Pada tanggal 19 Mei 2008 ini rakyat Malaysia akan bercuti umum sempena perayaan Hari Wesak bagi masyarakat beragama Budha. Malaysia yang memiliki pelbagai kaum dan agama yang hidup aman harmoni sentiasa mengamalkan cara hidup menghormati antara kaum dan agama memberikan penghormatan kepada penganut agama Budha untuk meraikan hari kebesaran mereka dan memberi cuti umuM kepada semua rakyat Malaysia.
Sebagai rakyat yang prihatin walaupun kita bukan beragama Budha tidak salah rasanya jika kita tahu apakah itu Hari Wesak dan mengapa hari Wesak diraikan oleh penganut agama Budha. Ini akan menambahkan semangat perpaduan antara kaum dan agama di Negara kita yang tercinta, Malaysia.
Apa itu Wesak?
Menurut Ven Dr K Sri Dhammanada, Wesak adalah satu bulan di dalam takwim India dahulu kala yang biasanya jatuh pada bulan Mei. Akan tetapi, kadangkala bulan Wesak itu bermula pada hujung bulan April ataupun berlanjutan hingga awal bulan Jun.
Wesak berasal daripada perkataan Pali “Wesakha” atau perkataan Sanskrit “Waishakha”. Ia merupakan hari yang paling penting bagi penganut agama tersebut dan dinamakan sebagai hari trisuci (tiga peristiwa suci). Di beberapa negara hari Wesak juga dikenali sebagai hari Buddha.
Hari Wesak sebagai cuti umum
Hari Wesak menjadi cuti umum di kebanyakan Negara di dunia ini berdasarkan kepada hasil persidangan pertama Persaudaraan Buddhis Sedunia (World Fellowship of Buddhists - WFB) yang diadakan di Sri Lanka pada tahun 1950.
Persidangan itu merakamkan perhargaan kepada Duli Yang Teramat Mulia, Maharaja Nepal dalam mengistiharkan hari bulan purnama Wesak sebagai cuti umum di Nepal. Pada masa yang sama, persidangan Itu turut meminta semua ketua kerajaan yang negaranya mempunyai penduduk beragama Buddha sama ada ramai atau sedikit, mengambil langkah untuk mengumumkan pada hari bulan purnama di dalam bulan Mei sebagai Hari Wesak dan meraikannya sebagai cuti umum. Perkara ini dilakukan untuk memberi penghormatan kepada Gautama Buddh.
Di dalam mesyuarat W.F.B. yang berikutnya, banyak usul berhubung dengan perayaan Wesak telah diluluskan. Mesyurat tersebut yang telah diadakan di Rangoon, Burma pada tahun 1954, telah meluluskan permohonan kepada kerajaan India supaya mengumumkan Hari Purnama Buddha atau hari Wesak (hari bulan purnama dalam bulan Mei) sebagai cuti umum bagi seluruh negara India.”
Di dalam mesyuarat W.F.B. keempat yang diadakan di Nepal pada tahun 1956, satu usul yang serupa berbunyi seperti berikut telah diluluskan: “Kerajaan Pakistan dipohon untuk mengumumkan Hari Trisuci Wesak Purnama (hari bulan purnama dalam Mei) sebagai cuti umum bagi setiap tahun yang akan datang.’ Di dalam Persidangan Dunia yang keenam di Phnom Pehn, Kampuchea, pada tahun 1961, persidangan telah memutuskan “Hari bulan purnama yang pertama di dalam bulan Mei diiktiraf sebagai Hari Buddha dan dirayakan seperti yang sewajarnya.”
Pada tahun 1976, persidangan W.F.B. yang ke sebelas diadakan di Bangkok. Keputusan untuk menentukan satu hari umum untuk meraikan Wesak telah dibangkitkan lagi dan keputusan yang berikut telah dibuat: “Bahawa diputuskan Majlis berasa adalah perlu usul untuk menyambut hari Wesak pada hari yang sama dilaksanakan. Oleh itu, Jawatankuasa ini ingin menyarankan kepada sidang pleno sekali lagi untuk melaksanakan usul yang dibuat dan diluluskan oleh Persidangan Umum yang lalu."
Wesak Sebagai Cuti Umum di Malaysia
Selain daripada ketetapan yang diluluskan oleh Mesyuarat Dunia W.F.B., pada tahun 1961 penganut Buddha di Malaysia telah membuat satu rayuan kepada kerajaan Malaysia untuk mengumumkan hari Wesak sebagai cuti umum di Malaysia.
Pada tahun 1962 kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk mengumumkan Hari Wesak sebagai hari cuti umum berkuatkuasa pada tahun tersebut.
Peristiwa Suci Pertama: Kelahiran Siddhartta Buddha
Wesak merupakan satu hari yang sungguh bermakna bagi jutaan penganut Buddha yang merupakan satu perlima daripada jumlah penduduk di dunia ini. Di beribu – ribu biara seluruh akan memberi penghormatan kepada seorang putera yang telah meninggalkan kesenangan dunia di istana untuk membawa ketenangan dan kebahagiaan kepada manusia menurut kepercayaan mereka. Buddha atau “Yang Telah Mencapai Pencerahan Sempurna Tertinggi” dilahirkan, dalam tahun 623 Sebelum Masehi (S.M.) pada hari bulan purnama Wesak. Putera muda ini diberi nama Siddhattha atau “Yang Membawa Segala Kebaikan”. Bapanya bernama Raja Suddhodana dan ibunya bernama Permaisuri Mahamaya merupakan pemerintah sebuah kerajaan kecil yang dipanggil Kapilavattu di utara India.
Peristiwa Suci Kedua: Pencerahan Sempurna Buddha
Menurut kepercayaan penganut agama Budha, Siddhatta telah mencapai pencerahan sempurna pada hari ulang tahun Beliau yang ke-35. iaitu pada hari bulan purnama Wesak, ketika beliau duduk di bawah pohon Bodhi di Buddha Gaya. Selama 45 tahun berikutnya, Buddha telah mengembara di utara India untuk menyampaikan ajarannya.
Peristiwa Suci Ketiga: Kemangkatan Gautama Buddha
Selepas 45 tahun berDhamma, ketika berbaring di bawah sepohon pokok sala, di depan satu perhimpunan besar para bhikkhu, Gautama Buddha mangkat di Kusinara. Kemangkatannya juga dikenali sebagai Mahaparinibbana atau pencapaian tertinggi di dalam kedamaian dan kebahagiaan. Peristiwa itu berlaku pada hari purnama Wesak.
Hari Trisuci
Jadi pada hari Wesak, penganut agama Buddha daripada setiap pelusuk dunia memperingati tiga peristiwa yang penting iaitu Kelahiran, Pencerahan Sempurna dan Kemangkatan Gautama Buddha. Oleh yang demikian, Wesak dirayakan dengan berbagai cara di merata dunia. Penganut agama Budha perlu ingat bahawa perayaan hari tersebut merupakan hari perayaan agama dan bukan hari untuk berpesta. Jadi, mereka tidak boleh melakukan perkara-perkara buruk seperti minum arak, mencuri dan lain-lain.
Sambutan Hari Wesak
Pada hari Wesak, penganut agama Buddha akan berhimpun di biara sebelum terbitnya fajar untuk menaikkan bendera Buddha dan menyanyikan lagu agama demi memberi hormat kepada Tiratana – iaitu Buddha, Dharmma (Ajarannya) serta Sangha (para bhikkhunya).
Pengikut agama Buddha boleh membawa persembahan yang ringkas seperti bunga, lilin dan colok dan mempersembahkannya kepada Guru mereka yang agung. Persembahan simbolik ini mengingatkan, bahawa seperti juga bunga yang cantik akan layu di dalam masa yang pendek, lilin dan colok akan habis membakar dengan cepatnya, hidup kita juga menghadapi pereputan dan disintegrasi. Penganut agama Budha diajar menjauhkan diri daripada membunuh sebarang makhluk hidup. Mereka digalakkan menjamu makanan vegetarian pada hari tersebut.
Di sesetengah negara, terutamanya di Sri Lanka, dua hari diperuntukkan untuk merayakan hari Wesak dan semua kedai minuman keras dan rumah sembelih ditutup atas warta kerajaan. Ribuan burung dan binatang juga dibebaskan sebagai tanda simbolik memberikan kebebasan kepada mereka yang di dalam tawanan. Sesetengah penganut agama Budhha akan memakai pakaian putih yang ringkas dan berada sepanjang hari di biara dengan memperbaharui keazaman mereka untuk mengikuti Sila. Wesak juga merupakan hari untuk bermeditasi dan mengikuti Lapan Peraturan Hidup.
Lapan Peraturan Hidup (Atthasila) tersebut terdiri daripada:
1-Menghindari membunuh
2-Menghindari mencuri
3-Menghindari aktiviti seks
4-Menghindari ucapan yang tidak benar
5-Menghindari minuman keras dan dadah
6-Menghindari makanan pada masa yang tidak berpatutan
7-Menghindari daripada kepuasan nafsu indera seperti menari, menyanyi dan menghiaskan diri
8-Menghindari daripada menggunakan tempat yang tinggi dan mewah untuk mengamalkan nilai merendah diri.
Meraikan hari Wesak juga bermakna berusaha membawa kebahagiaan kepada mereka yang tidak bernasib baik seperti orang tua serta mereka yang cacat dan sakit. Untuk maksud ini, penganut agama Buddha akan menderma wang dan barang – barang keperluan kepada rumah-rumah kebajikan di seluruh negara. Wesak juga merupakan masa untuk berasa riang dan gembira. Akan tetapi, kegembiraan ini bukan dicapai dengan memuaskan keinginan diri sendiri sahaja tetapi juga dengan memberi tumpuan kepada aktiviti – aktiviti yang berguna seperti menghiasi dan menerangi. Penganut agama Buddha turutberpusu-pusu membekalkan minuman dan makanan vegetarian kepada mereka yang melawat biara untuk memberi hormat kepada Buddha.
Kesimpulan.
Jadi, pada cuti umum pada 19 Mei ini dapat memberi banyak kebaikan kepada semua pihak. kepada penganut agama Buddha sambutlah perayaan Hari Wesak mengikut kepercayaan anda dan kepada penganut agama-agama lain lakukanlah perkara-perkara berfaedah sempena cuti umum yang diberikan oleh Kerajaan.
Ceramah Di Masjid Daerah Manjung Perak.
12 years ago
No comments:
Post a Comment