Pada hari ini saya dikunjung oleh dua orang wakil daripada Ikhwan Global (disebut sebagai Al-Arqam). Mereka menyatakan tujuan hanya untuk bertamu sahaja di pejabat. Memandangkan ketua jabatan tiada maka saya perlu memberi layanan terbaik. Bukan kerana mereka sebagai wakil Ikhwan Global (disebut Al-Arqam), tetapi kerana mereka berkunjung dan tetamu Jabatan. Layanan terbaik perlu diberikan agar Jabatan ‘Sentiasa Dicontohi’ sama seperti moto Jabatan kami.
Seorang daripada mereka (ketua rombongan) yang bernama Encik Mokhtar menyatakan kepada saya beliau pernah tinggal di W.P Labuan ini empat tahun lepas. Sewaktu Ustaz Asaari Muhamad (mereka menyebut sebagai Abuya dan saya tetap mengekalkan namanya sebagai Ustaz Asaari sahaja) dikenakan tahanan di Pearl Of Borneo ini. Saya lebih banyak mendengar cerita beliau.
Dalam leka menceritakan mengenai perihal beliau empat tahun dahulu dan pergerakan Ikhwan Global (disebut Al-Arqam) beberapa persoalan dilontarkan kepada saya. Antaranya mengapa Al-Arqam (Ustaz Asaari) tidak pernah didakwa di Mahkamah Syariah sama seperti apa yang dilakukan terhadap Cikgu Kahar (yang pernah mendakwa sebagai rasul Melayu dan meletakkan jawatan pula)? Saya hanya tersenyum dan menyatakan itu adalah bidang kuasa Ketua Pendakwa Syarie dan saya tidak tahu menahu.
Selain daripada itu saya dilontarkan soalan adakah Aurad Muhammadiah yang pernah diamalkan oleh mereka itu sesat atau sebaliknya? Soalan ini timbul apabila saya bertanya mengenai adakah mereka masih mengamalkan Aurad tersebut dan mereka menyatakan sudah tidak mengamalkan lagi (hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui). Jawapan saya mudah. Fatwa telah menyatakan ia sesat. Saya didesak lagi mengapa ia sesat dan apa pandangan saya. Menjawab persoalan tersebut saya memberi pendapat peribadi berdasarkan ilmu yang cetek Allah kurniakan hasil pembelajaran dan pembacaan saya. Aurad Muhammadiah tidak ada asal dari Rasulullah s.a.w. kandungannya turut agak pelik sebenarnya. Bagaimana seorang yang pernah mereka dakwa sebagai bakal Imam Mahdi (mereka nyatakan kepada saya Embah Agung) boleh menerima Aurad tersebut ‘direct’ daripada Nabi Muhammad s.a.w dalam keadaan jaga (mereka sebut secara yaqazah)? Ia mustahil.
Jikalau ini boleh berlaku mengapa pada masa pertelingkahan di zaman Saidina Uthman, Ali dan Muawiyyah tiada seorang sahabat pun pernah diriwayatkan beryaqazah dengan Rasul S.A.W bagi menyelesaikan permasalahan. Jika ia benar boleh pasti tidak akan berlaku Perang Jamal, pertelingkahan Ahli Bit dan Muawiyyah dan lain-lain lagi. Mereka semua lebih rapat dengan rasul dan digelar sebagai umat terbaik melalui lidah Rasul.
Mereka ada menyatakan bahawa Imam Ghazali dan Imam Sayuti pernah banyak kali beryaqazah dengan Rasul seperti mana yang disebut di dalam kitab mereka. Jika ada saya perlukan bukti. Bahan tersebut perlu dinilai kesahihannya. Saya tidak mahu hanya mendengar dari mulut sahaja. Ini kerana sudah banyak kali saya mendengar daripada mereka. Tetapi datangkan bukti kerana saya sememangnya kurang berpeluang menelaah buku-buku karya agung ulama lama. Saya mengambil ini daripada pengalaman apabila satu ketika dahulu mereka pernah mendakwa kepada saya (seorang anak Asaari yang pernah dikenakan tahanan rumah di satu kawasan di Pahang) bahawa Asaari sujud panjang (mungkin tuan pernah dengar berkenaan isu ini satu ketika dahulu) berdasarkan apa yang disebut di dalam kitab Nailul Autar. Malangnya apabila saya membelek satu persatu kitab tersebut bersama rakan bernama Encik Hakim Bin Rosli (sekarang bertugas di Universiti Darul Iman sebagai part time lacturer) tidak ditemui.
Saya bersyukur mereka sudi untuk berkunjung ke Jabatan saya. Sebagai jabatan yang bersungguh-sungguh merialisasikan matlamat 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan kami akan menerima kunjungan semua pihak tetapi saya tetap akan berpegang Aqidah Murni perlu digenggam. Biar tangan saya melecuh kerana menggenggam aqidah jika ia sepanas bara api tetapi untuk melekehkan ia tidak sama sekali.
No comments:
Post a Comment