Thursday, August 21, 2008

ANTARA SUMPAH SAIFUL BUKHARI, PILIHANRAYA PERMATANG PAUH & PINGAT PERAK LEE CHONG WEI

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakan-rakan seperjuangan dari saya di Labuan. Angin Labuan yang agak berbahang dek dikelilingi oleh lautan masih lagi membuat saya kurang selesa. Tetapi saya yakin dengan pepatah Melayu yang selalu dikatakan oleh orang tua-tua, ‘alah bisa, tegal biasa’. Jadi saya akan dapat menyesuaikan dengan keadaan di sini sedikit masa lagi.

Hampir seminggu tidak dapat duduk di hadapan computer yang mempunyai kelengkapan internet amat menyukarkan saya. Tetapi, inilah dugaan yang perlu saya hadapi. Jadi saya hanya dapat menyimpan apa yang terbuku di hati sebelum dapat meluahkan di sini untuk difikirkan bersama.

Bermula dengan sumpah laknat yang dilafazkan oleh Saudara Saiful Bukhari Azlan, Pilihanraya Parlimen Permatang Pauh, kejayaan Lee Chong Wei merangkul pingat perak dan macam-macam lagi hanya terpendam tanpa dapat dikongsi. Itu semua merupakan peristiwa-peristiwa besar yang pasti dilakarkan dalam lipatan sejarah.

Sumpah Saiful Bukhari Azlan
Tidak pernah sama sekali saya menyangkakan dalam kehidupan ini, dapat menyaksikan peristiwa sumpah melaknat diri dan menjadikan Allah sebagai saksi untuk memelihara maruahnya. Seorang yang membuat aduan diliwat oleh majikannya telah melakukan sumpah di dalam Masjid Wilayah dengan menyebut WaAllahi, WaBillahi, dan WaTallahi sambil memegang al-Quran demi menyatakan dakwaannya benar tanpa didesak oleh mana-mana pihak.

Walaupun keberaniannya dipuji oleh banyak pihak, bagi saya itu bukan permasalahannya. Sesiapa sahaja mampu melakukan apabila terdesak. Seorang penagih dadah sanggup membunuh ibunya demi mendapatkan duit bagi membeli dadah. Begitu juga perompak sanggup membunuh bapanya demi melepaskan diri dari ditahan. Tetapi apa yang saya agak terkejut adalah seorang pemuda yang umurnya lebih mentah dari saya sanggup melakukan sumpah dengan menjadikan Allah sebagai saksinya dan sanggup dirinya dilaknat demi membenarkan dakwaan.

Apabila sahaja mendengar sumpahannya itu, berdiri bulu roma saya. Setelah terkaku seketika saya berbicara dengan ibu saya. Mengapa Saiful Bukhari memegang al-Quran? Adakah itu tatacara Islam? Ia berbeza daripada apa yang saya pernah pelajari. Entahlah. Biarlah mereka yang lebih berilmu memberikan penjelasan. Cukuplah Tuan Guru Nik Aziz, Samahatul Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan lain-lain memberikan penerangan.

Kini, setelah mendengar apa yang dilafazkan oleh Saudara Saiful, saya berlepas diri dari mereka yang menuduh bahawa dia berdusta. Ini kerana, sekiranya pendustaan dari tuduhannya itu terhadap DSAI maka saya amat yakin dengan apa yang akan dilakukan oleh Allah.

Pemilihanraya Permatang pauh.
Demi menjayakan matlamat menubuhkan kerajaan baru, DSAI akan bertanding di kubu kuatnya sendiri pada 26 August ini. Beliau akan ditentang bukan calang-calang tokoh dari BN. Seorang jaguh walaupun tidak semasyhur DSAI di Malaysia. Tetapi orang Permatang Pauh lebih mengenalinya dan lebih bijak membuat perbandingan.

Dalam menghitung hari-hari untuk membuang undi pelbagai kempen dilakukan oleh semua pihak. Strategi dalam berkempen difikirkan oleh mereka amat ampuh demi menarik undi. Tetapi, apa yang saya harapkan janganlah berlaku fitnah, cacian, dan kezaliman dalam menegakkan demonstarsi ini. Ikutlah adat orang Melayu yang sentiasa bersuluhkan dengan Islam.

Walaupun kita merancang untuk menaikkan calon pilihan kita, ingatlah rancangan Allah itu lebih baik. Jadi, selepas proses demokrasi ini selesai, maka setialah dengan calon yang telah dipilih dan sesiapa yang menang itu jalankanlah tugas dengan penuh ketaqwaan.

Pingat Perak Lee Chong Wei
Jaguh badminton Negara, Lee Chong Wei menghadiahkan pingat perak kepada Malaysia amat dibanggakan. Kehausan Negara dengan pingat dari sukan Olimpik akhirnya berjaya dihilangkan dengan pingat perak yang amat berharga itu. Walaupun ada yang kecewa dengan prestasi beliau tetapi kebanggaan itu terus terpampang di muka mereka.

Melihat begitu sukar untuk memiliki pingat di Olimpik sehingga Negara hanya mampu menggenggam satu pingat perak sahaja telah membukakan minda semua masyarakat mengapa sebelum kontinjen Negara ke sana TPM menawarkan ganjaran yang lumayan bagi membakar semangat mereka. Kritikan terhadap TPM akhirnya telah dijawab dengan hasil tuaian yang dibawa oleh semua atlet Negara di Beijing.

Tetapi, adakah hanya satu pingat perak sahaja yang mampu dibawa pulang oleh atlet Negara berpunca dari ganjaran yang terlalu tinggi. Ini kerana jika diperhatikan, atlet yang dijangkakan mampu memberikan persembahan terbaik hanya beraksi seperti budak di akedemi sahaja. Amat memalukan. Bak kata orang kampung, buat habis duit Negara belikan tiket ke Beijing.

Jadi, kini penilaian yang bijak dan jujur perlu dilakukan oleh Majlis Sukan Olimpik agar tidak mengulangi semula. Tirulah apa yang dilakukan oleh BN selepas menerima kekalahan teruk di dalam PRU 12. semua sibuk menilai dan mencari punca kekalahan dan memberikan resepi mujarab. Tetapi ingat, jangan tersalah resepi, takut nanti keracunan makanan atau mati terus.

Kesimpulan
Sumpah Saiful Bukhari Azlan, pilihan raya di Permatang Pauh dan pingat perak Lee Chong Wei sebenarnya ada kaitan. Mereka semua akan menjadi ‘The Great’ sekiranya mampu mencapai puncak kejayaan yang tertinggi. Tetapi sekiranya mereka tewas pasti mereka akan terus diejek seperti atlet-atlet Negara yang tidak membawa pulang pingat dari Olimpik. Jadi marilah kita menyaksiakan ragam-ragam yang berlaku sekitar kita dan jadikanlah pelajaran demi menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

No comments: