Thursday, August 28, 2008

Hari ini dengan rasminya DSAI telah dilantik sebagai Ketua Pembangkang di parlimen. Tahniah kepada beliau. Semoga apa yang dihajatkan oleh beliau untuk membawa Malaysia sebagai sebuah Negara berkualiti dan gah akan terlaksana.

DSAI yang mempunyai cita-cita besar sejak di Universiti Malaya lagi, diketahui seorang yang tidak mudah putus asa. Daripada ABIM beliau melompat ke Barisan Nasional. Mendaki sedikit demi sedikit sehinggalah mencapai tangga ke dua tertinggi iaitu TPM dan Timbalan Presiden UMNO. Tetapi, mendung yang mendatang telah membuatkan beliau tersungkur dengan hinanya sehingga dilempar keluar daripada UMNO.

Kini DSAI muncul kembali. Tetapi bukan bersama BN. Beliau sekarang menjadi lawan bagi BN. Menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen bagi menghadapi BN yang beliau kebelakangan ini sering mengatakan penuh dengan kekotoran dan kejahatan. Tidak seperti sewaktu beliau di dalam bahtera BN.

Melalui apa yang saya selalu impikan mengenai Negara kita ini, saya sangat mengharapkan Barisan Pembangkang menjadi barisan yang kuat. Mempunyai tokoh-tokoh yang berkaliber. Biar setanding dengan tokoh-tokoh yang dimiliki oleh BN. Barulah proses check n balance akan terlaksana di dalam system politik kita.

DSAI seorang tokoh hebat yang disegani oleh kawan dan lawan pada pandangan saya amat bersesuaian duduk di barisan pembangkang. Beliau yang selalu menyatakan mempunyai idea yang hebat dan rahsia-rahsia penyelesaian masalah luar biasa perlulah menjadi orang kuat parti pembangkang. Biar para barisan parti kerajaan dapat menunjukkan karisma mereka yang sejati dan integriti dalam melaksanakan tugas.

Apa yang saya rasakan, DSAI sebenarnya tidak perlulah menuruskan niatnya untuk menjadi pemimpin nombor satu Malaysia. Tetapi, tugas yang lebih baik bagi beliau adalah menjadi ketua bagi golongan yang dapat membantu barisan kerajaan membuat kerja dengan lebih baik. Menegur sekiranya perkara yang direncanakan barisan kerajaan tidak menepati kebajikan rakyat dan boleh membawa kepada kehancuran Malaysia.

Pasti DSAI tidak bersetuju dengan apa yang saya katakan. Ini kerana kebiasaannya barisan kerajaan mustahil baginya untuk menerima tegurun dan nasihat barisan pembangkang. Tidak boleh terima teguran musuh. Jadi, bagi menjayakan perkara ini barisan kerajaan juga perlulah mengubah sikap. Jadilah seorang yang benar-benar professional. Fikirkan masa depan rakyat Negara. Bukan masa depan diri sendiri ataupun parti mereka sahaja.

Ingatlah semua wakil rakyat, sama ada anda seorang ADUN mahupun MP, anda dipilih untuk membela rakyat. Untuk membawa kebaikan kepada Negara. Tidak kira anda semua dari BN mahupun PR. Tidak kira anda diketuai oleh Pak Lah, DSAI mahupun TGNA. Anda mempunyai misi yang amat besar. Membela rakyat.

No comments: