Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah itulah tema bagi sambutan Maulidur Rasul s.a.w bagi tahun ini. Tema yang cukup ringkas tetapi membawa makna yang cukup mendalam dan tepat bagi keadaan semasa pada hari ini. Bukan ia merupakan mesej baru Islam untuk dipromosikan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul tetapi saya menganggap ia merupakan satu penekanan bagi memperingatkan umat Malaysia keseluruhannya berkenaan mesej Islam yanng dibawa oleh nabi junjungan besar Muhammad s.a.w.
Dalam mengejar kemajuan dan sasaran negara maju menjelang 2020 ummah yang perkasa merupakan elemen penting. Dan ummah yang perkasa itu akan wujud sekiranya ukhuwwah yang mantap wujud. Lihatlah contoh teladan yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w dalam langkah awal membina daulah Islamiyyah di Madinah Munawwarah.
Langkah yang mula-mula dicatur adalah dengan memperkasakan ummah. Umat Islam dan bukan Islam pada ketika itu diikit dengan perjanjian bagi mengorak langkah untuk memperkasakannya. Bersendikan petunjuk Allah nabi berjaya melaksanakannya. Ummah pada ketika itu cukup perkasa.
Bagi memperkasakan itu, Nabi telah memantapkan ukhuwwah mereka. Kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan. Hubungan persaudaraan mereka lebih daripada ikatan saudara kerana darah dan keturunan. Manakala hubungan dengan mereka yang bukan Islam toleransi dan saling menghormati diutamakan. Tidak ada perbezaan warna kulit, keturunan dan bangsa. Cukup gah. Penghinaan tidak wujud dalam masyarakat. Begitu juga sifat berpuak-puak tidak menular.
Hinggalah daulah agung berjaya dibina yang menjadi tonggak sehingga Islam mampu disebarkan hampir meliputi keseluruhan muka bumi. Semua itu berlaku tidak lain dan tidak bukan kerana Nabi s.a.w mencatur menggunakan petunjuk wahyu Allah Taala.
Begitulah serba ringkas rumusan sejarah yang dapat digambarkan berkaitan Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah sehingga daulah Islamiah dapat dibanggakan.
Bak kata bijak pandai, sejarah mengajar kita. Sejarah juga panduan kita. Adakah kita masih lagi hendak berkira-kira lagi formular magic bagi menuju negara maju? Jika kita masih lagi ingin mencari formula tidak ada siapa yang menghalang. Tetapi apa yang saya ingin katakan, tak perlu lah nak buang masa. Hayatilah tema Maulud tahun ini dan mari kita berusaha memantapkan ukhuwah dikalangan kita agar ummah yang perkasa dapat direalisasikan.
Rapatkan tali persaudaraan dan berganding bahulah. Jangan bermusuh-musuhan. Ingat! Tidak salah jika kita berbeza pendapat tetapi janganlah sampai caci mencaci dan kutuk mengutuk. Jika itu masih mahu dikekalkan jangan haraplah nak mencapai matlamat ummah yang perkasa. Jika umat tak perkasa mampukah kita menjadi negara maju. Fikir-fikirlah sendiri.
Akhir sekali, renung-renungkan lah tema Maulidur Rasul pada tahun ini dan marilah kita sama-sama kembali kepada petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah.
No comments:
Post a Comment