Friday, May 30, 2008

Kemajuan Negara yang kita kecapi hari ini amat membanggakan. Malaysia hari ini sudah tidak sama dengan zaman arwah ayah saya kanak-kanak. Setiap rumah boleh dikatakan sudah memiliki komputer dengan sambungan internet. Bagi mereka yang tidak memilikinya, ‘cyber cafe’ mampu memenuhi keinginan sesiapa yang ingin melayarai internet.

Fenomena ini telah memberikan jalan baru bagi para pendakwah Islam untuk menyebarkan dakwah. Laman-laman web dan ruang-ruang blog telah menjadi medium alternativ sebagai gelanggang untuk menyebarkan maklumat-maklumat dakwah. Jika mahu disenaraikan di sini, jenuh orang ingin membaca satu persatu. Contoh laman-laman web dan blog aktif yang boleh kita layari bagi mendapat info dakwah seperti http://drmaza.com, http://alghari.blogspot.com dan http://abusyuaib.blogspot.com.

Banyak manfaat yang boleh diperolehi apabila melayari blog-blog seperti ini. Tetapi, apa yang tidak sedap kita lihat, apabila blog-blog tersebut seolah-olah menjadi tempat untuk menyindar, mengutuk, menyalahkan golongan-golongan yang tidak sealiran dengan idea-idea mereka. Bukan sahaja para bloggers atau pengendali sesuatu laman dikutuk malahan golongan ulama mu’tabar secara sengaja atau tidak turut terkena tempias. Sebagai contoh, Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim dan lain-lain lagi.

Bagi golongan yang memiliki ilmu pengetahuan mereka akan mampu membuat penilaian. Tetapi, bagi golongan yang cepat terpengaruh, mereka akan terus termakan dengan apa yang ditulis. Tambahan lagi jika pemilik laman-laman web atau blog itu merupakan orang yang dikenali ramai. Sebagai contoh Samahahtul Ustaz Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, Ustaz Zamihan, Penolong Pengarah di Institut Latihan islam Malaysia (ILIM), dan individu-individu lain.

Sememangnya kita akur bahawa kuasa laman-laman web dan blog amat ampuh dalam menyebarkan maklumat, pengaruh dan dakwah. Sebagai contoh lihatlah kerajaan Barisan Nasional mengalami kekalahan teruk di dalam PRU yang lalu impak dari kuasa ini.
Jadi, persoalan yang kita perlu prihatin mengenai fenomena ini, adakah cara atau method sebahagian pihak yang mengkritik individu lain yang dianggap sebagai golongan ilmuan Islam di dalam laman-laman web atau blog mereka merupakan tindakan bijak? Adakah ini akan memberi impak yang baik dalam perkembangan dakwah Islamiyah?

Pasti akan ada yang menjawab, jika kita lihat kitab-kitab mengenai golongan perawi-perawi hadith terdapat banyak tohmahan mengenai individu-individu. Jadi melalui cara itu kita dapat memberi kesan positif seperti apa yang dilakukan oleh golongan penulis kitab-kitab berkaitan perawi. Ada juga sebahagian pihak akan menjawab itu perkara biasa.

Bagi saya ini merupakan satu keadaan yang tidak berapa baik. Jika kita lihat, penyusun-penyusun buku mengenai perawi hadith menyenaraikan tohmahan dan kecacatan sebahagian para perawi bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada kita hadith-hadith nabi s.a.w yang mana kita boleh ambil dan tolak. Adakah cara yang dilakukan oleh sebahagian para bloggers akan membawa impak yang sama?

Secara jujurnya saya katakana tidak. Ini kerana pada hari ini kita telah dihidangkan dengan tafsiran-tafsiran al-Quran, hadith-hadith dan maklumat-maklumat agama yang telah dikumpulkan oleh golongan ulama mu’tabar sebelum kita. Jadi, jika pada hari ini, berlaku perselisihan sesuatu pendapat tidakkah boleh kita duduk berbincang.

Satu lagi persoalan yang timbul. Adakah pintu untuk kita berbincang telah tertutup? Pintu untuk kita duduk bersama-sama meneliti segala maklumat sudah tiada lagi?

Pasti ramai yang bersetuju dengan saya mengatakan tidak. Jika begitu mengapa kita tidak melaksanakannya. Jika seoranag alim itu mengatakan bahawa hujahnya adalah yang tepat, mengapa tidak duduk semeja menilai hujahnya satu persatu dengan yang lain untuk membuktikannya. Adakah jika sudah dinilai pihak yang pandangannya kurang tepat tidak boleh bersetuju dengan pendapat golongan yang tepat.

Ini semua berpunca daripada sifat ego yang menguasai diri. Saya pasti mereka semua tahu apa itu sifat ego. Marilah kita sama-sama berlapang dada dalam menyampaikan dakwah Islamiyyah. Musuh-musuh kita sudah makin bertambah. Walaupun mereka tidak kuat pada hujah tetapi mereka semakin kuat dari segi usaha dan strategi. Lihatlah golongan al-Arqam yang semakin galak berdakwah melaui internet. Kassim Ahmad and the Gang dan banyak lagi.

Janganlah kita berpecah atau dilihat nampak bermusah hanya kerana perkara-perkara yang boleh dibincangkan. Pepatah Melayu selalu mengatakan ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’, ‘bersatu kita teguh bercerai kita roboh’ dan banyak lagi. Musuh-musuh kita sedang memerhatikan kita. Mereka suka kita semua sentiasa bertelagah.

Kita asyik bertelagah, golongan musuh-musuh kita semakin aktif dengan blog-blog dan laman web mereka. Jika tidak percaya jenguklah di laman seperti www.submission.org, http://www.e-bacaan.com, http://attamimi.blogspot.com dan macam-macam lagi. Fikir-fikirkanlah!

No comments: