Thursday, December 24, 2009

Saya akan menjayakan program Motivasi Pagi di Radio Labuan FM pada setiap pagi jam 6.30 bermula 1 Januari 2010.
MARI MENGEJAR KEJAYAAN SEMPENA TAHUN BARU

Thursday, December 17, 2009

SELAMAT TINGGAL 1430 HIJRAH... SELAMAT DATANG 1431 HIJRAH

1 Muharam 1431 Hijrah akan hadir beberapa jam lagi dan 1430 Hijrah akan berundur apabila tibanya saat itu. Semoga kehadiran 1431 Hijrah akan memberi sejuta kebahagiaan dan keuntungan.
Malaysia, negara tercinta telah menjadikan 1 Muharam sebagai hari cuti. maka kesempatan yang ada telah diisi dengan pelbagai aktiviti dan program oleh masjid-masjid dan surau. Ini merupakan satu perkara yang amat bagus dan berfaedah.
Cuma apa yang agak menyedihkan saya adalah berkenaan satu amalan yang sering kita lakukan (saya telah menyaksikan sejak saya masih kecil lagi) pada beberapa minit sebulum akhir tahun berlalu dan beberapa minit selepasawal tahun menjelma. Tidak lain dan tidak bukan adalah amalan membaca Yaasin, bacaan doa awal dan akhir tahun.
Pada saya ia merupakan perbuatan yang tidak menyalahi syarak. Ini kerana syarak sememangnya mengarahkan kita agar sentiasa memohon doa kepada Illahi dan banyak membaca al-Quran (Yaasin merupakan satu daripada surah-surah di dalam al-Quran). Cuma apa yang agak menyedihkan, apabila doa awal dan akhir tahun yang dibaca (kedua-dua doa ini yang kebiasaannya dibaca di masjid-masjid dan surau-surau) diberikan pelbagai ganjaran. Siapa yang akan memberikan ganjaran itu dan siapa yang menyenaraikan ganjaran? persoalan itu sering bermain di minda saya.
Bacaan yaasin pun turut diberikan pelbagai fadhilat pada ketika itu. Benarkah fadhilat yang disebut-sebut atau ia hanya ritorik semata-mata? Pada saya fadhilat dari sesuatu amalan atau perbuatan yang boleh dipercayai dan dipegang hanyalah sekiranya ada disebut dalam al-Quran dan as-Sunnah sahaja. Ini kerana al-Quran datang daripada Allah dan Dia adalah yang akan memberikan apa sahaja yang dikehendakiNya. As-Sunnah pula datangnya dari Nabi Allah. nabi tidak akan bersifat pendusta atau menyorokkan apa yang Allah sampaikan.
Jadi, semua ini perlu difikir-fikirkan. Tidak salah berdoa dan membaca Surah Yaasin. Saya rasakan tidak ada seorang pun yang mengatakan ia perbuatan salah. Cuma terkadang apa yang disampaikan seseorang akan membawa maksud yang salah.
SELAMAT MENYAMBUT 1431 HIJRAH. SEMOGA TAHUN BARU YANG AKAN TIBA MEMBAWA KEBAIKAN BUAT KITA DAN APA YANG BERLAKU PADA 1430 HIJRAH YANG BAKAL DITINGGALKAN AKAN MEMBERI SATU INSPIRASI UNTUK KITA MENJADI YANG TERBAIK..

Wednesday, December 9, 2009

PENDAKWAH TURUN BERDAKWAH DI TEMPAT SYAITAN...

Saya bukan terdiri daripada golongan kudus. Baik dan cukup patuh. Sewaktu belajar saya cukup gemar bergaul dengan kawan-kawan yang tidak tentu hala. Jika dipandang oleh kaca mata masyarakat Melayu yang penuh adat dan adab kawan-kawan saya bolehlah digelar sebagai golongan ‘jahat’, ‘tak bau syurga’ atau apa-apa lagi. Tetapi pada saya mereka tetap kawan-kawan saya.

Walaupun mereka maklum saya merupakan pelajar aliran agama dan kadang kala gemar mengikuti program-program bicara agama atau seumpama dengannya mereka tetap tidak gerun untuk terus berkawan baik dengan saya. Kawan tetap kawan. Cuma prinsip mereka, saya boleh ikut ke mana sahaja mereka mahu pergi tetapi cukup sukar bagi mereka untuk mengikut saya ke mana sahaja saya pergi. Maksudnya, walaupun saya mengajak macam nak mati mengikut saya ke kelas-kelas bicara agama, jawapan mereka pastinya tidak.

Itulah yang sememangnya berlaku kepada ramai golongan anak muda. Mereka merasakan diri mereka penuh dosa dan tidak layak untuk pergi ke program orang baik-baik. Tiada pass nak join. Walaubagaimanapun, jika saya berbicara bab-bab agama pada mereka, ia merupakan bicara yang amat diminati mereka.

Kesimpulan yang boleh saya kata mengenai perkara ini, golongan remaja liar amat takut untuk mendekati program orang baik-baik tetapi jika mereka didekati oleh orang di tempat acara mereka, pasti ia tidak akan di tolak. Pasti jika sepuluh yang dikatakan oleh orang baik-baik itu, mungkin ada yang tersangkut dan moga-moga ia dapat menjadi punca dapat hidayah.

Berkaitan dengan semua ini, saya sebenarnya cukup tertarik mengenai agenda seorang tokoh agama yang sekarang cukup kontroversi dalam masyarakat Melayu. Tidak lain dan tidak bukan, mantan Mufti Perlis, Dr. Asri. Perancangan beliau untuk berdakwah ke pusat-pusat hiburan merupakan perancangan yang baik. Ia perlu dipuji dan bukan dikritik atau dikeji.

Apa yang beliau lakukan tidak ubah dengan agenda dan strategi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan satu ketika dengan mengajar dan mendekati golongan Mak Nyah di Jalan Haji Taib. Dekati golongan tersebut di lubuk mereka. Tak perlu bawa mereka keluar lubuk pun.

Monday, December 7, 2009

PERBUATAN MENCACI NEGARA PERBUATAN KELOMPOK TIDAK BERTAMADUN

Perkara yang ingin dibicarakan bukan perkara baru. Cerita ini sudah lama saya baca dan lihat di dalam banyak forum dan bebrapa blog persendirian. Cuma apabila pagi ini ia dibangkitkan oleh seorang teman saya rasa terpanggil untuk member sedikit ulasan. Ulasan seorang anak sejati Malaysia yang amat mencintai Negara dan mencintai keamanan serantau.

Ia berkaitan kutukan dan hinaan sebuah Negara jiran terhadap Malaysia. Paling sedih dan tidak sanggup untuk saya menyebut di sini apabila ia menamakan Malaysia sebagai Malingsia. Perbuatan jahil dan tidak bertamadun itu yang menggunakan pelbagai bentuk hinaan terhadap Negara bukanlah merupakan perbuatan mejoriti rakyat Negara tersebut melainkan hanya kumpulan yang terpinggir sahaja.

Mengapakan perbuatan terkutuk itu dilakukan? Apakah keuntungannya? Adakah dengan berbuat perkara tersebut golongan itu akan mendapat kemasyhuran dan keuntungan? Pada saya ia tidak lain dan tidak bukan hanya sia-sia dan merugukan semua pihak serta membawa bencana semata-mata.

Bukankah Malaysia yang diketahui umum sebagai Negara yang amat mencintai kedamaian dan amat bertolak ansur amat tidak berminat dengan pergaduhan dan peperangan. Walaupun kadang-kadang melihat Malaysia terlalu banyak sangat mengalah terhadap banyak pihak saya merasakan perbuatan tersebut sebagai cara terbaik untuk mengelakkan kemusnahan kedamaian sejagat. Bak kata orang tua-tua mengalah bukan bererti kalah cukup bermakna kepada pemimpin Negara kita yang dianugerahkan bijak. Tetapi apa yang amat menyedihkan saya tindakan bebarapa kerat rakyat kita sendiri.

Mengapa kita perlu melayan apa yang difitnah terhadap Negara kita yang tidak betul itu. Menuduh kita sebagai perompak khazanah dan kebudayaan serta macam-macam lagi. Seolah-olah Negara kita sebuah paksi kejahatan. Jika itu benar mengapa ramai di anatara penduduk Negara-negara luar amat berminat untuk bekerja dan bermestautin di Malaysia. Kenapa Negara yang dihina dicium-cium dan diidamkan. Pastinya kerana apa yang mereka dakwa hanya cakap kosong dan tindakan tidak bertamadun.

Hanya sebagai nasihat dan ingatan, janganlah kita sesekali membalas cemuhan yang diberikan kepada Malaysia dengan cemuhan jahat juga. Jika itu dilakukan samalah kita tidak ada akal seperti apa yang dilakukan. Relaks dan Cool. Semoga Allah Taala member kesejahteraan dan keamanan kepada Negara. Semoga tiada bencana yang akan melanda Negara. Malaysia terus aman damai dan kekal menjadi 1Malaysia.

Tuesday, December 1, 2009

DOA..... OH... DOA....

Pada setiap pagi Jabatan saya mengadakan assembly session dengan bersama-sama membaca al-Quran, mendengar terjemahan ayat dan membaca potongan hadith. Ia merupakan rutin kami setiap pagi agar mendapat sedikit santapan rohani dan mengeratkan hubungan sesama pekerja.
Pagi tadi surah yang dibaca adalah surah al-Baqarah. Apabila mendengar satu ayat yang dibacakan saya teringat kekecohan yang melanda pada hari ini. Ayat tersebut adalah ayat yang ke 186.

Allah berfirman:

Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepada mu mengenai Aku (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hamper kepada mereka; aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Ayat itu menyatakan agar kita berdoa kepada Allah terus. Itulah cara memohon kepada Allah yang paling mustajab. Pohonlah kepada Allah segala hajat yang kita inginkan. Allah pasti menunaikannya. Lambat atau cepat itu hak Allah. Hak hamba hanya meminta. Semua pasti ada hikmahnya.

Tetapi, bagaimana pula sekiranya kita meminta sesuatu yang tidak baik. Adakah itu dibolehkan? Patinya jawapan yang paling tepat adalah tidak boleh. Memohon kehancuran orang Islam atau kumpulan orang Islam merupakan contoh doa-doa yang perlu dijauhkan.
Walaubagaimanapun, baru-baru ini kecoh seorang Tuan guru didakwa melakukannya. Apa cerita pula? Ramai yang mengkritiknya. Kawan dan lawannya turut mengkritik. Saya tidak mengatakan tindakannya salah atau betul selagi saya tidak mendapat maklumat yang terperinici.

Saya yakin Tuan Guru tersebut faham dan mengerti akan apa yang dilakukan. Mungkin ini kerana perbezaan tafsiran dan fahaman yang menyebabkan pelbagai hukuman dilemparkan terhadap Tuan Guru tersebut.

Sebagai orang awam saya hanya boleh mengatakan janganlah kita terus menghentam beliau. (orang awam yang saya maksudkan adalah kita masyarakat awam). Jangan ada yang cerca. Takut tersilap cerca kita yang berdosa. Relaks and cool.. Jangan kerana berbeza fahaman politik habis semua kita bantai sama...