Friday, September 19, 2008

Salam Ramadhan dan salam sejahtera. Bersyukur kita kepada Maha Pencipta dengan izinNya kita masih lagi dapat menghirup udara Ramadhan ini yang penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan keampunan. Ini merupakan hari-hari terakhir saya bekerja sebelum bercuti panjang bagi menyambut Ramadhan bersama keluarga dan teman-teman di kampung halaman dan akan diteruskan dengan meraikan sambutan hari raya Aidil Fitri.

Dalam bulan Ramadhan ini terlalu banyak majlis-majlis ceramah dan tazkirah. Merata-rata tempat menganjurkannya. Saya sendiri tidak terkecuali diundang bagi berkongsi ilmu bersama-sama sebahagian penduduk Labuan. Itu sahajalah sumbangan kecil yang mampu saya lakukan.

Menyebut mengenai ceramah dan tazkirah ini, teringin berkongsi dengan pengunjung semua mengenai apa yang di sampaikan oleh seorang ketua jabatan saya di dalam tazkirah pagi tadi. Beliau bercerita mengenai bersedekah di dalam bulan Ramadhan.

Dalam menceritakan mengenai kelebihan sedekah ini, beliau menyampaikan satu cerita. Katanya, kawan beliau pernah bermimpi di datangi oleh roh neneknya yang telah meninggal dunia. Roh itu mengucapkan terima kasih kepada kawannya itu kerana selalu bersedekah pahala kepada neneknya yang telah mati. Roh itu turut menyatakan ia tenang di sana dengan pahala sedekah jariahnya semasa ia hidup.

Agak janggal sungguh cerita yang saya dengar itu. Adakah perlu beliau menceritakan kisah sebegitu untuk menceritakan kelebihan bersedekah. Adakah tidak ada ayat al-Quran dan hadith s.a.w dan cerita-cerita para sahabat berkaitan dengan sedekah.

Agak malu saya mendengar tazkirah beliau. Apa yang saya tahu beliau merupakan kakitangan bahagian dakwah JAKIM sebelum ini. Berkelulusan agama itu sudah pasti. Sekarang ini menjadi ketua pula.

Bukan saya ingin mempertikaikan individu ini. Terutama ini bulan Ramadhan. Jadi saya hanya berharap agar beliau sedar akan cara beliau itu. Tidak perlulah cerita sang kancil dan buaya apabila nak sampaikan tazkirah agama. Kalau nak buat salingan orang mengantuk sahaja, sekit-sikit bolehlah.

Harap semua individu yang sering menyampaikan tazkirah atau ceramah beringatlah. Banyak dalil-dalil al-Quran mahupun hadith s.a.w yang soheh menyatakan mengenai ganjaran dan penaik semangat untuk bersedekah. Tidak perlu cerita seumpama Awang Kenit, Cinderella dan lain-lain hanya bagi menarik minat pendengar yang boleh merosakkan kesucian maklumat dalam agama Islam.

Monday, September 15, 2008

Kebelakangan ini terdapat banyak ahli politik yang menggunakan solat sebagai qiyas dalam menyatakan mengenai perjuangan. Ini merupakan satu fenomena yang amat baik. Ini kerana solat merupakan tiang agama. Tidak bermakna bagi seorang yang bergelar muslim jika tiada dalam diari hidup mereka perbuatan solat. Rasulullah s.a.w sendiri menyatakan bahawa solat merupakan amalan pertama yang dihisab pada hari kiamat.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya amalan pertama seorang hamba yang dihisab pada hari kiamat adalah solat.”
(Riwayat Abu Daud & at-Tarmizi)

Sewaktu kekecohan Tan Sri Sanusi Junid, mantan Presiden UIAM ingin diberhentikan tugasnya, beliau menyatakan perjuangan beliau di dalam menjadi Presiden UIA ibirat seorang yang sedang bersolat. Jadi, orang yang cuba memberhentikan perjalanan beliau sebagai presiden UIAM ibarat orang yang cuba memberhentikan beliau daripada solat. Sungguh hebat argument yang diberikan.

Kini, muncul satu lagi. Berkaitan dengan statement Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyarankan agar peralihan kuasa PM perlu dikaji semula dan disegerakan. Beliau dikritik oleh banyak pihak yang tidak bersetuju dengan pendapatnya. Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad yang telah menyarankan beliau meletakkan jawatan telah menyatakan bahawa apa yang berlaku ibarat dalam solat. Jika makmum merasakan imam tidak betul maka dia perlu mufarakah. Pak Lah diibaratkan sebagai Imam Solat. Manakala Muhyiddin adalah makmumnya. Jika Muhyiddin merasakan plan peralihan kuasa yang dinyatakan Pak Lah tidak betul dia perlu keluar daripada jemaah Pak Lah. Amat hebat juga argument yang diberikan.

Jika benarlah pemimpin parti politik di Malaysia mampu menjadikan sifat dan cirri-ciri di dalam solat sebagai contoh tauladan di dalam perjuangan politik mereka pasti ini akan memberikan kejayaan sebenar. Tetapi adakah mereka hanya mengambil contoh solat di dalam beberapa sudut saha yang berkenan di hati mereka tetapi tidak bagi keseluruhannya?

Di dalam solat, jika seorang Imam mengangkat takbir maka makmum perlu mengangkat takbir. Jika Imam rukuk, maka makmum akan mengikut rukuk. Jika imam menyebut ‘sami’ Allahu liman hamidah’ maka makmum akan menjawab ‘rabbana wa lakal hamd’. Jika imam sujud maka makmum akan mengikut sujud.

Begitu juga, di dalam mendirikan solat, tidak boleh di dalam keadaan berhadas. Tidak ada hasad dengki. Tidak ada penyelewengan. Tidak boleh melakukan solat mengikut cara kita sendiri. Wajib mengikut cara nabi bersolat. Seperti apa yang nabi katakan ‘solatlah seperti apa yang kamu lihat aku solat’.

Jadi, jika sebenarnya ibadah solat dijadikan contoh di dalam kepimpinan dan kehidupan pastilah tidak berlaku apa yang telah terjadi pada hari ini. Ini kerana tidak ada orang yang membenci orang yang solat mengikut cara dan kaedah yang betul. Kecuali orang yang tidak beriman.
Sebagai peringatan, janganlah kita hanya menggunakan perumpamaan pada apa yang berkenan di hati kita. Ambilah contoh yang baik dari islam itu kesemuanya. Buka sebahagian sahaja. Seperti perintah Allah agar mengambil Islam sepenuhnya. Bukan hujung sahaja. Tidak juga pangkal sahaja.

Begitu juga janganlah kita tidak melaksanakan apa yang kita katakan kerana Allah amat benci orang yang pandai berkata tetapi tidak melaksanakannya. Seperti Firman Allah di dalam surah as-Sof ayat ke dua.
“Wahai orang-orang beriman, kenapa kamu berkata apa yang kamu tidak melakukan, kemurkaan yang besar di sisi Allah bagi orang

Tuesday, September 2, 2008

Ramadhan al-Karim. Bersyukur saya kehadrat Allah taala dengan rahmatnya saya masih lagi berada dalam keadaan sihat walafiat. Dapat menyambut Ramadhan yang penuh keberkatan, maghfirah dan barakah sekali lagi. Bukan meyambutnya di bumi Johor (tempat lahir saya) ataupun Putrajaya (tempat kerja sebelum ini). Tetapi di bumi Labuan. Tempat di mana saya tidak pernah terfikir akan bektugas. Itulah ketentuan Allah.

Dalam bulan yang mulia ini, saya masih lagi sibuk dengan rutin kerja harian. Kerja mesti diteruskan. Takut nanti kawan-kawan yang beragama lain akan mengatakan puasa punca kepada produktiviti umat Islam merosot, malas dan macam-macam lagi. Busuk lagi nama Islam.

Begitulah nama Islam, sentiasa sahaja dicari jalan oleh musuh-musuhnya untuk diburuk-burukkan. Apa yang ada kaitan dengan Islam mesti dicari kelemahan. Parti Islam seMalaysia, Islam Hadhari dan Islam madani. Semua dikatakan buruk dan jelik. Amat pelik tapi benar.

Baru-baru ini, selepas menunaikan solat Zuhur di Masjid jamek An Nur, Labuan, saya mengambil kesempatan menonton rancangan yang amat popular memaparkan mengenai dunia hiburan. Melodi. Dihoskan oleh seorang Melayu Islam, Wahid, Senario. Apa yang amat menyedihkan saya adalah salah satu papran hebat yang diberikan. Mengenai konsert Avril Lavign.

Sememangnya diketahui umum, konsert itu telah dibantah oleh sebahagian kecil umat Islam. Tetapi mereka gagal untuk menjayakan agar konsert itu tidak diadakan. Golongan pemimpin yang membuat keputusan lebih bijak memberi keputusan untuk membenarkan konsert itu. Kita hanya berserah.

Tetapi amat malang sekali, Melodi memaparkan dan menanyakan kepada penonton yang datang ke konsert itu apakah komen mereka mengenai bantahan sebahagian kecil umat Islam itu. Umat Melayu yang ditanya tanpa segan silu mengatakan mereka agak kecewa juga dan amat gembira konsert itu dapat diteruskan. Sungguh jelik imej Melayu yand dipaparkan.

Tahniah kepada TV3 dan khususnya Melodi kerana anda telah Berjaya merobek maruah umat Melayu Malaysia. Semoga Allah Taala sahaja yang mampu membalasnya.

“Mereka berkehendak untuk memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, Allah yang menyempurnakan cahayaNya, walaupun dibenci oleh orang-orang kafir”