Mungkin sebahagian kita akan menyatakan bahawa Pesta Mandi Safar hanya sebahagian daripada perbuatan bodoh lagi tahyul masyarakat lama yang sudah tidak wujud lagi. Tetapi adakah perkara ini benar? Jika mengikut perkiraan pesta itu akan berlangsung tidak berapa hari lagi. Ia akan dijalankan pada 18 Februari 2009 bersamaan 23 Safar 1430. Jika dilihat pada kalender tarikh itu jatuh pada hari Rabu terakhir pada bulan Safar.
Sebenarnya, temasya atau pesta mandi Safar ini merupakan satu perayaan orang Melayu yang diwarisi sejak zaman berzaman. Temasya ini dilangsungkan setiap tahun. Ia dikatakan kononnya dari ajaran Islam. Menurut tanggapan songsang ini, kononnya pada hari tersebut diadakan pesta itu bagi menyatakan kesyukuran kerana junjungan mulia Muhammad bin Abdullah telah sembuh daripada sakit yang amat berat.
Pendapat lain pula membuat dakwaan palsu kononnya bulan Safar merupakan bulan nahas atau bala. Ini kerana pada bulan tersebut, terutamanya pada hari rabu terakhir, Allah akan menurunkan banyak bala kepada makhluknya di dunia. Oleh yang demikian, mereka melarang bagi mengadakan perkahwinan, pindah rumah atau sebagainya bagi mengelak nahas bala atau hubungan yang tidak berpanjangan. Jika melakukan sebarang pekerjaan perlulah berhati-hati dan berwaspada.
Perbuatan khurafat keji ini kebiasaannya berlaku kepada mereka yang tinggal di kawasan berdekatan dengan persisiran pantai atau sungai. Mereka yang melakukan ini kerana telah berjaya diperbodohkan oleh syaitan musuh manusia melakukan mandi dan upacara lain bagi membuang bala. Kebiasaannya mereka akan mandi beramai-ramai. Mereka menyangkakan perbuatan ini mampu membuang sial dan menghapuskan dosa.
Sebenarnya, perbuatan tersebut adalah merupakan perbuatan syirik dan khurafat. Ia merupakan perbuatan yang amat berdosa.
Ingatlah! Nahas atau bala bencana itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh agama Islam sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah At-Taubah ayat 51:
“Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”
Oleh yang demikian, sekiranya kita mengetahui ada saudara atau teman kita masih terjerumus dengan perbuatan mungkar ini marilah sama-sama kita menegahnya dan melarangnya. Jika takut dan tidak berdaya salurkanlah maklumat tersebut kepada pihak yang berkuasa agar tindakan dapat dilaksanakan dan perbuatan syaitan tersebut dapat dibentera.
No comments:
Post a Comment