Showing posts with label ANWAR IBRAHIM. Show all posts
Showing posts with label ANWAR IBRAHIM. Show all posts

Thursday, July 10, 2008

MUBAHALAH; ANTARA ANWAR IBRAHIM & SAIFUL BUKHARI

Keberanian Anwar Ibrahim dan Saiful Bukhari untuk bermubahalah amat menggerunkan saya. Mereka bersedia untuk melakukannya bagi membuktikan kebenaran dan menafikan tuduhan yang dihadapi. Saiful Bukhari bersedia melakukan mubahalah bagi membuktikan dakwaan dia diliwat Anwar Ibrahim adalah benar dan Anwar Ibrahim sanggup melakukannya bagi membuktikan bahawa dia tidak melakukan liwat ke atas Saiful Bukhari.

Adakah keberanian yang dinyatakan oleh salah seorang dari kedua-dua pihak merupakan satu tektik berani bagi tidak dilebelkan sebagai bersalah sebelum habis bertarung? Tidak takutkah dengan la’nat Allah yang sememangnya terjadi dengan tindakannya? Ini kerana amat tidak masuk akal atau mustahil kedua-dua pihak berada di dalam pihak yang benar.

Jika dilihat pada lembaran sejarah, mubahalah bukan tidak pernah berlaku. Ia wujud di dalam Islam pun kerana ada nas (dalil) yang jelas. Jika dilihat di dalam surah Ali Imran pada ayat yang ke 61 yang bermaksud;

Sesiapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya la’nat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta”
Surah Ali Imran: 61

Ayat ini diturunkan sempena dengan kedatangan wakil Nasrani Najran ke Madinah yang berhujjah dengan Nabi S.A.W. tentang keyakinan batil mereka berkenaan Isa A.S. Namun mereka tetap berkeras dengan keyakinan mereka yang batil itu setelah Nabi S.A.W. mendatangkan hujah yang jelas kepada mereka. Lalu Allah S.W.T. menurunkan ayat di atas supaya Nabi S.A.W. mencabar utusan Nasrani itu untuk bermubahalah. Namun cabaran itu telah ditolak oleh mereka disebabkan rasa takut atas perbuatan dusta mereka.

Jika dilihat pada masa itu golongan Nasrani najran tidak berani untuk melakukannya kerana mereka takut dengan la’nat Allah. Ia bukan sekadar cakap kosong mengenai kesannya tetapi ia akan berlaku.

Walaupun ayat yang dinyatakan di dalam Surah Ali Imran ditujukan kepada Rasulullah S.A.W tetapi ia bukan sekadar ditujukan kepada rasul seorang sahaja. Ia merupakan suatu yang diizinkan untuk dilaksanakan oleh umat Islam. Ia juga bukan dikhususkan kepada Ahli Kitab sahaja. Sebaliknya kepada mana-mana orang yang berselisih. Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi di dalam salah satu fatwanya menyebut:

“Mubahalah bukanlah dikhususkan kepada Rasulullah S.A.W. bersama Nasara sahaja, akan tetapi ianya umum kepada Baginda dan kepada umat Baginda sama ada bersama Nasara atau lainnya. Ini kerana asal dalam pensyariatan hukum, hukum itu umum (untuk semua, bukan khusus untuk Nabi), sekalipun mubahalah yang berlaku di zaman Nabi S.A.W. antara baginda dan Nasara Najran. Ini hanyalah sebahagian perlaksanaannya terhadap makna ayat (al-Quran), bukan menunjukkan terhad kepada hukum dalam keadan itu sahaja.”
(Bil. Fatwa: 6238)Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebut antara pengajaran dari kisah cabaran Mubahakah antara Nabi S.A.W. dengan Nasara Najran ialah:

“Bahawa menjadi sunnah dalam berdebat dengan ahli kebatilan, apabila telah ditegakkan hujah namun mereka enggan kembali kepada kebenaran sebaliknya terus berdegil, maka diseru mereka agar bermubahalah. Allah telah memerintahkan rasul-Nya berbuat demikian. Tanpa Allah menyatakan ini bukan untuk umatmu selepas ini. Sepupu baginda Abd Allah bin ‘Abbas juga pernah mengajak mereka yang membantah dalam beberapa perkara furu’ bermubahalah dengannya. Tiada seorang sahabat Nabi SAW yang membantah tindakan itu. Juga al-Auza‘i pernah mengajak Sufyan al-Thauri bermubahalah dalam masalah ‘mengangkat tangan’ tanpa ada yang membantah tindakannya. Ini adalah hujah yang kuat”
(Ibn Qayyim, Zad al-Ma‘ad 3/562-563)
Al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab juga pernah menyeru orang-orang yang menentangnya untuk bermubahalah sepertimana yang tercatit di dalam salah satu risalahnya:

“Dan aku menyeru kepada sesiapa yang menentangku kepada salah satu dari empat perkara: samaada kembali kepada Kitab Allah, atau kembali kepada Sunnah RasulNya, ataupun kembali kepada ijma’ para ulama atau jika dia degil juga aku menyeru dia kepada Mubahalah.”

Jadi bagi Anwar Ibrahim dan Saiful Bukhari yang ingin bermubahalah bagi membenarkan mereka perlulah mengetahui syarat-syaratnya sepertimana yang disusun oleh al-Syeikh Ibrahim bin Soleh al-Humaidhi (Kuliah Syariah dan Usul al-Din di al-Qasim) dalam tulisannya yang bertajuk Hakikat Mubahalah. beliau menyebutkan lima syarat yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu mubahalah dilaksanakan.
1. Mengikhlaskan niat kerana Allah S.W.T.
Tidak boleh tujuan mubahalah ini dilakukan kerana hendakkan kemenangan dan memuaskan hawa nafsu. Sebaliknya ia dilakukan bagi tujuan menegakkan kebenaran, membela orang yang berada di atas kebenaran, menzahirkan kebenaran dan berdakwah kepada Allah
2. Berilmu.
Mubahalah hendaklah dilakukan setelah adanya penjelasan dan dailog.
3. Orang yang menuntut Mubahalah itu terdiri dari orang soleh dan bertaqwa.
4. Dilakukan selepas tertegaknya hujjah dan menzahirkan kebenaran dengan bukti-bukti yang jelas.
5. Mubahalah itu dilakukan dalam perkara yang penting dari urusan agama.

Diharapkan dengan terlaksananya mubahalah tersebut, terhasilnya rungkaian maslahah kepada Islam dan Umat Islam, atau bagi menolak mafsadah.

Ini kerana kesan kepada mubahalah ini amat dahsyat. Ibn Hajar al-‘Asqallani berkata

“Berdasarkan pengalaman, sesiapa yang bermubahalah sedangkan dia berbohong, dia tidak akan dibiarkan lebih dari satu tahun dari hari mubahalah. Telah berlaku mubahalah antara ku dengan seorang taasub kepada golongan Mulhid, dia tidak dibiarkan selepas mubahalah itu melainkan dua bulan.”
Manakala seorang ulama India, al-Syeikh Abi al-Wafa’ Thana’ al-Amritsari telah melakukan mubahalah dengan Mirza Ghulam Ahmad al-Qadyani yang mendakwa dirinya seorang Nabi. Lalu Allah S.W.T. membinasakan Mirza Ghulam Ahmad selepas setahun dari hari mubahalahnya. Manakala al-Syeikh Abi al-Wafa’ terus dipanjangkan umurnya hampir 40 tahun selepasnya.

Jadi diingatkan sekali lagi kepada Saiful Bukhari dan Anwar Ibrahim untuk berfikir semula dengan kata-kata mereka. Mungkin apa yang dinasihatkan oleh Ketua Pengarah JAKIM ada benarnya. Ia akan membogelkan keaiban salah seorang. Bukan sekadar aib sahaja akan terbuka malah la’nat Allah pasti akan terjadi.

Selain daripada itu adakah permasalahan yang mereka hadapi ini memenuhi syarat-syarat yang diberikan oleh al-Syeikh Ibrahim bin Soleh al-Humaidhi. Jika mereka melakukan kerana dunia semata-mata maka diingatkan kepada kedua-duanya takutlah kepada Allah.

Tuesday, July 1, 2008

SAIFUL BUKHARI, ANWAR IBRHIM; SIAPAKAH YANG TERANIAYA & DIANIAYA

Mendengar berita mengenai dakwaan Saiful Bukhari bahawa dia diliwat oleh mantan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menaikkan bulu roma sungguh. Takut terlibat di dalam mereka yang bersekongkol dengan menabur fitnah atau mereka yang tidak membela orang yang teraniaya (diliwat).

Benarkah Saiful Bukhari diliwat oleh Anwar Ibrahim? Jika benar, apakah dalil-dalil untuk membuktikannya? Untuk mendengar pengakuan daripada Saiful Bukhari sahaja ia merupakan satu tindakan yang tidak adil. Tidak adil di sisi Islam. Anwar orang Islam, Saiful Bukhari juga Islam. Jadi keadilan secara sudut pandangan Islamlah perlu diguna pakai.

Menurut dakwaan bekas teman-teman sekuliah Saiful Bukhari, dia seorang yang tidak boleh dipercayai. Digelar sebagai musang. Gila ‘glamour’ dan bercita-cita untuk mendapat publisiti ‘hebat’ di persada politik Negara. Pernah menduduki kerusi Timbalan Presiden MPP Uniten sesi 2006/2007, dibuang dari institusi yang mulia itu kerana kemerosotan yang amat teruk dalam bidang pelajarannya. Ini satu penilaian yang terbaik untuk didengar, kerana mereka semua adalah rakan-rakan sekuliah yang mengenali dan mengetahui mengenai perangai, peribadi dan tingkah lakunya. Sama seperti para perawi hadith, untuk mengetahui keperibadian bagi menjadikan dia seorang yang thiqah, pandangan dan kata-kata teman-teman dan kenalan perlu di ambil kira.

Walaubagaimanapun, dakwaan Saiful Bukhari tidak boleh dipandang lekeh atau hina. Jika sememangnya dia diliwat satu pembelaan perlu diberikan. Tetapi adakah dia diliwat secara rela atau paksa? Jika secara paksa itu merupakan satu pencabulan. Maruahnya akan tergadai. Bukan sekadar dia sahaja, tetapi ibu yang melahirkannya, bapa yang membesarkannya dan sanak saudara pasti akan tercabut maruah mereka. Mana hendak letak air muka. Seperti dipalit ke muka tahi babi yang amat busuk dan najis sekali. Bagaimana pula jika secara rela dan suka? Sememangnya dia membenarkan atau mengoda peliwat untuk meliwatnya? Atau dia memasang perangkap agar peliwat yang termakan ‘ubat ghairah’ agar meratah tubuhnya? Ini semua hanya dapat dijawab oleh Saiful Bukhari sendiri. Tetapi, dia harus ingat bahawa Allah mengetahui segala perbuatan yang berlaku.

Bagi Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Presiden ABIM dan macam-macam lagi jawatan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Saiful Bukhari. Beliau tidak mengaku melakukan perbuatan Kaum Luth itu. Jika benar beliau tidak melakukan, maka kita bersyukur kerana seorang yang pernah menduduki kerusi organisasi dan institusi berjenama Islam tidak melakukan perbuatan keji itu. Beliau harus membela diri bersungguh-sungguh dan menafikannya.

Tetapi, bagaimana pula sekiranya ia sememangnya terjadi. Meliwat secara sedar atau tidak sedar. Ia berkemungkinan. Tidak ada perkara mustahil di dalam dunia ini. Asaari Muhammad yang berserban dan berjubah sanggup merapu di dalam bicara agamanya. Mengapa tidak bagi orang lain. Jika Anwar benar-benar melakukannya secara sedar, maka takutlah dengan Allah. Jangan jatuhkan maruah organisasi dan institusi berjenama Islam yang pernah disandanginya. Pasti mereka yang berada di organisasi dan institusi itu akan merasa sebak dan kecewa. Bagaimana pula jika ia merupakan perbuatan diluar kawalannya. Beliau meliwat dalam keadaan tidak sedar diri. Diberikan ‘ubat perangsang nafsu’ agar dia melakukan dalam keadaan tidak sedar tanpa rela. Itu merupakan satu penganiayaan. Islam tidak menghukum orang yang melakukan perbuatan salah dalam keadaan tidak sedar bukan berpunca sepertinya. Jika berpunca darinya sendiri seperti mabuk arak lain cerita pula.

Mungkin kedua-dua pihak tidak bersalah. Anwar difitnah dan Saiful Bukhari diancam. Saiful Bukhari yang baru hidup tidak sampai suku abad diarahkan untuk melakukan perbuatan terkutuk itu bagi melindungi nyawanya, hartanya, agamanya, nasabnya dan maruahnya. Entahlah. Sekiranya ia benar, maka dia dalam golongan mereka yang dalam keadaan darurat. Tetapi, ada sifirnya di dalam Islam. Darurat mana yang lebh teruk. Sekiranya menyelamatkan dirinya lebih penting maka dia perlu melakukannya walaupun tanpa rela. Tetapi sekiranya, perbuatannya itu akan memberi kemudaratan yang amat dahsyat, kehancuran hidup seorang mantan TPM, masyarakat bergaduh dan macam-macam lagi maka perlulah Saiful Bukhari mengirbankan dirinya, hartanya, nasabnya atau apa-apa lagi kerana ada ganjaran di sisi Allah.

Jika kita katakan kedua-dua mereka tidak terlibat dalam perkara terkutuk siapa pula ‘director’nya. Pastilah ada. Itulah bapa fitnah yang mengatur dan merancang semua cerita ini. Mengarahkan Saiful Bukhari membuat laporan palsu dan menjadikan Anwar ibrahim di dalam gelombang putting beliung yang amat dahsyat. Ia mungkin boleh dilakukan oleh konco-konco Barisan Nasional, Pakatan Rakyat atau mereka yang berkecuali.

Konco-konco BN mungkin atas agenda menjatuhkan dan menghancurkan kerier politik beliau. Pakatan Rakyat mungkin atas dasar mencari simpati agar pembelaan mega ke atas Anwar akan mendapat simpati dan menjayakan motif politik mereka. Manakala mereka yang berkecuali mungkin atas menghancurkan barisan kerajaan dan memusnahkan kekuatan politik Pakatan Rakyat yang mula bersinar. Ia mahu melaga-lagakan dua pihak agar boleh membuka langkah bergerak maju setelah kedua-dua gajah ini bertarung. Entahlah? Hanya Allah sahaja yang tahu.

Semua ini hanya dapat diserahkan kepada Allah. Tidak ada sesiapa yang boleh kita bergantung dalam mencari kebenaran. Hanya Allah yang mengetahui kebenaran sama ada yang zahir mahupun tersembunyi. Bahkan Nabi sendiri tidak mengetahui perkara tersembunyi.

Anwar Ibrahim dan Saiful Bukhari nampaknya perlulah mengangkat sumpah demi nama Allah. Sekiranya dakwaan Saiful Bukhari itu benar, bersumpahlah bahawa dia benar. Jika, ia satu pendustaan maka dia akan dicelakakan oleh Allah di dunia dan akhirat. Begitu juga Anwar Ibrahim. Jika beliau tidak melakukan, maka nafilah dan bersumpahlah. Jika dia melakukan maka kecelakan di dunia dan akhirat akan diterimanya sebagai pembalasan. Itulah apa yang diajar oleh Islam.

Sebagai pemerhati maka tidak perlulah kita membenarkan atau menafikan ini semua. Jika dakwaan Saiful Bukhari benar, golongan yang menuduhnya berdusta pasti telah melakukan penganiayaan yang amat dahsyat. Sedangkan Islam melarang kita menganiaya orang lain. Itu juga yang diselitkan di dalam prinsip Islam Hadhari. Begitu juga bagi pihak Anwar ibrahim, jika dia tidak melakukan pastilah pihak yang mengiyakan dakwaan Saiful Bukhari akan menjadi golongan pemfitnah. Perbuatan fitnah lebih dahsyat daripada membunuh. Walllahu a’lam.