Tersentuh hati mendengar hukuman yang dijatuhkan kepada Cikgu Kahar oleh Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di atas kesalahan mendakwa sebagai seorang nabi bagi umat Melayu. Bukan tersentuh kerana kasihan atau belas terhadap hukuman yang dijatuhkan tetapi Allah Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang masih memberi kesempatan bukan kepada Cikgu Kahar seorang tetapi dia dan semua pengikutnya kembali kepada pangkal jalan. Semoga pengakuan yang dilafazkan oleh Cikgu Kahar sebagai mengaku kesalahan itu tulus dan luhur. Semoga Allah memberikannya keteguhan hati agar tidak terpengaruh dengan bisikan iblis mahupun syaitan untuk kembali dimurkaiNya.
Sebenarnya pengakuan sebagai Nabi atau Rasul dan menyebarkan fahaman songsang lagi sesat di Negara kita bukan perkara baru. Ia ibarat putaran roda yang akan muncul di atas dan menggemparkan masyarakat. Ada yang melakukan dosa besar itu kemudian bertaubat nasuha tetapi ada juga yang hanya berpura-pura taubat untuk mengatur strategi mengembangkan sayap daulah sesatnya. Lihatlah dan renunglah lembaran sejarah.
Nakhoda kepada ‘ilmu sesat’ yang mempunyai matlamat ‘under ground’ ini biasanya terdiri daripada mereka yang ‘cekap’ dan ‘hebat’ memutar alam. Bijak dalam ilmu psychology a.k.a ‘sihir moden’ iaitu sihir yang sudah tidak memperalatkan syaitan laknatullah atau seumpamanya untuk menjayakan matlamat. Tetapi ‘lidah buas’ sahaja menjadi senjata. Tidak lupa berkemenyankan kejahilan masyarakat berkenaan agama. Mereka akan muncul dari semasa ke semasa. Ibarat musim durian yang sentiasa dinantikan oleh Tok Wan. (pent; sekarang durian dah tak ada musim. Jadi samalah juga dengan perbuatan bejat ini. Ada sahaja sepanjang masa tetapi kadang-kadang sukar untuk dihidu. Jika durian dah boleh dioleh tak de bau mereka pun dah olah juga agar gerakannya tidak dapat dihidu).
Sebagai ingatan dan renungan kita bersama. Kembalilah kepada Al-Quran dan As-Sunnah agar kita tidak akan dapat dibawa ke ‘lorong gelap’. Al-Quran kitab yang benar. As-Sunnah panduan yang selamat. Jangan pula golongan yang tidak pakar mengenainya berusaha sendiri nak berinteraksi dengan keduanya (Al-Quran dan As-Sunnah) tanpa ada bimbingan ulama dan pimpinan ilmu yang secukupnya. Kalau ada yang nak cuba... maka akan muncul lah semula berita hangat di media massa ‘si gila’ yang cuba menjadi pewaris nabi-nabi sesat ataupun ‘si murabbi’ yang menerima wahyu daripada syaitan dan iblis.
No comments:
Post a Comment