Esok pembentangan bajet yang akan dibuat oleh Y.A.B Perdana Menteri 1Malaysia. Seperti yang disebut-sebut bajet yang akan diumumkan adalah bajet mesra rakyat. Definisi mesra rakyat bagi bajet yang akan dibentangkan masih lagi kabur. Ia akan jelas lagi tersuluh selepas pembentangan esok yang akan bermula pada jam 3 petang.
Seperti tahun-tahun yang lepas, detik pembentangan bajet cukup saya nanti-nantikan. Ini kerana pasti ada sesuatu yang menarik hati dan minat untuk diketahui. Dua tahun lepas penjawat awam agak kecewa dengan tiada pengumuman bonus bagi tahun tersebut. Tetapi tahun lepas kegembiraan terserlah pada raut setiap penjawat awam. Dapat bonus. Tahun ini masih lagi tidak tahu sama ada tersenyum lebar adau sebaliknya. Walaubagaimanapun, bagi saya kita tetap kena terus bersyukur. Dapat alhamdulillah semoga boleh dimanfaatkan kepada perkara yang baik. Tidak dapat pun tidak mengapa semoga peruntukan yang boleh diperuntukkan untuk pemberian bonus dapat dimanfaatkan untuk negara.
Sebenarnya bila menyebut berkenaan bonus bagi kakitangan kerajaan hanya yang dipertikaikan dapat atau tidak dapat sahaja. Tetapi jarang sekali dipertikaikan kelayakan untuk kita menikmati bonus itu setanding dengan sumbangan kerja yang diberikan. Bukan nak kata penjawat awam tidak bersungguh-sungguh tetapi rajin atau kurang rajin, banyak sumbangan atau sedikit sahaja sumbangan tetap akan diberikan sama rata. Tidak seperti penjawat di Bank Rakyat atau mana-mana syarikat lain. Ada yang dapat berlipat kali ganda dan ada juga yang dapat seciput sahaja. Bergantung kepada keuntungan dan juga sumbangan.
Jadi bertuah juga semua penjawat awam ini. Bagi yang kurang rajin tetap menerima imbuhan seperti golongan rajin. Golongan sedikit sumbangan tetap menerima seperti yang memberi sumbangan besar. Itulah dia. Jadi teruskan bersyukur kepada Allah. Agar nikmat itu tidak ditarik balik. Jangan asyik mahu mengkritik apabila tidak menerima ganjaran lebih tetapi diam seribu bahasa apabila diberikan ganjaran pula.
Seperti apa yang seorang budiman katakan kepada saya, bonus itu perlulah dilihat kepada keuntungan sebuah organisasi. Jika dapat keuntungan lebih maka dapatlah kita merasainya. Jadi kerjaan kita ni dapat keuntungan ke? Rasanya tidak perlu diulas panjang berkenaan kata-kata orang budiman itu kerana semua orang boleh memberi ulasan masing-masing. Lain kepala, lain ulasannya.
Jadi... tunggulah sahaja esok apa yang akan dibentangkan oleh Y.A.B PM. Semoga apa yang dibentangkan akan memberi keuntungan kepada semua. Jangan ada yang terlepas pandang sudahlah. Semoga semua akan mendapat manfaat daripada bajet mesra rakyat esok...
No comments:
Post a Comment