Thursday, July 10, 2008

MUBAHALAH; ANTARA ANWAR IBRAHIM & SAIFUL BUKHARI

Keberanian Anwar Ibrahim dan Saiful Bukhari untuk bermubahalah amat menggerunkan saya. Mereka bersedia untuk melakukannya bagi membuktikan kebenaran dan menafikan tuduhan yang dihadapi. Saiful Bukhari bersedia melakukan mubahalah bagi membuktikan dakwaan dia diliwat Anwar Ibrahim adalah benar dan Anwar Ibrahim sanggup melakukannya bagi membuktikan bahawa dia tidak melakukan liwat ke atas Saiful Bukhari.

Adakah keberanian yang dinyatakan oleh salah seorang dari kedua-dua pihak merupakan satu tektik berani bagi tidak dilebelkan sebagai bersalah sebelum habis bertarung? Tidak takutkah dengan la’nat Allah yang sememangnya terjadi dengan tindakannya? Ini kerana amat tidak masuk akal atau mustahil kedua-dua pihak berada di dalam pihak yang benar.

Jika dilihat pada lembaran sejarah, mubahalah bukan tidak pernah berlaku. Ia wujud di dalam Islam pun kerana ada nas (dalil) yang jelas. Jika dilihat di dalam surah Ali Imran pada ayat yang ke 61 yang bermaksud;

Sesiapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya la’nat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta”
Surah Ali Imran: 61

Ayat ini diturunkan sempena dengan kedatangan wakil Nasrani Najran ke Madinah yang berhujjah dengan Nabi S.A.W. tentang keyakinan batil mereka berkenaan Isa A.S. Namun mereka tetap berkeras dengan keyakinan mereka yang batil itu setelah Nabi S.A.W. mendatangkan hujah yang jelas kepada mereka. Lalu Allah S.W.T. menurunkan ayat di atas supaya Nabi S.A.W. mencabar utusan Nasrani itu untuk bermubahalah. Namun cabaran itu telah ditolak oleh mereka disebabkan rasa takut atas perbuatan dusta mereka.

Jika dilihat pada masa itu golongan Nasrani najran tidak berani untuk melakukannya kerana mereka takut dengan la’nat Allah. Ia bukan sekadar cakap kosong mengenai kesannya tetapi ia akan berlaku.

Walaupun ayat yang dinyatakan di dalam Surah Ali Imran ditujukan kepada Rasulullah S.A.W tetapi ia bukan sekadar ditujukan kepada rasul seorang sahaja. Ia merupakan suatu yang diizinkan untuk dilaksanakan oleh umat Islam. Ia juga bukan dikhususkan kepada Ahli Kitab sahaja. Sebaliknya kepada mana-mana orang yang berselisih. Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi di dalam salah satu fatwanya menyebut:

“Mubahalah bukanlah dikhususkan kepada Rasulullah S.A.W. bersama Nasara sahaja, akan tetapi ianya umum kepada Baginda dan kepada umat Baginda sama ada bersama Nasara atau lainnya. Ini kerana asal dalam pensyariatan hukum, hukum itu umum (untuk semua, bukan khusus untuk Nabi), sekalipun mubahalah yang berlaku di zaman Nabi S.A.W. antara baginda dan Nasara Najran. Ini hanyalah sebahagian perlaksanaannya terhadap makna ayat (al-Quran), bukan menunjukkan terhad kepada hukum dalam keadan itu sahaja.”
(Bil. Fatwa: 6238)Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebut antara pengajaran dari kisah cabaran Mubahakah antara Nabi S.A.W. dengan Nasara Najran ialah:

“Bahawa menjadi sunnah dalam berdebat dengan ahli kebatilan, apabila telah ditegakkan hujah namun mereka enggan kembali kepada kebenaran sebaliknya terus berdegil, maka diseru mereka agar bermubahalah. Allah telah memerintahkan rasul-Nya berbuat demikian. Tanpa Allah menyatakan ini bukan untuk umatmu selepas ini. Sepupu baginda Abd Allah bin ‘Abbas juga pernah mengajak mereka yang membantah dalam beberapa perkara furu’ bermubahalah dengannya. Tiada seorang sahabat Nabi SAW yang membantah tindakan itu. Juga al-Auza‘i pernah mengajak Sufyan al-Thauri bermubahalah dalam masalah ‘mengangkat tangan’ tanpa ada yang membantah tindakannya. Ini adalah hujah yang kuat”
(Ibn Qayyim, Zad al-Ma‘ad 3/562-563)
Al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab juga pernah menyeru orang-orang yang menentangnya untuk bermubahalah sepertimana yang tercatit di dalam salah satu risalahnya:

“Dan aku menyeru kepada sesiapa yang menentangku kepada salah satu dari empat perkara: samaada kembali kepada Kitab Allah, atau kembali kepada Sunnah RasulNya, ataupun kembali kepada ijma’ para ulama atau jika dia degil juga aku menyeru dia kepada Mubahalah.”

Jadi bagi Anwar Ibrahim dan Saiful Bukhari yang ingin bermubahalah bagi membenarkan mereka perlulah mengetahui syarat-syaratnya sepertimana yang disusun oleh al-Syeikh Ibrahim bin Soleh al-Humaidhi (Kuliah Syariah dan Usul al-Din di al-Qasim) dalam tulisannya yang bertajuk Hakikat Mubahalah. beliau menyebutkan lima syarat yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu mubahalah dilaksanakan.
1. Mengikhlaskan niat kerana Allah S.W.T.
Tidak boleh tujuan mubahalah ini dilakukan kerana hendakkan kemenangan dan memuaskan hawa nafsu. Sebaliknya ia dilakukan bagi tujuan menegakkan kebenaran, membela orang yang berada di atas kebenaran, menzahirkan kebenaran dan berdakwah kepada Allah
2. Berilmu.
Mubahalah hendaklah dilakukan setelah adanya penjelasan dan dailog.
3. Orang yang menuntut Mubahalah itu terdiri dari orang soleh dan bertaqwa.
4. Dilakukan selepas tertegaknya hujjah dan menzahirkan kebenaran dengan bukti-bukti yang jelas.
5. Mubahalah itu dilakukan dalam perkara yang penting dari urusan agama.

Diharapkan dengan terlaksananya mubahalah tersebut, terhasilnya rungkaian maslahah kepada Islam dan Umat Islam, atau bagi menolak mafsadah.

Ini kerana kesan kepada mubahalah ini amat dahsyat. Ibn Hajar al-‘Asqallani berkata

“Berdasarkan pengalaman, sesiapa yang bermubahalah sedangkan dia berbohong, dia tidak akan dibiarkan lebih dari satu tahun dari hari mubahalah. Telah berlaku mubahalah antara ku dengan seorang taasub kepada golongan Mulhid, dia tidak dibiarkan selepas mubahalah itu melainkan dua bulan.”
Manakala seorang ulama India, al-Syeikh Abi al-Wafa’ Thana’ al-Amritsari telah melakukan mubahalah dengan Mirza Ghulam Ahmad al-Qadyani yang mendakwa dirinya seorang Nabi. Lalu Allah S.W.T. membinasakan Mirza Ghulam Ahmad selepas setahun dari hari mubahalahnya. Manakala al-Syeikh Abi al-Wafa’ terus dipanjangkan umurnya hampir 40 tahun selepasnya.

Jadi diingatkan sekali lagi kepada Saiful Bukhari dan Anwar Ibrahim untuk berfikir semula dengan kata-kata mereka. Mungkin apa yang dinasihatkan oleh Ketua Pengarah JAKIM ada benarnya. Ia akan membogelkan keaiban salah seorang. Bukan sekadar aib sahaja akan terbuka malah la’nat Allah pasti akan terjadi.

Selain daripada itu adakah permasalahan yang mereka hadapi ini memenuhi syarat-syarat yang diberikan oleh al-Syeikh Ibrahim bin Soleh al-Humaidhi. Jika mereka melakukan kerana dunia semata-mata maka diingatkan kepada kedua-duanya takutlah kepada Allah.

No comments: