Aku nukilkan catitan yang penuh dengan kelemahan ini buat Tuan Haji Asaari Muhammad. Aku yakin Tuan Haji Asaari mungkin tidak dapat membacanya tanpa bantuan pengikut-pengikut yang setia. Pengikut-pengikut setia mu cukup hebat hari ini melayari dan membina laman-laman web di ruang maya ini.
Sebelum itu aku ingin memohon kepada Allah Taala agar memberi kesihatan, taufiq dan hidayah kepada kita semua agar dapat menerima agama Allah tanpa dicampur adukkan dengan kesesatan yang dibawa oleh syaitan.
Tuan Haji,
Aku terbaca di dalam satu laman web ada orang mengatakan Tuan Haji pernah mendakwa memiliki tongkat Nabi Musa yang pernah menyelamatkan Bani Israel daripada ditelan laut Merah. Tuan Haji meyakini tongkat tersebut akan membantu Tuan Haji. Pendakwa tersebut menimbulkan persoalan adakah mukjizat Nabi Musa masih ada lagi pada masa kini dan adakah Tuan Haji Asaari juga dikurniakan mukjizat seperti Nabi Musa?
Selain daripada itu aku juga pernah mendengar sendiri dakwaan dari pengikut mu bahawa engkau memiliki pedang Saidina Ali. Benarkah? Tidak marahkah golongan Syiah yang melampau yang menjadikan Ali sebagai idola. Adakah pegangan Tuan Haji ada persamaan.
Mungkin agak berat ya tuduhan ini. Tetapi, jika benar Tuan Haji pernah menyatakan perkara tersebut aku hanya ingin menasihatkan agar Tuan Haji bertaubat. Mukjizat Allah hanya diberikan kepada Nabi dan Rasul. Janganlah buat dakwaan begini. Jika betul ada pegang tongkat Nabi Musa dan pedang Saidina Ali silalah buktikan.
Tuan Haji,
Benarkah Tuan Haji Asaari pernah mendakwa boleh berbincang dengan Malaikat Maut untuk menangguhkan kematian para pemimpin pertubuhan yang Tuan Haji tubuhkan. Malah, mendakwa ajal kematian seseorang boleh ditukarkan kepada orang lain. Tuan Haji memilik ‘karamah’ sehingga mengetahui tarikh dan detik kematian seseorang. Mana-mana individu yang dianggap penting dalam cita-cita politik Tuan Haji boleh ditangguhkan kematiannya.
Hebat benar tuduhan ini. Saya juga pernah mendengan dari pengikut kanan Tuan Haji. Pertama kali mendengar sewaktu saya masih menuntut lagi. Dari mulut pengikut Tuan Haji yang amat setia. Abangnya menjadi cucu menantu Tuan Haji. Kali kedua melalui cd ceramah Mejar (B) Abu Zhar (maaf jika tersalah ejaan).
Saya berharap ia hanya kesilapan saya mendengar. Tetapi, jika ia benar-benar dakwaan Tuan Haji saya ingin menasihatkan takutlah kepada Allah. Janganlah kerana dakwaan Tuan Haji itu boleh menjerumuskan ramai manusia ke dalam neraka jahanam. Siksaannya amat pedih sekali. Saya amat takut.
Tuan Haji,
Benarkah Tuan Haji sering mendakwa mengadakan mesyuarat di alam ghaib. Bertemu dengan beberapa individu selain Rasulullah seperti Sheikh Suhaimi, Imam Shafie dan Imam mazhab serta ulama’ terdahulu yang lain. Hasil mesyuarat tersebut akan Tuan Haji khabarkan kepada para pemimpin jemaah Tuan Haji melalui sesi ekspedisi yang dibuat pada selepas subuh setiap hari.
Nauzubillah Tuan Haji! Tuduhan yang amat kejam dan zalim. Tetapi jika ini benar-benar saya hanya ingin menyatakan satu hadith yang masyhur.
Rasulullah s.a.w bersabda
Barangsiapa dengan sengaja berdusta terhadapku maka bersedialah mengambil tempatnya dari neraka
(H.R al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, Ahmad, ad-Darimi dan Ibn Majah)
Saya tahu Tuan Haji ramai pengikut yang mahir berbahasa Arab, jadi Tuan Haji bolehlah memerintahkan mereka untuk merujuk hadith tersebut seperti yang sering dilakukan oleh pensyarah-pensyarah saya dahulu seperti Prof. Saleh Ibrahim Qadir az-Zanki al-Iraqi, Dr. Mujtaba Bangha as-Sudani, Dr. Hosam ad-Din al-Misri dan lain-lain. Tujuan mereka tidak ada lain untuk melatih saya agar rajin merujuk kepada sumber agama yang terpenting. Bukan sekadar mendengar pendapat mereka sahaja.
Tuan Haji,
Ada orang mendakwa Tuan Haji mendakwa cinta Allah hanya boleh diperolehi dengan mencintai ‘orang Tuhan’ terlebih dahulu. Malah ia menjadi syarat utama mendapatkan cinta Allah. ‘Orang Tuhan’ adalah gelaran khusus untuk Tuan Haji dan Tuan Haji menganggap Tuan sebagai wakil Tuhan di akhir zaman ini. Ini bermakna, untuk mencintai Allah dan menjadi orang bertaqwa, seseorang itu perlulah mencintai sepenuh hati terhadap Tuan Haji. Bukti kecintaan itu ialah dengan pengorbanan harta besar-besaran.
Benarkah begitu Tuan Haji. Saya berharap Tuan Haji menfikan ini sekeras-kerasnya. Ini kerana saya diajar untuk mencintai tuhan sekelian ala mini iaiatu Allah dengan mengikut apa yang ada di dalam al-Quran dan hadith-hadith soheh. Kerana saya tidak mampu untuk terus merujuk saya cuba untuk berguru dengan beberapa tokoh yang boleh membimbing. Tetapi mereka tidak pernah memaksa saya mengikut kata-katanya. Pesanan mereka pada saya yang tidak akan saya lupakan carilah ilmu dari guru-guru yang membawa maklumat yang tepat di sisi agama. Jangan ta’asub. Ini kerana selain nabi dan rasul tidak ada manusia yang ma’sum atau mahfuz dari dosa dan kesalahan.
Tuan Haji,
Benarkah Tuan Haji ada mendakwa ‘roh’ Kaabah telah berpindah ke dalam diri Tuan Haji. ‘Roh’ Kaabah yang dimaksudkan di sini ialah ‘sifat Kaabah yang boleh mengubah seseorang menjadi baik dan bertaubat’. Dikatakan perkara ini timbul apabila seorang wartawan hiburan telah menziarahi Tuan Haji dan menyatakan bau badan Tuan Haji sama seperti bau Kaabah. Sehubungan itu, Tuan Haji mengulas bahawa ‘roh’ Kaabah sudah berpindah kepada diri Tuan Haji. Tambahan, Tuan Haji berpendapat, orang yang menunaikan haji dan umrah sudah tidak lagi rasa ingin bertaubat dan menjadi baik. Tetapi, dengan berjumpa dengan Tuan Haji, seseorang itu akan mendapat kesedaran dan membuat perubahan ke arah kebaikan.
Takut benar saya mendengar perkara ini Tuan Haji. Katakanlah ini semua fitnah sahaja. Ini kerana jika ia benar ia bukan sahaja telah merosakkan diri Tuan Haji, tetapi diri pengikut-pengikut Tuan Haji. Beritahulah semula wartawan tersebut Tuan Haji tersilap kata ketika itu. Maklumlah Tuan Haji sudah tua kan. Mungkin sudah nyanyuk. Semua orang akan maafkan Tuan Haji. Ini kerana Islam menganjurkan kita sentiasa menjadi seorang yang pemaaf.
Marilah kita bersama-sama berdoa semoga Allah yang memiliki Baitullah sentiasa mengerakkan kita untuk bertaubat dan memberi taufiq dan hidayah.
Tuan Haji,
Benarkah ada Tuan Haji mendakwa berupaya untuk memantau para pengikut Tuan Haji dengan kuasa roh. Diri Tuan Haji mempunyai ‘kuasa’ boleh mengetahui gerak-geri, perbuatan dan rasa hati para pengikutnya walaupun berada jauh dari mereka. Perkara ini menjadikan para pengikut Tuan Haji rasa dikawal sehingga mereka takut dan tidak pernah mempertikaikan sebarang arahan Tuan Haji. Ketaatan membuta tuli timbul sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan Tuan Haji.
Boleh saya katakan ini tuduhan yang cukup dahsyat ya. Mereka mendakwa Tuan Haji macam memiliki ’power’ Allah. Nabi pun tidak mampu untuk berbuat demikian. Tetapi jika benar Tuan Haji ia berlaku. Banyak-banyak lah beristighfar. Saya hanya takut yang membantu Tuan Haji mampu berbuat demikian adalah jin-jin dan syaitan yang mahu Tuan Haji tersesat dari jalan yang lurus.
Tuan Haji,
Pada setiap majlis kuliah ataupun ekspedisi, para pemimpin sering mengatakan roh Tuan Haji hadir bersama dalam sesi tersebut untuk memantau dan melihat bagaimana hati-hati para pengikut Tuan Haji. Para pengikut Tuan Haji bertambah risau dan gusar kerana mereka berpendapat Tuan Haji mengetahui semua ‘sejarah dosa’ mereka. Dengan itu, penyucian dosa perlu dibuat dengan solat taubat dan memberikan seberapa banyak harta yang boleh kepada Tuan Haji.
Katakanlah ia dusta Tuan Haji. Jikalau benar Tuan Haji ada mendakwa sebegitu aku hanya mampu menasihatkan, taubatlah kepada Allah! Kesian mereka para pengikutmu Tuan Haji. Mana boleh manusia yang berpegang pada al-Quran dan as-Sunnah yang soheh mampu berbuat demikian.
Jika, Tuan Haji yang pernah melebelkan diri Tuan Haji pemegang panji Imam Mahdi tak kan lah Tuan Haji mampu lebih hebat dari Rasulullah.
Tuan Haji,
Benarkah apa yang saya dengar ini bahawa Tuan Haji seringkali mendakwa semua arahan yang dikeluarkan Tuan Haji adalah arahan daripada pihak Rasulullah s.a.w. yang bertemu dengan Tuan Haji secara jaga. Ini menjadikan diri Tuan Haji dianggap mulia oleh para pengikut dan mereka sangat taat kerana menganggap Tuan Haji adalah wakil Rasulullah. Sehubungan itu, setiap tindakan Tuan Haji akan disandarkan dengan arahan Rasulullah yang dipanggil ‘mesej’. Setiap ‘mesej’ itu akan menjadi asas kepada ramalan-ramalan yang bakal berlaku di Malaysia terutama dalam konteks politik.
Tipu! Tipu! Tipu! Katakanlah perkataan itu wahai Tuan Haji. Tetapi jika Tuan Haji benar ada mendakwa sebegitu ingatlah bahawa Tuan Haji telah tersesat jauh. Jadi perbaharuilah kalimah syahadah Tuan Haji.
Apabila melihat tuduhan itu, saya terkenang nasihat guru saya agar jangan berdusta atas nama Rasullullah. Dr. Mujtabja Bangha as-Sudani yang mengajar saya ilmu hadith dan selalu menjadi tempat saya merujuk berkaitan ilmu hadith ketika masih belajar dahulu mengatakan bahawa Rasullullah ada bersabda bahawa neraka tempat mereka yang berdusta atas nama Rasulullah.
Tuan Haji,
Benarkah Tuan Haji mendakwa boleh menyelamatkan pengikut Tuan Haji daripada azab kubur dan ketika menjawab persoalan Malaikat Mungkar Nakir. Ini kerana peranan diri Tuan Haji sebagai mursyid yang dapat memberi syafaat di akhirat.
Selisih malaikat 44, mungkin itu yang akan dikatakan oleh ibu saya di kampung apabila mendengar perkara ini. Tuan Haji mungkin akan beristighfar panjang kan jika ia satau fitnah.
Tetapi ini tersebar luas melalui mulut orang kanan Tuan Haji. Mungkin pengikut Tuan Haji terslah kata atau terbicara di dalam mimpi.
Sekiranya apa yang didakwa ini sememangnya benar, maka Tuan Haji cuba meletakkan diri Tuan Haji sama hebat dengan Ayah Pin dan Cikgu Kahar yang mengaku jadi nabi itu. Takutnya Tuan Haji. Siapa manusia yang mampu berbicara dengan malaikat-malaikat itu Tuan Haji. Taubatlah Tuan Haji.
Tuan Haji,
Benarkah para pengikut Tuan Haji didedahkan kepada amalan ‘sunnah Tuan Haji’ yang merujuk kepada amalan ritual Tuan Haji. Sebagai contoh, ‘makan mengikut sunnah Tuan Haji’.
Bahaya perkara ini Tuan Haji. Ini kerana para pengikut Tuan Haji akan terlupa mengenai sunnah Rasullullah. Jika apa yang Tuan Haji lakukan sama seperti sunnah Rasullallah s.a.w maka semaikanlah di dalam hati para pengikut ikut sunnah nabi bukan Tuan Haji.
Tapikan Tuan Haji mengapa ya, pengikut Tuan Haji gemar mengatakan sesuatu mesti ada perkataaan ini..abuya cakap kan.. menurut abuya kan... Tidak ada makna kata-kata kita ini Tuan Haji. Jika berhujah dengan orang bijak pandai mereka perlekehkan. Cuba Tuan Haji didik anan-anak buah Tuan Haji apabila berbicara menggunakan kata-kata ulama’ masyhur seperti apa yang dilakukan oleh Zamihan al-Ghari, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Mereka bagus dalam memberi hujah Tuan Haji. Selalu mengarahkan kita untuk merujuk kitab-kitab ulama mu’tabar. Siap muka surat diberitahu.
Jika salah seorang dari mereka meniru gaya anak murid Tuan Haji pasti seorang lagi akan mudah memperlekehkan ya Tuan Haji. Tuan haji pasti kenalkan mereka berdua. Jadi didik ya, anak murid Tuan Haji berhujah seperti gaya mereka berdua.
Tuan Haji,
Rasanya banyak sudah saya nukilkan ini. Saya bukan ingin mengajar Tuan Haji Cuma ingin merungkai kekeliruan di hati. Saya berjarap Tuan Haji dapat memperjelaskan perkara ini.
Tetapi, satu sahaja yang saya inginkan janganlah pula Tuan Haji mengatakan bahawa ini semua hanya fitnah tetapi hakikatnya ia berlaku. Takut nanti ia menjadi satu taqiyyah yang su’.. Tuan Haji tahukan mungkin di dunia manusia mampu untuk berpura-pura dan berdusta tetapi tidak nanti di hadapan Allah..
Sebagai mengakhiri nukilan saya ini Tuan Haji, saya berlindung dari Allah dari kesesatan syaitan yang direjam, fitnah-fitnah dajjal yang amat bahaya dan berilah saya taufiq dan hidayah semoga saya dapat terus berlaku adil dalam membuat keputusan. Amin....
Ikhlas Dariku
Ibnu Ariff
Ceramah Di Masjid Daerah Manjung Perak.
12 years ago
No comments:
Post a Comment