Sunday, November 8, 2009

PEMBANGUNAN MANUSIA BERMULA DARI INSTITUSI MASJID

PEMBANGUNAN MANUSIA BERMULA DARI INSTITUSI MASJID

Oleh: Mohd Salleh Ariff

"(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan."
(Surah AN-Nur: 36-37)
ABSTRAK

Institusi masjid merupakan satu institusi yang mula-mula dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w dalam membentuk sebuah daulah Islamiyyah di Madinnah Al-Munawwarah. Ia memainkan peranan yang penting dalam membangunkan masyarakat dan meliputi semua bidang seperti pusat ibadah khususiah, politik, ekonomi dan macam-macam lagi. Peranan dan momentum yang dibawa oleh institusi masjid tidak terhenti pada zaman Rasulullah s.a.w sahaja tetapi ia terus bersambung dari satu generasi ke satu generasi yang lain sehingga hari ini. Di negara kita institusi masjid amat dipandang mulia oleh masyarakat Melayu. Ia dianggap sebagai institusi yang amat penting dan perlu ada dalam elemen masyarakat. Walaupun institusi masjid pada hari ini sudah tidak memainkan peranan sepenuhnya sama seperti pada zaman sebelum ini tetapi institusi ini tetap difikirkan amat penting dalam membangunkan modal insan dalam masyarakat. Kertas ini membicarakan berkenaan institusi masjid dan peranannya sebagai asas dalam proses pembangunan manusia.

PENDAHULUAN

Masjid boleh difahami pengertiannya dari pelbagai sudut dan tahap. Secara literasinya ia boleh diertikan sebagai tempat sujud iaitu tempat mengerjakan solat. Berdasarkan kepada definisi ini, boleh dikatakan keseluruhan bumi ini adalah masjid bersesuaian dengan hadith Rasullullah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sohehnya,bumi keseluruhannya adalah masjid.

Dari sudut sosio-politik definisi masjid dapat diterjemahkan melalui penelitian terhadap fungsi dan peranannya dalam masyarakat. Pada penelitian saya sendiri yang tidak khusus (pent;semakan rambang dari sumber sejarah dan bahan-bahan bacaan), fungsi dan peranan masjid ini berubah dari satu masa ke semasa tetapi ia tetap mempunyai matlamat dan tujuan yang sama. Berdasarkan kepada itu, maka definisi masjid akan berbeza-beza dari perspektif setiap orang pada zaman dan tempat yang berbeza.

Menurut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), Masjid adalah suatu bangunan yang digunakan bagi sembahyang Jumaat dan sembahyang lain dan kegiatan-kegiatan yang disuruh, disyorkan, atau dibenarkan oleh agama Islam. Ia juga dikatakan sebagai institusi di bawah hak sultan seperti yang dinyatakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Haji Wan Zahidi b. Wan Teh.

Selain daripada itu, masjid merupakan satu tempat yang amat dipercayai sebagai tempat kunjungan dan berkumpul orang yang baik-baik. Kenyataan ini tidak menafikan bahawa orang yang baik-baik turut ada yang berkumpul di tempat lain.

Firman Allah;

"(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan."

(Surah Al-Nur, ayat 36-37)

Rasulullah s.a.w bersabda;

إِذَا رَأَيْتُمْ الرَّجُلَ يَتَعَاهَدُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ
“Apabila kamu melihat seseorang lelaki yang berulang-alik ke masjid maka saksikanlah baginya dengan keimanan”.

(Hadis riwayat Tirmizi)

Berdasarkan kepada ayat al-Quran yang dinyatakan dan hadith yang diriwayatkan oleh Imam at-Tarmizi sememangnya masjid merupakan tempat golongan manusia yang baik dan diredhai oleh Allah.

MASJID PADA ZAMAN RASULULLAH

Menurut Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buthi dalam bukunya yang bertajuk Fiqhu As-Sirah An-Nabawiyyah, perkara asas bagi masyarakat baru yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w selepas hijrah ke Madinah adalah pembinaan Masjid. Menurut beliau lagi, masjid yang mula-mula dibina adalah Masjid Quba’. Masjid itu disebut sebagai masjid yang dibina di atas dasar ketaqwaan.

Firman Allah;

لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Yang bermaksud : Kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

Surah al-Taubah, ayat 108

Masjid Quba’ yang berada di suatu kawasan bernama Quba’ dibina ketika nabi dalam perjalanan hijrahnya. Walaupun baginda hanya berada di Quba’ seketika sahaja tetapi pembinaan masjid itu cukup diutamakan. Baginda berusaha membina masjid tersebut walaupun ada beberapa perkara yang merintanginya.

Selepas pembinaan Masjid Quba’, masjid yang seterusnya dibina oleh Rasulullah s.a.w adalah masjid Nabawi. Masjid ini terletak di dalam Kota Madinah bersebelahan dengan rumah Rasulullah s.a.w. Masjid ini memainkan peranan yang cukup besar dalam membina dan membangunkan masyarakat.

Seperti yang tercatat di dalam lembaran sejarah, Rasulullah s.a.w telah mengurus dan menjadikan masjid sebagai pusat ibadah, pusat pendidikan, pusat kegiatan sosial, pusat pembangunan masyarakat, pusat penerangan dan maklumat, pusat kehakiman, pusat perhubungan, pusat interaksi masyarakat, pusat rawatan dan kecemasan, pusat pemulihan dan pusat seni.

Impak dan kesan dari apa yang diaplikasikan oleh Masjid Nabawi yang dijanjikan ganjaran yang amat besar bagi sesiapa yang beribadah di dalamnya pada zaman Rasullullah s.a.w telah melahirkan sebuah Daulah Islamiyyah yang mengembang besar di atas bumi, pewaris kepimpinan yang bijak dan adil dan masyarakat yang berakhlak serta digelar masyarakat yang terbaik.

MASJID DI WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

Pada hari ini Wilayah Persekutuan Labuan memiliki 13 buah Masjid, 13 buah Surau Jumaat dan 28 Surau Biasa yang telah diwartakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Masjid-masjid ini ada yang dibina sejak Pulau Labuan di bawah jajahan Kerajaan Negeri Sabah seperti Masjid Nurul Iman, Kampung Ganggarak (1960), Masjid Sirajul Islam, Kampung Tanjung Aru (1948) dan Masjid Nurul Iman, Kampung Sungai Bedaun (1967).

Masjid-masjid yang berada di Wilayah Persekutuan Labuan pada hari ini kebanyakannya memainkan fungsi asas masjid seperti masjid-masjid di kebanyakan tempat di Negara kita dan negara-negara jiran. Anatara fungsi dan aktiviti masjid-masjid di Wilayah Persekutuan Labuan adalah sebagai temapat ibadah khususiah, tempat pendidikan tidak formal dan tempat berkumpul masyarakat. Fungsinya seperti pada zaman Rasullullah s.a.w adalah amat berbeza. Ini kerana kewujudan jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang mengambil peranan tertentu dan menjadikan ia begitu teratur dan tersusun. Selain daripada itu, kewujudan kemudahan-kemudahan awam yang pelbagai oleh Kerajaan seperti dewan orang ramai, pusat perniagaan dan macam-macam lagi turut memberi impak.

Walau bagaimanapun, misi dan matlamat institusi masjid tidak pernah berubah. Ia tetap menjadi sebagai tempat yang suci dan mampu menjadi asas kepada pembangunan manusia khususnya umat Islam.


PEMBANGUNAN MANUSIA BERMULA DARI INSTITUSI MASJID

Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi membangunkan umat merupakan satu tanggungjawab yang hakikat. Ia mesti dihadapi dan bukan khayalan yang bermain di dalam mimpi. Ini kerana berdiri dan hancurnya sesuatu umat atau bangsa bergantung kepada pembangunan manusia. Pembangunan berbentuk bangunan dan teknologi hanya akan dikagumi sekiranya pembangunan manusia mencapai tahap cemerlang.

Sebagai umat Islam, pembangunan manusia yang cemerlang adalah pembangunan yang selari dari sudut duniawi dan ukhrawi. Jika hanya satu sahaja pembangunan yang melonjak dan satu lagi pembangunan merundum maka ia tetap tidak akan membuahkan pembangunan insan yang cemerlang.

Ini jelas melalui apa yang dianjurkan oleh Rasullullah s.a.w ketika baginda masih hidup dan terus diikuti dari satu generasi ke satu generasi. Sekiranya hanya pembangunan ukhrawi sahaja yang diutamakan oleh baginda sudah pasti tidak akan wujud hadith yang melarang sahabat untuk beribadah kepada Allah tanpa berkahwin dan berpuasa tanpa berbuka. Baginda menyarankan para sahabat untuk mempelajari hal-hal duniawi bagi merebut dunia dan mendapat keredhaan di akhirat seperti yang banyak tercatat di dalam kitab-kitab sirah. Antaranya galakan beliau kepada Zaid Bin Harithah untuk mempelajari bahasa Hebrew, galakan kepada Abdul Rahman Bin Auf untuk menjadi saudagar yang berjaya dan banyak lagi. Ini semua jelas bahawa pembangunan manusia yang dianjurkan oleh Islam adalah pembangunan manusia dari semua aspek. Aspek duniawi dan aspek ukhrawi.

Selain daripada itu, amat tidak boleh dinafikan bahawa pembangunan manusia yang ideal sememangnya boleh dicapai apabila institusi masjid tidak diketepikan. Ia dapat dilihat melalui kelahiran ramai tokoh-tokoh agung yang cukup akrab dengan institusi masjid dalam pembangunan diri mereka. Antara mereka ialah para sahabat Rasullullah s.a.w sperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, para tokoh sains dan kimia Islam seperti Ibn Sina dan Al-Farabi, para ulama Islam nusantara pada awal kurun ke-19 masihi seperti Haji Muhammad Yusuf (Tok Kenali) dan Haji Abdul Samad Bin Muhammad Salleh (Tuan Tabal) dan pada abad ini seperti Prof Hamka dan Syeikh Nasaruddin Albani.

Tokoh-tokoh tersebut bukan sahaja diketahui hebat di dalam ilmu agama, tetapi mereka juga masyhur diketahui hebat di dalam bidang-bidang yang pelbagai. Didikan yang mereka dapat melalui institusi masjid dan ada juga yang disokong melalui institusi-institusi lain telah melahirkan mereka sebagai golongan yang memiliki pembangunan insan yang seimbang dan amat berjaya.

Firman Allah Taala;

“Tidak Kami jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepadaku.”

(Surah Az-Zariyat: 56)

Berdasarkan kepada firman Allah ini, maka objektif utama kita diciptakan ke dunia ini adalah hanya beribadat semata-mata kepadanya. Ayat ini bukan sekadar menyatakan berkenaan ibadah khususiyyah seperti solat, puasa, haji dan sebagainya sahaja tetapi ia merangkumi semua ibadah khususiah dan ibadah umumiyyah seperti berkerja kerana Allah, berkahwin kerana Allah dan sebagainya.

Oleh yang demikian, institusi masjid yang merupakan darah daging di dalam unsur sesebuah masyarakat perlulah mengatur pelan strategik yang berkesan dan berkualiti agar objektif utama kita diciptakan berjaya dicapai.

Ia bukan perkara retorik semata-mata tetapi realiti walaupun pahit untuk dinyatakan berdasarkan pengalaman dan bukti-bukti sejarah yang telah lalu. Ia ditambah lagi dengan tips tuntas yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w.


MEMBENTUK SEMULA MASJID

Bagi menjayakan matlamat untuk mengembalikan institusi masjid sebagai asas pembangunan manusia, perkara yang amat difikirkan terbaik untuk dilaksanakan adalah membentuk semula masjid.

Membentuk semula masjid, bukan bermakna membina bangunan masjid yang baru mengikut acuan dan spesifikasi tertentu seperti memiliki kubah bersalut emas, menara yang mesti memiliki bulan dan bintang atau sebagainya. Tetapi ia adalah membentuk semula perisian atau kandungan kegiatannya.
Ini boleh dilaksanakan dengan mensasarkan kepada pembelajaran Islam dan pembangunan sosial yang mampu mencorakkan kehidupan Muslim demi menghayati agama dan bersikap progresif.

Pasti ada yang menyatakan bahawa itu semua telah dilaksanakan dan bukan merupakan perkara baru atau ‘wahyu’ unik untuk menukar corak institusi masjid. Malahan ia hanya omongan retorik penyedap halwa telinga.

Mungkin benar atau mungkin tidak benar. Tetapi cuba bebaskan minda dan renungkan realiti di Bumi ini keadaan institusi Masjid. Kelas-kelas takmir hanya dihadiri oleh sekelompok manusia dan solat-solat jemaah (selain solat Jumaat dan solat dua hari raya) hanya mampu menghasilkan tidak pernah lebih daripada lima sehingga sepuluh barisan.

Apakah punca dan musababnya? Pasti ada sesuatu yang tidak berapa kena. Oleh itu sudah tiba masanya untuk satu proses tajdid di institusi masjid dilaksanakan dengan membentuk semula institusi agung ini.

Bagi melaksanakannya, ia memerlukan kepada pendekatan berbeza dan variation method. Ini kerana golongan sasaran bagi pembangunan manusia yang diharapkan akan berjaya melalui institusi masjid adalah terdiri daripada mereka yang berbeza peringkat ilmu, latar belakang dan usia.

Salah satu cara yang mungkin boleh diaplikasikan sepertimana yang telah dipraktikkan di institusi-institusi masjid Negara Singapura adalah dengan membangunkan masjid sebagai masjid kejiranan atau dalam erti kata lain sebagai masjid yang mesra pengguna dan qariyahnya. Ia difikirkan amat ampuh dan berkesan dan pasti mampu menyentuh kalbu masyarakat sekitarnya dan menjayakan pembentukan semula masjid itu.

Bagi menjayakan usaha ini, perkara dan sasaran paling utama adalah membentuk semula perisian pembelajaran Islam di dalam institusi masjid dan membentuk semula perisian pembangunan sosial.


MEMBENTUK SEMULA PERISIAN PEMBELAJARAN ISLAM

Proses pembelajaran di dalam Islam merupakan satu proses yang wajib. Ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w yang menyatakan menuntut ilmu itu wajib bagi orang muslim lelaki dan perempuan. Ia tidak rigid hanya kepada ilmu al-Quran, hadith dan Feqah sahaja. Tetapi ia merupakan ilmu yang boleh memberi manfaat di dunia dan akhirat.

Dalam konteks Wilayah Persekutuan Labuan, institusi masjid telah memberi banyak sumbangan dalam memenuhi keperluan pembelajaran Islam bagi ummah. Namun, kita perlu menyemak dan menilai kembali keadaan pembelajaran Islam yang ada iaitu sejauh mana ia relevan dan berkesan dalam memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berubah. Selain daripada itu apa yang perlu diteliti adalah bilangan yang memanfaatkan program percuma ini.

Oleh yang demikian, golongan yang diberi tanggungjawab dalam menjadi penyampai atau penggerak institusi masjid dalam proses pembelajaran, perlu menjadi golongan yang kreatif. Method lama dan strereotyped perlu ditukar.

Sekiranya perlu kepada re-branding dalam proses menarik perhatian dalam proses pembelajaran, ia sebenarnya amat digalakkan. Ini kerana penjenamaan semula acap kali berjaya menarik minat ramai. Tetapi jika hanya nama sahaja yang diberi penjenamaan baru tidak kepada isinya ia hanya akan berjaya menarik minat seketika sahaja. Jadi re-branding bukan hanya sekadar kepada nama tetapi pengisiannya juga adalah amat perlu.

Dalam membentuk perisian ini, misi dan objektif utama perlu dikekalkan. Hanya cara dan kaedah sahaja mengalami transformasi. Ini kerana matlamat institusi masjid tidak pernah berubah dan ia terus raleven.

Selain daripada method pembelajaran, pengasingan golongan sasaran juga perlu dibuat. Ini memandangkan institusi masjid yang bersifat inclusive, menjadikan semua umat sebagai golongan sasarannya tanpa mengira usia, warna kulit ataupun darjatnya.

Ini juga akan memberikan gambaran yang lebih mudah untuk mengatur method pembelajaran oleh golongan penyampai. Mereka boleh mencari pendekatan yang mudah untuk menarik minat golongan sasaran dan menyediakan bahan yang terbaik untuk dibicarakan.


MEMBENTUK SEMULA PERISIAN PEMBANGUNAN SOSIAL

Masjid-masjid di Wilayah Persekutuan Labuan juga berperanan penting dalam pembangunan sosio agama masyarakat. Walaupun penting bagi masjid menjadi tempat aman untuk beribadah dan pembelajaran Islam, konteks Wilayah ini amat menuntut agar masjid turut memainkan peranan lebih besar lagi dalam pembangunan sosio-agama bagi masyarakat.

Dalam konteks kini, usaha institusi masjid, dapat memberi nilai tambah kepada Jabatan dan agensi yang wujud dengan melengkapi usaha mereka menerusi rancangan perkongsian dan menghubungkan golongan yang memerlukan dengan penyediaan khidmat sosial. Ini boleh dibuat dengan menjadikan Masjid lebih mesra belia, mesra keluarga dan mesra masyarakat.


MASJID MESRA BELIA

Belia merupakan golongan yang besar dalam masyarakat Wilayah Persekutuan Labuan. Mereka juga merupakan penentu generasi akan datang. Ini kerana tampuk negara yang kita pinjam dari mereka sudah hampir tiba untuk dikembalikan.

Oleh yang demikian, menarik golongan belia dengan menjadikan masjid sebagai mesra belia amat perlu. Jadi institusi masjid perlu berusaha mencari jalan bagi membawa golongan belia cenderung kepadanya. Sebagai contoh apa yang boleh dilaksanakan adalah dengan mewujudkan zon lepak belia yang ‘gerek’ dengan ciri-ciri tersendiri.

Apabila masjid mampu menjadi institusi yang mesra belia, maka ia akan memudahkan proses pembangunan insan yang ampuh dilaksanakan. Belia tidak akan hilang arah tuju.


MASJID MESRA KELUARGA

Menurut Al-Farabi bagi membina sebuah negara yang berkualiti, ia bermula dengan individu yang baik kemudian membawa kepada keluarga yang baik, kemudian terbina masyarakat yang baik dan akhirnya menjelmakan kepada negara yang baik. Teori ini amat popular dikalangan ahli sains politik dan amat difikirkan cukup masuk akal dan bukan sekadar idea semata-mata.

Tetapi, apa yang membimbangkan pada hari ini, institusi keluarga banyak yang pincang. Ini boleh dilihat melalui peningkatan bilangan penceraian dan peningkatan gejala sosial dikalangan anak-anak.

Oleh yang demikian, institusi masjid perlu mengambil peranan utama dengan menjadi masjid mesra keluarga. Institusi masjid yang dikendalikan oleh golongan tertentu perlu menjadi mentor agar dapat melahirkan keluarga tepimpin berlandaskan kaedah Islam sejati.

Itu perlu dilaksanakan dengan cukup teliti kerana langkah awal yang perlu difikirkan bagaimana untuk menberi keyakinan kepada institusi keluarga agar menjadikan institusi masjid sebagai mentor membentuk keluarga bahagia.

MASJID MESRA MASYARAKAT

Komponen dalam masyarakat terdiri daripada individu, keluarga, pengikut, pemimpin dan lain-lain lagi. Apabila semua komponen dalam masyarakat ini dapat dibangunkan secara cemerlang menurut perspektif Islam ia pasti akan membuahkan hasil dalam pembangunan manusia.

Institusi masjid yang difikirkan cukup ampuh untuk menjadi asas pembangunan manusia cemerlang pelu mengambil insiatif agar ia boleh mesra masyarakat. Semua komponen dalam masyarakat perlu dimesrakan. Ketua dan anak buah boleh duduk satu saf. Perbincangan di antara si kaya dan si miskin boleh di buat dalam satu halaqah dan lain-lain lagi.

Itu semua dapat dijayakan sekiranya institusi masjid memainkan peranan yang proaktif. Tidak hanya menunggu dan melihat sahaja. Langkah laju seperti kilat diperlukan. Sebagai contoh dengan mengadakan multi aktiviti yang boleh menarik mereka berijtima’ di masjid.

KESIMPULAN

Masjid merupakan miracle centre yang banyak tercatat di dalam sejarah dengan kejayaannya melahirkan pembangunan manusia yang cemerlang. Ia tidak dapat dinafikan kerana terlalu banyak sangat bukti yang kukuh. Walaupun telah banyak berlaku perbezaan fungsi dari satu masa ke semasa, rumah Allah ini tetap membawa satu spirit untuk membangunkan manusia.

Kepercayaan dan keyakinan ini perlulah untuk direalitikan agar matlamat Malaysia menjadi negara maju dan memiliki pembangunan insan serta fizikal seimbang seperti yang dicatatkan di dalam Wawasan 2020 akan tercapai.

Oleh itu, sebagai golongan yang diberikan peluang untuk menjadi peneraju dalam memperkasakan institusi masjid, amat rugi sekiranya peluang keemasan ini tidak dimanfaatkan dengan meletakkan nama sebagai mereka yang memberi sumbangan dan dicatitkan sumbangan itu oleh Malaikat yang diberikan tugasan untuk membuat catitan.

Sesungguhnya sumbangan hebat itu akan dicatit dan dinilai oleh Yang Maha Esa pada hari pembalasan dan anugerah yang tidak ternilai akan dikurniakan seperti apa yang telah dijanjikan olehNya.


BAHAN RUJUKAN

Basmeih, Abdullah, 2001, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran, Darul Fikir. Malaysia.

Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993

Al-Buti, Muhammad Said Ramadhan, 1991, Fiqhu As-Sirah An-Nabawiyyah Maa’ Maujiz Li Tarikh Al-Khulafa’ Ar-Rasyidah, Darul Fiqr. Damsyik

Dato’ Haji Wan Zahidi b. Wan Teh, 2002, Masjid Sebagai Hak Sultan, , Pencetakan Nasional Malayisa Berhad. Malaysia

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan, 2006, Institusi Majis Wilayah Persekutuan Labuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan. Malaysia

Ustaz Haji Mohamed Ali bin Haji Atan, Pengurusan Masjid: Pengalaman Republik Singapura

Fidlizan Muhammad, Mohd Yahya Mohd Hussin, 2009, Peranan Masjid Sebagai Institusi Sosio Ekonomi Bagi Membantu Masyarakat Menghadapai Krisis Ekonomi, Cahaya, Edisi Bil 9

No comments: