Monday, April 5, 2010

Bekas imam dipenjara enam tahun miliki ganja

KOTA BHARU: Seorang bekas imam hari ini dihukum penjara enam tahun Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki kanabis tahun lalu.




Che Shamsuddin Che Long, 61, yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan itu kelihatan tenang apabila dijatuhkan hukuman oleh Hakim Dazuki Ali. Tertuduh yang berasal dari Kampung Beris Tengah, Tanjong Pauh, Bachok didakwa memiliki tujuh batang balutan kertas putih berisi bahan tumbuhan kering dadah jenis kanabis seberat 57.7 gram pada 15 April tahun lalu, pada jam 8.30 malam di sebuah rumah tidak bernombor di kampung itu. Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dua batang kertas putih berisi tumbuhan kering dadah jenis kanabis seberat 12.65 gram pada tarikh dan tempat sama, pada jam 7.50 malam.



Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.



Dazuki menjatuhkan hukuman penjara enam tahun atas kesalahan pertama dan penjara dua tahun bagi kesalahan kedua, dengan hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan.



Sebelum menjatuhkan hukuman, Dazuki menasihatkan Che Shamsuddin supaya insaf dengan kesalahan yang dilakukan selain sedar tertuduh adalah seorang yang dihormati berdasarkan statusnya itu dan telah empat kali menunaikan haji.

"Saya pertimbang umur pak cik dalam menjatuhkan hukuman dan insaflah ini bukan permainan orang seusia pak cik tetapi mainan budak-budak," katanya.



Tertuduh yang mempunyai tujuh anak berusia antara 22 dan 39 tahun itu turut ditanya kenapa terjerumus dalam kes dadah itu namun tertuduh hanya menjawab "tidak tahu" dan menjelaskan beliau ke Makkah dalam tempoh 1989 sehingga 2004 menggunakan wangnya sendiri.



Dazuki turut memberikan perumpamaan kepada tertuduh iaitu: "Pakai kopiah pun boleh gelecoh (niat yang melencong) seperti nak pergi masjid tetapi singgah minum kopi atau teh yang airnya panas, kemudiannya lewatlah hendak ke masjid".



Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Rehan Mohd Aris manakala tertuduh diwakili peguam Azahir Nasir. - Bernama Komen Anda


Ulasan SL;

Apa sudah jadi... Tapi saya tidak agak terkejut. berdasarkan perbualan saya dengan beberapa orang yang pernah saya temui yang terlalu mengagungkan dunia sufism (bukan semua sufi ye..) berkhayal dengan beberapa jenis dadah adalah perkara biasa. Ia dikatakan sebagai alat untuk meningkatkan 'rasa' kepada Pencipta. fikir-fikirkanlah....


Wallahu A'lam

Sunday, April 4, 2010

Jawatankuasa Pemikir Penggerak Dakwah Peringkat W.P Labuan

1 April 2010 saya telah dijemput menghadiri satu perjumpaan Jawatankuasa Pemikir Penggerak Dakwah Peringkat W.P Labuan. Baru sahaja memulakan tugas pada hari tersebut, setelah bercuti agak panjang di Johor Bahru membuatkan saya agak kurang bersedia untuk bersama-sama mencetuskan pandangan bernas dan bijaksana. Saya agak berdiam diri pada permulaan perbincangan dan hanya agak lantang bersuara pada kemuncak perbincangan. Mungkin sebahagian kawan-kawan yang duduk bersama di dalam Jawatankuasa tersebut merasakan bahawa enjin saya sudah mula panas. jejeje...

Bukan begitu... Sebenarnya apabila dijemput untuk bersama-sama duduk di dalam mesyuarat tersebut saya merasakan amat bertuah dan memikirkan ia satu tanggungjawab yang amat berat. Ini kerana bergerak untuk berdakwah lebih mudah daripada menjadi pemikir untuk orang bergerak. Jika pemikir mati... maka hancurlah orang yang nak bergerak...

Oleh itu... saya hanya memohon agar Allah membantu agar Jawatankuasa tersebut akan terus releven dan ia bukan berdiri atas nama sahaja... Amin..

Friday, February 26, 2010

MEMANTAP UKHUWAH MEMPERKASA UMMAH

Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah itulah tema bagi sambutan Maulidur Rasul s.a.w bagi tahun ini. Tema yang cukup ringkas tetapi membawa makna yang cukup mendalam dan tepat bagi keadaan semasa pada hari ini. Bukan ia merupakan mesej baru Islam untuk dipromosikan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul tetapi saya menganggap ia merupakan satu penekanan bagi memperingatkan umat Malaysia keseluruhannya berkenaan mesej Islam yanng dibawa oleh nabi junjungan besar Muhammad s.a.w.

Dalam mengejar kemajuan dan sasaran negara maju menjelang 2020 ummah yang perkasa merupakan elemen penting. Dan ummah yang perkasa itu akan wujud sekiranya ukhuwwah yang mantap wujud. Lihatlah contoh teladan yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w dalam langkah awal membina daulah Islamiyyah di Madinah Munawwarah.

Langkah yang mula-mula dicatur adalah dengan memperkasakan ummah. Umat Islam dan bukan Islam pada ketika itu diikit dengan perjanjian bagi mengorak langkah untuk memperkasakannya. Bersendikan petunjuk Allah nabi berjaya melaksanakannya. Ummah pada ketika itu cukup perkasa.

Bagi memperkasakan itu, Nabi telah memantapkan ukhuwwah mereka. Kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan. Hubungan persaudaraan mereka lebih daripada ikatan saudara kerana darah dan keturunan. Manakala hubungan dengan mereka yang bukan Islam toleransi dan saling menghormati diutamakan. Tidak ada perbezaan warna kulit, keturunan dan bangsa. Cukup gah. Penghinaan tidak wujud dalam masyarakat. Begitu juga sifat berpuak-puak tidak menular.

Hinggalah daulah agung berjaya dibina yang menjadi tonggak sehingga Islam mampu disebarkan hampir meliputi keseluruhan muka bumi. Semua itu berlaku tidak lain dan tidak bukan kerana Nabi s.a.w mencatur menggunakan petunjuk wahyu Allah Taala.

Begitulah serba ringkas rumusan sejarah yang dapat digambarkan berkaitan Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah sehingga daulah Islamiah dapat dibanggakan.

Bak kata bijak pandai, sejarah mengajar kita. Sejarah juga panduan kita. Adakah kita masih lagi hendak berkira-kira lagi formular magic bagi menuju negara maju? Jika kita masih lagi ingin mencari formula tidak ada siapa yang menghalang. Tetapi apa yang saya ingin katakan, tak perlu lah nak buang masa. Hayatilah tema Maulud tahun ini dan mari kita berusaha memantapkan ukhuwah dikalangan kita agar ummah yang perkasa dapat direalisasikan.

Rapatkan tali persaudaraan dan berganding bahulah. Jangan bermusuh-musuhan. Ingat! Tidak salah jika kita berbeza pendapat tetapi janganlah sampai caci mencaci dan kutuk mengutuk. Jika itu masih mahu dikekalkan jangan haraplah nak mencapai matlamat ummah yang perkasa. Jika umat tak perkasa mampukah kita menjadi negara maju. Fikir-fikirlah sendiri.

Akhir sekali, renung-renungkan lah tema Maulidur Rasul pada tahun ini dan marilah kita sama-sama kembali kepada petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah.