Thursday, July 8, 2010

Zahirkan Keindahan Al-Quran Melalui Bacaan Bertarannum

Disiarkan di dalam Daily Mail pada 8 Julai 2010

 
Beberapa hari yang lepas seluruh negara baru menyaksikan kemuncak Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah. Apa yang amat membanggakan, Wilayah Persekutuan telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan. Kejayaan tersebut berdasarkan kepada kriteria dan disiplin yang ditetapkan di dalam pertandingan, telah berjaya diikuti oleh wakil Wilayah Persekutuan dan membuahkan hasil. Antaranya, ketepatan sebutan, kefasihan dan kelancaran dalam membaca Al-Quran di samping kelunakan suara mengalunkan ayat-ayat suci mengikut tarannum yang betul.



Tarannum Al-Quran merupakan satu disiplin ilmu yang menentukan kaedah bagi menambahkan keelokan seni bunyi sesuatu bacaan dalam mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Sekiranya disiplin ini dapat dikuasai dengan baik, ia mampu mempesonakan para pendengar terhadap ayat-ayat suci Al-Quran.



Menguasai disiplin ilmu ini bagi dipraktikkan dalam membaca ayat-ayat suci Al-Quran merupakan satu tuntutan di dalam Islam. Menurut Islam membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan tarannum yang betul merupakan satu sunnah. Mereka akan diberi ganjaran besar di sisi Allah Taala. Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seseorang yang mahir membaca Al-Quran akan ditempatkan di syurga bersama para malaikat. Oleh itu hiasilah Al-Quran dengan suaramu.”



Rasulullah SAW amat mementingkan agar ayat-ayat suci Al-Quran dibaca dengan bertarannum.. Ia amat jelas melalui sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam Sahihnya, Rasullullah SAW telah bersabda: “Bukanlah umat kami mereka yang tidak bertaranum dengan Al-Quran.”



Rasulullah SAW turut mengatakan bahawa membaca Al-Quran dengan suara yang baik boleh menghiasi lagi keindahan Al-Quran. Ini sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan oleh Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Hiasilah Al-Quran dengan suaramu, kerana suara yang baik akan menambah keelokan Al-Quran.”



Baginda sendiri mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dengan suara yang amat sedap didengar. Dalam sebuah hadith Rasullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, daripada Al-Bara Ibn Azib r.a, beliau menyatakan: Aku mendengar Nabi SAW membaca Surah At-Tin ketika solat Isya’ dan aku tidak pernah mendengar suara semerdu suaranya.



Selain daripada itu Rasulullah SAW turut memuji para sahabat yang mengalunkan bacaan Al-Quran dengan suara yang merdu. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim menceritakan pernah satu ketika baginda mendengar Abu Musa Al-Asyari membaca Al-Quran dengan suara yang merdu lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kamu dianugerahkan seruling dari seruling keluarga Daud a.s.



Menurut Imam Ibn Battal di dalam Kitab Syarah Al-Bukhari, beliau menyatakan bahawa Saidina Umar r.a pernah meminta kepada Abu Musa Al-Asy’ari r.a membaca Al-Quran di hadapannya. Abu Musa r.a membaca sambil bertarannum. Kemudia Umar r.a berkata: Sesiapa yang mampu bertaranum seperti Abu Musa, silalah!”. Riwayat ini menggambarkan betawa sahabat rasullullah SAW yang bernama Umar Al-Khattab ini amat memuliakan mereka yang mampu membaca Al-Quran dengan baik dan bertarannum.



Antara kelebihan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan bacaan yang betul dan merdu mampu menarik perhatian manusia kepadanya. Sebagai contoh, Umar Al-Khattab r.a telah memeluk Islam dengan sebab tertarik dan terpesona mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan oleh adiknya. Walaupun pada ketika itu, beliau amat benci dengan Islam, akan tetapi keindahan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca dengan merdu telah menyejukkan hatinya dan memberikan kepadanya hidayah Allah SWT.



Berdasarkan kepada hadith-hadith tersebut, maka sebagai umat Islam kita perlulah berusaha untuk memperbaiki bacaan Al-Quran dan sedaya upaya menguasai disiplin ilmu tarannumnya. Selagi masih ada umur dan asa, usaha untuk meningkatkan kemahiran itu perlulah dilakukan. Serlahkanlah keindahan ayat-ayat suci Al-Quran yang merupakan mukjizat agung Rasulullah SAW. Buktikanlah keindahan ayat-ayat suci Al-Quran yang tiada tandingan dan sudah terbukti di seantero dunia.



Renung kembalilah cabaran yang pernah Allah Taala berikan kepada golongan yang ingkar bagi mendatangkan satu surah yang mampu menandingi ayat-ayat suci Al-Quran lebih 1400 tahun yang lalu. Ia masih lagi tidak ada yang mampu menyahut. Mereka yang ingkar terus bungkam dan membisu kerana tidak mampu mencari kecacatan daripada keindahan ayat-ayat suci Al-Quran. Hanya fitnah dan tohmahan yang mampu diberikan tanpa berjaya mendatangkan bukti dan fakta benar. Keindahan ayat-ayat suci Al-Quran tetap tidak mampu dipertikaikan.



Tetapi apa yang amat mendukacitakan pada hari ini, kebanyakan umat Islam sudah tidak merasa keindahan ayat-ayat suci Al-Quran. Tidak juga menjadi satu kehairanan, ramai golongan yang tidak celik Al-Quran. Kekurangan ini sebenarnya merupakan satu malapetaka yang amat besar.



Sebagai golongan yang mendambakan syafaat Rasulullah SAW di hari pembalasan nanti, perlulah kita berusaha untuk menjadi umat yang terbaik dengan melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan RasulNya. Oleh itu, marilah kita berusaha dan terus berusaha agar kita mampu membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan baik dan dapat berinteraksi serta memahaminya dengan amat cemerlang.




Monday, June 21, 2010

KHATIJAH AAM SETANDING PENULIS HERRY PORTER

Dewan Bahasa dan Pustaka harus memberi pengiktirafan ke atas Khatijah Aam, balu kepada Asaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya oleh pengikutnya. Ini berdasarkan kepada penulisan kreatif yang banyak dihasilkannya. Novel atau buku cerita yang dihasilkan amat setanding dengan novel JK Rowling yang menghasilkan karya hebat, Herry Porter. Malah jika diteliti dan diperhalusi Khatijah lebih hebat daripada JK Rowling. ini kerana novel JK Rowling semenangnya hanya dibaca untuk dijadikan hiburan tetapi novel hasil penulisan Khatijah Aam mampu membuatkan sebahagian masyarakat lupa dan alpa.

Antara karya hebat Khatijah Aam yang mungkin sukar untuk dilupakan adalah “ABUYA ASAARI MUHAMMAD: PEMIMPIN PALING AJAIB DI ZAMANNYA", yang mengisahkan mengenai kehebatan seorang lelaki yang bernama Asaari. Memiliki kuasa ajaib seperti Harry Porter dan kehebatan lain menyebabkan novel ini mampu memukau para pembacanya.

Karya kreatif Khatijah Aam yang kini bergelar balu selain daripada “ABUYA ASAARI MUHAMMAD: PEMIMPIN PALING AJAIB DI ZAMANNYA", yang kini heboh dicari dipasaran adalah Tsunami: Bukti Abuya Putra Bani Tamim. Buku ini tidak kurang hebatnya. Kehebatan dan megic yang dimiliki oleh watak utama dalam novelnya semakin terserlah. Beliau masih terus mengekalkan watak Abuya sebagai hero dalam novelnya. Amat menarik dan tidak membosankan. Abuya yang dinyatakan hebat dikatakan mampu mencipta Tsunami dan mampu menyelamatkan mangsa Tsunami hanya dengan menyebut namanya.

Berdasarkan kepada pengamatan pasaran novel-novel kreatif, dirasakan penulis-penulis kreatif kontemporari perlu mengikut jejak langkah Khatijah Aam. Beliau yang kini semakin melonjak namanya telah berfikir di luar kotak pemikiran manusia biasa demi melahirkan novel-novel hebat. Ini amat jelas, dengan muncul genre novel seumpama ini maka novel-novel kreatif jiwang dan lembap tidak akan mampu bernafas lagi.

Tahniah kepada Khatijah Aam. Penulis kreatif yang bakal menjulang namanya hasil daripada novel-novel fantasi. Teruskan usaha bagi memartabatkan dnia kreatif tanah air dengan novel-novel hebat.

Wednesday, April 14, 2010

DR ASRI: JANTUNG BUKAN HATI

bila baca artikel Dr. Asri di dalam blognya teringat saya perbincangan di dalam kelas dahulu sewaktu masih menuntut di Pusat Matrikulasi UIAM di Petaling Jaya. Guru saya pernah mengutarakan penterjemahan yang agak kurang tepat berkenaan Qalb. mungkin apa yang diutarakan oleh Dr. Asri agak sukar untuk diubah tetapi demi menjamin tradisi ilmu yang tepat perlu disebarkan rasanya tidak sukar untuk kerajaan menggembeling satu usaha. lakukanlah seperti mana yang dilakukan ke atas brand beberapa jabatan kerajaan yang asyik bertukar-tukar sahaja seperti Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan dan macam-macam lagi.

mari sama-sama kita renungi apa yang diutarakan oleh Dr. Asri..



JANTUNG BUKAN HATI

Pernah seorang pakar jantung bertanya saya tentang sabda Nabi s.a.w: “Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!”. Dia bertanya saya mengapakah Nabi s.a.w menyebut ‘hati’ tidak menyebut jantung sedangkan jantung adalah organ terpenting dan penentu dalam tubuh manusia.



Saya jawab: Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu, Nabi s.a.w tidak pernah menyebut ‘hati’, sebaliknya menyebut al-qalb iaitu jantung. Adapun hati dalam bahasa Arab disebut kabid. Namun, malangnya dalam bahasa Melayu jantung selalu diterjemah sebagai hati. Sedangkan bahasa Inggeris menterjemah dengan betul iaitu ‘heart’ yang bermaksud jantung.



Cumanya, orang Melayu menterjemahkan ‘you are in my heart’ sebagai ‘awak dalam hatiku’ padahal hati dalam bahasa Inggeris ‘liver’ bukan ‘heart’. Namun ‘heart attack’ tetap sebagai serangan jantung, tidak pula serangan hati.

Begitu ‘heart disease’ sebagai penyakit jantung. Mungkin kerana ia berkaitan sakit, jika salah terjemah buruk padahnya. Jangan sampai doktor yang sepatutnya membedah jantung dibedahnya hati. Orang boleh derma hati dan terus hidup, namun tidak mungkin boleh derma jantung dan terus hidup.

Qalb dan Qulub

Al-Quran dan Sunnah menggunakan perkataan qalb (jantung) atau qulub (jantung-jantung) sebagai kata jamak atau plural untuk qalb. Sejak dahulu perkataan qalb difahami oleh orang Arab sebagai organ yang tergantung dalam tubuh manusia.

Dalam kamus rujukan bahasa Arab yang terpenting, iaitu Lisan al-‘Arab, pengarang Ibn Manzur (meninggal 711H) menyatakan: Al-Qalb: segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar tempat ia bergantung” (Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab 1/687, Beirut: Dar al-Fikr).

Disebabkan perkembangan ilmu perubatan, maka dalam kamus Arab moden takrifan lebih terperinci. Dalam al-Mu’jam al-Wasit disebut: “al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri” (al-Mu’jam al-Wasit, 2/753).

Ini sama dengan maksud jantung dalam Kamus Dewan Bahasa: “Organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan” (Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-3, 519).

Jelas, qalb atau kata jamaknya qulub yang digunakan oleh orang Arab, demikian digunakan oleh al-Quran dan Hadis tidak merujuk kepada hati, tetapi merujuk kepada jantung. Terjemahan Inggeris lebih tepat iaitu ‘heart’. Malangnya, hingga terjemahan heart dari Inggeris ke melayu juga tidak stabil kerana kadang-kadang diterjemah sebagai hati, kadang-kadang diterjemah sebagai jantung.

Kekeliruan

Kekeliruan dalam memberikan maksud qalbu atau heart ini telah menyebabkan Kamus Dewan Bahasa memberikan maksud perkataan hati yang pelbagai. Disebut dalam Kamus Dewan: “Hati: 1. organ dlm badan yg berwarna perang kemerah-merahan di dlm perut di bahagian sebelah kanan…2. = jantung.. 3. batin (tempat perasaan, pengertian)..”. (ibid, 445).

Sementara itu dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Jurnal Bahasa DBP (Jilid 5, Bilangan 4, 2005) Imran Ho Abdullah dan Norsimah Mat Awal cuba memberikan maksud hati secara konsep dan metafora dalam bahasa Melayu. Artikel mereka itu berjudul “Pengkonsepsian dan Pemetaforaan Hati”.

Namun saya melihat, justifikasi bahasa di sudut konsep dan metafora yang cuba diberikan dan juga kepelbagaian maksud hati sehingga diterjemahkan salah satunya sebagai jantung, tetap mengelirukan bagi memahami maksud asal qalb dalam al-Quran dan Hadis.

Bahkan penyataan hati bermaksud jantung dalam bahasa Melayu itu sendiri boleh mengelirukan kerana keduanya organ yang berbeza. Apatahlagi, kajian saintifik moden benar-benar membezakan peranan antara kedua organ tersebut.

Jika pun boleh diterima, salah satu pengertian hati itu disebutkan oleh Kamus Dewan sebagai batin atau tempat perasaan. Ini hampir ada persamaan dengan maksud akal (al-‘Aql) yang sebut juga sebagai salah satu maksud qalb dalam Lisan al-‘Arab (m.s 687).

Maka perkataan qulub atau qalb dalam nas-nas Islam lebih tepat diterjemahkan sebagai jantung, atau jika hendak digunakan juga perkataan hati mungkin boleh disebut ‘jantung hati’. Sebahagian penulis atau pembicara suka menggunakan perkataan ‘kalbu’ seperti ungkapan dalam ‘dalam kalbuku ini’.

Perkataan kalbu dianggap sebagai ungkapan qalb dalam yang dimelayukan. Ya, mungkin boleh, tetapi bagi yang mengetahui bahasa Arab ia agak berat sebab kalb iaitu dengan huruf ‘kaf’ (=kalb atau kalbun) dalam Bahasa Arab bermaksud anjing. Jika dengan huruf ‘qaf ‘ (=qalb atau qalbun) barulah bermaksud jantung.

Al-Quran dan Hadis

Hari ini dengan kemajuan sains dan teknologi, begitu banyak mukjizat sains dalam al-Quran dan Hadis ditemui. Maka, menterjemah perkataan qalb atau qulub dalam kedua sumber itu dengan maksud asalnya iaitu jantung adalah suatu kemestian. Jika tidak, nanti orang Melayu gagal memahami rahsia saintifik di sebalik perkataan tersebut. Amat besar perbezaan fungsi antara jantung dan hati!

Dengan itu kita sepatutnya menukar terjemahan ayat-ayat al-Quran seperti: “dalam hati-hati mereka ada penyakit” (al-Baqarah: 10) dengan “dalam jantung-jantung mereka ada penyakit”. Begitu juga: “mereka berkata dengan mulut-mulut mereka, apa yang tiada dalam hati-hati mereka” (Ali ‘Imran: 167), diterjemahkan “…apa yang tiada dalam jantung-jantung mereka”. Begitulah seterusnya. Bahasa Inggeris telah menterjemah dengan tepat seperti “in their hearts is disease..”, “..what was not in their hearts”.

Ini bukan kerana ingin menyalahkan bahasa kita yang telah berjalan sejak sekian lama. Namun, tujuannya bagi mendekatkan kefahaman secara lebih tepat penggunaan perkataan yang dipilih oleh al-Quran dan Hadis atau dalam Bahasa Arab. Perkembangan ilmu terutamanya sains juga mengajak kita lebih teliti terhadap istilah-istilah al-Quran dan Hadis ini. Sekali lagi, jantung bukan hati!

MINYAK PENGASIH... APA SUDAH JADI NI...

Cuba renung betul-betul berita ni...


KUALA TERENGGANU: Mengejutkan apabila seorang penjual minyak pengasih, di sini mendedahkan bahan yang dulunya sering ‘diburu’ pasangan sudah berkahwin demi menambat hati pasangan, kini menarik minat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang sanggup membayar sehingga RM450 untuk mendapatkan sebotol minyak berkenaan.

Nor Rohani Yusuf, 45, dari bandar raya ini, memberitahu, minyak berkenaan yang berharga tinggi mendapat permintaan luar biasa di kalangan penuntut IPT luar bandar dan kebanyakannya menggunakan minyak itu untuk menawan hati serta menundukkan gadis diminati.

"Ada antara mereka melanggan dengan saya dan mendapatkan minyak ini setiap bulan. Setiap kali ada pelanggan, saya bertanya apa tujuannya dan ramai yang mengaku menggunakan minyak ini untuk mendapatkan gadis yang mereka sukai kerana sukar menawan hati mereka jika memikat dengan cara biasa.

"Kebanyakan yang datang untuk mendapatkan minyak ini adalah pelajar IPT dari luar bandar. Minyak ini sangat berkesan dan dapat memikat sesiapa diingini. Namun, saya sentiasa menasihatkan pelanggan terutama pelajar supaya tidak menggunakannya kerana boleh memudaratkan.

"Tujuan asal saya menjual minyak pengasih ini adalah untuk membantu pasangan suami isteri yang mempunyai masalah rumah tangga kerana ia dipercayai dapat mengembalikan ikatan kasih sayang seperti sedia kala," katanya ketika di temui di sebuah lokasi beli belah terkemuka di sini, semalam.

Dengan jujur, Nor Rohani berkata, kebiasaannya dia turut menawarkan khidmat tambahan kepada pelanggan dengan menitiskan darah yang diambil dari jari kelingking pembeli ke dalam minyak pengasih itu selain membacakan mantera, bagi memastikan kemujarabannya.
"Saya akan bacakan sedikit mantera dengan nama pembeli dan titiskan darah mereka dan setakat ini memang mujarab. Sejak berniaga hampir 10 tahun, belum ada lagi mengadu minyak pengasih yang saya jual tidak mujarab.

"Sebenarnya saya terkejut kerana beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan pembeli minyak pengasih ialah kalangan penuntut IPT. Kebiasaannya, stok antara 10 hingga 20 botol habis dijual dalam masa seminggu. Namun, di samping penuntut IPT, ada juga warga berusia datang untuk mendapatkan minyak ini," katanya.

Dia berkata, bekalan minyak pengasih itu diperoleh dari negara jiran, namun untuk mendapatkan bekalan bukan mudah kerana ia perlu diproses terlebih dulu sebelum dijual kepada pelanggan.

"Saya menjual yang asli saja iaitu yang diperbuat dari akar cenuai asli dari Thailand dan resipi adunannya dipelajari daripada arwah bapa yang berguru dengan tok sami dari sana. Selain menjual minyak cenuai, saya turut menjual minyak buluh perindu dengan harga RM300 sebotol.

Ulasan Suara Labuan;

Apa sudah jadi dengan masyarakat. Masih percaya lagi ke dengan minyak pengasih ini. Hentikan lah. Cuba perhatikan apa yang dinyatakan sendiri oleh penjual minyak pengasih ni... ia dihasilkan dengan ada mentera la. Mentera apa? Entah lah. Dia belajar pun amik ilmu warisan daripada ayahnya yang menuntut ngan tok sami.. tak kan tok sami ajar jampi serapah menggunakan ayat quran pulak yer... Entah apa yang dibaca... Hanya Allah sahaja yang tahu..

Fikir-fikirkan lah... sudah zaman maju masih nak benda-benda ni... teringat saya cerita yang saya tonton di TV3 pada hari Isnin... Once Upon A Time In China 2... Wong Feng Hong cukup marah kerana orang percaya dengan kumpulan teratai putih yang kononnya dilindungi dewa... sebenarnya semua yang mereka buat dibuktikan palsu oleh Wong... Ajaran sesat la yang layak diberikan pada kumpulan teratai putih tu...

Oleh itu... mari kita renung betul-betul, adakah kita nak tergolong dalam kumpulan yang terkeluar dari garisan Al-Quran dan As-Sunnah... siapa yang terlibat dengan minyak pengasih tu fikir-fikirkanlah...

*Syukur penulis artikel ini tidak sertakan seklai alamat dan nombor telefon si penjual minyak pengasih tu... kalau tidak confirm mak cik tu boleh jadi jutawan segera... semakin ramailah golongan keluarga dan kaum kerabat Pak Syaikh Tan di negara kita..

Tuesday, April 6, 2010

Oh... Masyarakat.....

Pulang sahaja dari pejabat jam lebih kurang jam enam petang saya terus bergegas ke Surau Kampung Sungai Labu. Amat sedih saya tidak dapat bersama-sama jemaah yang lain bersolat Maghrib dari awal. Selesai sahaja solat dan berdoa saya bertemu dengan saudara saya yang menimami solat kami. Saudara Firdaus. Beliau sekarang bertugas di Pejabat Mufti W.P Labuan. Syukur ke hadrat Allah walaupun saudara Firdaus masih berusia muda remaja tetapi hati beliau rapat kepada rumah Allah. Mampu mengimami kami semua. Alhamdulillah.

Lebih kurag jam tujuh malam saya yang masih berpakaian kerja lagi terus menuju ke Masjid Kampung Sungai Lada. Jaraknya tidak berapa jauh sangat. Hanya mengambil masa tidak sampai sepuluh minit mengikut cara pemanduan saya yang menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran WEQ 7882.

Setibanya di Masjid itu, saya mendengar ada perbicaraan halaqah agama. Saya terus menunaikan solat tahiyatul masjid sebelum duduk mendengar butir percakapan seorang anak muda yang berjubah dan berserban di mana ia duduk di atas kerusi berwarna putih.

Anak muda yang saya rasakan berusia di awal dua puluhan itu membicarakan berkenaan kebesaran dan kehebatan Allah. Baik butir bicaranya. Tidak ada yang menyimpang. Apa patah perkataan yang diulang-ulang adalah membesarkan Allah melalui kata-kata bagi meresapi kebesaran Allah di hati. Ada benarnya kata-katanya. Anak muda tersebut dan audience yang mendengar adalah daripada Jemaah Tabligh.

Selesai daripada majlis itu seorang daripada mereka bertemu saya. Bertanya khabar dan asal usul saya. Meramahkan bicara walaupun badan terasa amat letih dan lesu saya menjawab dengan sejujurnya. Biar mereka merasa mesra.

Antara butir percakapan yang diperbualkan adalah mengenai masyarakat ada yang membenci Jemaah tabligh apabila mereka mengimarahkan masjid dengan aktiviti Jemaah Tabligh yang tersendiri. Saya agak terkejut. Mengapa?

Saya bukan seorang pengikut Jemaah Tabligh. Saya juga bukan seorang yang menyokong apa-apa pergerakan secara membabi buta. Saya masih ada mata. Saya masih ada hati. Tahu membezakan lagi apa yang baik dan buruk.

Mengapa harus membenci mereka? Mereka tidak ada mengatakan benda yang salah. Apa yang saya dapat katakan, anak muda yang member tazkirah itu seorang yang masih belajar berpidato dan berceramah. Ia berkemungkinan seorang yang bungkam dan bisu untuk berbicara mengenai agama jika dia bercampur dengan anak muda yang hebat memetik gitar di perhentian bas berdekatan Taman Mutiara. Dia mungkin tidak akan berada di rumah Allah pada ketika itu juka dia salah seorang anak muda yang gemar melepak di Ujana Kewangan. Tetapi anak muda tersebut amat berbeza. Oleh itu, adakah masyarakat yang membenci dan mencemuh mereka tidak celik mata. Oleh itu. Cubalah fikir dan renung-renungkan.

Wallahu A’lam…

Monday, April 5, 2010

Bekas imam dipenjara enam tahun miliki ganja

KOTA BHARU: Seorang bekas imam hari ini dihukum penjara enam tahun Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki kanabis tahun lalu.




Che Shamsuddin Che Long, 61, yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan itu kelihatan tenang apabila dijatuhkan hukuman oleh Hakim Dazuki Ali. Tertuduh yang berasal dari Kampung Beris Tengah, Tanjong Pauh, Bachok didakwa memiliki tujuh batang balutan kertas putih berisi bahan tumbuhan kering dadah jenis kanabis seberat 57.7 gram pada 15 April tahun lalu, pada jam 8.30 malam di sebuah rumah tidak bernombor di kampung itu. Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dua batang kertas putih berisi tumbuhan kering dadah jenis kanabis seberat 12.65 gram pada tarikh dan tempat sama, pada jam 7.50 malam.



Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.



Dazuki menjatuhkan hukuman penjara enam tahun atas kesalahan pertama dan penjara dua tahun bagi kesalahan kedua, dengan hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan.



Sebelum menjatuhkan hukuman, Dazuki menasihatkan Che Shamsuddin supaya insaf dengan kesalahan yang dilakukan selain sedar tertuduh adalah seorang yang dihormati berdasarkan statusnya itu dan telah empat kali menunaikan haji.

"Saya pertimbang umur pak cik dalam menjatuhkan hukuman dan insaflah ini bukan permainan orang seusia pak cik tetapi mainan budak-budak," katanya.



Tertuduh yang mempunyai tujuh anak berusia antara 22 dan 39 tahun itu turut ditanya kenapa terjerumus dalam kes dadah itu namun tertuduh hanya menjawab "tidak tahu" dan menjelaskan beliau ke Makkah dalam tempoh 1989 sehingga 2004 menggunakan wangnya sendiri.



Dazuki turut memberikan perumpamaan kepada tertuduh iaitu: "Pakai kopiah pun boleh gelecoh (niat yang melencong) seperti nak pergi masjid tetapi singgah minum kopi atau teh yang airnya panas, kemudiannya lewatlah hendak ke masjid".



Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Rehan Mohd Aris manakala tertuduh diwakili peguam Azahir Nasir. - Bernama Komen Anda


Ulasan SL;

Apa sudah jadi... Tapi saya tidak agak terkejut. berdasarkan perbualan saya dengan beberapa orang yang pernah saya temui yang terlalu mengagungkan dunia sufism (bukan semua sufi ye..) berkhayal dengan beberapa jenis dadah adalah perkara biasa. Ia dikatakan sebagai alat untuk meningkatkan 'rasa' kepada Pencipta. fikir-fikirkanlah....


Wallahu A'lam

Sunday, April 4, 2010

Jawatankuasa Pemikir Penggerak Dakwah Peringkat W.P Labuan

1 April 2010 saya telah dijemput menghadiri satu perjumpaan Jawatankuasa Pemikir Penggerak Dakwah Peringkat W.P Labuan. Baru sahaja memulakan tugas pada hari tersebut, setelah bercuti agak panjang di Johor Bahru membuatkan saya agak kurang bersedia untuk bersama-sama mencetuskan pandangan bernas dan bijaksana. Saya agak berdiam diri pada permulaan perbincangan dan hanya agak lantang bersuara pada kemuncak perbincangan. Mungkin sebahagian kawan-kawan yang duduk bersama di dalam Jawatankuasa tersebut merasakan bahawa enjin saya sudah mula panas. jejeje...

Bukan begitu... Sebenarnya apabila dijemput untuk bersama-sama duduk di dalam mesyuarat tersebut saya merasakan amat bertuah dan memikirkan ia satu tanggungjawab yang amat berat. Ini kerana bergerak untuk berdakwah lebih mudah daripada menjadi pemikir untuk orang bergerak. Jika pemikir mati... maka hancurlah orang yang nak bergerak...

Oleh itu... saya hanya memohon agar Allah membantu agar Jawatankuasa tersebut akan terus releven dan ia bukan berdiri atas nama sahaja... Amin..

Friday, February 26, 2010

MEMANTAP UKHUWAH MEMPERKASA UMMAH

Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah itulah tema bagi sambutan Maulidur Rasul s.a.w bagi tahun ini. Tema yang cukup ringkas tetapi membawa makna yang cukup mendalam dan tepat bagi keadaan semasa pada hari ini. Bukan ia merupakan mesej baru Islam untuk dipromosikan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul tetapi saya menganggap ia merupakan satu penekanan bagi memperingatkan umat Malaysia keseluruhannya berkenaan mesej Islam yanng dibawa oleh nabi junjungan besar Muhammad s.a.w.

Dalam mengejar kemajuan dan sasaran negara maju menjelang 2020 ummah yang perkasa merupakan elemen penting. Dan ummah yang perkasa itu akan wujud sekiranya ukhuwwah yang mantap wujud. Lihatlah contoh teladan yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w dalam langkah awal membina daulah Islamiyyah di Madinah Munawwarah.

Langkah yang mula-mula dicatur adalah dengan memperkasakan ummah. Umat Islam dan bukan Islam pada ketika itu diikit dengan perjanjian bagi mengorak langkah untuk memperkasakannya. Bersendikan petunjuk Allah nabi berjaya melaksanakannya. Ummah pada ketika itu cukup perkasa.

Bagi memperkasakan itu, Nabi telah memantapkan ukhuwwah mereka. Kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan. Hubungan persaudaraan mereka lebih daripada ikatan saudara kerana darah dan keturunan. Manakala hubungan dengan mereka yang bukan Islam toleransi dan saling menghormati diutamakan. Tidak ada perbezaan warna kulit, keturunan dan bangsa. Cukup gah. Penghinaan tidak wujud dalam masyarakat. Begitu juga sifat berpuak-puak tidak menular.

Hinggalah daulah agung berjaya dibina yang menjadi tonggak sehingga Islam mampu disebarkan hampir meliputi keseluruhan muka bumi. Semua itu berlaku tidak lain dan tidak bukan kerana Nabi s.a.w mencatur menggunakan petunjuk wahyu Allah Taala.

Begitulah serba ringkas rumusan sejarah yang dapat digambarkan berkaitan Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah sehingga daulah Islamiah dapat dibanggakan.

Bak kata bijak pandai, sejarah mengajar kita. Sejarah juga panduan kita. Adakah kita masih lagi hendak berkira-kira lagi formular magic bagi menuju negara maju? Jika kita masih lagi ingin mencari formula tidak ada siapa yang menghalang. Tetapi apa yang saya ingin katakan, tak perlu lah nak buang masa. Hayatilah tema Maulud tahun ini dan mari kita berusaha memantapkan ukhuwah dikalangan kita agar ummah yang perkasa dapat direalisasikan.

Rapatkan tali persaudaraan dan berganding bahulah. Jangan bermusuh-musuhan. Ingat! Tidak salah jika kita berbeza pendapat tetapi janganlah sampai caci mencaci dan kutuk mengutuk. Jika itu masih mahu dikekalkan jangan haraplah nak mencapai matlamat ummah yang perkasa. Jika umat tak perkasa mampukah kita menjadi negara maju. Fikir-fikirlah sendiri.

Akhir sekali, renung-renungkan lah tema Maulidur Rasul pada tahun ini dan marilah kita sama-sama kembali kepada petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah.

Wednesday, February 24, 2010

BERARAK KE....

Tanggal 26 Februari 2010 bersamaan 12 Rabiul Awal 1431 yang jatuh pada hari Jumaat merupakan cuti umum di Malaysia. Cuti bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul s.a.w. Bersempena dengan tarikh itu, pelbagai agenda telah disusun atur oleh beberapa Jabatan Kerajaan dan agensi-agensi bagi mengadakan sambutan. Adat kebiasaan yang sudah kerap dilaksanakan di Negara kita adalah dengan berarak. Berarak sambil bersalawat.

Apa yang agak mendukacitakan apabila ada beberapa pihak mula bertelagah berkenaan perarakan tersebut. Ada yang menyentuh jalan raya bukan sebagai tempat acara keagamaan, ia merupakan bidaah dan macam-macam lagi.
Persoalannya, adakah ada pihak yang mengatakan bahawa berarak pada 12 Rabiul Awal sebagai satu ibadah sehingga perlu mengatakan ia bidaah. Jika ada yang mengatakan dan mempertahankan jawapan yang paling tepat berarak itu bukan satu ibadah dan siapa yang melakukan adalah mubtadi’.

Jika dilihat dan diperhatikan berarak itu satu adat sahaja. Adat untuk melahirkan rasa kegembiraan. Rasa kesyukuran. Ramai-ramai keluar berarak. Sambil bersalawat. Banyak hikmahnya.

Jadi, sebenarnya janganlah perkara remeh diperbesar-besarkan sehingga ada bermasam muka dan caci mencaci. Perkara mudah jangan disusahkan.

Akhir kata selamat bercuti bersempena sambutan Maulidur Rasul s.a.w. Syukur duduk di Malaysia dapat cuti Jumaat ni.. Nikmat Allah..

Sunday, January 24, 2010

Kehilangan Sultan berjiwa rakyat amat menyentuh hati. Sebagai anak jati Johor kemangkatan Al-Marhum Sultan amat terasa kehilangannya. Baginda sememangnya berjiwa rakyat dan amat pandai bermesra dengan rakyatnya.

Semoga roh Al-Marhum Sultan akan ditempatkan bersama kekasih Allah Taala hendaknya.

Tuesday, January 5, 2010

SELAMATKAN NAMA ALLAH

Kecoh.. sungguh kecoh… bagaimana Mahkamah Tinggi membuat keputusan membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly. Itulah yang asyik diperbicarakan sana sini. Pelbagai pihak telah membuat bantahan. Mereka terdiri daripada akademis, ahli politik dan semua golongan. Sudah tidak kira fikrah politik atau apa sahaja. Semua sebulat suara menentang dan tidak senang dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi. Itulah semangat Melayu. Walau bagaimanapun berbeza pandangan dan bermasam muka akan tetap bersatu dalam mempertahankan perkara yang boleh mencemarkan akidah dan menghancurkan Islam.


Dalam kecoh berkenaan perkara ini, saya turut merasa bahangnya. Setibanya saya di Labuan setelah balik bercuti di Johor Bahru malam semalam, soalan pertama yang diajukan berkenaan isu nasional dan global kepada saya sewaktu minum malam di Restoran Island Tomyam, labuan adalah berkenaan kebenaran Mahkamah Tinggi membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitannya.
Saya rasa apa yang saya jelaskan kepada mereka tidak ada jauh perbezaa

n dengan apa yang disampaikan oleh golongan bijak pandai yang telah terpampang di dada-dada media dan blog rakan-rakan lain yang membantah. Pandangan Dr. Asri saya nyatakan, pandangan Saudara Zamihan saya utarakan, pandangan Tok Guru Nik Aziz saya sampaikan. Semua pandangan mereka ada betulnya.


Sebenarnya, sejak saya berada di Labuan dan bergaul dengan kawan-kawan serta teman-teman di Labuan, Sabah dan Sarawak bukan satu kejanggalan mendengar orang bukan Islam menyebut nama Allah dan memuju nama Allah. Cuma yang saya masih tidak kedengaran mereka menghina nama Allah.


Mereka hanya menyebut nama Allah dengan kalimah Astaghfirullah, Subhannallah, InsyaAllah dan beberapa perkataan lain. Mereka tidak pernah berbicara bab tuhan yang mereka yakini dengan menyebut tuhan mereka dengan nama Allah. Jika Kristian hanya menyatakan Tuhan atau Jesus atau apa yang biasa mereka sebut.


Saya yakin mereka faham untuk menyatakan dan menyebut nama tuhan mereka sebagai Allah adalah tidak tepat. Ia seperti menyebut nama Tuhan yang diyakini umat Islam. Hanya umat Islam sahaja yang menyebut tuhannya tidak kira dalam apa situasi dan keadaan sebagai Allah. Dan mereka juga faham bahawa Allah itu bukan dari bahasa Melayu untuk diguna pakai oleh orang di Malaysia yang bukan beragama Islam.


Sekiranya beralasankan kepada penggunaan nama Allah dalam penerbitan untuk memberi kefahaman kepada mereka yang hanya mampu Berbahasa Melayu adalah alasan yang cukup bodoh untuk diterima. Allah itu nama Agong yang diambil dari Bahasa Arab. Ia sudah menjadi kata nama khas. Jadi dikekalkan.


Dalam blog Saudara Zamihan (http://al-ghari.blogspot.com/2010/01/penyelewengan-tauhid-dan-kalimah-allah.html) beliau ada menyebut dan menyatakan perkataan nama Allah yang didefinasikan di beberapa buah kamus. Lihatlah apa definasi yang dibawa itu.


Begitu juga ada kebenaran apa yang Saudara Zamihan nyatakan. Perlu dibaca dan difikirkan.
Begitu juga apa yang dipaparkan dalam blog Dr. Asri ada benarnya. Memang benar nama Allah diguna pakai oleh orang Musyrikin pada zaman rasulullah. Dan ia tidak menyebabkan orang terpesong akidah.


Tetapi apa yang perlu diperhatikan, niat jahat penggunaan nama Allah itu. Ia tidak lain dan tidak bukan sebagai pelan strategik membawa kemusnahan kepada masyarakat Melayu. Jadi ia perlu ditentang. Jangan biarkan apabila sudah jadi bubur baru nak buat kecoh.


Melayu di Malasia semua Islam. Sebab itu apabila disebut orang Melayu di malaysia mereka semamangnya orang Islam. Ini tidak memberi maksud orang Cina atau lain-lain yang beragama Islam tidak diiktiraf keislamannya. Ini kerana perkataan Melayu telah didefinasikan dalam Perlembagaan Persekutuan. Impak ini juga menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa Islam di Malaysia dan juga Bahasa Kebangsaan Negara kita tercinta.


Jadi, perkara sensitive ini perlu diselesaikan segera. Kita umat Melayu perlu bersatu. Saudara-saudara seislam yang bernagsa lain turut perlu bersatu. Bangkitlah ya…