Wednesday, July 2, 2008

NASIHAT RAJA NAZRIN: PEGAWAI AGAMA HARUS BERKECUALI

Peringatan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah agar pegawai agama tidak terikat dengan politik kepartian dan pengaruh mana-mana pemimpin atau kumpulan politik sememangnya tepat skali. Peringatan yang diberikan oleh Raja Muda itu mestilah dipatuhi dan diakuri bukan sahaja di Perak tetapi di seluruh Malaysia.

Golongan pegawai agama yang diberikan kepercayaan untuk melaksanakan tanggungjawab berkaitan agama Islam tidak seharusnya mengkhianati amanah itu dengan terlibat di dalam perkara-perkara seumpama itu. Mereka seharusnya menjalankan tugas mereka dengan tekun dan ikhlas agar tidak berlaku fitnah ke atas Islam. Jika pegawai agama ingin terikat kepada politik kepartian lebih baik mereka meletakkan jawatan dan menyertai parti politik.

Ramai di kalangan pegawai agama yang meletakkan jawatan dan menceburkan diri di dalam politik kepartian. Mereka bukan sahaja menjadi ahli biasa malah mereka dapat menjawat jawatan menteri, yang berhormat dan macam-macam lagi. Ini semua melalui politik kepartian seperti Datuk Abdul Hamid Othman, Ismail Kamus dan lain-lain lagi. Jadi sekiranya ada pegawai agama ingin mengikut jejak langkah mereka, maka ikutlah cara yang betul. Janganlah mengatur langkah politik kepartian semasa masih lagi berkhidmat di dalam kerajaan.

Golongan pegawai-pegawai agama hakikatnya amat dihormati oleh masyarakat. Jika di kampung-kampung ada di kalangan mereka menjawat jawatan pegawai agama mereka amat dihormati. Ini kerana pegawai agama merupakan golongan berilmu agama. Belajar agama dan tahu hal-hal berkaitan agama. Mereka semua boleh dianggap sebagai duta-duta kecil para mufti dalam menerangkan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Selain daripada itu, jika golongan pegawai agama terikat dengan politik kepartian, pemimpin-pemimpin atau kumpulan politik ia akan membawa malapetaka yang buruk. Ini kerana mereka akan kurang berlaku jujur dalam melakukan amanah mereka. Ini akan menghilangkan salah satu fungsi golongan pegawai agama yang perlu berpesan-pesan kepada melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan.

Oleh itu, pegawai agama haruslah bebas dari mana-mana pihak dan unsur agar dapat menjadi panduan kepada semua pihak. Berilah nasihat dan laksanakanlah tugas dengan amanah dan ikhlas. Jika ada perkara yang tersasar atau terpesong berlaku maka wajiblah ditegah. Jangan takut untuk bersuara kerana hanya Allah sahaja yang patut ditakuti.

No comments: