Oleh ZABRY MOHAMAD
PUTRAJAYA 2 Nov. – Sistem ganjaran yang lebih berkesan akan diperkenalkan bagi memperkasakan budaya prestasi cemerlang di kalangan penjawat awam dan pentadbiran kerajaan, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Perdana Menteri, dengan adanya sistem sedemikian, ia dapat memberi motivasi kepada penjawat awam untuk sentiasa menghasilkan kerja berkualiti tinggi yang seterusnya memberi faedah kepada rakyat.
“Perlu ada sistem ganjaran yang menunjukkan kita tidak bertoleransi dengan penyalahgunaan kuasa dan kesederhanaan (mediocrity) dalam kerja.
“Kita nak gubal sistem ganjaran yang lebih bermakna, bukan seperti sistem terdahulu yang menegak dan melintang, ia tidak berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.
Kata Perdana Menteri, penyalahgunaan kuasa seperti yang dilaporkan pada setiap kali dalam Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan menunjukkan tiada penambahbaikan dalam prestasi kerja penjawat awam.
“Kita perlu buat sesuatu supaya perkara-perkara yang dilaporkan seperti ini tidak berulang sehingga rakyat mencemuh kita dan kata tiada apa-apa tindakan dibuat,” ujarnya.
Perdana Menteri menjelaskan, sistem ganjaran yang bakal diperkenalkan nanti tidak bermakna hanya mereka yang menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai akan diberikan ganjaran, sebaliknya melibatkan semua jabatan.
“Misalnya jabatan yang menunjukkan peningkatan dalam hasil kutipan cukai, kita mungkin memberi ganjaran kepada jabatan yang berjaya dalam setiap pendakwaan yang dibuat atau kita boleh beri kepada jabatan yang menghasilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) luar biasa,” ujarnya.
Najib memberitahu, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jemaah Menteri sedang mengusahakan kaedah terbaik untuk melaksanakan sistem berkenaan.
Beliau menambah, Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan merupakan antara inisiatif ke arah budaya prestasi cemerlang, di mana setiap kerja yang dilakukan akan diukur serta dinilai secara objektif.
Katanya, amalan budaya cemerlang di kalangan penjawat awam amat penting supaya Malaysia tidak terus berada pada tahap sebuah negara berpendapatan sederhana.
“Kalau kita tidak buat sesuatu, negara akan terus terperangkap dalam ancaman pendapatan sederhana, maknanya kita tidak miskin, juga tidak kaya.
“Ini cabaran besar bagi Malaysia iaitu macam mana nak beri motivasi supaya kita tidak terus melekat pada tahap sekarang tapi menjadi negara yang berjaya mengikut definisi kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment