pada awalnya kursus itu dijangkakan akan dihadiri oleh 50 orang peserta sahaja. tetapi sambutan yang menggalakkan membawa kepada penyertaan lebih daripada 70 orang peserta. alhamdulillah, kursus itu berjalan dengan lancar.
sebagai hadiah untuk semua terimalah nukilan kreatif saya berkaitan kematian...
Sajak Kematian; Monolog Seorang Hamba
Cetusan Kreatif: Tuan Haji Mohd Salleh Ariff
26 Disember 2008, Kerupang.
Apabila bercerai nyawa dari jasadnya,
Itulah yang dinamakan kematian,
Bukan sekadar hilang nikmat menghirup udara segar,
Bukan sekadar hilang nikmat makanan dan minuman,
Tetapi, hilang segala nikmat keduniaan,
Aku melangkah ke alam yang telah dijanjikan.
Mati itu benar! Soalan malaikat di barzakh itu benar!
Siksaan kubur itu benar! Nikmat di kubur itu benar!
Tetapi, sudahkah aku bersedia melaluinya?
Dengan amalan yang aku telah himpunkan,
Dengan maksiat yang aku telah rencanakan,
Tanpa mengira apa yang berlaku di hari kemudian.
Siapakah yang mampu membantu aku di situ?
Dia bertanya; Para pengikut engkau? Pangkat kekuasaan engkau?
Harta engkau yang melimpah ruah? Atau darjat keturunan engkau?
Ingatlah! Itu semua tidak membantu engkau,
Tanpa ada ketaatan kepada Yang Maha Esa,
Tanpa ikutan amalan yang disampaikan utusanNya
Ingatlah mati tidak akan melupakan engkau,
Mati tidak akan tewas memburu engkau,
Ia berada di mana-mana, hanya menunggu masa,
Apabila telah tiba detiknya,
Maka Si Utusan Maut akan datang menjelma,
Sama ada dengan ceria atau bermasam durja.
Aku bermunajat; wahai tuhan Yang Maha Kuasa,
Berilah hidayah dan petunjuk kepada hamba,
Agar dapat menemui Mu dengan perasaan bahagia,
Tidak seperti hamba-hamba yang derhaka,
Tidak seperi Firaun, Qarun atau pengikutnya,
Tetapi umpama kekasihMu yang taat setia.
No comments:
Post a Comment