Kecoh.. sungguh kecoh… bagaimana Mahkamah Tinggi membuat keputusan membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly. Itulah yang asyik diperbicarakan sana sini. Pelbagai pihak telah membuat bantahan. Mereka terdiri daripada akademis, ahli politik dan semua golongan. Sudah tidak kira fikrah politik atau apa sahaja. Semua sebulat suara menentang dan tidak senang dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi. Itulah semangat Melayu. Walau bagaimanapun berbeza pandangan dan bermasam muka akan tetap bersatu dalam mempertahankan perkara yang boleh mencemarkan akidah dan menghancurkan Islam.
Dalam kecoh berkenaan perkara ini, saya turut merasa bahangnya. Setibanya saya di Labuan setelah balik bercuti di Johor Bahru malam semalam, soalan pertama yang diajukan berkenaan isu nasional dan global kepada saya sewaktu minum malam di Restoran Island Tomyam, labuan adalah berkenaan kebenaran Mahkamah Tinggi membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitannya.
Saya rasa apa yang saya jelaskan kepada mereka tidak ada jauh perbezaa
n dengan apa yang disampaikan oleh golongan bijak pandai yang telah terpampang di dada-dada media dan blog rakan-rakan lain yang membantah. Pandangan Dr. Asri saya nyatakan, pandangan Saudara Zamihan saya utarakan, pandangan Tok Guru Nik Aziz saya sampaikan. Semua pandangan mereka ada betulnya.
Sebenarnya, sejak saya berada di Labuan dan bergaul dengan kawan-kawan serta teman-teman di Labuan, Sabah dan Sarawak bukan satu kejanggalan mendengar orang bukan Islam menyebut nama Allah dan memuju nama Allah. Cuma yang saya masih tidak kedengaran mereka menghina nama Allah.
Mereka hanya menyebut nama Allah dengan kalimah Astaghfirullah, Subhannallah, InsyaAllah dan beberapa perkataan lain. Mereka tidak pernah berbicara bab tuhan yang mereka yakini dengan menyebut tuhan mereka dengan nama Allah. Jika Kristian hanya menyatakan Tuhan atau Jesus atau apa yang biasa mereka sebut.
Saya yakin mereka faham untuk menyatakan dan menyebut nama tuhan mereka sebagai Allah adalah tidak tepat. Ia seperti menyebut nama Tuhan yang diyakini umat Islam. Hanya umat Islam sahaja yang menyebut tuhannya tidak kira dalam apa situasi dan keadaan sebagai Allah. Dan mereka juga faham bahawa Allah itu bukan dari bahasa Melayu untuk diguna pakai oleh orang di Malaysia yang bukan beragama Islam.
Sekiranya beralasankan kepada penggunaan nama Allah dalam penerbitan untuk memberi kefahaman kepada mereka yang hanya mampu Berbahasa Melayu adalah alasan yang cukup bodoh untuk diterima. Allah itu nama Agong yang diambil dari Bahasa Arab. Ia sudah menjadi kata nama khas. Jadi dikekalkan.
Dalam blog Saudara Zamihan (http://al-ghari.blogspot.com/2010/01/penyelewengan-tauhid-dan-kalimah-allah.html) beliau ada menyebut dan menyatakan perkataan nama Allah yang didefinasikan di beberapa buah kamus. Lihatlah apa definasi yang dibawa itu.
Begitu juga ada kebenaran apa yang Saudara Zamihan nyatakan. Perlu dibaca dan difikirkan.
Begitu juga apa yang dipaparkan dalam blog Dr. Asri ada benarnya. Memang benar nama Allah diguna pakai oleh orang Musyrikin pada zaman rasulullah. Dan ia tidak menyebabkan orang terpesong akidah.
Tetapi apa yang perlu diperhatikan, niat jahat penggunaan nama Allah itu. Ia tidak lain dan tidak bukan sebagai pelan strategik membawa kemusnahan kepada masyarakat Melayu. Jadi ia perlu ditentang. Jangan biarkan apabila sudah jadi bubur baru nak buat kecoh.
Melayu di Malasia semua Islam. Sebab itu apabila disebut orang Melayu di malaysia mereka semamangnya orang Islam. Ini tidak memberi maksud orang Cina atau lain-lain yang beragama Islam tidak diiktiraf keislamannya. Ini kerana perkataan Melayu telah didefinasikan dalam Perlembagaan Persekutuan. Impak ini juga menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa Islam di Malaysia dan juga Bahasa Kebangsaan Negara kita tercinta.
Jadi, perkara sensitive ini perlu diselesaikan segera. Kita umat Melayu perlu bersatu. Saudara-saudara seislam yang bernagsa lain turut perlu bersatu. Bangkitlah ya…
1 comment:
Dah baca komen Dr M?
Post a Comment