Disiarkan di dalam Daily Mail pada 8 Julai 2010
Beberapa hari yang lepas seluruh negara baru menyaksikan kemuncak Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah. Apa yang amat membanggakan, Wilayah Persekutuan telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan. Kejayaan tersebut berdasarkan kepada kriteria dan disiplin yang ditetapkan di dalam pertandingan, telah berjaya diikuti oleh wakil Wilayah Persekutuan dan membuahkan hasil. Antaranya, ketepatan sebutan, kefasihan dan kelancaran dalam membaca Al-Quran di samping kelunakan suara mengalunkan ayat-ayat suci mengikut tarannum yang betul.
Tarannum Al-Quran merupakan satu disiplin ilmu yang menentukan kaedah bagi menambahkan keelokan seni bunyi sesuatu bacaan dalam mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Sekiranya disiplin ini dapat dikuasai dengan baik, ia mampu mempesonakan para pendengar terhadap ayat-ayat suci Al-Quran.
Menguasai disiplin ilmu ini bagi dipraktikkan dalam membaca ayat-ayat suci Al-Quran merupakan satu tuntutan di dalam Islam. Menurut Islam membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan tarannum yang betul merupakan satu sunnah. Mereka akan diberi ganjaran besar di sisi Allah Taala. Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seseorang yang mahir membaca Al-Quran akan ditempatkan di syurga bersama para malaikat. Oleh itu hiasilah Al-Quran dengan suaramu.”
Rasulullah SAW amat mementingkan agar ayat-ayat suci Al-Quran dibaca dengan bertarannum.. Ia amat jelas melalui sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam Sahihnya, Rasullullah SAW telah bersabda: “Bukanlah umat kami mereka yang tidak bertaranum dengan Al-Quran.”
Rasulullah SAW turut mengatakan bahawa membaca Al-Quran dengan suara yang baik boleh menghiasi lagi keindahan Al-Quran. Ini sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan oleh Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Hiasilah Al-Quran dengan suaramu, kerana suara yang baik akan menambah keelokan Al-Quran.”
Baginda sendiri mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dengan suara yang amat sedap didengar. Dalam sebuah hadith Rasullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, daripada Al-Bara Ibn Azib r.a, beliau menyatakan: Aku mendengar Nabi SAW membaca Surah At-Tin ketika solat Isya’ dan aku tidak pernah mendengar suara semerdu suaranya.
Selain daripada itu Rasulullah SAW turut memuji para sahabat yang mengalunkan bacaan Al-Quran dengan suara yang merdu. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim menceritakan pernah satu ketika baginda mendengar Abu Musa Al-Asyari membaca Al-Quran dengan suara yang merdu lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kamu dianugerahkan seruling dari seruling keluarga Daud a.s.
Menurut Imam Ibn Battal di dalam Kitab Syarah Al-Bukhari, beliau menyatakan bahawa Saidina Umar r.a pernah meminta kepada Abu Musa Al-Asy’ari r.a membaca Al-Quran di hadapannya. Abu Musa r.a membaca sambil bertarannum. Kemudia Umar r.a berkata: Sesiapa yang mampu bertaranum seperti Abu Musa, silalah!”. Riwayat ini menggambarkan betawa sahabat rasullullah SAW yang bernama Umar Al-Khattab ini amat memuliakan mereka yang mampu membaca Al-Quran dengan baik dan bertarannum.
Antara kelebihan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan bacaan yang betul dan merdu mampu menarik perhatian manusia kepadanya. Sebagai contoh, Umar Al-Khattab r.a telah memeluk Islam dengan sebab tertarik dan terpesona mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan oleh adiknya. Walaupun pada ketika itu, beliau amat benci dengan Islam, akan tetapi keindahan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca dengan merdu telah menyejukkan hatinya dan memberikan kepadanya hidayah Allah SWT.
Berdasarkan kepada hadith-hadith tersebut, maka sebagai umat Islam kita perlulah berusaha untuk memperbaiki bacaan Al-Quran dan sedaya upaya menguasai disiplin ilmu tarannumnya. Selagi masih ada umur dan asa, usaha untuk meningkatkan kemahiran itu perlulah dilakukan. Serlahkanlah keindahan ayat-ayat suci Al-Quran yang merupakan mukjizat agung Rasulullah SAW. Buktikanlah keindahan ayat-ayat suci Al-Quran yang tiada tandingan dan sudah terbukti di seantero dunia.
Renung kembalilah cabaran yang pernah Allah Taala berikan kepada golongan yang ingkar bagi mendatangkan satu surah yang mampu menandingi ayat-ayat suci Al-Quran lebih 1400 tahun yang lalu. Ia masih lagi tidak ada yang mampu menyahut. Mereka yang ingkar terus bungkam dan membisu kerana tidak mampu mencari kecacatan daripada keindahan ayat-ayat suci Al-Quran. Hanya fitnah dan tohmahan yang mampu diberikan tanpa berjaya mendatangkan bukti dan fakta benar. Keindahan ayat-ayat suci Al-Quran tetap tidak mampu dipertikaikan.
Tetapi apa yang amat mendukacitakan pada hari ini, kebanyakan umat Islam sudah tidak merasa keindahan ayat-ayat suci Al-Quran. Tidak juga menjadi satu kehairanan, ramai golongan yang tidak celik Al-Quran. Kekurangan ini sebenarnya merupakan satu malapetaka yang amat besar.
Sebagai golongan yang mendambakan syafaat Rasulullah SAW di hari pembalasan nanti, perlulah kita berusaha untuk menjadi umat yang terbaik dengan melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan RasulNya. Oleh itu, marilah kita berusaha dan terus berusaha agar kita mampu membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan baik dan dapat berinteraksi serta memahaminya dengan amat cemerlang.