Wednesday, April 14, 2010

DR ASRI: JANTUNG BUKAN HATI

bila baca artikel Dr. Asri di dalam blognya teringat saya perbincangan di dalam kelas dahulu sewaktu masih menuntut di Pusat Matrikulasi UIAM di Petaling Jaya. Guru saya pernah mengutarakan penterjemahan yang agak kurang tepat berkenaan Qalb. mungkin apa yang diutarakan oleh Dr. Asri agak sukar untuk diubah tetapi demi menjamin tradisi ilmu yang tepat perlu disebarkan rasanya tidak sukar untuk kerajaan menggembeling satu usaha. lakukanlah seperti mana yang dilakukan ke atas brand beberapa jabatan kerajaan yang asyik bertukar-tukar sahaja seperti Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan dan macam-macam lagi.

mari sama-sama kita renungi apa yang diutarakan oleh Dr. Asri..



JANTUNG BUKAN HATI

Pernah seorang pakar jantung bertanya saya tentang sabda Nabi s.a.w: “Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!”. Dia bertanya saya mengapakah Nabi s.a.w menyebut ‘hati’ tidak menyebut jantung sedangkan jantung adalah organ terpenting dan penentu dalam tubuh manusia.



Saya jawab: Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu, Nabi s.a.w tidak pernah menyebut ‘hati’, sebaliknya menyebut al-qalb iaitu jantung. Adapun hati dalam bahasa Arab disebut kabid. Namun, malangnya dalam bahasa Melayu jantung selalu diterjemah sebagai hati. Sedangkan bahasa Inggeris menterjemah dengan betul iaitu ‘heart’ yang bermaksud jantung.



Cumanya, orang Melayu menterjemahkan ‘you are in my heart’ sebagai ‘awak dalam hatiku’ padahal hati dalam bahasa Inggeris ‘liver’ bukan ‘heart’. Namun ‘heart attack’ tetap sebagai serangan jantung, tidak pula serangan hati.

Begitu ‘heart disease’ sebagai penyakit jantung. Mungkin kerana ia berkaitan sakit, jika salah terjemah buruk padahnya. Jangan sampai doktor yang sepatutnya membedah jantung dibedahnya hati. Orang boleh derma hati dan terus hidup, namun tidak mungkin boleh derma jantung dan terus hidup.

Qalb dan Qulub

Al-Quran dan Sunnah menggunakan perkataan qalb (jantung) atau qulub (jantung-jantung) sebagai kata jamak atau plural untuk qalb. Sejak dahulu perkataan qalb difahami oleh orang Arab sebagai organ yang tergantung dalam tubuh manusia.

Dalam kamus rujukan bahasa Arab yang terpenting, iaitu Lisan al-‘Arab, pengarang Ibn Manzur (meninggal 711H) menyatakan: Al-Qalb: segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar tempat ia bergantung” (Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab 1/687, Beirut: Dar al-Fikr).

Disebabkan perkembangan ilmu perubatan, maka dalam kamus Arab moden takrifan lebih terperinci. Dalam al-Mu’jam al-Wasit disebut: “al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri” (al-Mu’jam al-Wasit, 2/753).

Ini sama dengan maksud jantung dalam Kamus Dewan Bahasa: “Organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan” (Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-3, 519).

Jelas, qalb atau kata jamaknya qulub yang digunakan oleh orang Arab, demikian digunakan oleh al-Quran dan Hadis tidak merujuk kepada hati, tetapi merujuk kepada jantung. Terjemahan Inggeris lebih tepat iaitu ‘heart’. Malangnya, hingga terjemahan heart dari Inggeris ke melayu juga tidak stabil kerana kadang-kadang diterjemah sebagai hati, kadang-kadang diterjemah sebagai jantung.

Kekeliruan

Kekeliruan dalam memberikan maksud qalbu atau heart ini telah menyebabkan Kamus Dewan Bahasa memberikan maksud perkataan hati yang pelbagai. Disebut dalam Kamus Dewan: “Hati: 1. organ dlm badan yg berwarna perang kemerah-merahan di dlm perut di bahagian sebelah kanan…2. = jantung.. 3. batin (tempat perasaan, pengertian)..”. (ibid, 445).

Sementara itu dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Jurnal Bahasa DBP (Jilid 5, Bilangan 4, 2005) Imran Ho Abdullah dan Norsimah Mat Awal cuba memberikan maksud hati secara konsep dan metafora dalam bahasa Melayu. Artikel mereka itu berjudul “Pengkonsepsian dan Pemetaforaan Hati”.

Namun saya melihat, justifikasi bahasa di sudut konsep dan metafora yang cuba diberikan dan juga kepelbagaian maksud hati sehingga diterjemahkan salah satunya sebagai jantung, tetap mengelirukan bagi memahami maksud asal qalb dalam al-Quran dan Hadis.

Bahkan penyataan hati bermaksud jantung dalam bahasa Melayu itu sendiri boleh mengelirukan kerana keduanya organ yang berbeza. Apatahlagi, kajian saintifik moden benar-benar membezakan peranan antara kedua organ tersebut.

Jika pun boleh diterima, salah satu pengertian hati itu disebutkan oleh Kamus Dewan sebagai batin atau tempat perasaan. Ini hampir ada persamaan dengan maksud akal (al-‘Aql) yang sebut juga sebagai salah satu maksud qalb dalam Lisan al-‘Arab (m.s 687).

Maka perkataan qulub atau qalb dalam nas-nas Islam lebih tepat diterjemahkan sebagai jantung, atau jika hendak digunakan juga perkataan hati mungkin boleh disebut ‘jantung hati’. Sebahagian penulis atau pembicara suka menggunakan perkataan ‘kalbu’ seperti ungkapan dalam ‘dalam kalbuku ini’.

Perkataan kalbu dianggap sebagai ungkapan qalb dalam yang dimelayukan. Ya, mungkin boleh, tetapi bagi yang mengetahui bahasa Arab ia agak berat sebab kalb iaitu dengan huruf ‘kaf’ (=kalb atau kalbun) dalam Bahasa Arab bermaksud anjing. Jika dengan huruf ‘qaf ‘ (=qalb atau qalbun) barulah bermaksud jantung.

Al-Quran dan Hadis

Hari ini dengan kemajuan sains dan teknologi, begitu banyak mukjizat sains dalam al-Quran dan Hadis ditemui. Maka, menterjemah perkataan qalb atau qulub dalam kedua sumber itu dengan maksud asalnya iaitu jantung adalah suatu kemestian. Jika tidak, nanti orang Melayu gagal memahami rahsia saintifik di sebalik perkataan tersebut. Amat besar perbezaan fungsi antara jantung dan hati!

Dengan itu kita sepatutnya menukar terjemahan ayat-ayat al-Quran seperti: “dalam hati-hati mereka ada penyakit” (al-Baqarah: 10) dengan “dalam jantung-jantung mereka ada penyakit”. Begitu juga: “mereka berkata dengan mulut-mulut mereka, apa yang tiada dalam hati-hati mereka” (Ali ‘Imran: 167), diterjemahkan “…apa yang tiada dalam jantung-jantung mereka”. Begitulah seterusnya. Bahasa Inggeris telah menterjemah dengan tepat seperti “in their hearts is disease..”, “..what was not in their hearts”.

Ini bukan kerana ingin menyalahkan bahasa kita yang telah berjalan sejak sekian lama. Namun, tujuannya bagi mendekatkan kefahaman secara lebih tepat penggunaan perkataan yang dipilih oleh al-Quran dan Hadis atau dalam Bahasa Arab. Perkembangan ilmu terutamanya sains juga mengajak kita lebih teliti terhadap istilah-istilah al-Quran dan Hadis ini. Sekali lagi, jantung bukan hati!

MINYAK PENGASIH... APA SUDAH JADI NI...

Cuba renung betul-betul berita ni...


KUALA TERENGGANU: Mengejutkan apabila seorang penjual minyak pengasih, di sini mendedahkan bahan yang dulunya sering ‘diburu’ pasangan sudah berkahwin demi menambat hati pasangan, kini menarik minat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang sanggup membayar sehingga RM450 untuk mendapatkan sebotol minyak berkenaan.

Nor Rohani Yusuf, 45, dari bandar raya ini, memberitahu, minyak berkenaan yang berharga tinggi mendapat permintaan luar biasa di kalangan penuntut IPT luar bandar dan kebanyakannya menggunakan minyak itu untuk menawan hati serta menundukkan gadis diminati.

"Ada antara mereka melanggan dengan saya dan mendapatkan minyak ini setiap bulan. Setiap kali ada pelanggan, saya bertanya apa tujuannya dan ramai yang mengaku menggunakan minyak ini untuk mendapatkan gadis yang mereka sukai kerana sukar menawan hati mereka jika memikat dengan cara biasa.

"Kebanyakan yang datang untuk mendapatkan minyak ini adalah pelajar IPT dari luar bandar. Minyak ini sangat berkesan dan dapat memikat sesiapa diingini. Namun, saya sentiasa menasihatkan pelanggan terutama pelajar supaya tidak menggunakannya kerana boleh memudaratkan.

"Tujuan asal saya menjual minyak pengasih ini adalah untuk membantu pasangan suami isteri yang mempunyai masalah rumah tangga kerana ia dipercayai dapat mengembalikan ikatan kasih sayang seperti sedia kala," katanya ketika di temui di sebuah lokasi beli belah terkemuka di sini, semalam.

Dengan jujur, Nor Rohani berkata, kebiasaannya dia turut menawarkan khidmat tambahan kepada pelanggan dengan menitiskan darah yang diambil dari jari kelingking pembeli ke dalam minyak pengasih itu selain membacakan mantera, bagi memastikan kemujarabannya.
"Saya akan bacakan sedikit mantera dengan nama pembeli dan titiskan darah mereka dan setakat ini memang mujarab. Sejak berniaga hampir 10 tahun, belum ada lagi mengadu minyak pengasih yang saya jual tidak mujarab.

"Sebenarnya saya terkejut kerana beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan pembeli minyak pengasih ialah kalangan penuntut IPT. Kebiasaannya, stok antara 10 hingga 20 botol habis dijual dalam masa seminggu. Namun, di samping penuntut IPT, ada juga warga berusia datang untuk mendapatkan minyak ini," katanya.

Dia berkata, bekalan minyak pengasih itu diperoleh dari negara jiran, namun untuk mendapatkan bekalan bukan mudah kerana ia perlu diproses terlebih dulu sebelum dijual kepada pelanggan.

"Saya menjual yang asli saja iaitu yang diperbuat dari akar cenuai asli dari Thailand dan resipi adunannya dipelajari daripada arwah bapa yang berguru dengan tok sami dari sana. Selain menjual minyak cenuai, saya turut menjual minyak buluh perindu dengan harga RM300 sebotol.

Ulasan Suara Labuan;

Apa sudah jadi dengan masyarakat. Masih percaya lagi ke dengan minyak pengasih ini. Hentikan lah. Cuba perhatikan apa yang dinyatakan sendiri oleh penjual minyak pengasih ni... ia dihasilkan dengan ada mentera la. Mentera apa? Entah lah. Dia belajar pun amik ilmu warisan daripada ayahnya yang menuntut ngan tok sami.. tak kan tok sami ajar jampi serapah menggunakan ayat quran pulak yer... Entah apa yang dibaca... Hanya Allah sahaja yang tahu..

Fikir-fikirkan lah... sudah zaman maju masih nak benda-benda ni... teringat saya cerita yang saya tonton di TV3 pada hari Isnin... Once Upon A Time In China 2... Wong Feng Hong cukup marah kerana orang percaya dengan kumpulan teratai putih yang kononnya dilindungi dewa... sebenarnya semua yang mereka buat dibuktikan palsu oleh Wong... Ajaran sesat la yang layak diberikan pada kumpulan teratai putih tu...

Oleh itu... mari kita renung betul-betul, adakah kita nak tergolong dalam kumpulan yang terkeluar dari garisan Al-Quran dan As-Sunnah... siapa yang terlibat dengan minyak pengasih tu fikir-fikirkanlah...

*Syukur penulis artikel ini tidak sertakan seklai alamat dan nombor telefon si penjual minyak pengasih tu... kalau tidak confirm mak cik tu boleh jadi jutawan segera... semakin ramailah golongan keluarga dan kaum kerabat Pak Syaikh Tan di negara kita..

Tuesday, April 6, 2010

Oh... Masyarakat.....

Pulang sahaja dari pejabat jam lebih kurang jam enam petang saya terus bergegas ke Surau Kampung Sungai Labu. Amat sedih saya tidak dapat bersama-sama jemaah yang lain bersolat Maghrib dari awal. Selesai sahaja solat dan berdoa saya bertemu dengan saudara saya yang menimami solat kami. Saudara Firdaus. Beliau sekarang bertugas di Pejabat Mufti W.P Labuan. Syukur ke hadrat Allah walaupun saudara Firdaus masih berusia muda remaja tetapi hati beliau rapat kepada rumah Allah. Mampu mengimami kami semua. Alhamdulillah.

Lebih kurag jam tujuh malam saya yang masih berpakaian kerja lagi terus menuju ke Masjid Kampung Sungai Lada. Jaraknya tidak berapa jauh sangat. Hanya mengambil masa tidak sampai sepuluh minit mengikut cara pemanduan saya yang menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran WEQ 7882.

Setibanya di Masjid itu, saya mendengar ada perbicaraan halaqah agama. Saya terus menunaikan solat tahiyatul masjid sebelum duduk mendengar butir percakapan seorang anak muda yang berjubah dan berserban di mana ia duduk di atas kerusi berwarna putih.

Anak muda yang saya rasakan berusia di awal dua puluhan itu membicarakan berkenaan kebesaran dan kehebatan Allah. Baik butir bicaranya. Tidak ada yang menyimpang. Apa patah perkataan yang diulang-ulang adalah membesarkan Allah melalui kata-kata bagi meresapi kebesaran Allah di hati. Ada benarnya kata-katanya. Anak muda tersebut dan audience yang mendengar adalah daripada Jemaah Tabligh.

Selesai daripada majlis itu seorang daripada mereka bertemu saya. Bertanya khabar dan asal usul saya. Meramahkan bicara walaupun badan terasa amat letih dan lesu saya menjawab dengan sejujurnya. Biar mereka merasa mesra.

Antara butir percakapan yang diperbualkan adalah mengenai masyarakat ada yang membenci Jemaah tabligh apabila mereka mengimarahkan masjid dengan aktiviti Jemaah Tabligh yang tersendiri. Saya agak terkejut. Mengapa?

Saya bukan seorang pengikut Jemaah Tabligh. Saya juga bukan seorang yang menyokong apa-apa pergerakan secara membabi buta. Saya masih ada mata. Saya masih ada hati. Tahu membezakan lagi apa yang baik dan buruk.

Mengapa harus membenci mereka? Mereka tidak ada mengatakan benda yang salah. Apa yang saya dapat katakan, anak muda yang member tazkirah itu seorang yang masih belajar berpidato dan berceramah. Ia berkemungkinan seorang yang bungkam dan bisu untuk berbicara mengenai agama jika dia bercampur dengan anak muda yang hebat memetik gitar di perhentian bas berdekatan Taman Mutiara. Dia mungkin tidak akan berada di rumah Allah pada ketika itu juka dia salah seorang anak muda yang gemar melepak di Ujana Kewangan. Tetapi anak muda tersebut amat berbeza. Oleh itu, adakah masyarakat yang membenci dan mencemuh mereka tidak celik mata. Oleh itu. Cubalah fikir dan renung-renungkan.

Wallahu A’lam…

Monday, April 5, 2010

Bekas imam dipenjara enam tahun miliki ganja

KOTA BHARU: Seorang bekas imam hari ini dihukum penjara enam tahun Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki kanabis tahun lalu.




Che Shamsuddin Che Long, 61, yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan itu kelihatan tenang apabila dijatuhkan hukuman oleh Hakim Dazuki Ali. Tertuduh yang berasal dari Kampung Beris Tengah, Tanjong Pauh, Bachok didakwa memiliki tujuh batang balutan kertas putih berisi bahan tumbuhan kering dadah jenis kanabis seberat 57.7 gram pada 15 April tahun lalu, pada jam 8.30 malam di sebuah rumah tidak bernombor di kampung itu. Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dua batang kertas putih berisi tumbuhan kering dadah jenis kanabis seberat 12.65 gram pada tarikh dan tempat sama, pada jam 7.50 malam.



Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.



Dazuki menjatuhkan hukuman penjara enam tahun atas kesalahan pertama dan penjara dua tahun bagi kesalahan kedua, dengan hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan.



Sebelum menjatuhkan hukuman, Dazuki menasihatkan Che Shamsuddin supaya insaf dengan kesalahan yang dilakukan selain sedar tertuduh adalah seorang yang dihormati berdasarkan statusnya itu dan telah empat kali menunaikan haji.

"Saya pertimbang umur pak cik dalam menjatuhkan hukuman dan insaflah ini bukan permainan orang seusia pak cik tetapi mainan budak-budak," katanya.



Tertuduh yang mempunyai tujuh anak berusia antara 22 dan 39 tahun itu turut ditanya kenapa terjerumus dalam kes dadah itu namun tertuduh hanya menjawab "tidak tahu" dan menjelaskan beliau ke Makkah dalam tempoh 1989 sehingga 2004 menggunakan wangnya sendiri.



Dazuki turut memberikan perumpamaan kepada tertuduh iaitu: "Pakai kopiah pun boleh gelecoh (niat yang melencong) seperti nak pergi masjid tetapi singgah minum kopi atau teh yang airnya panas, kemudiannya lewatlah hendak ke masjid".



Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Rehan Mohd Aris manakala tertuduh diwakili peguam Azahir Nasir. - Bernama Komen Anda


Ulasan SL;

Apa sudah jadi... Tapi saya tidak agak terkejut. berdasarkan perbualan saya dengan beberapa orang yang pernah saya temui yang terlalu mengagungkan dunia sufism (bukan semua sufi ye..) berkhayal dengan beberapa jenis dadah adalah perkara biasa. Ia dikatakan sebagai alat untuk meningkatkan 'rasa' kepada Pencipta. fikir-fikirkanlah....


Wallahu A'lam

Sunday, April 4, 2010

Jawatankuasa Pemikir Penggerak Dakwah Peringkat W.P Labuan

1 April 2010 saya telah dijemput menghadiri satu perjumpaan Jawatankuasa Pemikir Penggerak Dakwah Peringkat W.P Labuan. Baru sahaja memulakan tugas pada hari tersebut, setelah bercuti agak panjang di Johor Bahru membuatkan saya agak kurang bersedia untuk bersama-sama mencetuskan pandangan bernas dan bijaksana. Saya agak berdiam diri pada permulaan perbincangan dan hanya agak lantang bersuara pada kemuncak perbincangan. Mungkin sebahagian kawan-kawan yang duduk bersama di dalam Jawatankuasa tersebut merasakan bahawa enjin saya sudah mula panas. jejeje...

Bukan begitu... Sebenarnya apabila dijemput untuk bersama-sama duduk di dalam mesyuarat tersebut saya merasakan amat bertuah dan memikirkan ia satu tanggungjawab yang amat berat. Ini kerana bergerak untuk berdakwah lebih mudah daripada menjadi pemikir untuk orang bergerak. Jika pemikir mati... maka hancurlah orang yang nak bergerak...

Oleh itu... saya hanya memohon agar Allah membantu agar Jawatankuasa tersebut akan terus releven dan ia bukan berdiri atas nama sahaja... Amin..