Thursday, June 5, 2008

HARGA MINYAK NAIK: TERIMLA KASIH KERANA 'HADIAH' BERI SOKONG

‘Engkau sudah isi minyak? Harga minyak naik selepas tengah malam ini’. Begitulah bunyi mesej-mesej ringkas yang saya terima melalui telefon bimbit menjelang maghrib semalam. Menjelang pukul lapan malam, saya mula menerima beberapa panggilan dari kawan-kawan yang mengatakan isu kenaikan harga minyak. Harga minyak sudah naik mendadak. Itulah keluhan demi keluhan yang diluahkan.

Pagi ini, setibanya saya di pejabat, selepas menghidupkan suis ‘computer’ riba, beberapa mesej dari teman-teman di ‘Yahoo! Massenger’ memaki hamun pemimpin Negara sebagai protes kenaikan harga minyak. Harga minyak naik mendadak di Negara pengeluar minyak yang bermutu!

Teringat saya kata arwah bapa saya sewaktu saya masih di sekolah rendah yang menyatakan kebanggaannya hidup di Malaysia sebagai Negara orang Islam yang memiliki hasil bumi minyak. Sungguh bertuah. Pasti berkat hasil bumi kurniaan Allah ini akan melimpah rahmatnya kepada semua rakyat Malaysia atau sesiapa yang mengunjungi Malaysia.

Sewaktu menikmati minum pagi tadi, teringat saya ceramah politik sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu. Ceramah Anwar Ibrahim. Ramai orang kata cakap dia tak boleh pakai. Entahlah. Hanya Allah yang lebih tahu. Beliau mengatakan harga minyak di Negara kita tidak boleh dibandingkan dengan harga minyak di Singapura dan Indonesia. Bodohlah sesiapa yang membuat perbandingan itu. Ini kerana seolah-olah membandingkan harga durian Malaysia dan Jepun. Klip video ceramah itu yang saya tonton di You Tube beberapa bulan lepas sememangnya membuatkan saya terfikir lagi.

Apakah tindakan kerajaan menarik subsidi minyak ini tindakan bijak? Harga minyak kita tidak ada subsidi tetapi kita dapat diskaun 30%. Wow! Diskaun hebat. Tetapi Jusco yang merupakan pasar raya milik Jepun mampu beri diskaun sehingga 70%. Jadi, jika Jusco buat diskaun 30% jangan beli dahulu. Tunggu sahaja sehingga diskaun 70%. Tetapi, ini berbeza dengan minyak yang ada diskaun 30%. Jika hendak tunggu diskaun 70% terpaksalah kena naik basikal ataupun jalan kaki.

Bagi mereka yang tinggal di tempat yang menyediakan perkhidmatan kenderaan awam seperti bas dan LRT bolehlah membuat pilihan. Tetapi bagaimana dengan saya dan orang-orang lain yang senasib. Duduk di Lestari Putra, Seksyen Lima di Seri Kembangan. Mana ada pengangkutan awam. Kalau nak membuat pilihan terpaksalah naik basikal macam di Jepun dan Kota London. Tidak munasabah pula. Jalan raya kita sungguh tidak mesra untuk berbasikal ke tempat kerja. Jalan naik bukit turun bukit. Bersesak. Siap banyak lobang-lobang lagi. Takut-takut esok naik basikal, lusa sudah dapat ‘title’ al-marhum.

Adakah ini tindakan bijak kerajaan? Harga minyak naik berikutan harga minyak dunia naik. Gila ke tak naikkan harga minyak. Kerajaan bagi subsidi minyak kita salah guna. Jual minyak pada penduduk selatan Thailand dan warga Singapura. Kita kaji semula dan kita teruskan naik harga minyak. Hari ini kita bagi diskaun 30% esok lusa bila ‘sale’ sudah tiada biar harga biasa. Siapa yang terima padah? Datuk K, suami Siti Nurhaliza, Tan Sri Robert Kwok ataupun ‘Yang Mulia’ Khairy Jamaluddin?

Ini semua terjawab dari tinjauan saya malam tadi sewaktu menemani teman baik saya, saudar Rozaini, mengisi minya di Caltex, Equiene Park, Sri Kembangan. Pam minyak yang jarang menerima kunjungan seolah-olah berlaku pesta. Bukan ‘tokey’ stesen minyak itu membuat makan-makan kerana berzakat untung jualan minyak, tetapi pelanggan berlumba-lumba mengisi minyak di tahap maksimum. Kalau boleh isi minyak penuh RM 60 isilah RM 60. Kalau maksimum RM 30 isilah semaksimum mungkin. Nanti harga minyak dah naik lagilah padah.

Kereta yang saya lihat rata-rata kereta golongan sederhana. Tidak ada kereta mewah yang kelihatan. Mercedes mahupun BMW tidak kelihatan. Begitu juga Alphard dan Camry model baru. Kereta Wira, Kancil, Myvi dan seangkatan berlambaklah. Dalam bersembang sementara menunggu giliran mengisi minyak dengan saudara Rozaini sebuah kereta Wira berwarna merah kelihatan ditolak oleh seorang lelaki. Nak jimat minyak ke? Saya minta izin saudara saya untuk pergi membantu. Kereta itu sudah kehabisan minyak.

Bersembang dengan tuan punya kereta sambil menolak keretanya sedikit demi sedikit. Tuan punya Wira merah itu dengan nada yang boleh didengari penuh kekecewaan dan kesedihan merungut mengenai kenaikan harga minyak mendadak ini. Duit gaji berkerja di UPM sudah hampir habis kerana terpaksa memenuhi jemputan walimah di kampung dan di beberapa tempat. Cuti sekolah memang banyak kerja kahwin. Kini terpaksa korek tabung untuk isi minyak ‘full tank’. Kalau isi lambat takut kehabisan minyak ataupun kena beli dengan harga yang mahal. Entahlah!

Orang tua-tua selalu berkata sabar itu separuh daripada iman. Islam pun ajr begitu. Jadi, adakah kita mesti bersabar? Ya! Sabarlah. Golongan berpendapatan mewah tersenyumlah terus. Golongan berpendapatan sederhana marilah kita lipatkan usaha sampai nak ‘mampos’ agar dapat duit lebih bagi menyambung hidup di era kenaikan harga minyak dan barang ini. Hari iniharga minyak naik. Esok lusa macam-macam pula yang naik.

Ingat! Harga minyak kita masih lagi murah jika dibandingkan dengan harga minyak di Singapura dan Indonesia. Mengapa nak buat ‘demo’ macam di Indonesia. Sabarlah… Sabarlah… Sabarlah…semoga mata kita yang semakin mengantuk ini dengan dendangan suara para pendodoi membuat kita terlena. Nanti bila kita terjaga, legalah kekecewaan daripada kenaikan harga minyak ini.

Wednesday, June 4, 2008

MENCARI JALAN PULANG: KASSIM AHMAD MASIH TAK PULANG-PULANG

Buku terkini tulisan Kassim Ahmad baru sahaja saya selesai membaca pagi ini. Penulis yang penuh kontroversi dengan penghasilan buku-buku (contoh; Hadith-Satu Penilaian Semula) dan puisi-puisi (contoh; Sidang Roh) jelek ini tampil dengan buku barunya “Mencari Jalan Pulang-Daripada Sosialisme kepada Islam”.

Buku yang menceritakan mengenai kehidunnya dari kecil sehingga kini memang boleh dipuji. Ia mampu untuk menambah buku-buku di rak rumah saya, perpustakan-perpustakaan dan di mana-mana sahaja bagi dijadikan rujukan bahawa Kassim Ahmad sememannya masih lagi tidak menemui jalan pulang.

Keberanian saya untuk mengatakan bahawa Kassim Ahmad masih lagi tidak menemui jalan pulang bukan kerana saya mendapat pengajaran daripada buku tulisannya yang menceritakan sifatnya yang berani menyelongkar kebenaran ataupun sifat Hang Jebat di dalam Hikayat Hang Tuah tetapi itulah yang disemaikan oleh ibu bapa, guru-guru dan persekitaran saya. ‘Katakanlah yang benar walaupun ianya pahit’.

Sememangnya amat pahit untuk saya menyatakan kepada seorang yang mempunyai nama seperti Kassim Ahmad bahawa dia di dalam keadaan tersasar. Menafikan kata-katanya bahawa dia telah menemui Islam setelah belajar selama 36 tahun (lihat Mencari Jalan Pulang-Daripada Sosialisme kepada Islam, m.s 186 ) amat perit sekali. Tetapi itulah hakikatnya.

Kata-kata ini bukan kesan dari terpengaruh dari lontaran lantang pak ustaz-pak ustaz di Negara kita mahupun para pengkritik Kassim Ahmad yang lain tetapi ia cetusan dari apa yang saya baca sendiri mengenai pemikirannya sama ada melalui buku-bukunya ataupun di laman blognya (sila lihat http://kassimahmad.blogspot.com).

Secara jujur dan ikhlas saya cukup bersetuju dengan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa para ulama dahulu dan sekarang boleh dikritik atau disalahkan. Tidak salah mengkritik sesiapa atau menidakkan kata-kata mereka. Apa salahnya ingin mengkritik atau menyalahkan Imam Bukhari, Imam Nawawi, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Tidak ada satu larangan pun di dalam al-Quran mahupun hadith nabi s.a.w. Begitu juga hasil kerja mereka. Siapa kata berdosa jika kita menaqad Sahihul Bukhari, Sahihul Muslim mahupun Kitab al-Um. Silalah! Jika ada ulama yang mengatakan haram, maka saya tidak teragak-agak mengatakan haram mendengar kata-katanya.

Tetapi, bolehkah kita mengkritik mereka ataupun hasil kerja mereka tanpa kita memberi penjelasan dan bukti. Jika ia dilakukan, itu merupakan satu penganiyaan. Salah dari segi ‘human right’. Jika kita mengatakan bahwa hadith-hadith di dalam Sahihul Bukhari ataupun Muslim tidak sahih maka buktikanlah. Begitu juga jika kita mengatakan Fathul Bari tulisan Ibn Hajar al-Asqalani dan lain-lain.

Janganlah kita membuat tuduhan melulu dan secara rambang. Kita menuduh bahawa hadith di dalam Sohehul Bukhari dan Muslim yang menyatakan Nabi Muhammad kekasih Allah,Penghulu Para Nabi, seorang yang ma’sum dan boleh memberi syafaat di akhirat adalah palsu dan yang lain-lain berdasarkan kepada pengaruh musuh Islam. Musuh Islam seperti Rashad Khalifa sudah lama dikenali. Mengapa harus mengikut tafsiran al-Qurannya. Menyatakan bahawa al-Quran yang ‘sebenar’(sama ada mengikut tafsiran sesat Rashad Khalifa atau penyelewengan penulisan semula al-Qurannya) ditemui setelah membaca The Computer Speaks: God Massege to the World karangan Rashad Khalifa dan membenarkan semua isinya. (lihat Mencari Jalan Pulang-Daripada Sosialisme kepada Islam m.s 187)

Jika benaralah Kassim Ahmad telah menemui jalan pulang yang dimaksudkan sebagai pulang kepada agama Islam, mengapa tidak ada penafian atau sanggahan buku-buku atau tulisan-tulisannya sebelum ini, yang mengikut penafsiran Rashad Khalifa dalam menyelewengkan tafsiran ayat-ayat al-Quran.

Sebagai contoh, bagi membenarkan hujahnya mengenai tiada selawat kepada nabi maka penafsiran Rashad Khalifa dituruti. Lihatlah ayat 56 dalam surah al-ahzab ditafsirkan oleh Kassim Ahmad seperti berikut

(Tuhan dan malaikat-malaikat-Nya membantu dan menyokong nabi. Hai kamu yang beriman, hendaklah kamu bantu dan sokong dia, dan hormati dia dengan kehormatan yang sewajarnya)
( lihat http://kassimahmad.blogspot.com/2007_03_01_archive.html#_ftn6)

Sama seperti tafsiran yang di ambil dari laman http://www.submission.org/indonesia/quran/sura-33.html yang dicedok dari tafsiran Rashad Khalifa yang berbunyi;

(Allah dan para malaikatNya menolong dan menyokong nabi. Wahai orang orang yangpercaya, kamu mestilah tolong dan sokong dia, dan ambil beratlah terhadapnya sebagaimana sepatutnya dia mestilah diberikan perhatian)

Kedua-dua tafsiran itu cukup berbeza dengan tafsiran di dalam kitab-kitab tafsir ulama mu’tabar seperti Tafsir Ibn Kathir mahupun Tafsir al-Qurtubi. Ini bukan kerana kita taksub dengan ibn Kathir mahupun al-Qurtubi tetapi penyelidikan mereka dan kajian mereka mengenai tafsiran ayat itu tidak dapat disanggah.

Jadi, satu harapan saya sebagai seorang insan kerdil agar Kassim Ahmad benar-benar mencari jalan pulang dan menemui jalan yang sebenar-benarnya. Jalan yang diredhai Allah dan rasul.

“Tunjukilah kami jalan yang lurus.Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat”

Tuesday, June 3, 2008

SIAPA HAJI TAIB: NAMANYA DIGUNAKAN PADA LORONG ITU

Ketika minum petang bersama teman-teman saya baru-baru ini di Cyberjaya ,kami ada memperkatakan mengenai kerosakan akhlak ‘manusia jadi-jadian’ di Lorong Haji Taib. Pelbagai cerita dan informasi berkaitan aktiviti tidak bermoral kami perkatakan. Pengalaman sendiri dan cerita kawan-kawan turut kami kongsi bersama. Saya tidak melepaskan peluang menceritakan pengalaman saya bersama teman sekelas sewaktu mengumpul maklumat bagi menyiapkan kerja kursus bagi subjek ‘Deviant Behavior’ semasa di UIAM.

Dalam leka kami berbual. Terpacul dari mulut saya, siapakah individu yang namnya digunakan bagi lorong itu? Haji Taib. Seorang demi seorang saya tanya. Tetapi hanya jawapan-jawapan yang berunsur lelucon saja yang diberikan. Tidak ada seorang yang dapat menjawab soalan saya. Adakah soalan itu terlalu sukar?

Saya yakin Lorong Haji Taib tidak asing bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur. Ia turut amat popular di Negara kita. Sudah acap kali nama lorong itu di sebut di dalam televisyen, surat khabar dan majalah-majalah. Persoalannya, siapakah gerangan si Haji Taib itu?

Adakah jika saya menanyakan kepada golongan ‘manusia jadi-jadian’ dan pelanggan-pelanggan mereka yang setia mengunjungi lorong itu mereka akan dapat menjawab? Entahlah. Sayapun tidak dapat memastikan pada hari ini. Jika, tiga tahun lepas, jawapan yang saya terima adalah tidak tahu dan tidak perlu ambil tahu adakah jawapan ini akan bertukar.

Haji Taib atau nama sebenarnya Haji Mohamed Taib merupakan seorang pedagang dari Sumater yang berketurunan Minangkabau. Pada tahun 1876, beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Memiliki kilang bijih timah, tanah ladang, rumah dan kedai sekitar Kuala Lumpur menjadikan beliau individu terkaya pada waktu itu. Haji Taib yang merupakan tokoh pembangunan dan tokoh sejarah yang terlibat di dalam pembukaan Kuala Lumpur dan Kampung Baru banyak meninggalkan jasa kepada komuniti Melayu.

Melalui jasa-jasa dan pengaruh beliau pasti kita akan mengakui beliau merupakan seorang tokoh yang hebat. Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan beliau adalah tokoh yang perlu kita ketahui serba sedikit mengenai sejarahnya.

Adakah punca kita pada hari ini tidak mengetahui mengenai peranan dan sumbangan beliau kerana tidak ada catitan sejarah di dalam buku-buku akademik kita. Sudah semestinya ramai yang bersetuju dengan saya mengatakan tidak. Sejarah mengenai beliau sememangnya tercatat di dalam nukilan buku-buku sejarah. Ini kerana apa yang menjadi sebab pastilah seperti yang kerap dikatakan oleh para pemimpin dan ahli akademik kita ‘malas membaca’.

Adakah kerana sikap masyarakat yang malas mencari dan membaca buku tidak ada jalan penyelesaian untuk menangani fenomena ini. Seperti yang dikatakan oleh golongan bijak pandai, semua perkara ada jalan penyelesaiannya. Ini kerana kita yang mengaturnya, bukan ia yang mengatur kita.

Kaedah agar kita mengigati nama-nama tokoh yang berjasa diaplikasikan dengan menyemadikan nama-nama mereka pada nama jalan-jalan dan lorong-lorong. Pasti dengan meletakkan serba sedikit sejarah mereka di jalan-jalan yang dinamakan atas nama mereka akan memberi kesan yang positif. Orang yang lalu lalang pasti ingin membaca dan sejarah mereka pasti tidak akan hilang.

Jika, pihak yang terlibat cuba mempraktiskannya, saya yakin bukan sekadar sejarah Haji Taib akan menjadi ingatan, tetapi Raja Bot, Raja Uda dan lain-lain lagi akan terpahat di hati kita.