Thursday, October 2, 2008

DUIT RAYA...HARI RAYA...


Kemunculan Hari Raya Aidil Fitri 1429H memberikan kegembiraan kepada banyak pihak. Ia merupakan hari kemenangan kepada umat Islam setelah sebulan menjalankan ibadah puasa. Kemeriahan hari raya ini dapat dilihat dari keindahan baju raya yang dipakai, amalan kunjung mengunjung, berkumpul sanak saudara dan macam-macam lagi. Bagi anak-anak kecil pula, ini merupakan hari dan detik yang paling bahagia bagi mereka. Mereka berpeluang menggayakan pakaian yang cantik, menikmati juadah yang lazat, makan gula-gula dan coklat tanpa halangan dan mendapat duit raya.

Ini dapat saya lihat melalui para anak kecil yang mengunjungi rumah saya pada pagi 1 Syawal tadi setelah pulang dari Solat Hari Raya di Masjid Nurul Ta’zim, Majidee Bahru, Johor Bahru. Lebih daripada tujuh puluh orang anak-anak yang datang berkunjung. Angka yang agak besar berbanding dengan tahun lalu. Kami sekeluarga yang setiap tahun meraikan hari raya di sini hanya membuat kesimpulan bahawa kesan ekonomi yang agak parah membuatkan ramai keluarga yang tidak pulang ke kampung masing-masing.

Saya yang mengambil peranan pada hari ini melayan anak-anak kecil tidak puas bertanya mereka ‘seronokkah berhari raya?’. Jawapan mereka pastilah amat seronok. Dari apa yang saya perhatikan kebanyakan mereka mengatakan seronok dapat pakaian baru dan duit raya. Mungkin saya sewaktu kecil pun seperti anak-anak itu. Cuma pada ketika itu, kami hanya meraikan Aidil Fitri di kampung halaman ibu atau bapa sahaja bersama sanak saudara setiap tahun.

Mengenai gejala memberi duit raya ini saya cuba amati dari manakah asal usulnya. Ini kerana pada dasarnya, orang cina yang gemar memberi duit raya atau Ang Pow ketika Tahun Baru Cina. Adakah kita menuruti tradisi mereka? Ataukah sememangnya ia sudah menjadi kebiasaan atau tradisi sebelum orang cina datang ke Negara kita? Jika ditanyakan kepada ibu, beliau hanya menjawab tidak pernah ada pada zaman kecilnya tabiat memberi duit raya dan diberi duit raya.

Dari itu ia merupakan adapt yang mendatang dan bukan dari adat Melayu sendiri. Tidak salah untuk mengambil tiru adapt ini dari orang Cina kerana ia bukan adapt yang melibatkan agama. Tetapi seelok-eloknya janganlah ditanam kaedah orang cina di dalam masyarakat kita bahawa yang sudah berkahwin sahaja boleh memberi duit raya agar adat ini jauh berbeza dari adat mereka.

Sebenarnya memberi duit raya ini ada positif dan negatifnya. Biasalah semua perkara ada positif dan negative. Hanya kita sahajalah yang mampu mengwal agar tidak terjerumus ke lembah negative sama ada dari sudut agama dan masyarakat.

Adat memberi duit raya sebenarnya mampu menanamkan semangat suka menderma. Ini dapat menonjolkan kebaikan kita kesan daripada madrasah Ramadhan yang mendidik kita agar suka menderma dan membuat kebaikan. Tetapi harus diingat jangan samapai tujuan memberi duit raya itu untuk menunjukkan keegoan. Kerana ego itu salah dan berdosa.

Selain daripada itu, memberi duit raya mampu menggembirakan anak-anak kecil. Mereka pasti seronok dengan habuan itu setelah mereka puas berpuasa selama sebulan. Mungkin mereka dapat menghayati bahawa Aidil Fitri sememangnya hari kejayaan bagi mereka yang berpuasa. Pada bulan Ramadhan dipaksa oleh ibu bapa berpuasa (sebelum mereka memahami kewajipan berpuasa yang sebenar) kemudian mendapat pelbagai ganjaran pada Syawal meraikan usaha gigih mereka.

Tetapi perlu diingatkan kepada ibu bapa agar sentiasa menasihati anak-anak jangan hanya bertujuan mendapatkan duit raya apabila menziarahi rumah saudara dan jiran tetangga. Lagi-lagi bagi segelintir anak-anak yang enggan masuk ke rumah apabila datang berhari raya. Hanya meminta duit raya di pintu. Macam peminta sedekah pula. Malu. Biarlah masuk dan bersalaman dengan tuan rumah.

Apa pun, semoga Hari Raya ini memberikan kita semua kegembiraan dan mampu merapatkan persaudaraan sesame kita. Fikirkanlah semoga pemberian duit raya dan menerima duit raya memberi faedah yang baik. Jangan samapai amalan itu menjerumuskan kita kepada sifat dan sikap yang jelek.

No comments: