Monday, September 22, 2008

mengejar sepuluh malam terakhir; malam al-Qadr

Sungguh bertuah jadi umat Nabi Muhammad s.a.w. Macam-macam keistimewaan yang Allah berikan. Walaupu merupakan golongan umat manusia yang jangka hayatnya lebih singkat berbanding dengan hayat manusia awal, tetapi Allah tetap memberi ganjaran-ganjaran yang hebat kepada umat akhir zaman ini.

Salah satu hadiah yang amat besar ganjarannya kepada umat Muhammad s.a.w adalah ganjaran malam al-Qadr. Malam al-Qadr merupakan satu malam yang terdapat di dalam bulan Ramadhan. Malam itu merupakan malam yang amat istimewa kerana pada malam itu, ia lebih baik daripada 1000 bulan. Ini bukan rekaan atau cerita karut. Ia jelas dinyatakan di dalam al-Quran pada surah al-Qadr. Beruntung sungguh kepada sesiapa yang menemui malam tersebut.

Malam al-Qadr terjadi pada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan. Ini jelas seperti apa yang dinyatakan oleh Aisyah r.a , Rasulullah s.a.w beriktikaf di sepuluh malam hari terakhir bulan Ramadhan dan baginda bersabda “Carilah malam al-Qadr pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan”.
HR Bukhari 4/255 dan Muslim 1165

Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda “carilah lailatul Qadr di sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu maka jangan sampai terluput tujuh hari sisanya”.
HR Bukhari 4/221 Muslim 1165

Sebenarnya terlalu banyak kata-kata ulama berkaitan dengan bila berlaku malam al-Qadr itu. Sekiranya ingin melihat kata-kata itu berserta dengan dalilnya yang teliti tulisan Imam Iraqi yang berjudul “Syarh sodr bizikri lailatal Qadr”.

Sebenarnya malam al-Qadr amat penting kepada kita. Pada malam itulah al-Quran telah diturunkan. Menurut Syeikh Mana’ al-Qathan di dalam bukunya, Ulum al-Hadith, al-Quran telah diturunkan kesemuanya ke baitul Izzah langit dunia pada malam al-Qadr. Ia merupakan pendapat majority ulama. Jadi, nuzul al-Quran yang berlaku pada ketika itu sudah semestinya terjadi di malam al-Qadr. Ini dibuktikan melalui firman Allah di dalam surah al-Qadr ayat pertama dan surah ad-Dukhan ayat ke empat.

Selain daripada malam al-Qadr diturunkan al-Quran ia juga malam yang penuh kebaikan dan keberkatan. Ia merupakan malam yang lebih baiuk daripada 1000 bulan seperti yang dinyatakan pada permulaan tadi.

Dari itu, dalam fasa sepuluh malam terakhir ini, marilah kita bersama-sama mengejar malam al-Qadr. Kita tingkatkanlah amalan kita dan kita mengharap serta berdoa agar malam al-Qadr akan kita temui. Janganlah sampai kita terpengaruh dengan kata-kata golongan anti Hadith yang dikepalai oleh Kassim Ahmad al-Kazzab bahawa lailatul Qadr sudah tidak ada lagi pada hari ini. Ia hanya berlaku pada malam turun al-Quran sahaja.

No comments: