Tuesday, July 8, 2008

MENGENANG JASA PEJUANG KEMERDEKAAN

Teringat cerita arwah ayah semasa saya kecil, ramai pejuang-pejuang Melayu sewaktu ingin membebaskan Negara dari penjajah dilebelkan sebagai pengganas, pejuang haluan kiri dan kumpulan yang ingin menggadaikan agama Islam dan bangsa Melayu. Bukan sahaja penjajah yang melebelkan mereka begitu malah tidak sedikit orang Melayu yang bersetuju dan menyokong kenyataan itu. Golongan itu tidak boleh diterima dan dikenang jasanya.

Arwah ayah pun pernah menyebut bahawa sebahagian golongan itu dilebelkan sebegitu kerana mereka sememangnya mempunyai matlamat dan objektif yang betul tetapi cara mereka tidak tepat. Ini kerana orang Melayu berpegang teguh dengan kata-kata ‘matlamat tidak menghalalkan cara’. Itu sebenarnya bukan sekadar pesanan orang-orang tua Melayu sahaja tetapi ia merupakan salah satu methodology dalam hukum fiqh (Islamic law) seperti mana yang tercatat di dalam buku-buku methodologies of Islamic law. Jika ia dianggap sebagai kata-kata penguat hujah sila lihatlah sendiri di dalam buku tulisan Ali Ahmad an-Nadwi, yang berjudul al-Qawaid al-Fiqhiyah atau buku-buku lain.

Kerana berminat dengan apa yang arwah ayah sampaikan saya pernah bertanya siapakah golongan yang dimaksudkan itu. Arwah ayah kata ramai. Antaranya, Tok Bahaman, Mat Kilau, Rosli Dhoby, Ahmad Boestaman, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan ramai lagi yang saya tidak berapa ingat.

Tokoh-tokoh hebat itu saya cuba selongkar satu persatu di perpustakaan sekolah. Tidak terkecuali di dalam buku teks pelajaran. Ada sebahagian saya jumpa dan sebahagian lagi tidak saya temui. Cerita mengenaiTok Bahaman, Mat Kilau dan Rosli Dhoby saya jumpa di dalam buku di perpustakaan bergerak yang datang ke sekolah sebulan sekali. Buku mengenai mereka saya pinjam dan baca. Mereka sememangnya hebat. Jasa-jasa mereka tidak boleh kita lupakan.

Tetapi nama-nama seperti Ahmad Boestaman, Abdullah CD dan Shamsiah Fakeh tidak saya temui. Sehinggalah saya berada di sekolah menengah. Tetapi maklumat yang saya tahu mereka semua ini kominis. Mana boleh orang Melayu jadi kominis. Kominis tidak percaya kepada tuhan. Rosak akidah. Tetapi mengapa arwah ayah pernah menyebut mereka memberikan sumbangan besar dalam menghalau penjajah dalam meraih kemerdekaan. Adakah arwah ayah menyampaikan maklumat tidak tepat? Mustahil! Dia selalu menjadi pencerita kisah-kisah pejuang dan hero saya.

Dalam buku menceritakan orang Melayu tidak boleh terima kominis kerana ia bertentangan dengan pegangan hidup orang Melayu. Guru-guru sejarah saya turut berkata begitu. Sehinggalah saya dengar dari abang saya bahawa dia belajar dengan cucu Pendekar Salleh Selempang Merah. Saya pernah meminta dia membawa saya berjumpa dengan cikgu sejarahnya itu. Dia tidak mahu. Jadi saya meminta agar dia menanyakan mengenai kenapa Ahmad Boestaman, Shamsiah Fakeh, Abdullah CD dan lain-lain menyertai parti kominis dan arwah ayah mengatakan jasa mereka harus dikenang.

Setelah beberapa hari, abang memberitahu bahawa cikgunya mengatakan bahawa tokoh-tokoh itu hebat dan sememangnya perlu disanjung. Mereka bukan seperti kominis yang disangkakan orang Melayu. Betul ke? Cucu kepada pejuang yang menghabiskan kepala kominis berkata begitu.

Semua itu semakin lama semakin bersarang di benak kepala saya. Mengapa orang-orang tua semua tidak memberi saya maklumat yang sama. Banyak kali saya mengeluh. Ada yang kata mereka baik, ada pula yang mengata mereka tidak baik. Ada yang mengatakan mereka perlu disanjung ada pula mengatakan mereka perlu dilupakan dan pengkhianat bangsa dan agama. Itukan semua cerita sejarah. Perkara yang telah berlalu. Mesti mereka sudah tahu. Mengapa perlu berlaku perselisihan maklumat.

Semua itu terjawab apabila saya berada di akhir alam sekolah menengah. Tingkatan lima jika saya tidak silap. Arwah Cikgu Rahmat (semoga Allah merahmati beliau seperti namanya) yang mengajar subjek sejarah kelas saya banyak membantu menrungkai kekusutan saya. Beliau yang kerap terpaksa mengajar di luar topic pelajaran sering kali memberi jawapan permasalahan saya. Dia cukup berminat untuk bercerita. Katanya lebih baik menerangkan mengenai perkara itu daripada mengajar apa yang sudah tersedia di dalam buku teks. Belajar sejarah sebenarnya membaca buku sejarah. Kerana kata-kata beliaulah saya sanggup menghabiskan membaca buku sejarah tingkatan empat dan lima lebih sepuluh kali agar dapat mengingati fakta.

Pejuang-pejuang itu semakin saya yakini perlu dibanggakan dan disanjungi apabila sudah banyak buku-buku yang menulis mengenai mereka. Antaranya Memior Shamsiah Fakeh, dan Abdullah CD. Cukup menarik minat saya. Mereka sanggup menghabiskan sisa hidup mereka melakarkan cerita perjuangan mereka. Mereka memang hebat. Walaupun mereka dianggap sebagai gerila hutan yang berhaluan kira tetapi mereka sememangnya memberi sumbangan yang besar dalam kemerdekaan dan menghalau penjajah. Seperti apa yang dikatakan oleh Dato Onn Jaafar yang dicatat di dalam buku mengenainya (buku kesayangan saya yang hilang sewaktu berpindah rumah dari Wangsa Maju ke Mersing, Johor) bahawa gerila dalam hutan ini telah mendesak penjajah memerdekakan Negara kita dengan lebih cepat lagi.

Tetapi, mengapa mereka tidak dapat anugerah Datuk, Tun atau lain-lain. Jasa mereka cukup besar. Saya yakin tanpa mereka pasti kita akan menerima kemerdekaan bukan pada 31 Ogos 1957. Pasti lebih lewat. Mengapa tidak ada Sultan atau raja ingin memberikan darjah kebesaran itu kepada mereka. Tetapi mereka yang dilihat jasanya tidak seberapa mendapat anugerah itu.

Sebenarnya tidak terniat untuk saya menyatakan ini. Mereka semua ikhlas berjuang. Apa yang mereka harapkan pun hanya kemerdekaan yang telah kita kecapi dijaga. Mereka pun tidak pernah mengharapkan wang atau ganjaran seperti para atlet yang akan berjuang di olimpik Ogos ini. Mereka hanya mengimpikan Negara terus aman dan bertambah maju. Merek tidak pernah berhajat untuk mendapat penghormatan dan diabadikan. Tetapi mereka hanya berdoa agar perpaduan umat Malaysia sentiasa berkekalan.

Jadi, sebagai menghargai jasa-jasa di atas perjudian nyawa mereka menghalau anjing-anjing penjajah dan membawa kemerdekaan Negara kenanglah jasa mereka. Janganlah ada yang memandang hina pada mereka kerana pernah berjuang di bawah parti Kominis Malaya. Mereka terpaksa untuk berjuang dibawah payung itu. Aqidah mereka tidak lari. Tata cara hidup mereka tidak tergadai. Mereka tetap Melayu dan Islam. Itulah ruang yang sebenar bagi mereka membuka denai-denai kebahagian kita hari. Ceritalah pada generasi akan datang mengenai mereka.

3 comments:

Anonymous said...

thanx

Anonymous said...

matlamat tak menghalalkan cara

Anonymous said...

matlamat tak menghalalkan cara