan. DAP pun sama. Tidak ada kaitan melainkan sebuah institusi pengajian tinggi non partisan yang melahirkan tokoh-tokoh pembela Negara.

Jika saya masih di alam kuliyyah peristiwa ini terjadi, pasti saya tidak akan berkata apa-apa. Bukan ada memberi kesan apa-apa dalam pembelajaran saya apabila ditukar presiden UIAM. Sama sahaja. Setiap hari perlu menghadiri kelas. Menghabiskan masa di perpustakaan. Minum di kedai Nescafe sebelah perpustakaan. Makan-makan di ‘HS Café’. Pergi ke Masjid Sultan haji Ahmad Shah dan melakukan aktiviti-aktiviti rutin yang lain. Ini kerana saya diajar untuk mengambil kesempatan belajar bersungguh-sungguh, manfaatkan masa yang ada di universiti untuk mencari amklumat dan pengalaman. Jangan banyak ‘comment’ kerana ‘loan’ belajarpun kerajaan yang bagi. Tetapi, tidak hari ini apabila saya sudah perlu memanfaatkan semua yang saya dapat dari pengajian di universiti dahulu.

Bukan saya ingin mencela keputusan yang telah dibuat. Cuma rasa terkilan mengapa perlu melibatkan institusi suci di dalam kekotoran politik. Seseorang itu diangkat kerana dia adalah ‘team’ kita, tetapi akan ‘dicampak’ bila sudah tak ‘join team’ lagi.

Saya amat mencintai UIAM yang dijenamakan sebagai Garden of Knowledge sewaktu era rector, Tan Sri Prof. Dr. Kamal Hassan. Saya bangga dengan UIAM kerana disinilah saya mendapat segulung ijazah yang disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Syed Idid Arabi. Saya akan bercerita dari semasa ke semasa kepada kawan-kawan baru bahawa UIAM adalah tempat terbaik untuk belajar di Malaysia. Saya mampu berbahsa Inggeris dan bahasa Arab. Bahasa ibunda pun tidak saya abaikan. Melayu dan Jawa. Tetapi, jangan jadikan UIAM sebagai bahan agenda politik Negara. Saya takut silap-silap haribulan nanti semua pensyarah dan mahasisiwa di UIAM mesti menjadi ahli UMNO untuk terus bernafas di situ. Susahlah nanti saudara-saudara dari Arab, Sudan dan Jepun untuk melangkahkan kaki kerana ahli UMNO hanya terbuka untuk orang Melayu Malaysia sahaja.

NAFSIAH, MIKE & AWANG: ORANG UTAN DI BUKIT MERAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bercuti di tempat orang memang amat seronok. Tiga hari dua malam di Bukit Merah Lake Town Resort (8-10 june 2008) memberi saya banyak kenangan manis dan pengajaran. Benarlah kat orang tua-tua jauh perjalanan luas pandangan. Bukan sahaja pandangan secara zahir iaitu keindahan ciptaan Illahi sahaja, tetapi pandangan mengenai pelbagai aspek saya rasa semakin bertambah.

Dalam pakej percutian saya di Bukit Merah,tidak saya lepaskan untuk menyertai rombongan menerokai kehidupan orang utan, di Pulau Orang Utan. Perjalanan lebih kurang 15 minit dari jeti menggunakan bot besar. Hati saya menjerit-jerit tidak sabar untuk sampai. Haiwan bernama orang utan yang diceritakan memiliki dna 99% persamaan dengan manusia akan saya lihat secara dekat.

Setibanya di pulau itu, Mike, seekor orang utan berumur 26 tahun diperkenalkan. Sungguh besar. Beratnya hampir mencecah 120 kg. Memiliki kekuatan lebih sepuluh orang lelaki dewasa. Pipinya menggelebeh. Itulah tanda kejaguhannya. Pemandu pelancong yang memimpin kami dalam penjelajahan itu memberitahu kepada kami bahawa itulah ketua orang utan di situ. Sungguh hebat. Mempunyai empat ekor isteri yang rasmi. Salah seekor isterinya yang masih saya ingat bernama Nafsiah. Macam nama bekas menteri wanita detik hati saya.

Kehidupan orang utan di situ mempunyai banyak persamaan dengan manusia. Tekadang hati kecil saya menyatakan mereka dilayan lebih baik dari sebahagian rakyat Malaysia. Mendapat susu yang bagus bagi anak-anak mereka. Dipakaikan lampin pakai buang. Makanan yang enak-enak dan macam-macam lagi. Anak-anak yang lahir di Malaysia hari ini, masih ada sebahagian yang tidak pernah merasai minum susu yang bagus melainkan susu ibunya sahaja. Lampin pakai buang janganlah harap. Mahal. Paling murah sekeping 35 sen. Lepas berak kencing sudah tidak boleh digunakan. Beruntung jadi orang utan di Bukit Merah detik hati saya.

Orang utan yang dijaga dengan baik mampu hidup sekitar 50 sehingga 65 tahun. Macam manusia juga. Bagi yang betina akan didatangi haid. Itulah tanda mereka sudah baligh. Seawal umur 13 tahun mereka sudah mampu untuk memiliki anak. Macam moyang kita. Muda-muda sudah ada anak. Mereka buntingpun dalam lapan sehingga Sembilan bulan. Sama.

Yang paling memranjatkan saya mengenai maklumat yang disampaikan oleh pemandu pelancong kami adalah orang utan padai hisap rokok. Siap boleh keluarkan asap dari hidung lagi. Cuma nak keluarkan asap dari telinga mereka tidak mampu. Teman saya membuat lelucon. Siapa yang mengajar mereka isap rokok? Tidak lain dan tidak bukan manusia yang pernah mendampingi mereka. Ada pelawat yang akan memberi rokok. Keji sungguh perbuatan ini. Tidak cukup manusia ramai yang sakit kerana rokok, orang utan pula ingin dijadikan mangsa pula. Ingatlah! ‘taukeh’ Marlboro yang mula-mula asaskan kilang rokok mati kerana kenser. Janganlah kita menjadi lebih cetek pemikirang daripada orang utan.

Selain daripada Mike dan Nafsiah ada beberapa ekor lagi orang utan yang saya temui. Antaranya nama-nama yang saya masih ingat ialah Carlos, Awang, Paulina dan Amir. Macam-macam nama ada. semua nama manusia kan. Paulina dan Carlos boleh kita jumpa di rancangan telenovela. Amir dan Awang lagilah banyak tempat kita boleh jumpa. Awang Adek. Awang Selamat. Mengapa orang-orang utan itu diberi nama macam manusia. Apa perasaan mereka yang memberi nama itu sekiranya nama ibu dan bapa mereka diberikan pada orang utan? Suka? Bangga? Entahlah.

Lebih kurang 45 minit berada di Pulau Orang utan memberi saya banyak pengajaran. Pelajaran tidak formal yang tidak diajar di dalam kuliyyah sewaktu saya di UIA mahupun Maahad Johor. Terima kasih kepada MK Land kerana memberi cuti saya bermakna dengan meletakkan pekej menjelajahi orang utan sebagai salah satu program. Benarlah haiwan pun mampu memberi kita banyak pelajaran. Jika anak nabi Adam diajar oleh ahiwan bagaimana ingin menanam saudaranya yang telah mati, kini dalam percutian saya yang lepas orang utan telah memberi pelajaran tentang kehidupan kepada saya.

Friday, June 6, 2008

PELUANG KERJA DI BPR, POLIS & ASKAR SEMAKIN CERAH: HIKMAH HARGA MINYA NAIK

“Tengok la, sekejap sahaja rakyat Malaysia melenting pasal harga minyak ni. Seminggu dua senyap la”. Begitulah kata-kata teman sepejabat saya, Shahrul Nizam bin Abu Bakar. Benarkah kata-kata ini?

Adakah rakyat Malaysia akan berdiam selepas beberapa minggu ini? Hanya menyalak pada awal fenomena kenaikan harga minyak, tetapi bungkam selepas hilang bisanya. Jika diperhatikan pada keadaan sebelum ini begitulah kebiasaannya. Tidak akan berlaku pertumpahan darah seperti di Indonesia atau Negara-negara lain. Rakyat Malaysia yang penuh sopan santun dan sentiasa menjaga adat sehingga sanggup kematian anak pasti akan meredhai kezaliman pemimpin penindas. ‘Alah bias tegal biasa’.

Tapi adakah benar begitu? Rakyat Malaysia era Glokal(seperti dicanangkan oleh anakanda Tun Razak) masih berpegang pada adat sehingga sanggup kehilangan anak? S.M Salim dah ajar kita jangan biar anak mati kerana nak jaga adat. Nanti tiada siapa nak sambung adat. (seperti di dalam alunan lagunya. Semoga Allah memberi kesihatan kepada Tan Sri). Ini terbukti melalui sokongan rakyat Malaysia dengan apa yang di bawa oleh Tun Mahathir di dalam blognya, www.chedet.com, mengenai kenaikan harga minyak. Begitu juga dengan apa yang disampaikan oleh Dr Hatta di dalam Harakah Daily bahawa PAS dan beberapa NGO akan melakukan demonstarsi membantah kenaikan harga minyak sekiranya kerajaan pimpinan Pak Lah tidak menurunkan harga minyak dalam masa lima minggu ini. (sila lihat http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=014994&Itemid=85).

Tetapi adakah tindakan-tindakan itu akan berkesan untuk menurunkan harga minyak? Adakah kerajaan Pak Lah akan menarik balik kenaikan harga minyak seperti apa yang dilakukannya dengan penarikan balik larangan menjual minyak kepada pengunjung-pengunjung dari Negara jiran? Sama-sama kita lihat. Semua yang berlaku tidak ada yang mustahil pada hari ini. Jika dahulu arwah datuk saya, Haji Kayat Bin Tahir selalu akan mempertahankan kata-katanya apabila saya membuat provokasi bahawa pembangkang akan menawan negeri Johor. Beberapa tahun selepas beliau meninggal, Dr Ramli Mat Kari dapat menjadi ADUN di Senggarang walaupun disebabkan kesilapan teknikal. Hari ini, berapa ramai ADUN pembangkang di Johor? MP pun ada. Tidak ada mustahil.

Sememangnya fenomena marah dengan kenaikan harga minyak ini hanya sebentar sahaja. Apabila hujan telah membasahi bumi sejuklah panas yang membara. Masyarakat akan hidup ‘aman bahagia’ seperti hari-hari semalam. Pergi kerja, balik kerja. Pergi masjid, balik masjid.

Adakah tindakan menaikkan harga minyak ini difikirkan kesan sampingannya. Bukan masalah demonstrasi jalanan. Bukan masalah UMNO akan lenyap di muka bumi. Bukan masalah Robert Kwok tukar warganegara. Tetapi, cara hidup masyarakat yang kononnya semakin kurang dengan rasuah dan jenayah di atas ‘keprihatinan’ kerajaan Pak lah menaikkan gaji penjawat awam. Masalah rasuah dan jenayah akan subur semula. Ini kerana subsidi yang ditarik perlu di ‘cover’ melalui duit tepi ini. Kalau tidak macam mana hendak hidup. Lainlah macam pak-pak menteri! Mereka naik kereta kerajaan. Minyak kerajaan bayar.

Jadi, kita akan sama-samalah melihat betapa relevannya ‘Islam hadhari’ yang dicanang-canang oleh Pak Lah. Walaupun Samahatul Mufti perlis mengatakan dah tak ada apa-apa kesan. Benarkah ini? Berkesan apa? Nak buat Perkampungan Hadhari ada jual-jual pun orang piker lima sepuluh kali nak pergi. Naik kereta harga minyak mahal! Nak beli barang harga barang naik. Jadi tengok tv di rumah sahaja. Itupun dah kena fikir-fikir untuk dicatu. Tariff elektrik kan nak naik.

Semoga kebijaksanaan PM sebelum-sebelum ini akan melimpahlah kepada Pak Lah selagi bencana besar belum menimpa Negara. Fikir-fikir lah agar harga minyak dapat dibeli oleh pengguna Negara kita tanpa perlu ditambah dengan duit-duit haram yang hanya merosakkan agama, bangsa dan Negara.

Thursday, June 5, 2008

HARGA MINYAK NAIK: TERIMLA KASIH KERANA 'HADIAH' BERI SOKONG

‘Engkau sudah isi minyak? Harga minyak naik selepas tengah malam ini’. Begitulah bunyi mesej-mesej ringkas yang saya terima melalui telefon bimbit menjelang maghrib semalam. Menjelang pukul lapan malam, saya mula menerima beberapa panggilan dari kawan-kawan yang mengatakan isu kenaikan harga minyak. Harga minyak sudah naik mendadak. Itulah keluhan demi keluhan yang diluahkan.

Pagi ini, setibanya saya di pejabat, selepas menghidupkan suis ‘computer’ riba, beberapa mesej dari teman-teman di ‘Yahoo! Massenger’ memaki hamun pemimpin Negara sebagai protes kenaikan harga minyak. Harga minyak naik mendadak di Negara pengeluar minyak yang bermutu!

Teringat saya kata arwah bapa saya sewaktu saya masih di sekolah rendah yang menyatakan kebanggaannya hidup di Malaysia sebagai Negara orang Islam yang memiliki hasil bumi minyak. Sungguh bertuah. Pasti berkat hasil bumi kurniaan Allah ini akan melimpah rahmatnya kepada semua rakyat Malaysia atau sesiapa yang mengunjungi Malaysia.

Sewaktu menikmati minum pagi tadi, teringat saya ceramah politik sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu. Ceramah Anwar Ibrahim. Ramai orang kata cakap dia tak boleh pakai. Entahlah. Hanya Allah yang lebih tahu. Beliau mengatakan harga minyak di Negara kita tidak boleh dibandingkan dengan harga minyak di Singapura dan Indonesia. Bodohlah sesiapa yang membuat perbandingan itu. Ini kerana seolah-olah membandingkan harga durian Malaysia dan Jepun. Klip video ceramah itu yang saya tonton di You Tube beberapa bulan lepas sememangnya membuatkan saya terfikir lagi.

Apakah tindakan kerajaan menarik subsidi minyak ini tindakan bijak? Harga minyak kita tidak ada subsidi tetapi kita dapat diskaun 30%. Wow! Diskaun hebat. Tetapi Jusco yang merupakan pasar raya milik Jepun mampu beri diskaun sehingga 70%. Jadi, jika Jusco buat diskaun 30% jangan beli dahulu. Tunggu sahaja sehingga diskaun 70%. Tetapi, ini berbeza dengan minyak yang ada diskaun 30%. Jika hendak tunggu diskaun 70% terpaksalah kena naik basikal ataupun jalan kaki.

Bagi mereka yang tinggal di tempat yang menyediakan perkhidmatan kenderaan awam seperti bas dan LRT bolehlah membuat pilihan. Tetapi bagaimana dengan saya dan orang-orang lain yang senasib. Duduk di Lestari Putra, Seksyen Lima di Seri Kembangan. Mana ada pengangkutan awam. Kalau nak membuat pilihan terpaksalah naik basikal macam di Jepun dan Kota London. Tidak munasabah pula. Jalan raya kita sungguh tidak mesra untuk berbasikal ke tempat kerja. Jalan naik bukit turun bukit. Bersesak. Siap banyak lobang-lobang lagi. Takut-takut esok naik basikal, lusa sudah dapat ‘title’ al-marhum.

Adakah ini tindakan bijak kerajaan? Harga minyak naik berikutan harga minyak dunia naik. Gila ke tak naikkan harga minyak. Kerajaan bagi subsidi minyak kita salah guna. Jual minyak pada penduduk selatan Thailand dan warga Singapura. Kita kaji semula dan kita teruskan naik harga minyak. Hari ini kita bagi diskaun 30% esok lusa bila ‘sale’ sudah tiada biar harga biasa. Siapa yang terima padah? Datuk K, suami Siti Nurhaliza, Tan Sri Robert Kwok ataupun ‘Yang Mulia’ Khairy Jamaluddin?

Ini semua terjawab dari tinjauan saya malam tadi sewaktu menemani teman baik saya, saudar Rozaini, mengisi minya di Caltex, Equiene Park, Sri Kembangan. Pam minyak yang jarang menerima kunjungan seolah-olah berlaku pesta. Bukan ‘tokey’ stesen minyak itu membuat makan-makan kerana berzakat untung jualan minyak, tetapi pelanggan berlumba-lumba mengisi minyak di tahap maksimum. Kalau boleh isi minyak penuh RM 60 isilah RM 60. Kalau maksimum RM 30 isilah semaksimum mungkin. Nanti harga minyak dah naik lagilah padah.

Kereta yang saya lihat rata-rata kereta golongan sederhana. Tidak ada kereta mewah yang kelihatan. Mercedes mahupun BMW tidak kelihatan. Begitu juga Alphard dan Camry model baru. Kereta Wira, Kancil, Myvi dan seangkatan berlambaklah. Dalam bersembang sementara menunggu giliran mengisi minyak dengan saudara Rozaini sebuah kereta Wira berwarna merah kelihatan ditolak oleh seorang lelaki. Nak jimat minyak ke? Saya minta izin saudara saya untuk pergi membantu. Kereta itu sudah kehabisan minyak.

Bersembang dengan tuan punya kereta sambil menolak keretanya sedikit demi sedikit. Tuan punya Wira merah itu dengan nada yang boleh didengari penuh kekecewaan dan kesedihan merungut mengenai kenaikan harga minyak mendadak ini. Duit gaji berkerja di UPM sudah hampir habis kerana terpaksa memenuhi jemputan walimah di kampung dan di beberapa tempat. Cuti sekolah memang banyak kerja kahwin. Kini terpaksa korek tabung untuk isi minyak ‘full tank’. Kalau isi lambat takut kehabisan minyak ataupun kena beli dengan harga yang mahal. Entahlah!

Orang tua-tua selalu berkata sabar itu separuh daripada iman. Islam pun ajr begitu. Jadi, adakah kita mesti bersabar? Ya! Sabarlah. Golongan berpendapatan mewah tersenyumlah terus. Golongan berpendapatan sederhana marilah kita lipatkan usaha sampai nak ‘mampos’ agar dapat duit lebih bagi menyambung hidup di era kenaikan harga minyak dan barang ini. Hari iniharga minyak naik. Esok lusa macam-macam pula yang naik.

Ingat! Harga minyak kita masih lagi murah jika dibandingkan dengan harga minyak di Singapura dan Indonesia. Mengapa nak buat ‘demo’ macam di Indonesia. Sabarlah… Sabarlah… Sabarlah…semoga mata kita yang semakin mengantuk ini dengan dendangan suara para pendodoi membuat kita terlena. Nanti bila kita terjaga, legalah kekecewaan daripada kenaikan harga minyak ini.

Wednesday, June 4, 2008

MENCARI JALAN PULANG: KASSIM AHMAD MASIH TAK PULANG-PULANG

Buku terkini tulisan Kassim Ahmad baru sahaja saya selesai membaca pagi ini. Penulis yang penuh kontroversi dengan penghasilan buku-buku (contoh; Hadith-Satu Penilaian Semula) dan puisi-puisi (contoh; Sidang Roh) jelek ini tampil dengan buku barunya “Mencari Jalan Pulang-Daripada Sosialisme kepada Islam”.

Buku yang menceritakan mengenai kehidunnya dari kecil sehingga kini memang boleh dipuji. Ia mampu untuk menambah buku-buku di rak rumah saya, perpustakan-perpustakaan dan di mana-mana sahaja bagi dijadikan rujukan bahawa Kassim Ahmad sememannya masih lagi tidak menemui jalan pulang.

Keberanian saya untuk mengatakan bahawa Kassim Ahmad masih lagi tidak menemui jalan pulang bukan kerana saya mendapat pengajaran daripada buku tulisannya yang menceritakan sifatnya yang berani menyelongkar kebenaran ataupun sifat Hang Jebat di dalam Hikayat Hang Tuah tetapi itulah yang disemaikan oleh ibu bapa, guru-guru dan persekitaran saya. ‘Katakanlah yang benar walaupun ianya pahit’.

Sememangnya amat pahit untuk saya menyatakan kepada seorang yang mempunyai nama seperti Kassim Ahmad bahawa dia di dalam keadaan tersasar. Menafikan kata-katanya bahawa dia telah menemui Islam setelah belajar selama 36 tahun (lihat Mencari Jalan Pulang-Daripada Sosialisme kepada Islam, m.s 186 ) amat perit sekali. Tetapi itulah hakikatnya.

Kata-kata ini bukan kesan dari terpengaruh dari lontaran lantang pak ustaz-pak ustaz di Negara kita mahupun para pengkritik Kassim Ahmad yang lain tetapi ia cetusan dari apa yang saya baca sendiri mengenai pemikirannya sama ada melalui buku-bukunya ataupun di laman blognya (sila lihat http://kassimahmad.blogspot.com).

Secara jujur dan ikhlas saya cukup bersetuju dengan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa para ulama dahulu dan sekarang boleh dikritik atau disalahkan. Tidak salah mengkritik sesiapa atau menidakkan kata-kata mereka. Apa salahnya ingin mengkritik atau menyalahkan Imam Bukhari, Imam Nawawi, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Tidak ada satu larangan pun di dalam al-Quran mahupun hadith nabi s.a.w. Begitu juga hasil kerja mereka. Siapa kata berdosa jika kita menaqad Sahihul Bukhari, Sahihul Muslim mahupun Kitab al-Um. Silalah! Jika ada ulama yang mengatakan haram, maka saya tidak teragak-agak mengatakan haram mendengar kata-katanya.

Tetapi, bolehkah kita mengkritik mereka ataupun hasil kerja mereka tanpa kita memberi penjelasan dan bukti. Jika ia dilakukan, itu merupakan satu penganiyaan. Salah dari segi ‘human right’. Jika kita mengatakan bahwa hadith-hadith di dalam Sahihul Bukhari ataupun Muslim tidak sahih maka buktikanlah. Begitu juga jika kita mengatakan Fathul Bari tulisan Ibn Hajar al-Asqalani dan lain-lain.

Janganlah kita membuat tuduhan melulu dan secara rambang. Kita menuduh bahawa hadith di dalam Sohehul Bukhari dan Muslim yang menyatakan Nabi Muhammad kekasih Allah,Penghulu Para Nabi, seorang yang ma’sum dan boleh memberi syafaat di akhirat adalah palsu dan yang lain-lain berdasarkan kepada pengaruh musuh Islam. Musuh Islam seperti Rashad Khalifa sudah lama dikenali. Mengapa harus mengikut tafsiran al-Qurannya. Menyatakan bahawa al-Quran yang ‘sebenar’(sama ada mengikut tafsiran sesat Rashad Khalifa atau penyelewengan penulisan semula al-Qurannya) ditemui setelah membaca The Computer Speaks: God Massege to the World karangan Rashad Khalifa dan membenarkan semua isinya. (lihat Mencari Jalan Pulang-Daripada Sosialisme kepada Islam m.s 187)

Jika benaralah Kassim Ahmad telah menemui jalan pulang yang dimaksudkan sebagai pulang kepada agama Islam, mengapa tidak ada penafian atau sanggahan buku-buku atau tulisan-tulisannya sebelum ini, yang mengikut penafsiran Rashad Khalifa dalam menyelewengkan tafsiran ayat-ayat al-Quran.

Sebagai contoh, bagi membenarkan hujahnya mengenai tiada selawat kepada nabi maka penafsiran Rashad Khalifa dituruti. Lihatlah ayat 56 dalam surah al-ahzab ditafsirkan oleh Kassim Ahmad seperti berikut

(Tuhan dan malaikat-malaikat-Nya membantu dan menyokong nabi. Hai kamu yang beriman, hendaklah kamu bantu dan sokong dia, dan hormati dia dengan kehormatan yang sewajarnya)
( lihat http://kassimahmad.blogspot.com/2007_03_01_archive.html#_ftn6)

Sama seperti tafsiran yang di ambil dari laman http://www.submission.org/indonesia/quran/sura-33.html yang dicedok dari tafsiran Rashad Khalifa yang berbunyi;

(Allah dan para malaikatNya menolong dan menyokong nabi. Wahai orang orang yangpercaya, kamu mestilah tolong dan sokong dia, dan ambil beratlah terhadapnya sebagaimana sepatutnya dia mestilah diberikan perhatian)

Kedua-dua tafsiran itu cukup berbeza dengan tafsiran di dalam kitab-kitab tafsir ulama mu’tabar seperti Tafsir Ibn Kathir mahupun Tafsir al-Qurtubi. Ini bukan kerana kita taksub dengan ibn Kathir mahupun al-Qurtubi tetapi penyelidikan mereka dan kajian mereka mengenai tafsiran ayat itu tidak dapat disanggah.

Jadi, satu harapan saya sebagai seorang insan kerdil agar Kassim Ahmad benar-benar mencari jalan pulang dan menemui jalan yang sebenar-benarnya. Jalan yang diredhai Allah dan rasul.

“Tunjukilah kami jalan yang lurus.Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat”

Tuesday, June 3, 2008

SIAPA HAJI TAIB: NAMANYA DIGUNAKAN PADA LORONG ITU

Ketika minum petang bersama teman-teman saya baru-baru ini di Cyberjaya ,kami ada memperkatakan mengenai kerosakan akhlak ‘manusia jadi-jadian’ di Lorong Haji Taib. Pelbagai cerita dan informasi berkaitan aktiviti tidak bermoral kami perkatakan. Pengalaman sendiri dan cerita kawan-kawan turut kami kongsi bersama. Saya tidak melepaskan peluang menceritakan pengalaman saya bersama teman sekelas sewaktu mengumpul maklumat bagi menyiapkan kerja kursus bagi subjek ‘Deviant Behavior’ semasa di UIAM.

Dalam leka kami berbual. Terpacul dari mulut saya, siapakah individu yang namnya digunakan bagi lorong itu? Haji Taib. Seorang demi seorang saya tanya. Tetapi hanya jawapan-jawapan yang berunsur lelucon saja yang diberikan. Tidak ada seorang yang dapat menjawab soalan saya. Adakah soalan itu terlalu sukar?

Saya yakin Lorong Haji Taib tidak asing bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur. Ia turut amat popular di Negara kita. Sudah acap kali nama lorong itu di sebut di dalam televisyen, surat khabar dan majalah-majalah. Persoalannya, siapakah gerangan si Haji Taib itu?

Adakah jika saya menanyakan kepada golongan ‘manusia jadi-jadian’ dan pelanggan-pelanggan mereka yang setia mengunjungi lorong itu mereka akan dapat menjawab? Entahlah. Sayapun tidak dapat memastikan pada hari ini. Jika, tiga tahun lepas, jawapan yang saya terima adalah tidak tahu dan tidak perlu ambil tahu adakah jawapan ini akan bertukar.

Haji Taib atau nama sebenarnya Haji Mohamed Taib merupakan seorang pedagang dari Sumater yang berketurunan Minangkabau. Pada tahun 1876, beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Memiliki kilang bijih timah, tanah ladang, rumah dan kedai sekitar Kuala Lumpur menjadikan beliau individu terkaya pada waktu itu. Haji Taib yang merupakan tokoh pembangunan dan tokoh sejarah yang terlibat di dalam pembukaan Kuala Lumpur dan Kampung Baru banyak meninggalkan jasa kepada komuniti Melayu.

Melalui jasa-jasa dan pengaruh beliau pasti kita akan mengakui beliau merupakan seorang tokoh yang hebat. Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan beliau adalah tokoh yang perlu kita ketahui serba sedikit mengenai sejarahnya.

Adakah punca kita pada hari ini tidak mengetahui mengenai peranan dan sumbangan beliau kerana tidak ada catitan sejarah di dalam buku-buku akademik kita. Sudah semestinya ramai yang bersetuju dengan saya mengatakan tidak. Sejarah mengenai beliau sememangnya tercatat di dalam nukilan buku-buku sejarah. Ini kerana apa yang menjadi sebab pastilah seperti yang kerap dikatakan oleh para pemimpin dan ahli akademik kita ‘malas membaca’.

Adakah kerana sikap masyarakat yang malas mencari dan membaca buku tidak ada jalan penyelesaian untuk menangani fenomena ini. Seperti yang dikatakan oleh golongan bijak pandai, semua perkara ada jalan penyelesaiannya. Ini kerana kita yang mengaturnya, bukan ia yang mengatur kita.

Kaedah agar kita mengigati nama-nama tokoh yang berjasa diaplikasikan dengan menyemadikan nama-nama mereka pada nama jalan-jalan dan lorong-lorong. Pasti dengan meletakkan serba sedikit sejarah mereka di jalan-jalan yang dinamakan atas nama mereka akan memberi kesan yang positif. Orang yang lalu lalang pasti ingin membaca dan sejarah mereka pasti tidak akan hilang.

Jika, pihak yang terlibat cuba mempraktiskannya, saya yakin bukan sekadar sejarah Haji Taib akan menjadi ingatan, tetapi Raja Bot, Raja Uda dan lain-lain lagi akan terpahat di hati kita.