Friday, May 30, 2008

Kemajuan Negara yang kita kecapi hari ini amat membanggakan. Malaysia hari ini sudah tidak sama dengan zaman arwah ayah saya kanak-kanak. Setiap rumah boleh dikatakan sudah memiliki komputer dengan sambungan internet. Bagi mereka yang tidak memilikinya, ‘cyber cafe’ mampu memenuhi keinginan sesiapa yang ingin melayarai internet.

Fenomena ini telah memberikan jalan baru bagi para pendakwah Islam untuk menyebarkan dakwah. Laman-laman web dan ruang-ruang blog telah menjadi medium alternativ sebagai gelanggang untuk menyebarkan maklumat-maklumat dakwah. Jika mahu disenaraikan di sini, jenuh orang ingin membaca satu persatu. Contoh laman-laman web dan blog aktif yang boleh kita layari bagi mendapat info dakwah seperti http://drmaza.com, http://alghari.blogspot.com dan http://abusyuaib.blogspot.com.

Banyak manfaat yang boleh diperolehi apabila melayari blog-blog seperti ini. Tetapi, apa yang tidak sedap kita lihat, apabila blog-blog tersebut seolah-olah menjadi tempat untuk menyindar, mengutuk, menyalahkan golongan-golongan yang tidak sealiran dengan idea-idea mereka. Bukan sahaja para bloggers atau pengendali sesuatu laman dikutuk malahan golongan ulama mu’tabar secara sengaja atau tidak turut terkena tempias. Sebagai contoh, Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim dan lain-lain lagi.

Bagi golongan yang memiliki ilmu pengetahuan mereka akan mampu membuat penilaian. Tetapi, bagi golongan yang cepat terpengaruh, mereka akan terus termakan dengan apa yang ditulis. Tambahan lagi jika pemilik laman-laman web atau blog itu merupakan orang yang dikenali ramai. Sebagai contoh Samahahtul Ustaz Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, Ustaz Zamihan, Penolong Pengarah di Institut Latihan islam Malaysia (ILIM), dan individu-individu lain.

Sememangnya kita akur bahawa kuasa laman-laman web dan blog amat ampuh dalam menyebarkan maklumat, pengaruh dan dakwah. Sebagai contoh lihatlah kerajaan Barisan Nasional mengalami kekalahan teruk di dalam PRU yang lalu impak dari kuasa ini.
Jadi, persoalan yang kita perlu prihatin mengenai fenomena ini, adakah cara atau method sebahagian pihak yang mengkritik individu lain yang dianggap sebagai golongan ilmuan Islam di dalam laman-laman web atau blog mereka merupakan tindakan bijak? Adakah ini akan memberi impak yang baik dalam perkembangan dakwah Islamiyah?

Pasti akan ada yang menjawab, jika kita lihat kitab-kitab mengenai golongan perawi-perawi hadith terdapat banyak tohmahan mengenai individu-individu. Jadi melalui cara itu kita dapat memberi kesan positif seperti apa yang dilakukan oleh golongan penulis kitab-kitab berkaitan perawi. Ada juga sebahagian pihak akan menjawab itu perkara biasa.

Bagi saya ini merupakan satu keadaan yang tidak berapa baik. Jika kita lihat, penyusun-penyusun buku mengenai perawi hadith menyenaraikan tohmahan dan kecacatan sebahagian para perawi bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada kita hadith-hadith nabi s.a.w yang mana kita boleh ambil dan tolak. Adakah cara yang dilakukan oleh sebahagian para bloggers akan membawa impak yang sama?

Secara jujurnya saya katakana tidak. Ini kerana pada hari ini kita telah dihidangkan dengan tafsiran-tafsiran al-Quran, hadith-hadith dan maklumat-maklumat agama yang telah dikumpulkan oleh golongan ulama mu’tabar sebelum kita. Jadi, jika pada hari ini, berlaku perselisihan sesuatu pendapat tidakkah boleh kita duduk berbincang.

Satu lagi persoalan yang timbul. Adakah pintu untuk kita berbincang telah tertutup? Pintu untuk kita duduk bersama-sama meneliti segala maklumat sudah tiada lagi?

Pasti ramai yang bersetuju dengan saya mengatakan tidak. Jika begitu mengapa kita tidak melaksanakannya. Jika seoranag alim itu mengatakan bahawa hujahnya adalah yang tepat, mengapa tidak duduk semeja menilai hujahnya satu persatu dengan yang lain untuk membuktikannya. Adakah jika sudah dinilai pihak yang pandangannya kurang tepat tidak boleh bersetuju dengan pendapat golongan yang tepat.

Ini semua berpunca daripada sifat ego yang menguasai diri. Saya pasti mereka semua tahu apa itu sifat ego. Marilah kita sama-sama berlapang dada dalam menyampaikan dakwah Islamiyyah. Musuh-musuh kita sudah makin bertambah. Walaupun mereka tidak kuat pada hujah tetapi mereka semakin kuat dari segi usaha dan strategi. Lihatlah golongan al-Arqam yang semakin galak berdakwah melaui internet. Kassim Ahmad and the Gang dan banyak lagi.

Janganlah kita berpecah atau dilihat nampak bermusah hanya kerana perkara-perkara yang boleh dibincangkan. Pepatah Melayu selalu mengatakan ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’, ‘bersatu kita teguh bercerai kita roboh’ dan banyak lagi. Musuh-musuh kita sedang memerhatikan kita. Mereka suka kita semua sentiasa bertelagah.

Kita asyik bertelagah, golongan musuh-musuh kita semakin aktif dengan blog-blog dan laman web mereka. Jika tidak percaya jenguklah di laman seperti www.submission.org, http://www.e-bacaan.com, http://attamimi.blogspot.com dan macam-macam lagi. Fikir-fikirkanlah!

Monday, May 26, 2008

KEPUTUSAN PULAU BATU PUTIH: BUKTI KEJAYAAN RUKUN NEGARA

Tanggal 23 Mei 2008 sehari sebelum ulang tahun kelahiran saya yang ke-26 pasti akan diingati oleh sekelian rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Johor. Petang Jumaat itu telah memberikan sedikit kejutan kepada saya. Pedra Branca atau nama Melayunya pulau Batu Putih yang menjadi rebutan di antara Malaysia dan Singapura telah diisytiharkan secara rasmi menjadi milik Singapura oleh Mahkamah Antarabangsa di Belanda.

Pulau Batu Putih yang hanya sebesar dua padang bola sepak. Tidaklah sebesar mana. Luasnya hanya 0.2 hektar sahaja. Berbatu-batu. Lokasinya terletak di 12.8 km dari Penggerang dan 64 km ke timur Singapura. Ia terlalu dekat dengan Malaysia jika dibandingkan dengan Singapura.

Apabila mengenangkan keputusan ICJ ini, saya masih teringat satu ilustrasi seorang kartunis yang pernah tersiar di dada akhbar negara kita, di mana Pulau Batu Putih meratapi keadaannya terpaksa menjadi pertikaian, di mana saudara-saudaranya di Malaysia masih amat merinduinya dan berjanji memperjuangkan agar ia dapat kembali ke pangkuan saudara-saudara yang lain. Ia satu ilustrasi yang penuh dengan simbolik.

Sebagai anak jati Johor yang di ajar untuk menerima keputusan peringkat tertinggi, saya redha dengan keputusan ICJ walaupun amat sedih. Tambahan lagi apabila mendengar ulasan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. Saya tahu beliau turut terkilan dengan kehilangan Pulau Batu Putih. Beliau menyatakan keputusan ICJ memberikan Pulau Batu Putih kepada Singapura sebagai win-win situation. Ini kerana Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan yang tutut dipertikaikan telah diisytiharkan milik Malaysia.

Mungkin benar apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. Ini kerana 16 orang Hakim ICJ telah bersuara. Hanya empat orang sahaja yang menyebelahi Malaysia manakala 12 orang Yang Arif lain telah berpihak kepada Singapura.

Tetapi bagi saya, win-win situation yang dinyatakan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim adalah keputusan ICJ memberikan hak Pulau Batu Putih kepada Singapura dan kejayaan para pemimpin dan rakyat Malaysia menerima keputusan ICJ itu.

Walaupun kita berasa sedih dengan kehilangan Pulau Batu Putih tetapi kita telah menang dalam mengawal perasaan kita. Akur dengan janji yang pernah kita katakan bahawa walaupun apa keputusan ICJ, Malaysia akan menerimanya tanpa ada pertikaian dan bantahan. Itulah sebenarnya akhlak sejati rakyat Malaysia. Berpegang dengan kata-kata dan menerima keputusan dunia yang dianggap amat adil.

Tahniah kepada semua pemimpin dan rakyat Malaysia. Dunia semua akan memandang akhlak kita yang amat mulia ini sebagai akhlak yang terpuji. Inilah akhlak yang kita terapkan di dalam rukun negara kita.

Kita yakin bahawa tuhan telah menentukan bahawa Pulau Batu Putih akan dimiliki oleh Singapura. Melalui kepercayaan kepada tuhanlah menjadikan kita redha dengan keputusan ICJ yang amat adil itu. Mungkin jika kepercayaan kepada tuhan tidak diterapkan ke dalam setiap hati rakyat Malaysia, pasti kita tidak dapat menerima ketentuan tuhan dan menganggap keputusan itu sebagai zalim dan keji berdasarkan hujah-hujah dan sejarah berkaitan Pulau Batu Putih.

Kesetiaan kepada negara menjadikan rakyat Malaysia akur dengan kehendak para pemimpin dan pejuang-pejuang merebut Pulau Batu Putih agar menerima keputusan ICJ dengan hati terbuka. Tanpa kesetiaan ini pasti ada segolongan dari kita membuat onar selepas keputusan ICJ diumumkan. Tahniah! Suadara-saudara seMalaysiaku.

Keluhuran perlembagaan yang tertera di dalam Rukun Negara kita turut melambangkan kita berjaya untuk mendidik warga negara Malaysia agar menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran perlembagaan negara kita. Tidak ada kekerasan dan mengikut peraturan. Jika ini dicabut di dalam hati rakyat Malaysia, lihatlah impak buruk dari keputusan ICJ itu.

Mendaulatkan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan yang menjadi tali belikat rakyat Malaysia mendorong kita menerima keputusan ICJ berkaitan Pulau Batu Putih ini dengan penuh bijaksana. Kita telah mendaulatkan undang-undang bukan sekadar undang-undang negara kita sahaja tetapi undang-undang dunia. Begitu juga sifat rakyat Malaysia yang penuh dengan kesopanan dan kesusilaan. Tidak ada celaan dan makian yang terhambur dengan keputusan muktamad ICJ itu.

Jadi, apa yang diputuskan oleh ICJ berkaitan Pulau Batu Putih di antara Malaysia dan Singapura sebenarnya telah memberi kemenangan besar kepada semua rakyat Malaysia terutama sekali pemimpin-pemimpin yang telah tiada. Kita telah berjaya menerapkan di dalam diri setiap individu, apa yang ada di dalam Rukun Negara yang menjadi tonggak kepada semua rakyat dalam menerima keputusan ICJ.

Friday, May 23, 2008

MENGAPA USTAZ SURUH KAMI MENJAJA KISMIS

Berniaga merupakan perniagaan yang amat mulia di sisi kaca mata Islam. Nabi Muhammad yang merupakan idola setiap Muslim pernah menjadi peniaga. Pernah bekerja untuk meniagakan barang dagangan orang lain. Kisah ini amat masyhur di dalam kitab-kitab sirah nabawi. Baginda meniagakan harta Saidatina Khadijah sebelum mereka berdua berkahwin dan mendapat keuntungan yang besar.

Kisah itu saya renung-renungkan apabila melihat gelagat anak-anak kecil yang masih bersekolah menjaja buku-buku agama, kismis-kismis penerang hati dan macam-macam lagi di tengah kota raya Kuala Lumpur. Anak-anak itu menjaja tanpa mempedulikan tekak kering dan perut lapar dek tidak disirami dan diisi. Mereka bertudung labuh bagi anak-anak perempuan dan berketayap atau songkok bagi anak-anak lelaki.

Jika saya di tempat mereka pasti saya tidak mampu untuk melakukan. Sifat pemalu yang menebal dalam diri pasti menghalang saya dari melakukan aktiviti-aktiviti seumpama itu. Tambahan lagi, saya tidak mampu untuk mengharapkan orang membeli bahan jajaan saya di tempat umum sedangkan rata-rata orang yang lalu lalang tidak mengendahkan kewujudan saya. Factor lain ia kerja yang amat meletihkan bagi anak-anak sebaya itu.

Tanpa saya sedari seorang anak lelaki menghampiri saya. Menawarkan saya untuk membeli kismis penerang hati. RM 1 sahaja bagi sekotak. Saya melemparkan senyumn pada anak lelaki itu. Merenung bebola matanya. Sedikit perbualan sebelum saya mengeluarkan beberapa keeping wang Malaysia bagi membayar harga kismis tersebut.

Sebelum anak kecil itu melangkah saya mengajak dia pergi menemani saya membasahi tekak. Pelawaan saya ditolak dengan sopan. Tetapi di atas desakan saya, akhirnya anak kecil itu menuruti kemahuan saya.

Ketika kami sama-sama menikmati minuman sejuk, saya terus bertanyakan asal usul anak kecil itu. Dia seorang pelajar sekolah agama berasrama di Selangor. Di dalam hati saya hanya berkata serupa seperti saya dahulu. Anak kecil itu memberi tahu bahawa dia berasal dari Terengganu. Wah! Berasal dari negeri yang kaya dengan minyak. Negeri yang satu ketika dahulu dikatakan tempat asal agama Islam sampai di Tanah Melayu. Tempat Batu Bersurat Kuala Berang ditemui. Anak kecil yang saya sangkakn agak pendiam amat peramah dan bijak berbicara.

Dia menjaja kismis penerang hati kerana diarahkan oleh pihak sekolah. Ustaz yang suruh. Ustaz beritahu untuk mengajar murid-murid ada keyakinan diri, pandai berniaga, mencari wang untuk tabung sekolah dan macam-macam lagi. Jadi, pada hari Sabtu dan Ahad mereka semua akan berada di tempat-tempat yang ramai orang untuk mencapai visi dan misi sekolah.

Saya menarik nafas bersyukur kerana saya dahulu bersekolah di Sekolah Agama Arab An-Nur. Sekolah berasrama bukan milik kerajaan.Hanya milik persendirian Cikgu Abdul Samad. Bekas Cikgu Bahasa Inggeris yang terbuka hati mengembangkan Bahasa Arab ke dunia Melayu melalui sekolahnya. Di sekolah itu beliau menggunakan dananya sendiri dan dana daripada ibu bapa murid-murid. Tidak mengharapkan murid-murid menjual apa-apa untuk dijadikan dana sekolah. Seingat saya hanya guru sahaja yang ada membuat jualan langsung. Itupun sesame mereka. Zhulian, CNI dan entah apa-apa lagi.

Adakah pada zaman saya belajar ketika itu, trend mengarahkan anak-anak murid pergi menjaja untuk mendapatkan dana seperti yang dipelopori oleh Ustaz Haji Asaari bekas pemimpin Darul Arqam tidak mendapat sambutan? Entahlah. Saya masih tidak mendapat jawapan.

Apa yang mampu saya katakana, saya amat simpati dengan anak-anak kecil berketayap dan bertudung labuh yang diarahkan untuk menjaja sama ada kismis atau buku-buku agama. Adakah mereka sebenarnya redha dengan kerja-kerja itu?

Seharusnya mereka mentelaah pelajaran seminggu yang lepas sewaktu cuti Sabtu dan Ahad. Bukan pergi menjaja. Mereka akan berasa penat setelah seminggu menghadap buku. Biar hari Sabtu dan Ahad mereka dihabiskan dengan bermain bola sepak, ping pong atau sepak takraw. Biar peluh keluar, agar otak segar.

Mengapa anak-anak kecil sekolah agama sahaja yang saya lihat menjaja di tempat-tempat terbuka itu? Bukan anak-anak sekolah menengah biasa atau anak-anak sekolah agama lain.

Saya bukan ingin memperlekehkan sekolah-sekolah agama. Jauh sekali ingin membanding-bandingkan. Tetapi saya ingin memberitahu apa yang tersirat di hati saya. Anak-anak kecil itu tidak harus di suruh menjaja kismis penerang hati ataupun buku-buku agama. Mereka dibiarkan tanpa ada pengawasan. Ustaz hantar ke tempat-tempat yang ustaz-ustaz fikir strategic untuk menjaja dan meninggalkan mereka.

Ustaz! Apa akan jadi sekiranya anak-anak itu dicolek. Bagaimana pula jika mereka dirogol atau diliwat. Siapa harus dipertanggungjawabkan sekiranya mereka dipukul atau dilanggar kereta.

Jika Ustaz-ustaz tidak ada dana untuk membuka sekolah sehingga memaksa anak-anak kecil kena bekerja tidak perlulah buka sekolah. Saya rasakan sekolah yang disediakan oleh kerajaan sudah cukup bagus. Boleh mendidik anak-anak menjadi manusia baik. Ramai juga yang jadi ustaz. Bukan itu saja yang jadi prostaz pun ramai.

Jika ustaz fikir itu cara untuk mengajar mereka berdikari dan berkeyakinan diri, saya katakana itu tidak sesuai. Banyak lagi kokurikulum lain boleh diguna pakai.

Ingatlah ustaz! Jangan cemarkan golongan agama dengan kelakuan sumbang itu. Golongan agama sudah banyak menerima cercaan dan hinaan dari pelbagai pihak. Jangan tindakan ustaz ini menjadi bahan tambahan untuk golongan agama dihina terus.

Sebelum saya mengakhiri kata-kata saya ini, saya ingin memberitahu ustaz bahawan anak-anak kecil itu tidak suka dengan apa yang ustaz suruh mereka buat.

Tuesday, May 20, 2008

jangan hancurkan UMNO

Sedih saya apabila memerhatikan politik Malaysia pada hari ini. Saya bukan seorang yang bijak untuk memperkatakan mengenai politik. Tidak sehebat Pak Habib, Raja Petra atau yang lain-lain. Kepincangan parti politik yang bernama UMNO dan Barisan Nasional amat ketara sekali. Bermacam-macam tohmahan dan kutukan oleh setiap lapisan masyarakat mengenai pentadbiran Y.B Perdana Menteri. Beliau yang pernah di pandang hebat kerana merupakan cucu seorang a’lim besar daripada Pulau Pinang kini dipandang amat rendah sekali. Dikatakan tidak pandai memerintah, kronisme dan macam-macam.

Desakan dari pelbagai pihak agar beliau meletakkan jawatan amat kuat sekali. Bekas Perdana Menteri Malaysia sebelum ini tidak jemu-jemu mendesak agar beliau meletakkan jawatan. Mungkin Tun Mahathir yang telah lama bergelumang di dalam Dunia UMNO nampak bahawa dengan perletakan jawatan Pak Lah akan mendatangkan impak positif kepada arena perjalanan politik Malaysia setelah kekalahan teruk barisan Nasional pada PRU yang lalu.

Tetapi, apa yang memeranjatkan adalah Tun Mahathir yang diharapkan dapat mengetuai satu reformasi membetulkan keadaan UMNO telah mengumumkan keluar daripada UMO. Tun yang merupakan golongan veteran UMNO yang mempunyai pengaruh besar kepada ramai ahli UMNO telah membuat keputusan. Mungkin apa yang dilakukan oleh beliau dirasakan tindakan bijak. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Benarkah desakan Tun Mahathir agar Pak Lah melepaskan jawatan tindakan yang tepat? Saya sentiasa tertanya-tanya siapakah yang bakal menggantikan Pak Lah jika beliau sanggup melepaskan jawatan. Saya tahu UMNO memiliki ramai tokoh-tokoh yang berkebolehan, tetapi siapakah yang paling sesuai untuk menjadi al-mahdi dalam keadaan kucar kacir UMNO dan Barisan Nasional ini. Adakah Tun Mahathir akan memegang semula jawatan tersebut. Tun Mahathir pernah menyatakan beliau sudah tidak mahu menjawat jawatan itu lagi sewaktu beliau meletakkan jawatan. Jad,i siapakah yang patut menggantikan tempat Pak Lah?

Apabila mengenangkan mengenai melepaskan jawatan teringat saya kisah Hassan putera Ali RadhiAllahu’anhuma cucu kesayangan Rasulullah. Beliau sanggup menyerahkan khilafah kepada Muawiyyah. Adinda beliau yang agak keberatan mengenai perkara tersebut pada permulaannya tidak bersetuju. Mereka berdua beradu pendapat. Dan akhirnya Hassan menyerahkah jawatan Khalifah kepada Muawiyyah agar kedamaian dan ketenangan dapat dikecapi. Muawiyyah juga merupakan sahabat Rasullullah s.a.w dan penulis wahyu yang diterima Rasullah s.a.w. Hebat benar tindakan cucu Rasullullah tersebut. Ia perlu dijadikan contoh. Menyerahkan khilafah kepada orang lain yang turut layak memegangnya.

Jadi, jika benarlah jangkaan semua pihak bahawa kepincangan politik Malaysia dapat diselesaikan dengan perletakan jawatan Pak Lah maka bolehlah Pak Lah menuruti apa yang pernah dilakukan oleh cucu Rasulullah. Pasti perbuatan beliau akan dipuji.

Tetapi, beliau perlu ingat bahawa beliau mestilah memberi jawatan tersebut kepada orang yang benar-banar layak. Seperti Hassan r.a memberikan kepada Muawiyyah r.a. mempunyai klayakan dan amat berkarisma.

Ini ditakuti dengan berlaku kejutan demi kejutan oleh ahli-ahli veteran UMNO seperti apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir khususnya akan menghancurkan parti pusaka orang Melayu dan pakatan Barisan Nasional yang diketahui mempunyai sejarah yang gemilang sebelum ini.

Jadi, mungkin methode kehancuran yang kecil perlu dipilih bagi mengelakkan kehancuran yang besar menimpa perlu dipertimbangkan.

SMS MAUT.. BENAR KE?

Beberapa minggu lepas saya ada menerima satu sms dari kawan serumah saya. Agak mengejutkan kandungan mesej itu. Ia membuatkan saya tersenyum seorang diri setelah menghabiskan perkataan terakhir sms itu. Kandungan sms itu berbunyi seperti di bawah:

“JIKALAU ANDA MENDPT PGGILN TELEFON YG BERNOMBOR PANJANG cnth: +62852731520946 DAN NOMBOR ITU BERWARNA MERAH, DIHARAP² SGT JGN DIANGKAT DAN DIJAWAB PANGGILAN ITU. INI KERANA DI INDONESIA SKRG, SEKUMPULAN PENUNTUT ILMU HITAM SDG MENGUJI ILMU MEREKA MELALUI TELEFON. JIKA SESIAPA YANG MENJAWAB PANGGILAN ITU MULUT AKAN BERBUIH DAN MATI SLPS ITU. DI INDONESIA SDH 9 ORG MATI DAN MALAM TADI DIPUCHONG 2 ORG MATI. INI BNR² TERJADI. TOLONG SEBARKAN SMS INI’’.

Apa yang terbayang di kepala saya selepas membaca sms itu adalah kemajuan yang dinikmati dunia pada hari ini telah digunapakai pada semua aspek. Dunia ilmu hitam sudah maju. Telefon bimbit sudah menjadi alat menyebarkan sihir. Pasti selepas ini para pengamal dunia mistik akan memiliki model telefon bimbit yang canggih-canggih. Mungkin tidak ada lagi pengeras kambing hitam, ayam jantan atau pulut kuning melainkan telefon bimbit Nokia N series, Motorola dan macam-macam lagi bagi golongan yang menggunakan khidmat golongan pengamal ilmu hitam untuk melempiaskan hajat mereka.

Apabila hendak tidur, saya membaca semula sms yang diberikan oleh kawan serumah saya. Benarkah kandungan sms itu? Saya yang tidak pernah mempelajari mengenai ilmu mistik tidak dapat memastikan kaedah baru ilmu hitam yang dicanangkan di dalam sms itu. Tetapi apa perlu saya beri jawapa sekiranya kawan serumah saya menanyakan kepada saya mengenai sms tersebut. Dia pasti bertanya.

Sememangnya saya tidak yakin dengan sms tersebut. Bukan saya tidak percaya mengenai sihir dan ilmu hitam tetapi maklumat-maklumat melalui penyebaran sms ini tidak pernah saya mempedulikan selagi ia tidak dibuktikan secara bertulis. Lihatlah dulu apa kata bijak pandai. Mereka lebih arif untuk memperbahaskan mengenai perkara tersebut. Itulah tradisi yang saya warisi dari kecil lagi yang diajar oleh Allahyarham bapa saya.

Menyebarkan sms semua orang boleh lakukan. Tidak kira di mana kita berada. Saya pun mampu untuk menyebarkan mengenai duit boleh disedut melalui kaedah sms. Hanya sebarkan sms kepada rakan-rakan dan pasti ia akan tersebar di seantero dunia. Bagi mereka yang mudah percaya pasti akan terpengaruh dan mempercayainya.

Bak kata orang tua-tua jangan cepat melatah apabila mendengar sesuatu perkhabaran. Jadi, janganlah mudah percaya mengenai maklumat karut dari sms tersebut.
Mari kita sama-sama menilai kandungan sms tersebut. Adakah manusia mampu untuk memberi kemudharatan kepada manusia lain. Tidak! Itu sudah pasti. Hanya Allah sahaja yang berkuasa untuk berbuat sedemikian. Jadi, mengapa harus percaya dengan itu semua.
Selain daripada itu, telefon bimbit yang saya gunakan hanya memaparkan tulisan berwarna hitam. Telefon tidak berwarna. Jadi bagaimana untuk terpapar tulisan berwarna merah. Itu mustahil.

Perkara ini menambah keyakinan saya apabila S.S Dr Asri Zainal Abidin menyatakan pendirian beliau mengenai perkara ini sukar untuk dilakukan.

Mungkin apa yang dilakukan oleh penghantar sms ini sama seperti agenda surat berantai yang pernah saya terima sewaktu kecil mengenai kisah pemegang kunci pintu Kaabah. Ia untuk melemahkan umat Islam.

Jadi, saya mengambil langkah untuk menafikan kesahihan sms tersebut. Jika apa yang saya percayai ini meragukan saudara-saudara mungkin apa yang tercata di dalam batam Pos dapat menenagkan keadaan.

Dari BatamPos:
Pelaku Penyebaran Nomer Setan Mengaku
TANJUNGUBAN - Heboh nomor ponsel yang bisa “menyantet” orang yang konon ada warga yang tewas akhirnya terkuak.
Si pengirim ternyata bukan dukun santet atau dukun ilmu hitam, tapi hanya anak baru gede (ABG) yang iseng ingin mengerjai teman-temannya.
Dari penelusuran Batam Pos, Rabu (7/5) akhirnya terkuak siapa yang pertamakali mengirim SMS yang mengatasnamakan 0866. Pengirim pertama SMS tadi yaitu ABG yang berasal dari Tanjunguban, Bintan Utara.

”Awalnya SMS ini dikirim untuk mengusili kawan-kawan saja,” ucap ABG yang mengaku mengirim SMS juga kepada Batam Pos, Rabu (7/5). ABG perempuan yang namanya tak mau disebutkan menerangkan, SMS tadi dikirim saat dirinya tak ada kegiatan sehingga dirinya terkenang dengan teman-temannya. Saat teringat dengan rekannya tadi, Ia iseng-iseng mengirimkan SMS dengan nada sedikit usil.
Adapun isi SMS tadi yaitu meminta teman-temannya untuk berhati-hati jika menerima SMS dari nomor 0866 dengan tampilan warna merah di layar ponsel. Sebaiknya tidak diangkat karena bisa menyebabkan orang yang mengangkatnya meninggal dunia.
Masih menurut SMS tadi, di Jakarta disebutkan kalau ada orang yang meninggal dunia setelah membuka. Untuk meyakinkan rekan-rekan tadi, ia meminta agar SMS ini diteruskan ke nomor yang lain. Ia tak menyangka kalau SMS untuk mengisengi teman-temannya menyebar luas sampai keluar Kepri. Untuk itu, Ia perlu meluruskan masalah ini agar tak membuat warga merasa resah.
*JANGANLAH SEBARKAN SMS SEPERTI INI. LEBIH BAIK KOS MENGHANTAR SMS SEPERTI INI DISEDEKAHKAN KEPADA YANG MEMERLUKAN. LEBIH UNTUNG!

Friday, May 16, 2008

PERAYAAN HARI WESAK

Pada tanggal 19 Mei 2008 ini rakyat Malaysia akan bercuti umum sempena perayaan Hari Wesak bagi masyarakat beragama Budha. Malaysia yang memiliki pelbagai kaum dan agama yang hidup aman harmoni sentiasa mengamalkan cara hidup menghormati antara kaum dan agama memberikan penghormatan kepada penganut agama Budha untuk meraikan hari kebesaran mereka dan memberi cuti umuM kepada semua rakyat Malaysia.
Sebagai rakyat yang prihatin walaupun kita bukan beragama Budha tidak salah rasanya jika kita tahu apakah itu Hari Wesak dan mengapa hari Wesak diraikan oleh penganut agama Budha. Ini akan menambahkan semangat perpaduan antara kaum dan agama di Negara kita yang tercinta, Malaysia.

Apa itu Wesak?

Menurut Ven Dr K Sri Dhammanada, Wesak adalah satu bulan di dalam takwim India dahulu kala yang biasanya jatuh pada bulan Mei. Akan tetapi, kadangkala bulan Wesak itu bermula pada hujung bulan April ataupun berlanjutan hingga awal bulan Jun.
Wesak berasal daripada perkataan Pali “Wesakha” atau perkataan Sanskrit “Waishakha”. Ia merupakan hari yang paling penting bagi penganut agama tersebut dan dinamakan sebagai hari trisuci (tiga peristiwa suci). Di beberapa negara hari Wesak juga dikenali sebagai hari Buddha.

Hari Wesak sebagai cuti umum

Hari Wesak menjadi cuti umum di kebanyakan Negara di dunia ini berdasarkan kepada hasil persidangan pertama Persaudaraan Buddhis Sedunia (World Fellowship of Buddhists - WFB) yang diadakan di Sri Lanka pada tahun 1950.

Persidangan itu merakamkan perhargaan kepada Duli Yang Teramat Mulia, Maharaja Nepal dalam mengistiharkan hari bulan purnama Wesak sebagai cuti umum di Nepal. Pada masa yang sama, persidangan Itu turut meminta semua ketua kerajaan yang negaranya mempunyai penduduk beragama Buddha sama ada ramai atau sedikit, mengambil langkah untuk mengumumkan pada hari bulan purnama di dalam bulan Mei sebagai Hari Wesak dan meraikannya sebagai cuti umum. Perkara ini dilakukan untuk memberi penghormatan kepada Gautama Buddh.

Di dalam mesyuarat W.F.B. yang berikutnya, banyak usul berhubung dengan perayaan Wesak telah diluluskan. Mesyurat tersebut yang telah diadakan di Rangoon, Burma pada tahun 1954, telah meluluskan permohonan kepada kerajaan India supaya mengumumkan Hari Purnama Buddha atau hari Wesak (hari bulan purnama dalam bulan Mei) sebagai cuti umum bagi seluruh negara India.”

Di dalam mesyuarat W.F.B. keempat yang diadakan di Nepal pada tahun 1956, satu usul yang serupa berbunyi seperti berikut telah diluluskan: “Kerajaan Pakistan dipohon untuk mengumumkan Hari Trisuci Wesak Purnama (hari bulan purnama dalam Mei) sebagai cuti umum bagi setiap tahun yang akan datang.’ Di dalam Persidangan Dunia yang keenam di Phnom Pehn, Kampuchea, pada tahun 1961, persidangan telah memutuskan “Hari bulan purnama yang pertama di dalam bulan Mei diiktiraf sebagai Hari Buddha dan dirayakan seperti yang sewajarnya.”

Pada tahun 1976, persidangan W.F.B. yang ke sebelas diadakan di Bangkok. Keputusan untuk menentukan satu hari umum untuk meraikan Wesak telah dibangkitkan lagi dan keputusan yang berikut telah dibuat: “Bahawa diputuskan Majlis berasa adalah perlu usul untuk menyambut hari Wesak pada hari yang sama dilaksanakan. Oleh itu, Jawatankuasa ini ingin menyarankan kepada sidang pleno sekali lagi untuk melaksanakan usul yang dibuat dan diluluskan oleh Persidangan Umum yang lalu."

Wesak Sebagai Cuti Umum di Malaysia

Selain daripada ketetapan yang diluluskan oleh Mesyuarat Dunia W.F.B., pada tahun 1961 penganut Buddha di Malaysia telah membuat satu rayuan kepada kerajaan Malaysia untuk mengumumkan hari Wesak sebagai cuti umum di Malaysia.

Pada tahun 1962 kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk mengumumkan Hari Wesak sebagai hari cuti umum berkuatkuasa pada tahun tersebut.

Peristiwa Suci Pertama: Kelahiran Siddhartta Buddha

Wesak merupakan satu hari yang sungguh bermakna bagi jutaan penganut Buddha yang merupakan satu perlima daripada jumlah penduduk di dunia ini. Di beribu – ribu biara seluruh akan memberi penghormatan kepada seorang putera yang telah meninggalkan kesenangan dunia di istana untuk membawa ketenangan dan kebahagiaan kepada manusia menurut kepercayaan mereka. Buddha atau “Yang Telah Mencapai Pencerahan Sempurna Tertinggi” dilahirkan, dalam tahun 623 Sebelum Masehi (S.M.) pada hari bulan purnama Wesak. Putera muda ini diberi nama Siddhattha atau “Yang Membawa Segala Kebaikan”. Bapanya bernama Raja Suddhodana dan ibunya bernama Permaisuri Mahamaya merupakan pemerintah sebuah kerajaan kecil yang dipanggil Kapilavattu di utara India.

Peristiwa Suci Kedua: Pencerahan Sempurna Buddha

Menurut kepercayaan penganut agama Budha, Siddhatta telah mencapai pencerahan sempurna pada hari ulang tahun Beliau yang ke-35. iaitu pada hari bulan purnama Wesak, ketika beliau duduk di bawah pohon Bodhi di Buddha Gaya. Selama 45 tahun berikutnya, Buddha telah mengembara di utara India untuk menyampaikan ajarannya.

Peristiwa Suci Ketiga: Kemangkatan Gautama Buddha

Selepas 45 tahun berDhamma, ketika berbaring di bawah sepohon pokok sala, di depan satu perhimpunan besar para bhikkhu, Gautama Buddha mangkat di Kusinara. Kemangkatannya juga dikenali sebagai Mahaparinibbana atau pencapaian tertinggi di dalam kedamaian dan kebahagiaan. Peristiwa itu berlaku pada hari purnama Wesak.

Hari Trisuci

Jadi pada hari Wesak, penganut agama Buddha daripada setiap pelusuk dunia memperingati tiga peristiwa yang penting iaitu Kelahiran, Pencerahan Sempurna dan Kemangkatan Gautama Buddha. Oleh yang demikian, Wesak dirayakan dengan berbagai cara di merata dunia. Penganut agama Budha perlu ingat bahawa perayaan hari tersebut merupakan hari perayaan agama dan bukan hari untuk berpesta. Jadi, mereka tidak boleh melakukan perkara-perkara buruk seperti minum arak, mencuri dan lain-lain.

Sambutan Hari Wesak

Pada hari Wesak, penganut agama Buddha akan berhimpun di biara sebelum terbitnya fajar untuk menaikkan bendera Buddha dan menyanyikan lagu agama demi memberi hormat kepada Tiratana – iaitu Buddha, Dharmma (Ajarannya) serta Sangha (para bhikkhunya).

Pengikut agama Buddha boleh membawa persembahan yang ringkas seperti bunga, lilin dan colok dan mempersembahkannya kepada Guru mereka yang agung. Persembahan simbolik ini mengingatkan, bahawa seperti juga bunga yang cantik akan layu di dalam masa yang pendek, lilin dan colok akan habis membakar dengan cepatnya, hidup kita juga menghadapi pereputan dan disintegrasi. Penganut agama Budha diajar menjauhkan diri daripada membunuh sebarang makhluk hidup. Mereka digalakkan menjamu makanan vegetarian pada hari tersebut.

Di sesetengah negara, terutamanya di Sri Lanka, dua hari diperuntukkan untuk merayakan hari Wesak dan semua kedai minuman keras dan rumah sembelih ditutup atas warta kerajaan. Ribuan burung dan binatang juga dibebaskan sebagai tanda simbolik memberikan kebebasan kepada mereka yang di dalam tawanan. Sesetengah penganut agama Budhha akan memakai pakaian putih yang ringkas dan berada sepanjang hari di biara dengan memperbaharui keazaman mereka untuk mengikuti Sila. Wesak juga merupakan hari untuk bermeditasi dan mengikuti Lapan Peraturan Hidup.

Lapan Peraturan Hidup (Atthasila) tersebut terdiri daripada:

1-Menghindari membunuh
2-Menghindari mencuri
3-Menghindari aktiviti seks
4-Menghindari ucapan yang tidak benar
5-Menghindari minuman keras dan dadah
6-Menghindari makanan pada masa yang tidak berpatutan
7-Menghindari daripada kepuasan nafsu indera seperti menari, menyanyi dan menghiaskan diri
8-Menghindari daripada menggunakan tempat yang tinggi dan mewah untuk mengamalkan nilai merendah diri.

Meraikan hari Wesak juga bermakna berusaha membawa kebahagiaan kepada mereka yang tidak bernasib baik seperti orang tua serta mereka yang cacat dan sakit. Untuk maksud ini, penganut agama Buddha akan menderma wang dan barang – barang keperluan kepada rumah-rumah kebajikan di seluruh negara. Wesak juga merupakan masa untuk berasa riang dan gembira. Akan tetapi, kegembiraan ini bukan dicapai dengan memuaskan keinginan diri sendiri sahaja tetapi juga dengan memberi tumpuan kepada aktiviti – aktiviti yang berguna seperti menghiasi dan menerangi. Penganut agama Buddha turutberpusu-pusu membekalkan minuman dan makanan vegetarian kepada mereka yang melawat biara untuk memberi hormat kepada Buddha.

Kesimpulan.

Jadi, pada cuti umum pada 19 Mei ini dapat memberi banyak kebaikan kepada semua pihak. kepada penganut agama Buddha sambutlah perayaan Hari Wesak mengikut kepercayaan anda dan kepada penganut agama-agama lain lakukanlah perkara-perkara berfaedah sempena cuti umum yang diberikan oleh Kerajaan.