Friday, April 25, 2008

WARKAH BUAT TUAN HAJI ASAARI MUHAMMAD..BEKAS PEMIMPIN DARUL ARQAM

Aku nukilkan catitan yang penuh dengan kelemahan ini buat Tuan Haji Asaari Muhammad. Aku yakin Tuan Haji Asaari mungkin tidak dapat membacanya tanpa bantuan pengikut-pengikut yang setia. Pengikut-pengikut setia mu cukup hebat hari ini melayari dan membina laman-laman web di ruang maya ini.

Sebelum itu aku ingin memohon kepada Allah Taala agar memberi kesihatan, taufiq dan hidayah kepada kita semua agar dapat menerima agama Allah tanpa dicampur adukkan dengan kesesatan yang dibawa oleh syaitan.

Tuan Haji,
Aku terbaca di dalam satu laman web ada orang mengatakan Tuan Haji pernah mendakwa memiliki tongkat Nabi Musa yang pernah menyelamatkan Bani Israel daripada ditelan laut Merah. Tuan Haji meyakini tongkat tersebut akan membantu Tuan Haji. Pendakwa tersebut menimbulkan persoalan adakah mukjizat Nabi Musa masih ada lagi pada masa kini dan adakah Tuan Haji Asaari juga dikurniakan mukjizat seperti Nabi Musa?
Selain daripada itu aku juga pernah mendengar sendiri dakwaan dari pengikut mu bahawa engkau memiliki pedang Saidina Ali. Benarkah? Tidak marahkah golongan Syiah yang melampau yang menjadikan Ali sebagai idola. Adakah pegangan Tuan Haji ada persamaan.

Mungkin agak berat ya tuduhan ini. Tetapi, jika benar Tuan Haji pernah menyatakan perkara tersebut aku hanya ingin menasihatkan agar Tuan Haji bertaubat. Mukjizat Allah hanya diberikan kepada Nabi dan Rasul. Janganlah buat dakwaan begini. Jika betul ada pegang tongkat Nabi Musa dan pedang Saidina Ali silalah buktikan.

Tuan Haji,
Benarkah Tuan Haji Asaari pernah mendakwa boleh berbincang dengan Malaikat Maut untuk menangguhkan kematian para pemimpin pertubuhan yang Tuan Haji tubuhkan. Malah, mendakwa ajal kematian seseorang boleh ditukarkan kepada orang lain. Tuan Haji memilik ‘karamah’ sehingga mengetahui tarikh dan detik kematian seseorang. Mana-mana individu yang dianggap penting dalam cita-cita politik Tuan Haji boleh ditangguhkan kematiannya.

Hebat benar tuduhan ini. Saya juga pernah mendengan dari pengikut kanan Tuan Haji. Pertama kali mendengar sewaktu saya masih menuntut lagi. Dari mulut pengikut Tuan Haji yang amat setia. Abangnya menjadi cucu menantu Tuan Haji. Kali kedua melalui cd ceramah Mejar (B) Abu Zhar (maaf jika tersalah ejaan).

Saya berharap ia hanya kesilapan saya mendengar. Tetapi, jika ia benar-benar dakwaan Tuan Haji saya ingin menasihatkan takutlah kepada Allah. Janganlah kerana dakwaan Tuan Haji itu boleh menjerumuskan ramai manusia ke dalam neraka jahanam. Siksaannya amat pedih sekali. Saya amat takut.

Tuan Haji,
Benarkah Tuan Haji sering mendakwa mengadakan mesyuarat di alam ghaib. Bertemu dengan beberapa individu selain Rasulullah seperti Sheikh Suhaimi, Imam Shafie dan Imam mazhab serta ulama’ terdahulu yang lain. Hasil mesyuarat tersebut akan Tuan Haji khabarkan kepada para pemimpin jemaah Tuan Haji melalui sesi ekspedisi yang dibuat pada selepas subuh setiap hari.

Nauzubillah Tuan Haji! Tuduhan yang amat kejam dan zalim. Tetapi jika ini benar-benar saya hanya ingin menyatakan satu hadith yang masyhur.

Rasulullah s.a.w bersabda
Barangsiapa dengan sengaja berdusta terhadapku maka bersedialah mengambil tempatnya dari neraka
(H.R al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, Ahmad, ad-Darimi dan Ibn Majah)

Saya tahu Tuan Haji ramai pengikut yang mahir berbahasa Arab, jadi Tuan Haji bolehlah memerintahkan mereka untuk merujuk hadith tersebut seperti yang sering dilakukan oleh pensyarah-pensyarah saya dahulu seperti Prof. Saleh Ibrahim Qadir az-Zanki al-Iraqi, Dr. Mujtaba Bangha as-Sudani, Dr. Hosam ad-Din al-Misri dan lain-lain. Tujuan mereka tidak ada lain untuk melatih saya agar rajin merujuk kepada sumber agama yang terpenting. Bukan sekadar mendengar pendapat mereka sahaja.

Tuan Haji,
Ada orang mendakwa Tuan Haji mendakwa cinta Allah hanya boleh diperolehi dengan mencintai ‘orang Tuhan’ terlebih dahulu. Malah ia menjadi syarat utama mendapatkan cinta Allah. ‘Orang Tuhan’ adalah gelaran khusus untuk Tuan Haji dan Tuan Haji menganggap Tuan sebagai wakil Tuhan di akhir zaman ini. Ini bermakna, untuk mencintai Allah dan menjadi orang bertaqwa, seseorang itu perlulah mencintai sepenuh hati terhadap Tuan Haji. Bukti kecintaan itu ialah dengan pengorbanan harta besar-besaran.

Benarkah begitu Tuan Haji. Saya berharap Tuan Haji menfikan ini sekeras-kerasnya. Ini kerana saya diajar untuk mencintai tuhan sekelian ala mini iaiatu Allah dengan mengikut apa yang ada di dalam al-Quran dan hadith-hadith soheh. Kerana saya tidak mampu untuk terus merujuk saya cuba untuk berguru dengan beberapa tokoh yang boleh membimbing. Tetapi mereka tidak pernah memaksa saya mengikut kata-katanya. Pesanan mereka pada saya yang tidak akan saya lupakan carilah ilmu dari guru-guru yang membawa maklumat yang tepat di sisi agama. Jangan ta’asub. Ini kerana selain nabi dan rasul tidak ada manusia yang ma’sum atau mahfuz dari dosa dan kesalahan.

Tuan Haji,
Benarkah Tuan Haji ada mendakwa ‘roh’ Kaabah telah berpindah ke dalam diri Tuan Haji. ‘Roh’ Kaabah yang dimaksudkan di sini ialah ‘sifat Kaabah yang boleh mengubah seseorang menjadi baik dan bertaubat’. Dikatakan perkara ini timbul apabila seorang wartawan hiburan telah menziarahi Tuan Haji dan menyatakan bau badan Tuan Haji sama seperti bau Kaabah. Sehubungan itu, Tuan Haji mengulas bahawa ‘roh’ Kaabah sudah berpindah kepada diri Tuan Haji. Tambahan, Tuan Haji berpendapat, orang yang menunaikan haji dan umrah sudah tidak lagi rasa ingin bertaubat dan menjadi baik. Tetapi, dengan berjumpa dengan Tuan Haji, seseorang itu akan mendapat kesedaran dan membuat perubahan ke arah kebaikan.

Takut benar saya mendengar perkara ini Tuan Haji. Katakanlah ini semua fitnah sahaja. Ini kerana jika ia benar ia bukan sahaja telah merosakkan diri Tuan Haji, tetapi diri pengikut-pengikut Tuan Haji. Beritahulah semula wartawan tersebut Tuan Haji tersilap kata ketika itu. Maklumlah Tuan Haji sudah tua kan. Mungkin sudah nyanyuk. Semua orang akan maafkan Tuan Haji. Ini kerana Islam menganjurkan kita sentiasa menjadi seorang yang pemaaf.

Marilah kita bersama-sama berdoa semoga Allah yang memiliki Baitullah sentiasa mengerakkan kita untuk bertaubat dan memberi taufiq dan hidayah.

Tuan Haji,
Benarkah ada Tuan Haji mendakwa berupaya untuk memantau para pengikut Tuan Haji dengan kuasa roh. Diri Tuan Haji mempunyai ‘kuasa’ boleh mengetahui gerak-geri, perbuatan dan rasa hati para pengikutnya walaupun berada jauh dari mereka. Perkara ini menjadikan para pengikut Tuan Haji rasa dikawal sehingga mereka takut dan tidak pernah mempertikaikan sebarang arahan Tuan Haji. Ketaatan membuta tuli timbul sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan Tuan Haji.

Boleh saya katakan ini tuduhan yang cukup dahsyat ya. Mereka mendakwa Tuan Haji macam memiliki ’power’ Allah. Nabi pun tidak mampu untuk berbuat demikian. Tetapi jika benar Tuan Haji ia berlaku. Banyak-banyak lah beristighfar. Saya hanya takut yang membantu Tuan Haji mampu berbuat demikian adalah jin-jin dan syaitan yang mahu Tuan Haji tersesat dari jalan yang lurus.

Tuan Haji,
Pada setiap majlis kuliah ataupun ekspedisi, para pemimpin sering mengatakan roh Tuan Haji hadir bersama dalam sesi tersebut untuk memantau dan melihat bagaimana hati-hati para pengikut Tuan Haji. Para pengikut Tuan Haji bertambah risau dan gusar kerana mereka berpendapat Tuan Haji mengetahui semua ‘sejarah dosa’ mereka. Dengan itu, penyucian dosa perlu dibuat dengan solat taubat dan memberikan seberapa banyak harta yang boleh kepada Tuan Haji.

Katakanlah ia dusta Tuan Haji. Jikalau benar Tuan Haji ada mendakwa sebegitu aku hanya mampu menasihatkan, taubatlah kepada Allah! Kesian mereka para pengikutmu Tuan Haji. Mana boleh manusia yang berpegang pada al-Quran dan as-Sunnah yang soheh mampu berbuat demikian.
Jika, Tuan Haji yang pernah melebelkan diri Tuan Haji pemegang panji Imam Mahdi tak kan lah Tuan Haji mampu lebih hebat dari Rasulullah.

Tuan Haji,
Benarkah apa yang saya dengar ini bahawa Tuan Haji seringkali mendakwa semua arahan yang dikeluarkan Tuan Haji adalah arahan daripada pihak Rasulullah s.a.w. yang bertemu dengan Tuan Haji secara jaga. Ini menjadikan diri Tuan Haji dianggap mulia oleh para pengikut dan mereka sangat taat kerana menganggap Tuan Haji adalah wakil Rasulullah. Sehubungan itu, setiap tindakan Tuan Haji akan disandarkan dengan arahan Rasulullah yang dipanggil ‘mesej’. Setiap ‘mesej’ itu akan menjadi asas kepada ramalan-ramalan yang bakal berlaku di Malaysia terutama dalam konteks politik.

Tipu! Tipu! Tipu! Katakanlah perkataan itu wahai Tuan Haji. Tetapi jika Tuan Haji benar ada mendakwa sebegitu ingatlah bahawa Tuan Haji telah tersesat jauh. Jadi perbaharuilah kalimah syahadah Tuan Haji.

Apabila melihat tuduhan itu, saya terkenang nasihat guru saya agar jangan berdusta atas nama Rasullullah. Dr. Mujtabja Bangha as-Sudani yang mengajar saya ilmu hadith dan selalu menjadi tempat saya merujuk berkaitan ilmu hadith ketika masih belajar dahulu mengatakan bahawa Rasullullah ada bersabda bahawa neraka tempat mereka yang berdusta atas nama Rasulullah.

Tuan Haji,
Benarkah Tuan Haji mendakwa boleh menyelamatkan pengikut Tuan Haji daripada azab kubur dan ketika menjawab persoalan Malaikat Mungkar Nakir. Ini kerana peranan diri Tuan Haji sebagai mursyid yang dapat memberi syafaat di akhirat.

Selisih malaikat 44, mungkin itu yang akan dikatakan oleh ibu saya di kampung apabila mendengar perkara ini. Tuan Haji mungkin akan beristighfar panjang kan jika ia satau fitnah.

Tetapi ini tersebar luas melalui mulut orang kanan Tuan Haji. Mungkin pengikut Tuan Haji terslah kata atau terbicara di dalam mimpi.

Sekiranya apa yang didakwa ini sememangnya benar, maka Tuan Haji cuba meletakkan diri Tuan Haji sama hebat dengan Ayah Pin dan Cikgu Kahar yang mengaku jadi nabi itu. Takutnya Tuan Haji. Siapa manusia yang mampu berbicara dengan malaikat-malaikat itu Tuan Haji. Taubatlah Tuan Haji.

Tuan Haji,
Benarkah para pengikut Tuan Haji didedahkan kepada amalan ‘sunnah Tuan Haji’ yang merujuk kepada amalan ritual Tuan Haji. Sebagai contoh, ‘makan mengikut sunnah Tuan Haji’.

Bahaya perkara ini Tuan Haji. Ini kerana para pengikut Tuan Haji akan terlupa mengenai sunnah Rasullullah. Jika apa yang Tuan Haji lakukan sama seperti sunnah Rasullallah s.a.w maka semaikanlah di dalam hati para pengikut ikut sunnah nabi bukan Tuan Haji.

Tapikan Tuan Haji mengapa ya, pengikut Tuan Haji gemar mengatakan sesuatu mesti ada perkataaan ini..abuya cakap kan.. menurut abuya kan... Tidak ada makna kata-kata kita ini Tuan Haji. Jika berhujah dengan orang bijak pandai mereka perlekehkan. Cuba Tuan Haji didik anan-anak buah Tuan Haji apabila berbicara menggunakan kata-kata ulama’ masyhur seperti apa yang dilakukan oleh Zamihan al-Ghari, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Mereka bagus dalam memberi hujah Tuan Haji. Selalu mengarahkan kita untuk merujuk kitab-kitab ulama mu’tabar. Siap muka surat diberitahu.

Jika salah seorang dari mereka meniru gaya anak murid Tuan Haji pasti seorang lagi akan mudah memperlekehkan ya Tuan Haji. Tuan haji pasti kenalkan mereka berdua. Jadi didik ya, anak murid Tuan Haji berhujah seperti gaya mereka berdua.

Tuan Haji,
Rasanya banyak sudah saya nukilkan ini. Saya bukan ingin mengajar Tuan Haji Cuma ingin merungkai kekeliruan di hati. Saya berjarap Tuan Haji dapat memperjelaskan perkara ini.

Tetapi, satu sahaja yang saya inginkan janganlah pula Tuan Haji mengatakan bahawa ini semua hanya fitnah tetapi hakikatnya ia berlaku. Takut nanti ia menjadi satu taqiyyah yang su’.. Tuan Haji tahukan mungkin di dunia manusia mampu untuk berpura-pura dan berdusta tetapi tidak nanti di hadapan Allah..

Sebagai mengakhiri nukilan saya ini Tuan Haji, saya berlindung dari Allah dari kesesatan syaitan yang direjam, fitnah-fitnah dajjal yang amat bahaya dan berilah saya taufiq dan hidayah semoga saya dapat terus berlaku adil dalam membuat keputusan. Amin....

Ikhlas Dariku

Ibnu Ariff
ABU BAKAR R.A PEMIMPIN SELEPAS RASULLULLAH S.A.W

Nama sebenar Abu Bakar as-Siddiq adalah Abdullah bin Utsman bin Amir bin Amru bin Ka`ab bin Sa`ad bin Taim bin Murrah bin Ka`ab bin Lu`ai bin Ghalib bin Fihr al-Qurasy at-Taimi – radhiyallahu`anhu. Bertemu nasabnya dengan Nabi pada moyangnya yang bernama Murrah bin Ka’ab bin Lu’ai. Beliau merupakan ketua bagi orang Muslim selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.

Terdapat sebahagian pihak yang mengatakan bahawa beliau bukan individu yang seharusnya menduduki tempat itu. Contohnya apa yang difitnahkan oleh golongan Syi’ah Rafidiah yang menegakkan bahawa Ali bin Abu Talib merupakan individu yang tepat.

Para ulama berbeza pendapat mengenai bagaimana Abu Bakar as-Siddiq diangkat menjadi khalifah yang pertama selepas Rasullullah wafat. Adakah beliau dipilih berdasarkan kepada nas secara langsung oleh Rasullullah atau dilakukan berdasarkan kepada musyawwarah kaum muslimin pada ketika itu.

Menurut Hasan al-Basri dan sebahagian ulama dari kalangan ahlul hadits bahawa Abu Bakar dipilih sebagai khalifah berdasarkan kepada nas yang samar dan isyarat dari Rasullullah. (Lihat Syarh Aqidah ath-Thahawiyah, hal. 471)

ISYARAT-ISYARAT DARI RASULLULLAH S.A.W

Terdapat banyak dalil-dalil yang diisyaratkan oleh Rasullullah secara tidak langsung bahawa Abu Bakar merupakan individu yang paling layak menggantikan beliau selepas kewafatannya. Isyarat-isyarat tersebut adalah seperti berikut:

1. Abu Bakar dipilih sebagai imam solat menggantikan Rasulullah s.a.w

Hadith-hadith yang menyatakan Abu Bakar telah diperintahkan untuk memimpin solat menggantikan Rasulullah sangat masyhur. Salah satu di antaranya adalah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Musa.

Ketika Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam sakit tenat beliau berkata: “Suruhlah Abu Bakar untuk mengimami manusia”. Maka berkatalah Aisyah: “Ya Rasulullah sesungguhnya Abu Bakar adalah seorang laki-laki yang amat perasa (mudah menangis). Bagaimana dia akan menggantikan kedudukanmu, dia tidak akan mampu untuk memimpin manusia”. Rasulullah berkata lagi: “Perintahkanlah Abu Bakar untuk mengimami manusia! Sesungguhnya kalian itu seperti saudara-saudaranya Nabi Yusuf”. Abu Musa berkata: maka Abu Bakar pun mengimami shalat dalam keadaan Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam masih hidup. (HR. Bukhari Muslim)

2. Perintah untuk meneladani Abu Bakar radhiallahu ‘anhu

Rasulullah s.a.w bersabda: Teladanilah dua orang setelahku, Abu Bakar dan Umar…
(HR. Tirmidzi dan Hakim, dan dishahihkan oleh Al-Albani dalam Ash-Shahihah no. 1233)

Syaikh Albani menyatakan bahawa hadith ini diriwayatkan dari beberapa sahabat, seperti Abdullah bin Mas’ud, Hudzaifah Ibnul Yaman, Anas bin Malik dan Abdullah bin Umar. Hadith ini juga dikeluarkan oleh banyak pakar-pakar ahlul hadith seperti Tirmidzi, Hakim, Ahmad, Ibnu Hibban, ath-Thahawi, al-Humaidi, Ibnu Sa’ad, Ibnu Abi ‘Ashim, Abu Nu’aim, Ibnu Asakir dan lain-lain. (Lihat Silsilah Ahadith ash-Sahihah, juz 3 hal. 234, hadits no. 1233)

3. Abu Bakar adalah orang yang paling dicintai oleh Rasulullah

Disebutkan dalam suatu riwayat dari ‘Amr bin ‘Ash:Bahwasanya Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam telah mengutus Abu Bakar memimpin pasukan dalam perang Dzatu Tsalatsil. Aku mendatangi Rasulullah dan bertanya kepada beliau: “Siapakah orang yang paling engkau cintai?” Beliau shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Aisyah.” Aku berkata: “Dari kalangan laki-laki wahai Rasululah?” Beliau menjawab: “Ayahnya”. Aku berkata: “Kemudian siapa?” Beliau menjawab: “Umar”. Kemudian beliau menyebutkan beberapa orang.
(HR. Bukhari dalam Fadhailil A’mal, fathul Bari juz ke 7, hal. 18 dan Muslim dalam Fadhailus Shahabah juz ke-4 hal. 1856 no. 2384)

4. Abu Bakar dijadikan wakil menggantikan Rasulullah

Diriwayatkan dari Jubair bin Muth’im, dia berkata:Datang seorang wanita kepada Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam, maka Rasulullah menyuruhnya untuk datang kembali. Maka wanita itu mengatakan: “Bagaimana jika aku tidak mendapatimu?” –seakan-akan wanita itu memaksudkan jika telah meninggalnya Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam. Beliau menjawab: “Jika engkau tidak mendapatiku, maka datangilah Abu Bakar”.
(HR. Bukhari dan Muslim, )

Hadith ini merupakan isyarat yang jelas dari Rasulullah shalallahu bahawa yang akan menggantikan dirinya sepeninggalan beliau adalah Abu Bakar ash-Siddiq.

5. Rencana Rasulullah untuk menulis wasiat kepada Abu Bakar Lebih tegas lagi ketika Rasulullah sakit, beliau telah memerintahkan kepada ‘Aisyah untuk memanggil ayahnya (Abu Bakar), untuk diberikan wasiat kepadanya. Tetapi kemudian beliau mengatakan: “Allah dan kaum mukminin tidak akan redha, kecuali Abu Bakar”.

Dari ‘Aisyah radhiallahu ‘anhu?, ia berkata; berkata kepadaku Rasulullah s.a.w: “Panggillah Abu Bakar Bakar, Ayahmu dan saudaramu, sehingga aku tulis satu tulisan (wasiat). Sungguh aku khawatir akan ada seseorang yang menginginkan (kepemimpinan –pent.), kemudian berkata: “Aku lebih utama”. Kemudian beliau bersabda: “Allah dan orang-orang beriman tidak meredhai kecuali Abu Bakar”.
(HR. Muslim 7/110 dan Ahmad (6/144); Lihat Ash-Sha-hihah, juz 2, hal. 304, hadits 690)

Dalam riwayat ini jelas, Rasulullah s.a.w menghendaki dengan isyaratnya beliau bahawasanya Abu Bakar lah yang lebih layak menjadi khalifah sepeninggalnya. Tetapi beliau tidak jadi menulis wasiatnya, karena beliau yakin kaum mukminin tidak akan berselisih terhadap penunjukkan Abu Bakar sebagai khalifah. Dan hal ini terbukti, setelah Rasulullah s.a.w wafat. Kaum muslimin sepakat untuk memilih Abu Bakar sebagai khalifah.

6. Abu Bakar adalah orang terdekat dan kekasih Rasulullah s.a.w

Dari Abu Sa’id r.a bahwasanya Rasulullah s.a.w sedang duduk di atas mimbar, beliau bersabda: “Allah memberikan pilihan kepada seorang hamba antara diberi keindahan dunia atau apa yang ada di sisi-Nya. Maka hamba tersebut memilih apa yang ada di sisi-Nya. Maka Abu Bakar pun menangis seraya berkata: bapa-bapa dan ibu-ibu kami sebagai tebusan wahai Rasulullah s.a.w. Abu Sa’id berkata: Rasulullah s.a.w itulah hamba yang diberi pilihan tersebut dan ternyata Abu Bakar adalah orang yang paling tahu di antara kami. Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya manusia yang paling berjasa kepadaku dengan harta dan jiwanya adalah Abu Bakar. Kalau aku mengambil seorang kekasih, niscaya aku akan mengambil Abu Bakar sebagai khalil (kekasih), tetapi persaudaraan Islam lebih baik. Tidak tersisa masjid satu pintu pun, kecuali pintunya Abu Bakar.
(HR. Bukhari dengan Fathul Bary, juz 7, hal. 359, hadith 3654; Muslim dengan Syarh Nawawi, juz 15 hal. 146, hadith 6120)

Al-Khullah adalah kecintaan yang paling tinggi. Ulama menyatakan bahawa darjat khullah lebih tinggi dari tingkatan mahabbah. Oleh karena itu seorang yang disebut sebagai khalil, lebih tinggi kedudukannya daripada habib. Di antara dalil yang menunjukkan hal tersebut adalah bahwa Allah hanya mengambil dua orang manusia sebagai khalil, yaitu nabi Ibrahim dan Muhammad s.a.w. Sedangkan masalah mahabbah Allah sering menyebutkan dalam al-Qur’an, Allah mencintai orang-orang yang beriman, sabar, berjihad di jalan-Nya dan lain-lain.Oleh karena itu Rasulullah s.a.w menyatakan kalau saja beliau menjadikan khalil, maka niscaya Abu Bakarlah orangnya. Hal ini menunjukkan bahawa Abu Bakar adalah orang yang terdekat dan paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w. Hanya sahaja beliau tidak mengambil khalil dari kalangan manusia.

KESIMPULAN

Melaui isyarat-isyarat yang telah diberikan cukuplah untuk dijadikan hujjah yang tegas bahawa Abu Bakar merupakan orang yang paling layak menjadi khalifah menggantikan Rasullullah s.a.w. ini juga membuktikan bahawa beliau adalah seorang khalifah yang sah. Tidak ada golongan yang mengingkari dan tidak meridhai melainkan mereka yang mempunyai penyakit yang parah di hati-hati mereka. Wallahu a’lam

Thursday, April 24, 2008

JANGAN MENGHENTAM ULAMA!!!

ULAMA PEWARIS NABI
Antara cara-cara musuh Islam ingin menjatuhkan Islam dengan menghina dan menghentam para ulama. Ini terbukti luas melalui pengalaman saya berbicara dengan golongan tersebut dan bahan-bahan bacaan yang tersebar luas di internet mahupun buku-buku yang banyak di kedai-kedai. Ulama di perlekehkan, dihina dan sebagainya.

Nabi junjungan besar Muhammad s.a.w pernah bersabda

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bahagian yang banyak.”
(Tirmidzi, Ahmad, Ad-Darimi, Abu Dawud. Dishahihkan oleh Al-Albani)

dan sabdanya lagi

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari hamba-hamba. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama sehingga jika Allah tidak menyisakan seorang alim pun, maka orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan.”
(HR. Al-Bukhari no. 100 dan Muslim no. 2673)

Berdasarkan dua hadith tersebut kita dapat melihat begitu tinggi martabat ulama’. Mereka merupakan golongan yang memberi kesinambungan kepada apa yang nabi sampaikan.
SIAPA ITU ULAMA'?
Terdapat beberapa pendapat ulama di dalam mendefinasikan maksud ulama. Seperti apa yang dinyatakan oleh Ibnu Juraij rahimahullah yang menukilkan (pendapat) dari ‘Atha, beliau berkata: “Barangsiapa yang mengenal Allah, maka dia adalah orang alim.” (Jami’ Bayan Ilmu wa Fadhlih, hal. 2/49)
Manakala Asy-Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah dalam kitab beliau Kitabul ‘Ilmi mengatakan: “Ulama adalah orang yang ilmunya menyampaikan mereka kepada sifat takut kepada Allah.” (Kitabul ‘Ilmi hal. 147)

Badruddin Al-Kinani rahimahullah pula mengatakan: “Mereka (para ulama) adalah orang-orang yang menjelaskan segala apa yang dihalalkan dan diharamkan, dan mengajak kepada kebaikan serta menafikan segala bentuk kemudharatan.” (Tadzkiratus Sami’ hal. 31)

Imam Ahmad berkata, "Segala puji bagi Allah SWT yang telah menciptakan segolongan ulama yang hidup pada setiap masa antara rasul-rasul-Nya, mereka meyeru orang-orang sesat untuk kembali kepada Allah, bersabar dalam menerima cobaan, menghidupkan orang-orang mati dengan kitab Allah, menjadikan orang-orang buta dapat melihat dengan cahaya Allah. Berapa banyak orang yang gugur karena melawan iblis telah dihidupkannya, dan berapa banyak pula orang-orang sesat yang telah mereka berikan petunjuk. Alangkah baiknya jejak mereka bagi manusia dan alangkah buruknya jejak orang-orang sesat. Mereka menghapuskan penyelewengan atas kitab Allah yang dilakukan oleh orang-orang yang lalai dan orang-orang yang sesat serta penafsiran orang-orang bodoh, yang merupakan para pembuat bid'ah. Mereka juga membersihkan para pembuat fitnah, orang-orang yang menyeleweng dari dan bertentangan dengan kitab Allah bersepakat meninggalkan kitab-Nya tanpa berdasarkan ilmu, membicarakan masalah-masalah mutasyabih (yang samar-samar) dari firman Allah dan membodohi orang-orang awam dengan penafsiran mereka tentang mutasyabih. Kami berlindung kepada Allah dari fitnah orang-orang yang sesat." (Ar-Radd 'ala al-Jahmiyyah wal Zanadiqah, 85, tahqiq Dr. Abdurrahman Umairah).

CIRI-CIRI ULAMA'

Ada beberapa ciri-ciri ulama yang boleh saya nyatakan di sini. Antaranya;
1. Mereka yang berpendapat bahwa kebenaran dan hidayah ada dalam mengikuti apa-apa yang diturunkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:“Dan orang-orang yang diberikan ilmu memandang bahwa apa yang telah diturunkan kepadamu (Muhammad) dari Rabbmu adalah kebenaran dan akan membimbing kepada jalan Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Terpuji.” (Saba: 6)
2. Mereka yang paling memahami segala bentuk permisalan yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam Al Qur’an, bahkan apa yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:“Demikianlah permisalan-permisalan yang dibuat oleh Allah bagi manusia dan tidak ada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.” (Al-’Ankabut: 43)
3. Mereka yang memiliki keahlian melakukan istinbath(mengambil hukum) dan memahaminya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:“Apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan atau ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Kalau mereka menyerahkan kepada rasul dan ulil amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang mampu mengambil hukum (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (rasul dan ulil amri). Kalau tidak dengan karunia dan rahmat dari Allah kepada kalian, tentulah kalian mengikuti syaithan kecuali sedikit saja.” (An-Nisa: 83)
4. Mereka yang tunduk dan khusyu’ dalam merealisasikan perintah-perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:“Katakanlah: ‘Berimanlah kamu kepadanya atau tidak usah beriman (sama saja bagi Allah).
Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud, dan mereka berkata: “Maha Suci Tuhan kami; sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi”. Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu’.” (Al-Isra: 107-109)

5. Manakala Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah mengatakan: “Mereka adalah orang-orang yang tidak menginginkan kedudukan, dan membenci segala bentuk pujian serta tidak menyombongkan diri atas seorang pun.” Al-Hasan mengatakan: “Orang faqih adalah orang yang zuhud terhadap dunia dan cinta kepada akhirat, bashirah (berilmu) tentang agamanya dan senantiasa dalam beribadah kepada Rabbnya.” Dalam riwayat lain: “Orang yang tidak hasad kepada seorang pun yang berada di atasnya dan tidak menghinakan orang yang ada di bawahnya dan tidak mengambil upah sedikitpun dalam menyampaikan ilmu Allah.” (Al-Khithabul Minbariyyah, 1/177)
6. Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah mengatakan: “Mereka adalah orang yang tidak mengaku berilmu, tidak bangga dengan ilmunya atas seorang pun, dan tidak begitu mudah menghukumi orang yang jahil sebagai orang yang menyalahi As-Sunnah.”
7. Ibnu Rajab rahimahullah mengatakan: “Mereka adalah orang yang berburuk sangka kepada diri mereka sendiri dan berbaik sangka kepada ulama salaf. Dan mereka mengakui ulama-ulama pendahulu mereka serta mengakui bahwa mereka tidak akan sampai mencapai darjat mereka atau mendekatinya.”
KESIMPULAN

Inilah beberapa sifat ulama hakiki yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam Al-Qur’an dan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam di dalam Sunnahnya. Golongan tersebutlah yang dikatakan sebagai ulama pewaris nabi. Mereka ini patut diikuti dan di bela. Jika musuh-musuh Islam berjaya menghilangkan peranan mereka di dalam Islam maka akan hancur leburlah agama Islam yang suci ini.