Thursday, August 28, 2008

Hari ini dengan rasminya DSAI telah dilantik sebagai Ketua Pembangkang di parlimen. Tahniah kepada beliau. Semoga apa yang dihajatkan oleh beliau untuk membawa Malaysia sebagai sebuah Negara berkualiti dan gah akan terlaksana.

DSAI yang mempunyai cita-cita besar sejak di Universiti Malaya lagi, diketahui seorang yang tidak mudah putus asa. Daripada ABIM beliau melompat ke Barisan Nasional. Mendaki sedikit demi sedikit sehinggalah mencapai tangga ke dua tertinggi iaitu TPM dan Timbalan Presiden UMNO. Tetapi, mendung yang mendatang telah membuatkan beliau tersungkur dengan hinanya sehingga dilempar keluar daripada UMNO.

Kini DSAI muncul kembali. Tetapi bukan bersama BN. Beliau sekarang menjadi lawan bagi BN. Menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen bagi menghadapi BN yang beliau kebelakangan ini sering mengatakan penuh dengan kekotoran dan kejahatan. Tidak seperti sewaktu beliau di dalam bahtera BN.

Melalui apa yang saya selalu impikan mengenai Negara kita ini, saya sangat mengharapkan Barisan Pembangkang menjadi barisan yang kuat. Mempunyai tokoh-tokoh yang berkaliber. Biar setanding dengan tokoh-tokoh yang dimiliki oleh BN. Barulah proses check n balance akan terlaksana di dalam system politik kita.

DSAI seorang tokoh hebat yang disegani oleh kawan dan lawan pada pandangan saya amat bersesuaian duduk di barisan pembangkang. Beliau yang selalu menyatakan mempunyai idea yang hebat dan rahsia-rahsia penyelesaian masalah luar biasa perlulah menjadi orang kuat parti pembangkang. Biar para barisan parti kerajaan dapat menunjukkan karisma mereka yang sejati dan integriti dalam melaksanakan tugas.

Apa yang saya rasakan, DSAI sebenarnya tidak perlulah menuruskan niatnya untuk menjadi pemimpin nombor satu Malaysia. Tetapi, tugas yang lebih baik bagi beliau adalah menjadi ketua bagi golongan yang dapat membantu barisan kerajaan membuat kerja dengan lebih baik. Menegur sekiranya perkara yang direncanakan barisan kerajaan tidak menepati kebajikan rakyat dan boleh membawa kepada kehancuran Malaysia.

Pasti DSAI tidak bersetuju dengan apa yang saya katakan. Ini kerana kebiasaannya barisan kerajaan mustahil baginya untuk menerima tegurun dan nasihat barisan pembangkang. Tidak boleh terima teguran musuh. Jadi, bagi menjayakan perkara ini barisan kerajaan juga perlulah mengubah sikap. Jadilah seorang yang benar-benar professional. Fikirkan masa depan rakyat Negara. Bukan masa depan diri sendiri ataupun parti mereka sahaja.

Ingatlah semua wakil rakyat, sama ada anda seorang ADUN mahupun MP, anda dipilih untuk membela rakyat. Untuk membawa kebaikan kepada Negara. Tidak kira anda semua dari BN mahupun PR. Tidak kira anda diketuai oleh Pak Lah, DSAI mahupun TGNA. Anda mempunyai misi yang amat besar. Membela rakyat.
Setelah menunggu debaran pilihan raya kecil Permatang Pauh selepas pengumuman oleh SPR, akhirnya semua itu telah terjawab. Kemenangan DSAI saya rasakan sebagai salah satu lambang demokrasinya Malaysia dan ketelusan kerajaan pimpinan Pak Lah. Walaupun DSAI yang ditentang oleh calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat, mendapat kritikan dan tohmahan hebat di media bercetak pro kerajaan BN, beliau masih mampu untuk mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk PKR. Itu semua telah terbukti melalui pilihan rakyat Permatang Pauh yang membuang undi semalam.

Sebenarnya kemenangan DSAI dengan mejoriti yang lebih besar daripada sebelum ini amat mengejutkan saya. Pada mulanya saya menyangkakan bahawa beliau akan menang dengan majoriti yang lebih kecil daripada apa yang diraih oleh isterinya pada PRU yang lalu. Tetapi sangkaan saya melesit sama sekali. Beliau telah berjaya meningkatkan mejoriti PKR di lubuk kuatnya. Melalui keputusan itu, teringat saya dengan pandangan Samahatul Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri, bahawa kemenangan DSAI adalah apabila beliau dapat meingkatkan mejoritinya. Jadi DSAI sememangnya telah menang di dalam pilihan raya ini.

Sebenarnya apa yang membuat saya yakin DSAI akan menang dengan mejoriti kecil sahaja adalah melalui apa yang saya baca di akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia. Ini kerana apa yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tersebut bahawa barisan kepimpinan tertinggi BN amat yakin bahawa mereka telah berjawa menawan hati pengundi Permatang Pauh. Sebagai contoh, apa yang dikatakan oleh TPM bahawa PKR semakin terdesak dan akan membuat apa sahaja untuk memenangi kerusi Permatang Pauh. Tetapi itu semua tidak berapa tepat. Hakikat sebenarnya BN cuba menggunakan perang saraf bagi melemahkan jentera PR dalam kempen mereka dan PKR telah menggunakan ubat saraf yang mujarab bagi merawatnya.

Kemenangan DSAI menyentuh perasaan saya. Kagum dengan Pak Lah yang masih mengekalkan kredibiliti budak baik walaupun ramai mengatakan beliau agak lembik. Beliau tidak menggunakan kunci sakti atau seumpamanya bagi menjadikan DSAI seorang yang ‘looser’ pada pilihan raya ini. Tetapi saya juga amat sedih dengan kekalahan teruk Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat. Mereka berdua tidak seharusnya mendapat kemaluan yang begitu teruk. Hanafi Mamat yang bersemangat ingin bertanding bagi mengacau undi mendapat sokongan lebih teruk daripada nenek tua yang berkempen menggunakan basikal di Kelantan pada PRU yang lalu. Amat mengaibkan sungguh. Begitu juga Datuk Arif Shah Omar Shah. Saya menyangkakan beliau seorang yang hebat dan kerana itulah dia dipilih untuk menentang DSAI. Ini kerana beliau digambarkan seorang yang suka bergotong royong, penyayang, suka ambil berat tentang masyarakat dan macam-macam lagi. Tetapi mereka berdua tewas dengan seorang yang didakwa sebagai pengkhianat bangsa Melayu, pengganas, pembohong dan macam-macam lagi. Tetapi itulah adapt bertanding. Ada yang menang dan ada yang tewas.

Jika direnungkan mungkin kemenangan DSAI ini adalah atas bantuan akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia juga. Ini kerana kedua-dua akhbar ini saya perhatikan terlalu banyak sangat menyebut nama DSAI kebelakangan ini berbanding Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat. Mungkin pengundi yang terlalu banyak menyebut nama DSAI sewaktu membaca akhbar-akhbar tersebut terbawa-bawa ketika hendak memangkah calon. Jadi DSAI telah mendapat kelebihan.

Semoga BN mendapat pengajaran berharga dengan kekalahan memalukan kali kedua ini. Mereka harus membuat analisa yang jujur dan perlu meningkatan lagi usaha untuk memulihkan pakatan mereka. Biar Melayu, Cina dan India benar-banar bersatu. Ini kerana apa yang saya mula nampak perpecahan kaum sebenarnya berlaku di pihak BN bukan di pihak PR. Ini kerana semangat mempertahankan kaum sendiri dan mengharapkan kaumnya mendapat kelebihan sesuatu yang normal tetapi perpecahan di dalam kaum sendiri kerana sifat ego dan tamak merupakan perkara abnormal dan merupakan sebagai ‘hint’ untuk hancur. Jadi semoga al-Mahdi al-Muntazar akan cepat hadir membantu BN memulihkan perikatan mereka. Ini kerana DSAI telah menjadi Imam Mahdi bagi PR buat masa sekarang.

Akhir sekali semoga dengan kemenangan DSAI, barisan pembangkang diharapkan dapat menjadi barisan yang kuat seperti mana yang diharapkan oleh Tenku Abdul Rahman, bapa kemerdekaan kita. Jika pembangkang kuat maka kuatlah barisan kerajaan. Jadi, matlamat Malaysia menjadi Negara maju pada 2020 pasti akan tercapai sebelum tahun keramat itu. Semoga sambutan kemerdekaan pada tahun ini akan lebih bermakna. SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-51 DARI SAYA DI WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN.

Thursday, August 21, 2008

ANTARA SUMPAH SAIFUL BUKHARI, PILIHANRAYA PERMATANG PAUH & PINGAT PERAK LEE CHONG WEI

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakan-rakan seperjuangan dari saya di Labuan. Angin Labuan yang agak berbahang dek dikelilingi oleh lautan masih lagi membuat saya kurang selesa. Tetapi saya yakin dengan pepatah Melayu yang selalu dikatakan oleh orang tua-tua, ‘alah bisa, tegal biasa’. Jadi saya akan dapat menyesuaikan dengan keadaan di sini sedikit masa lagi.

Hampir seminggu tidak dapat duduk di hadapan computer yang mempunyai kelengkapan internet amat menyukarkan saya. Tetapi, inilah dugaan yang perlu saya hadapi. Jadi saya hanya dapat menyimpan apa yang terbuku di hati sebelum dapat meluahkan di sini untuk difikirkan bersama.

Bermula dengan sumpah laknat yang dilafazkan oleh Saudara Saiful Bukhari Azlan, Pilihanraya Parlimen Permatang Pauh, kejayaan Lee Chong Wei merangkul pingat perak dan macam-macam lagi hanya terpendam tanpa dapat dikongsi. Itu semua merupakan peristiwa-peristiwa besar yang pasti dilakarkan dalam lipatan sejarah.

Sumpah Saiful Bukhari Azlan
Tidak pernah sama sekali saya menyangkakan dalam kehidupan ini, dapat menyaksikan peristiwa sumpah melaknat diri dan menjadikan Allah sebagai saksi untuk memelihara maruahnya. Seorang yang membuat aduan diliwat oleh majikannya telah melakukan sumpah di dalam Masjid Wilayah dengan menyebut WaAllahi, WaBillahi, dan WaTallahi sambil memegang al-Quran demi menyatakan dakwaannya benar tanpa didesak oleh mana-mana pihak.

Walaupun keberaniannya dipuji oleh banyak pihak, bagi saya itu bukan permasalahannya. Sesiapa sahaja mampu melakukan apabila terdesak. Seorang penagih dadah sanggup membunuh ibunya demi mendapatkan duit bagi membeli dadah. Begitu juga perompak sanggup membunuh bapanya demi melepaskan diri dari ditahan. Tetapi apa yang saya agak terkejut adalah seorang pemuda yang umurnya lebih mentah dari saya sanggup melakukan sumpah dengan menjadikan Allah sebagai saksinya dan sanggup dirinya dilaknat demi membenarkan dakwaan.

Apabila sahaja mendengar sumpahannya itu, berdiri bulu roma saya. Setelah terkaku seketika saya berbicara dengan ibu saya. Mengapa Saiful Bukhari memegang al-Quran? Adakah itu tatacara Islam? Ia berbeza daripada apa yang saya pernah pelajari. Entahlah. Biarlah mereka yang lebih berilmu memberikan penjelasan. Cukuplah Tuan Guru Nik Aziz, Samahatul Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan lain-lain memberikan penerangan.

Kini, setelah mendengar apa yang dilafazkan oleh Saudara Saiful, saya berlepas diri dari mereka yang menuduh bahawa dia berdusta. Ini kerana, sekiranya pendustaan dari tuduhannya itu terhadap DSAI maka saya amat yakin dengan apa yang akan dilakukan oleh Allah.

Pemilihanraya Permatang pauh.
Demi menjayakan matlamat menubuhkan kerajaan baru, DSAI akan bertanding di kubu kuatnya sendiri pada 26 August ini. Beliau akan ditentang bukan calang-calang tokoh dari BN. Seorang jaguh walaupun tidak semasyhur DSAI di Malaysia. Tetapi orang Permatang Pauh lebih mengenalinya dan lebih bijak membuat perbandingan.

Dalam menghitung hari-hari untuk membuang undi pelbagai kempen dilakukan oleh semua pihak. Strategi dalam berkempen difikirkan oleh mereka amat ampuh demi menarik undi. Tetapi, apa yang saya harapkan janganlah berlaku fitnah, cacian, dan kezaliman dalam menegakkan demonstarsi ini. Ikutlah adat orang Melayu yang sentiasa bersuluhkan dengan Islam.

Walaupun kita merancang untuk menaikkan calon pilihan kita, ingatlah rancangan Allah itu lebih baik. Jadi, selepas proses demokrasi ini selesai, maka setialah dengan calon yang telah dipilih dan sesiapa yang menang itu jalankanlah tugas dengan penuh ketaqwaan.

Pingat Perak Lee Chong Wei
Jaguh badminton Negara, Lee Chong Wei menghadiahkan pingat perak kepada Malaysia amat dibanggakan. Kehausan Negara dengan pingat dari sukan Olimpik akhirnya berjaya dihilangkan dengan pingat perak yang amat berharga itu. Walaupun ada yang kecewa dengan prestasi beliau tetapi kebanggaan itu terus terpampang di muka mereka.

Melihat begitu sukar untuk memiliki pingat di Olimpik sehingga Negara hanya mampu menggenggam satu pingat perak sahaja telah membukakan minda semua masyarakat mengapa sebelum kontinjen Negara ke sana TPM menawarkan ganjaran yang lumayan bagi membakar semangat mereka. Kritikan terhadap TPM akhirnya telah dijawab dengan hasil tuaian yang dibawa oleh semua atlet Negara di Beijing.

Tetapi, adakah hanya satu pingat perak sahaja yang mampu dibawa pulang oleh atlet Negara berpunca dari ganjaran yang terlalu tinggi. Ini kerana jika diperhatikan, atlet yang dijangkakan mampu memberikan persembahan terbaik hanya beraksi seperti budak di akedemi sahaja. Amat memalukan. Bak kata orang kampung, buat habis duit Negara belikan tiket ke Beijing.

Jadi, kini penilaian yang bijak dan jujur perlu dilakukan oleh Majlis Sukan Olimpik agar tidak mengulangi semula. Tirulah apa yang dilakukan oleh BN selepas menerima kekalahan teruk di dalam PRU 12. semua sibuk menilai dan mencari punca kekalahan dan memberikan resepi mujarab. Tetapi ingat, jangan tersalah resepi, takut nanti keracunan makanan atau mati terus.

Kesimpulan
Sumpah Saiful Bukhari Azlan, pilihan raya di Permatang Pauh dan pingat perak Lee Chong Wei sebenarnya ada kaitan. Mereka semua akan menjadi ‘The Great’ sekiranya mampu mencapai puncak kejayaan yang tertinggi. Tetapi sekiranya mereka tewas pasti mereka akan terus diejek seperti atlet-atlet Negara yang tidak membawa pulang pingat dari Olimpik. Jadi marilah kita menyaksiakan ragam-ragam yang berlaku sekitar kita dan jadikanlah pelajaran demi menjadi hamba Allah yang bertaqwa.