Tuesday, April 6, 2010

Oh... Masyarakat.....

Pulang sahaja dari pejabat jam lebih kurang jam enam petang saya terus bergegas ke Surau Kampung Sungai Labu. Amat sedih saya tidak dapat bersama-sama jemaah yang lain bersolat Maghrib dari awal. Selesai sahaja solat dan berdoa saya bertemu dengan saudara saya yang menimami solat kami. Saudara Firdaus. Beliau sekarang bertugas di Pejabat Mufti W.P Labuan. Syukur ke hadrat Allah walaupun saudara Firdaus masih berusia muda remaja tetapi hati beliau rapat kepada rumah Allah. Mampu mengimami kami semua. Alhamdulillah.

Lebih kurag jam tujuh malam saya yang masih berpakaian kerja lagi terus menuju ke Masjid Kampung Sungai Lada. Jaraknya tidak berapa jauh sangat. Hanya mengambil masa tidak sampai sepuluh minit mengikut cara pemanduan saya yang menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran WEQ 7882.

Setibanya di Masjid itu, saya mendengar ada perbicaraan halaqah agama. Saya terus menunaikan solat tahiyatul masjid sebelum duduk mendengar butir percakapan seorang anak muda yang berjubah dan berserban di mana ia duduk di atas kerusi berwarna putih.

Anak muda yang saya rasakan berusia di awal dua puluhan itu membicarakan berkenaan kebesaran dan kehebatan Allah. Baik butir bicaranya. Tidak ada yang menyimpang. Apa patah perkataan yang diulang-ulang adalah membesarkan Allah melalui kata-kata bagi meresapi kebesaran Allah di hati. Ada benarnya kata-katanya. Anak muda tersebut dan audience yang mendengar adalah daripada Jemaah Tabligh.

Selesai daripada majlis itu seorang daripada mereka bertemu saya. Bertanya khabar dan asal usul saya. Meramahkan bicara walaupun badan terasa amat letih dan lesu saya menjawab dengan sejujurnya. Biar mereka merasa mesra.

Antara butir percakapan yang diperbualkan adalah mengenai masyarakat ada yang membenci Jemaah tabligh apabila mereka mengimarahkan masjid dengan aktiviti Jemaah Tabligh yang tersendiri. Saya agak terkejut. Mengapa?

Saya bukan seorang pengikut Jemaah Tabligh. Saya juga bukan seorang yang menyokong apa-apa pergerakan secara membabi buta. Saya masih ada mata. Saya masih ada hati. Tahu membezakan lagi apa yang baik dan buruk.

Mengapa harus membenci mereka? Mereka tidak ada mengatakan benda yang salah. Apa yang saya dapat katakan, anak muda yang member tazkirah itu seorang yang masih belajar berpidato dan berceramah. Ia berkemungkinan seorang yang bungkam dan bisu untuk berbicara mengenai agama jika dia bercampur dengan anak muda yang hebat memetik gitar di perhentian bas berdekatan Taman Mutiara. Dia mungkin tidak akan berada di rumah Allah pada ketika itu juka dia salah seorang anak muda yang gemar melepak di Ujana Kewangan. Tetapi anak muda tersebut amat berbeza. Oleh itu, adakah masyarakat yang membenci dan mencemuh mereka tidak celik mata. Oleh itu. Cubalah fikir dan renung-renungkan.

Wallahu A’lam…

No comments: