Monday, May 26, 2008

KEPUTUSAN PULAU BATU PUTIH: BUKTI KEJAYAAN RUKUN NEGARA

Tanggal 23 Mei 2008 sehari sebelum ulang tahun kelahiran saya yang ke-26 pasti akan diingati oleh sekelian rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Johor. Petang Jumaat itu telah memberikan sedikit kejutan kepada saya. Pedra Branca atau nama Melayunya pulau Batu Putih yang menjadi rebutan di antara Malaysia dan Singapura telah diisytiharkan secara rasmi menjadi milik Singapura oleh Mahkamah Antarabangsa di Belanda.

Pulau Batu Putih yang hanya sebesar dua padang bola sepak. Tidaklah sebesar mana. Luasnya hanya 0.2 hektar sahaja. Berbatu-batu. Lokasinya terletak di 12.8 km dari Penggerang dan 64 km ke timur Singapura. Ia terlalu dekat dengan Malaysia jika dibandingkan dengan Singapura.

Apabila mengenangkan keputusan ICJ ini, saya masih teringat satu ilustrasi seorang kartunis yang pernah tersiar di dada akhbar negara kita, di mana Pulau Batu Putih meratapi keadaannya terpaksa menjadi pertikaian, di mana saudara-saudaranya di Malaysia masih amat merinduinya dan berjanji memperjuangkan agar ia dapat kembali ke pangkuan saudara-saudara yang lain. Ia satu ilustrasi yang penuh dengan simbolik.

Sebagai anak jati Johor yang di ajar untuk menerima keputusan peringkat tertinggi, saya redha dengan keputusan ICJ walaupun amat sedih. Tambahan lagi apabila mendengar ulasan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. Saya tahu beliau turut terkilan dengan kehilangan Pulau Batu Putih. Beliau menyatakan keputusan ICJ memberikan Pulau Batu Putih kepada Singapura sebagai win-win situation. Ini kerana Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan yang tutut dipertikaikan telah diisytiharkan milik Malaysia.

Mungkin benar apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. Ini kerana 16 orang Hakim ICJ telah bersuara. Hanya empat orang sahaja yang menyebelahi Malaysia manakala 12 orang Yang Arif lain telah berpihak kepada Singapura.

Tetapi bagi saya, win-win situation yang dinyatakan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim adalah keputusan ICJ memberikan hak Pulau Batu Putih kepada Singapura dan kejayaan para pemimpin dan rakyat Malaysia menerima keputusan ICJ itu.

Walaupun kita berasa sedih dengan kehilangan Pulau Batu Putih tetapi kita telah menang dalam mengawal perasaan kita. Akur dengan janji yang pernah kita katakan bahawa walaupun apa keputusan ICJ, Malaysia akan menerimanya tanpa ada pertikaian dan bantahan. Itulah sebenarnya akhlak sejati rakyat Malaysia. Berpegang dengan kata-kata dan menerima keputusan dunia yang dianggap amat adil.

Tahniah kepada semua pemimpin dan rakyat Malaysia. Dunia semua akan memandang akhlak kita yang amat mulia ini sebagai akhlak yang terpuji. Inilah akhlak yang kita terapkan di dalam rukun negara kita.

Kita yakin bahawa tuhan telah menentukan bahawa Pulau Batu Putih akan dimiliki oleh Singapura. Melalui kepercayaan kepada tuhanlah menjadikan kita redha dengan keputusan ICJ yang amat adil itu. Mungkin jika kepercayaan kepada tuhan tidak diterapkan ke dalam setiap hati rakyat Malaysia, pasti kita tidak dapat menerima ketentuan tuhan dan menganggap keputusan itu sebagai zalim dan keji berdasarkan hujah-hujah dan sejarah berkaitan Pulau Batu Putih.

Kesetiaan kepada negara menjadikan rakyat Malaysia akur dengan kehendak para pemimpin dan pejuang-pejuang merebut Pulau Batu Putih agar menerima keputusan ICJ dengan hati terbuka. Tanpa kesetiaan ini pasti ada segolongan dari kita membuat onar selepas keputusan ICJ diumumkan. Tahniah! Suadara-saudara seMalaysiaku.

Keluhuran perlembagaan yang tertera di dalam Rukun Negara kita turut melambangkan kita berjaya untuk mendidik warga negara Malaysia agar menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran perlembagaan negara kita. Tidak ada kekerasan dan mengikut peraturan. Jika ini dicabut di dalam hati rakyat Malaysia, lihatlah impak buruk dari keputusan ICJ itu.

Mendaulatkan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan yang menjadi tali belikat rakyat Malaysia mendorong kita menerima keputusan ICJ berkaitan Pulau Batu Putih ini dengan penuh bijaksana. Kita telah mendaulatkan undang-undang bukan sekadar undang-undang negara kita sahaja tetapi undang-undang dunia. Begitu juga sifat rakyat Malaysia yang penuh dengan kesopanan dan kesusilaan. Tidak ada celaan dan makian yang terhambur dengan keputusan muktamad ICJ itu.

Jadi, apa yang diputuskan oleh ICJ berkaitan Pulau Batu Putih di antara Malaysia dan Singapura sebenarnya telah memberi kemenangan besar kepada semua rakyat Malaysia terutama sekali pemimpin-pemimpin yang telah tiada. Kita telah berjaya menerapkan di dalam diri setiap individu, apa yang ada di dalam Rukun Negara yang menjadi tonggak kepada semua rakyat dalam menerima keputusan ICJ.

1 comment:

mohad said...

batu putih...milik siapa tu...