Tuesday, May 20, 2008

jangan hancurkan UMNO

Sedih saya apabila memerhatikan politik Malaysia pada hari ini. Saya bukan seorang yang bijak untuk memperkatakan mengenai politik. Tidak sehebat Pak Habib, Raja Petra atau yang lain-lain. Kepincangan parti politik yang bernama UMNO dan Barisan Nasional amat ketara sekali. Bermacam-macam tohmahan dan kutukan oleh setiap lapisan masyarakat mengenai pentadbiran Y.B Perdana Menteri. Beliau yang pernah di pandang hebat kerana merupakan cucu seorang a’lim besar daripada Pulau Pinang kini dipandang amat rendah sekali. Dikatakan tidak pandai memerintah, kronisme dan macam-macam.

Desakan dari pelbagai pihak agar beliau meletakkan jawatan amat kuat sekali. Bekas Perdana Menteri Malaysia sebelum ini tidak jemu-jemu mendesak agar beliau meletakkan jawatan. Mungkin Tun Mahathir yang telah lama bergelumang di dalam Dunia UMNO nampak bahawa dengan perletakan jawatan Pak Lah akan mendatangkan impak positif kepada arena perjalanan politik Malaysia setelah kekalahan teruk barisan Nasional pada PRU yang lalu.

Tetapi, apa yang memeranjatkan adalah Tun Mahathir yang diharapkan dapat mengetuai satu reformasi membetulkan keadaan UMNO telah mengumumkan keluar daripada UMO. Tun yang merupakan golongan veteran UMNO yang mempunyai pengaruh besar kepada ramai ahli UMNO telah membuat keputusan. Mungkin apa yang dilakukan oleh beliau dirasakan tindakan bijak. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Benarkah desakan Tun Mahathir agar Pak Lah melepaskan jawatan tindakan yang tepat? Saya sentiasa tertanya-tanya siapakah yang bakal menggantikan Pak Lah jika beliau sanggup melepaskan jawatan. Saya tahu UMNO memiliki ramai tokoh-tokoh yang berkebolehan, tetapi siapakah yang paling sesuai untuk menjadi al-mahdi dalam keadaan kucar kacir UMNO dan Barisan Nasional ini. Adakah Tun Mahathir akan memegang semula jawatan tersebut. Tun Mahathir pernah menyatakan beliau sudah tidak mahu menjawat jawatan itu lagi sewaktu beliau meletakkan jawatan. Jad,i siapakah yang patut menggantikan tempat Pak Lah?

Apabila mengenangkan mengenai melepaskan jawatan teringat saya kisah Hassan putera Ali RadhiAllahu’anhuma cucu kesayangan Rasulullah. Beliau sanggup menyerahkan khilafah kepada Muawiyyah. Adinda beliau yang agak keberatan mengenai perkara tersebut pada permulaannya tidak bersetuju. Mereka berdua beradu pendapat. Dan akhirnya Hassan menyerahkah jawatan Khalifah kepada Muawiyyah agar kedamaian dan ketenangan dapat dikecapi. Muawiyyah juga merupakan sahabat Rasullullah s.a.w dan penulis wahyu yang diterima Rasullah s.a.w. Hebat benar tindakan cucu Rasullullah tersebut. Ia perlu dijadikan contoh. Menyerahkan khilafah kepada orang lain yang turut layak memegangnya.

Jadi, jika benarlah jangkaan semua pihak bahawa kepincangan politik Malaysia dapat diselesaikan dengan perletakan jawatan Pak Lah maka bolehlah Pak Lah menuruti apa yang pernah dilakukan oleh cucu Rasulullah. Pasti perbuatan beliau akan dipuji.

Tetapi, beliau perlu ingat bahawa beliau mestilah memberi jawatan tersebut kepada orang yang benar-banar layak. Seperti Hassan r.a memberikan kepada Muawiyyah r.a. mempunyai klayakan dan amat berkarisma.

Ini ditakuti dengan berlaku kejutan demi kejutan oleh ahli-ahli veteran UMNO seperti apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir khususnya akan menghancurkan parti pusaka orang Melayu dan pakatan Barisan Nasional yang diketahui mempunyai sejarah yang gemilang sebelum ini.

Jadi, mungkin methode kehancuran yang kecil perlu dipilih bagi mengelakkan kehancuran yang besar menimpa perlu dipertimbangkan.

SMS MAUT.. BENAR KE?

Beberapa minggu lepas saya ada menerima satu sms dari kawan serumah saya. Agak mengejutkan kandungan mesej itu. Ia membuatkan saya tersenyum seorang diri setelah menghabiskan perkataan terakhir sms itu. Kandungan sms itu berbunyi seperti di bawah:

“JIKALAU ANDA MENDPT PGGILN TELEFON YG BERNOMBOR PANJANG cnth: +62852731520946 DAN NOMBOR ITU BERWARNA MERAH, DIHARAP² SGT JGN DIANGKAT DAN DIJAWAB PANGGILAN ITU. INI KERANA DI INDONESIA SKRG, SEKUMPULAN PENUNTUT ILMU HITAM SDG MENGUJI ILMU MEREKA MELALUI TELEFON. JIKA SESIAPA YANG MENJAWAB PANGGILAN ITU MULUT AKAN BERBUIH DAN MATI SLPS ITU. DI INDONESIA SDH 9 ORG MATI DAN MALAM TADI DIPUCHONG 2 ORG MATI. INI BNR² TERJADI. TOLONG SEBARKAN SMS INI’’.

Apa yang terbayang di kepala saya selepas membaca sms itu adalah kemajuan yang dinikmati dunia pada hari ini telah digunapakai pada semua aspek. Dunia ilmu hitam sudah maju. Telefon bimbit sudah menjadi alat menyebarkan sihir. Pasti selepas ini para pengamal dunia mistik akan memiliki model telefon bimbit yang canggih-canggih. Mungkin tidak ada lagi pengeras kambing hitam, ayam jantan atau pulut kuning melainkan telefon bimbit Nokia N series, Motorola dan macam-macam lagi bagi golongan yang menggunakan khidmat golongan pengamal ilmu hitam untuk melempiaskan hajat mereka.

Apabila hendak tidur, saya membaca semula sms yang diberikan oleh kawan serumah saya. Benarkah kandungan sms itu? Saya yang tidak pernah mempelajari mengenai ilmu mistik tidak dapat memastikan kaedah baru ilmu hitam yang dicanangkan di dalam sms itu. Tetapi apa perlu saya beri jawapa sekiranya kawan serumah saya menanyakan kepada saya mengenai sms tersebut. Dia pasti bertanya.

Sememangnya saya tidak yakin dengan sms tersebut. Bukan saya tidak percaya mengenai sihir dan ilmu hitam tetapi maklumat-maklumat melalui penyebaran sms ini tidak pernah saya mempedulikan selagi ia tidak dibuktikan secara bertulis. Lihatlah dulu apa kata bijak pandai. Mereka lebih arif untuk memperbahaskan mengenai perkara tersebut. Itulah tradisi yang saya warisi dari kecil lagi yang diajar oleh Allahyarham bapa saya.

Menyebarkan sms semua orang boleh lakukan. Tidak kira di mana kita berada. Saya pun mampu untuk menyebarkan mengenai duit boleh disedut melalui kaedah sms. Hanya sebarkan sms kepada rakan-rakan dan pasti ia akan tersebar di seantero dunia. Bagi mereka yang mudah percaya pasti akan terpengaruh dan mempercayainya.

Bak kata orang tua-tua jangan cepat melatah apabila mendengar sesuatu perkhabaran. Jadi, janganlah mudah percaya mengenai maklumat karut dari sms tersebut.
Mari kita sama-sama menilai kandungan sms tersebut. Adakah manusia mampu untuk memberi kemudharatan kepada manusia lain. Tidak! Itu sudah pasti. Hanya Allah sahaja yang berkuasa untuk berbuat sedemikian. Jadi, mengapa harus percaya dengan itu semua.
Selain daripada itu, telefon bimbit yang saya gunakan hanya memaparkan tulisan berwarna hitam. Telefon tidak berwarna. Jadi bagaimana untuk terpapar tulisan berwarna merah. Itu mustahil.

Perkara ini menambah keyakinan saya apabila S.S Dr Asri Zainal Abidin menyatakan pendirian beliau mengenai perkara ini sukar untuk dilakukan.

Mungkin apa yang dilakukan oleh penghantar sms ini sama seperti agenda surat berantai yang pernah saya terima sewaktu kecil mengenai kisah pemegang kunci pintu Kaabah. Ia untuk melemahkan umat Islam.

Jadi, saya mengambil langkah untuk menafikan kesahihan sms tersebut. Jika apa yang saya percayai ini meragukan saudara-saudara mungkin apa yang tercata di dalam batam Pos dapat menenagkan keadaan.

Dari BatamPos:
Pelaku Penyebaran Nomer Setan Mengaku
TANJUNGUBAN - Heboh nomor ponsel yang bisa “menyantet” orang yang konon ada warga yang tewas akhirnya terkuak.
Si pengirim ternyata bukan dukun santet atau dukun ilmu hitam, tapi hanya anak baru gede (ABG) yang iseng ingin mengerjai teman-temannya.
Dari penelusuran Batam Pos, Rabu (7/5) akhirnya terkuak siapa yang pertamakali mengirim SMS yang mengatasnamakan 0866. Pengirim pertama SMS tadi yaitu ABG yang berasal dari Tanjunguban, Bintan Utara.

”Awalnya SMS ini dikirim untuk mengusili kawan-kawan saja,” ucap ABG yang mengaku mengirim SMS juga kepada Batam Pos, Rabu (7/5). ABG perempuan yang namanya tak mau disebutkan menerangkan, SMS tadi dikirim saat dirinya tak ada kegiatan sehingga dirinya terkenang dengan teman-temannya. Saat teringat dengan rekannya tadi, Ia iseng-iseng mengirimkan SMS dengan nada sedikit usil.
Adapun isi SMS tadi yaitu meminta teman-temannya untuk berhati-hati jika menerima SMS dari nomor 0866 dengan tampilan warna merah di layar ponsel. Sebaiknya tidak diangkat karena bisa menyebabkan orang yang mengangkatnya meninggal dunia.
Masih menurut SMS tadi, di Jakarta disebutkan kalau ada orang yang meninggal dunia setelah membuka. Untuk meyakinkan rekan-rekan tadi, ia meminta agar SMS ini diteruskan ke nomor yang lain. Ia tak menyangka kalau SMS untuk mengisengi teman-temannya menyebar luas sampai keluar Kepri. Untuk itu, Ia perlu meluruskan masalah ini agar tak membuat warga merasa resah.
*JANGANLAH SEBARKAN SMS SEPERTI INI. LEBIH BAIK KOS MENGHANTAR SMS SEPERTI INI DISEDEKAHKAN KEPADA YANG MEMERLUKAN. LEBIH UNTUNG!

Friday, May 16, 2008

PERAYAAN HARI WESAK

Pada tanggal 19 Mei 2008 ini rakyat Malaysia akan bercuti umum sempena perayaan Hari Wesak bagi masyarakat beragama Budha. Malaysia yang memiliki pelbagai kaum dan agama yang hidup aman harmoni sentiasa mengamalkan cara hidup menghormati antara kaum dan agama memberikan penghormatan kepada penganut agama Budha untuk meraikan hari kebesaran mereka dan memberi cuti umuM kepada semua rakyat Malaysia.
Sebagai rakyat yang prihatin walaupun kita bukan beragama Budha tidak salah rasanya jika kita tahu apakah itu Hari Wesak dan mengapa hari Wesak diraikan oleh penganut agama Budha. Ini akan menambahkan semangat perpaduan antara kaum dan agama di Negara kita yang tercinta, Malaysia.

Apa itu Wesak?

Menurut Ven Dr K Sri Dhammanada, Wesak adalah satu bulan di dalam takwim India dahulu kala yang biasanya jatuh pada bulan Mei. Akan tetapi, kadangkala bulan Wesak itu bermula pada hujung bulan April ataupun berlanjutan hingga awal bulan Jun.
Wesak berasal daripada perkataan Pali “Wesakha” atau perkataan Sanskrit “Waishakha”. Ia merupakan hari yang paling penting bagi penganut agama tersebut dan dinamakan sebagai hari trisuci (tiga peristiwa suci). Di beberapa negara hari Wesak juga dikenali sebagai hari Buddha.

Hari Wesak sebagai cuti umum

Hari Wesak menjadi cuti umum di kebanyakan Negara di dunia ini berdasarkan kepada hasil persidangan pertama Persaudaraan Buddhis Sedunia (World Fellowship of Buddhists - WFB) yang diadakan di Sri Lanka pada tahun 1950.

Persidangan itu merakamkan perhargaan kepada Duli Yang Teramat Mulia, Maharaja Nepal dalam mengistiharkan hari bulan purnama Wesak sebagai cuti umum di Nepal. Pada masa yang sama, persidangan Itu turut meminta semua ketua kerajaan yang negaranya mempunyai penduduk beragama Buddha sama ada ramai atau sedikit, mengambil langkah untuk mengumumkan pada hari bulan purnama di dalam bulan Mei sebagai Hari Wesak dan meraikannya sebagai cuti umum. Perkara ini dilakukan untuk memberi penghormatan kepada Gautama Buddh.

Di dalam mesyuarat W.F.B. yang berikutnya, banyak usul berhubung dengan perayaan Wesak telah diluluskan. Mesyurat tersebut yang telah diadakan di Rangoon, Burma pada tahun 1954, telah meluluskan permohonan kepada kerajaan India supaya mengumumkan Hari Purnama Buddha atau hari Wesak (hari bulan purnama dalam bulan Mei) sebagai cuti umum bagi seluruh negara India.”

Di dalam mesyuarat W.F.B. keempat yang diadakan di Nepal pada tahun 1956, satu usul yang serupa berbunyi seperti berikut telah diluluskan: “Kerajaan Pakistan dipohon untuk mengumumkan Hari Trisuci Wesak Purnama (hari bulan purnama dalam Mei) sebagai cuti umum bagi setiap tahun yang akan datang.’ Di dalam Persidangan Dunia yang keenam di Phnom Pehn, Kampuchea, pada tahun 1961, persidangan telah memutuskan “Hari bulan purnama yang pertama di dalam bulan Mei diiktiraf sebagai Hari Buddha dan dirayakan seperti yang sewajarnya.”

Pada tahun 1976, persidangan W.F.B. yang ke sebelas diadakan di Bangkok. Keputusan untuk menentukan satu hari umum untuk meraikan Wesak telah dibangkitkan lagi dan keputusan yang berikut telah dibuat: “Bahawa diputuskan Majlis berasa adalah perlu usul untuk menyambut hari Wesak pada hari yang sama dilaksanakan. Oleh itu, Jawatankuasa ini ingin menyarankan kepada sidang pleno sekali lagi untuk melaksanakan usul yang dibuat dan diluluskan oleh Persidangan Umum yang lalu."

Wesak Sebagai Cuti Umum di Malaysia

Selain daripada ketetapan yang diluluskan oleh Mesyuarat Dunia W.F.B., pada tahun 1961 penganut Buddha di Malaysia telah membuat satu rayuan kepada kerajaan Malaysia untuk mengumumkan hari Wesak sebagai cuti umum di Malaysia.

Pada tahun 1962 kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk mengumumkan Hari Wesak sebagai hari cuti umum berkuatkuasa pada tahun tersebut.

Peristiwa Suci Pertama: Kelahiran Siddhartta Buddha

Wesak merupakan satu hari yang sungguh bermakna bagi jutaan penganut Buddha yang merupakan satu perlima daripada jumlah penduduk di dunia ini. Di beribu – ribu biara seluruh akan memberi penghormatan kepada seorang putera yang telah meninggalkan kesenangan dunia di istana untuk membawa ketenangan dan kebahagiaan kepada manusia menurut kepercayaan mereka. Buddha atau “Yang Telah Mencapai Pencerahan Sempurna Tertinggi” dilahirkan, dalam tahun 623 Sebelum Masehi (S.M.) pada hari bulan purnama Wesak. Putera muda ini diberi nama Siddhattha atau “Yang Membawa Segala Kebaikan”. Bapanya bernama Raja Suddhodana dan ibunya bernama Permaisuri Mahamaya merupakan pemerintah sebuah kerajaan kecil yang dipanggil Kapilavattu di utara India.

Peristiwa Suci Kedua: Pencerahan Sempurna Buddha

Menurut kepercayaan penganut agama Budha, Siddhatta telah mencapai pencerahan sempurna pada hari ulang tahun Beliau yang ke-35. iaitu pada hari bulan purnama Wesak, ketika beliau duduk di bawah pohon Bodhi di Buddha Gaya. Selama 45 tahun berikutnya, Buddha telah mengembara di utara India untuk menyampaikan ajarannya.

Peristiwa Suci Ketiga: Kemangkatan Gautama Buddha

Selepas 45 tahun berDhamma, ketika berbaring di bawah sepohon pokok sala, di depan satu perhimpunan besar para bhikkhu, Gautama Buddha mangkat di Kusinara. Kemangkatannya juga dikenali sebagai Mahaparinibbana atau pencapaian tertinggi di dalam kedamaian dan kebahagiaan. Peristiwa itu berlaku pada hari purnama Wesak.

Hari Trisuci

Jadi pada hari Wesak, penganut agama Buddha daripada setiap pelusuk dunia memperingati tiga peristiwa yang penting iaitu Kelahiran, Pencerahan Sempurna dan Kemangkatan Gautama Buddha. Oleh yang demikian, Wesak dirayakan dengan berbagai cara di merata dunia. Penganut agama Budha perlu ingat bahawa perayaan hari tersebut merupakan hari perayaan agama dan bukan hari untuk berpesta. Jadi, mereka tidak boleh melakukan perkara-perkara buruk seperti minum arak, mencuri dan lain-lain.

Sambutan Hari Wesak

Pada hari Wesak, penganut agama Buddha akan berhimpun di biara sebelum terbitnya fajar untuk menaikkan bendera Buddha dan menyanyikan lagu agama demi memberi hormat kepada Tiratana – iaitu Buddha, Dharmma (Ajarannya) serta Sangha (para bhikkhunya).

Pengikut agama Buddha boleh membawa persembahan yang ringkas seperti bunga, lilin dan colok dan mempersembahkannya kepada Guru mereka yang agung. Persembahan simbolik ini mengingatkan, bahawa seperti juga bunga yang cantik akan layu di dalam masa yang pendek, lilin dan colok akan habis membakar dengan cepatnya, hidup kita juga menghadapi pereputan dan disintegrasi. Penganut agama Budha diajar menjauhkan diri daripada membunuh sebarang makhluk hidup. Mereka digalakkan menjamu makanan vegetarian pada hari tersebut.

Di sesetengah negara, terutamanya di Sri Lanka, dua hari diperuntukkan untuk merayakan hari Wesak dan semua kedai minuman keras dan rumah sembelih ditutup atas warta kerajaan. Ribuan burung dan binatang juga dibebaskan sebagai tanda simbolik memberikan kebebasan kepada mereka yang di dalam tawanan. Sesetengah penganut agama Budhha akan memakai pakaian putih yang ringkas dan berada sepanjang hari di biara dengan memperbaharui keazaman mereka untuk mengikuti Sila. Wesak juga merupakan hari untuk bermeditasi dan mengikuti Lapan Peraturan Hidup.

Lapan Peraturan Hidup (Atthasila) tersebut terdiri daripada:

1-Menghindari membunuh
2-Menghindari mencuri
3-Menghindari aktiviti seks
4-Menghindari ucapan yang tidak benar
5-Menghindari minuman keras dan dadah
6-Menghindari makanan pada masa yang tidak berpatutan
7-Menghindari daripada kepuasan nafsu indera seperti menari, menyanyi dan menghiaskan diri
8-Menghindari daripada menggunakan tempat yang tinggi dan mewah untuk mengamalkan nilai merendah diri.

Meraikan hari Wesak juga bermakna berusaha membawa kebahagiaan kepada mereka yang tidak bernasib baik seperti orang tua serta mereka yang cacat dan sakit. Untuk maksud ini, penganut agama Buddha akan menderma wang dan barang – barang keperluan kepada rumah-rumah kebajikan di seluruh negara. Wesak juga merupakan masa untuk berasa riang dan gembira. Akan tetapi, kegembiraan ini bukan dicapai dengan memuaskan keinginan diri sendiri sahaja tetapi juga dengan memberi tumpuan kepada aktiviti – aktiviti yang berguna seperti menghiasi dan menerangi. Penganut agama Buddha turutberpusu-pusu membekalkan minuman dan makanan vegetarian kepada mereka yang melawat biara untuk memberi hormat kepada Buddha.

Kesimpulan.

Jadi, pada cuti umum pada 19 Mei ini dapat memberi banyak kebaikan kepada semua pihak. kepada penganut agama Buddha sambutlah perayaan Hari Wesak mengikut kepercayaan anda dan kepada penganut agama-agama lain lakukanlah perkara-perkara berfaedah sempena cuti umum yang diberikan oleh Kerajaan.