Sambutan Maulidur Rasul masih lagi di adakan walaupun di dalam kalender tercatat Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal. Ia telah berlalu beberapa hari. Sambutan itu saya pasti aku terus diadakan tanpa mengira berapa hari telah meninggalkan 12 Rabiul Awal.
Di Wilayah Persekutuan Labuan, Jabatan saya yang diamanahkan menjadi penggerak utama mengadakan sambutan Maulidur Rasul bagi peringkat W.P Labuan telah mengadakan pelbagai aktiviti pada 12 Rabiul Awal. Berceramah, pertandingan sepanduk dalam tulisan jawi yang menyerlahkan keindahan tulisan jawi dan arab, perarakan dan persembahan nasyid yang memuji-muji nama Allah dan menceritakan sejarah baginda junjungan Muhammad S.A.W.
Pada malam 12 Rabiul Awal saya pula telah diundang oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk memberi ceramah bertajuk Hala Tuju Remaja di Era Globalisasi. Ia adalah bagi program untuk remaja berusia 16-19 tahun. Program sempena sambutan Maulidur Rasul.
Jumaat lepas pula saya diundang menghadiri kenduri di rumah sahabat saya. Ustaz Riduan, Pegawai Kagat di Markas Tentera Udara Labuan. Dalam majlis itu diadakan majlis bacaan Surah Yasin dan membaca kitab Barzanji.
Macam-macam sambutan yang diadakan. Jika sewaktu saya masih kecil tidak lupa pada ketika sambutan Maulidur Rasul, pasti saya tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan bercerita kisah-kisah nabi, azan mahupun deklamasi sajak berunsur Islam.
Itulah semangat umat Melayu di Malaysia daru dahulu sehingga hari ini bagi menyambut Sambutan Maulidur Rasul. Bersemangat dan tidak jemu-jemu. Walaupun mereka yang menjadi tulang belakang dalam acara-acra sambutan Maulidur Rasul itu bukan tidak sedar bahawa apa yang merkeka lakukan itu, kurang memberi kesan dalam meningkatkan semangat Islamiyyah dan penghayatan Islam dalam diri. Mereka terus dan terus bersemangat. Hebat juga ya mereka.
Apa yang berlaku itu semua membuatkan saya terfikir apabila beberapa orang rakan-rakan saya yang berada di Kuala Lumpur, Cyberjaya, Johor dan ada beberapa tempat lain bertanyakan mengapa saya tidak ada memberi tegahan atau bantahan terhadap sambutan-sambutan Maulidur Rasul di negara kita yang didakwa menghabiskan duit berjuta-juta? Sedangkan saya dikatakan agak pro dalam menyatakan sesuatu yang tidak jelas dalilnya sebagai perkara yang tidak boleh dilaksanakan.
Sebenarnya, jika kita lihat dalam kitab-kitab sejarah Islam ulama Islam sendiri tidak ada kesepakatan dalam menyatakan bila berlakunya Maulidur Rasul iaitu kelahiran Muhammad bin Abdillah. Ada yang menyatakan berlaku pada 12 Rabiul Awal seperti yang terdapat di dalam Kitab Sirah Ibn Hisyam. Ada juga yang menyatakan berlaku pada 9 Rabiul Awal seperti pendapat Ibn Taimiyyah. Ada juga yang menyatakan berlaku pada bulan Ramadhan dan macam-macam pendapat lain.
Oleh yang demikian, tidak timbul lah bila nak sambut Maulidur Rasul kan. Bila-bila pun boleh. Satu usaha yang cukup baik bagi kerajaan Malaysia meletakkan 12 Rabiul Awal sebagai cuti umum yang dipenuhi dengan pelbagai kalender bagi memperingati pejuangan Muhammad Bin Abdillah dan macam-macam lagi. Sambutlah...semoga sambutan itu akan memberi suntikan agar kita berusaha mendekati lagi dan menyelusuri apa yang dibawa oleh Muhammad bin Abdillah, kekasih Allah dan Nabi akhir zaman.
Berkenaan dengan mengadakan sambutan Maulidur Rasul dengan membaca kitab Barzanji ada pelbagai pandangan ulama berkaitan perkara ini. Ada yang melampau sehingga mengatakan membawa berkat yang besar dan rahmat. Ada pula yang mengatakan haram dan berdosa besar kerana ia tidak dilakukan pada zaman Rasulullah. Dan ada juga yang berkata membaca tidak salah kerana membaca kitab Barzanji itu sama seperti membaca kitab-kitab sirah yang lain Cuma ia menggunakan method penulisan berbentuk syair. Tetapi sekiranya membaca cerita-cerita yang tidak tepat di dalam kitab itu perlulah dijelaskan dan janganlah pula meyakininya.
Saya amat bersetuju sangat dengan pendapat yang ke tiga itu. Ya, kitab Barzanji karangan Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H) adalah kitab karangan manusia. Bukan al-Quran yang bersifat sempurna tanpa ada sedikitpun kesalahan. Kesenian yang ada di dalam kitab itu pun tinggi nilai keseniannya. Jadi rugilah sekiranya kitab itu diabaikan sahaja. Maka satu method pembacaan kitab itu perlulah ada penjelasan yang baik mengenai cerita-cerita di dalamnya yang akan dinaqadkan oleh mereka yang bijak sejarah. Jangan pula membaca kitab itu dengan suara dan lagu yang sedap tetapi hanya untuk bersedap-sedap sahaja. Bak kata orang labuan. Tak siyok..
Berbaris pula ketika sambutan Maulidur rasul tidak ada masalah saya rasakan. Dan saya yakin tidak ada sesiapa yang ingat marah. Ini kerana sambutan ulang tahun hari merdeka kita berbaris. Sambutan macam-macam lagi pun ada yang melakukan program berbaris. Jadi hendak berbaris ketika menyambut sambutan Maulidur Rasul pun tiada salahnya jua. Baik juga ada aktiviti menyihatkan badan pada hari cuti. Tapi janganlah pula sekali-kali disematkan di dalam sanubari bahawa itu merupakan amalan sunnah dan akan mendapat ganjaran sunnah nabi. Tidak sama sekali.
Kesimpulannya, apa jua yang kita ingin katakan dan laksanakan lebih baik difikirkan masak-masak baik buruknya dan apa pula faedahnya. Janganlah pula jadi seperti lalang yang akan mengikut arah angin hanya kerana mendengar pendapat-pendapat orang dan janganlah pula jadi seperti badak yang kurang pendengaran dan buat dek sahaja.
Ceramah Di Masjid Daerah Manjung Perak.
12 years ago